Wednesday, April 6, 2011

~...Kekuatan Jiwa Wanita...~





Membaca perbincangan di sebuah forum membuatkan diri terfikir mengenai realiti kehidupan dengan teori islam yang cantik tersedia. Walaupun diri mungkin tidak layak berkata mengenai dunia rumah tangga tetapi kita dikurniakan akal untuk berfikir serta dianugerahkan iman untuk membina kekuatan jiwa.

Tertarik dengan perbincangan mengenai artikel yang telah dihantar di utusan bertarikh 27/3/2011 yang menjadi topik perbincangan di forum ini ;

Saya berpendapat kebanyakan masalah yang sering melanda rumahtangga berpunca daripada sikap wanita sendiri yang terlalu sayangkan suami, sanggup mengabdikan diri asalkan suami sayang, walaupun ada kalanya boleh menjerat diri.'' Demikian cerita Marlisya dalam e-melnya.

''Bertambah gigil bila ustaz kata syurga di bawah tapak kaki suami, maka isteri jadi lebih takut, taat membabi buta tanpa mengira sama ada suami itu penzina, peminum, kaki pukul dan tak bertanggungjawab, hingga mereka lupa masa depan sendiri. Pada saya isteri seperti itu hanya membodohkan diri sendiri.

''Kebanyakan suami berpendapat kasih sayangnya setinggi gunung, melimpah ruah sehingga boleh dikongsi ramai wanita yang menjadi isteri-isteri ataupun kekasih. Kerana itulah saya berpendapat suami adalah tetamu dalam kehidupan saya. Suami boleh datang dan pergi sesuka hatinya. Hari ini dia boleh sayangkan kita esok lusa dia boleh berubah dan mencintai orang lain pula.

''Jadi nasihat saya kepada isteri berpada-padalah memberi cinta, kasih dan sayang kepada suami, janganlah sampai menghambakan diri. Kerana jika bercerai suami tetap dipanggil sebagai bekas suami, sudah tiada hubungan lagi dengan kita. Ketika itu jika nasib kurang baik, anak-anak pun dia buat-buat tak kenal kerana tak mahu bertanggungjawab.

''Demikian juga halnya dengan anak-anak yang saya ibaratkan juga sebagai tetamu. Sewaktu kecil kita jaga, didik dan membesarkan mereka. Itu tanggungjawab kita, tetapi setelah berkahwin, mereka ada keluarga sendiri, akhirnya kita semakin jauh daripada hidup mereka, hanya sesekali mereka datang menjengok kita ibarat tetamu.

''Memberi kasih sayang, cinta kepada manusia biarlah berpada-pada, kecuali kepada Allah. Ada isteri terlalu fanatik mencintai suami hingga sanggup mengabaikan diri sendiri. Pada saya itu isteri bodoh.

''Saya bercakap dari pengalaman sendiri. Pernah 20 tahun dulu suami saya jatuh cinta dengan seorang janda dan bercadang untuk berkahwin. Janda itu kawan baik saya. Bila berita tersebut tersebar saya telefon ibu janda itu dan nasihatkan beliau supaya izinkan anaknya berkahwin.

''Ketika itu saya ada dua orang anak. Tetapi saya setitik air mata pun tak tumpah kerana peristiwa itu. Rasanya tak berbaloi saya nak menangis. Sambil menolong suami memasukkan pakaian dalam beg, saya kata padanya; ''Saya reda awak kahwin dengan wanita itu sekiranya dia lebih baik daripada saya. Mungkin juga Allah nak pertemukan saya dengan lelaki yang lebih baik daripada awak.'' Agaknya kata-kata saya pedas, akhirnya dia tak jadi kahwin, mungkin dia fikir jika saya dirceraikan dia takut saya berkahwin dengan lelaki lain yang mungkin lebih baik daripadanya. Dia jadi cemburu.

''Kini setelah 30 tahun berkahwin dan ada tiga orang anak, kesimpulannya saya rasa tidak perlu mencintai suami 100 peratus, sebaliknya saya jadi isteri yang mementingkan diri sendiri. Saya berkira dalam soal kewangan walaupun 80 peratus perbelanjaan rumah, saya yang sumbang seperti duit pasar, termasuklah duit pengasuh anak ketika mereka kecil dan duit tuisyen setelah mereka besar. Saya reda, biarlah Allah beri keberkatan kepada saya.

''Nasihat saya isteri jangan bergantung 100 peratus pada suami, buat simpanan sendiri, jangan buka akaun bank simpanan bersama, jangan beritahu jumlah duit kita, jangan jadi penjamin kalau suami nak pinjam bank. Kerana kalau ada simpanan sendiri anda tak takut jika suami buat hal, kerana kita pun boleh letak jawatan jadi isteri dengan hati tenang.

''Nasihat emak penuh berkias kepada saya ketika berkahwin dulu, katanya; ''kalau sayang sangat suami jangan tidur dalam perut suami.'' Puas saya fikir apa maksut emak rupanya emak pesan jangan terlalu percayakan suami walaupun kita sayang dia.

''Ayah pulak ketika saya kahwin dia hadiahkan sebilah kapak kecil (yang saya simpan sampai kini). Ia sebagai simbolik supaya saya jadi isteri yang tabah, cekal dan berani mempertahankan diri dari segala dugaan dan ancaman. Sungguh dalam makna dan nasihat emak ayah kepada saya.

''Jika ada masa saya pergi melancong keluar negara, ke Eropah, Korea dan China atau ke mana sahaja saya teringin. Hati saya tenang di samping anak-anak yang masih menuntut, sebab lepas kahwin saya lambat dapat anak. Kini suami semakin sayangkan saya. Mungkin dia sedar kesilapannya dan merasa rugi kalau ceraikan saya.

''Kepada isteri-isteri yang masih terperangkap dengan masalah dan perangai suami, kerana kesilapan sendiri terlalu mencintainya sepenuh hati, bawalah bersabar. Anda masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan demi masa depan anda. Dekatkan diri dengan Allah semoga anda mendapat ketenangan dan ganjaranNya.

''Kepada ibu bapa yang ada anak perempuan yang akan atau sudah berkahwin titiplah nasihat agar mereka dapat menempuh hidup ini dengan hati terbuka, berani dan cukup bersedia menghadapi masalah rumahtangga.

''Jika ada anak lelaki nasihat mereka supaya jadi suami bertanggungjawab, kerana kebanyakan punca keruntuhan rumahtangga hari ini adalah kerana kaum lelaki tidak tahu jalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh Allah.

''Ingatlah wahai suami semua, hidup anda dan kita semua bukan di dunia ini sahaja, akhirat kelak kita akan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kita lakukan semasa hayat kita. .

''Bagi saya hidup ini terlalu singkat kerana itu wanita perlu mencari sendiri kebahagian, jangan tunggu orang lain membahagiakan kita dan lebih penting jangan perbodohkan diri untuk keselesaan orang lain, walaupun suami sendiri.

''Sebaiknya isteri juga mesti mencari keselesaan hidup di dunia dan di akhirat.'' Pesanan Marlisya menutup cerita.

Tentu akan lahir pelbagai perspektif pemikiran. Malah pasti golongan lelaki akan ada yang memandang luahan wanita tersebut ibarat wanita yang mengajak wanita lain berkelakuan negatif terhadap suami.

Pada pandangan saya, wanita ini bijak meletakkan diri dalam kehidupan dan menguruskan emosi dan dan mengurus kehidupan. Malah, sudah pasti wanita tersebut bukan sekadar bercakap atas pengalaman sendiri tetapi realiti iklim rumah tangga masyarakat kita hari ini yang bercerai-berai dan bermasalah yang rata-rata kes adalah terdiri dari rumah tangga muslim.

Golongan wanita yang sinonim sebagai golongan yang kuat beremosi selalu kedengaran tewas dengan emosi sendiri apabila suami berpaling tadah, mahu poligami, mati dan sebagainya. Lebih teruk akibat kurang ilmu mengenai hak perundangan dalam islam wanita terus ditindas oleh suami yang kaki pukul, kaki botol, perompak, dan sewaktu dengannya.



Namun isu utama yang mahu diajak oleh wanita ini supaya para wanita bersedia membina kekuatan jiwa. Suka saya menambah kekuatan jiwa para wanita muslimah adalah keimanan dan ketaqwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah Azza wa Jalla.

Pengalaman dan cadangan wanita tersebut tidaklah saya sokong sebulat suara dan 100% kerana mungkin cara tersebut sesuai untuk wanita itu namun tidak semesti pada saya dan anda juga wahai para wanita muslimah. Tidak salah mencari kebahagiaan BERSAMA suami tetapi kebahagiaan bukan terletak pada suami kerana yang memberi kebahagiaan adalah Rabbul Izzati.

Saya cuba melihat nasihat dan pengkongsian wanita ini sangat sesuai untuk para wanita yang terlalu meletakkan kebahagiaan pada suami. Malahan saya sedih apabila mendengar kebanyakkan para wanita suka meletakkan keimanan dan ketaqwaan di bahu suami. Misalnya seseorang wanita yang mahu berubah dengan menunggu kedatangan calon suami soleh tanpa diri terlebih dahulu membuat perubahan imani. Saya setuju pengaruh suami terhadap isteri, yakni suami itu pemimpin para wanita sebagaimana firman Allah Taala :

“Lelaki (suami) itu pemimpin/pelindung bagi wanita (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (suami) telah memberikan nafkah dan hartanya…” (Surah An-Nisa’ 4 : 34)

Saya lebih memandangkan faktor perubahan atas hidayah Allah Taala yang kita niatkan,usahakan dan carikan. Beruntung bagi wanita yang jahil mendapat suami yang soleh dan atas usaha suami, niat ikhlas isteri lalu taufik hidayah Allah menyinari hati sang isteri. Sungguh ganjaran yang besar pasti diperolehi bagi sang suami ini.

Namun, bagi wanita yang menyerahkan hidup matinya pada suami pasti akan ketemui kebuntuan dan kekecewaan mendalam jika suami seperti yang tidak disangkakan seperti kes yang sering kedengaran dalam masyarakat kita hari ini berupa penderaan fizikal dan mental, penindasan hak nafkah, dan sebagainya.

Apa juga bentuk ujian baik berupa nikmat kebahagiaan atau kesengsaraan dan kedukaan sebenarnya kita pasti tidak dapat lari. Sekalipun kita memilih jalan membujang yakni tidak berkahwin, ujian Allah tetap menunggu dalam bentuk yang lain, kerana tidak dapat tidak kita hanya hamba, yang diciptakan untuk diuji maka kita semua layak diuji.

Firman Allah Azza wa Jalla yang bermaksud :

“ Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan Kami akan uji perihal kamu.” (Surah Muhammad 47 : 31)

Maka, wahai para wanita muslimah kita harus perbetulkan perspektif pemikiran dengan meletakkan suami dan anak-anak sebagai pinjaman atau ALAT untuk meraih tujuan yang satu yakni Redha Illahi. Dalam memburu Syurga bukanlah amalan yang melayakkan kita menjadi penghuninya tetapi dengan Redha Illahi. Namun, amalan baik jugalah sebagai asbab memperolehi Redha Illahi. Dan pasti kita perlu persiapkan Iman, Mental dan Emosi untuk menghadapi ujian kasih sayang. Isteri yang sayang sangat pada suami mungkin akan diuji dengan suami mahu berkahwin lain, atau sakit kronik atau kematian. Ibu yang sayang lagi kasih kepada anak-anak pula akan diuji dengan anak derhaka, tidak mengenang budi, kecacatan, atau kematian. Dan di sinilah titik keimanan akan diuji yakni bagaimana kita melihat kehidupan, kerana suami dan anak adalah pinjaman dan bila-bila masa berhak diambil kembali ke pangkuan Tuhan.

Moga kita semua (para wanita muslimah) dikurniakan kesabaran yang baik, keimanan yang mantap, ketaqwaan yang teguh, dan sifat takutkan Allah Taala dalam diri. Allahuma Ameen.

Allahu’alam bisawab~