Friday, June 13, 2008

~...belajar dari air...~





Kita ini tak ubah seperti air. Air sungai sentiasa mengalir. Jangan sesekali diam kerana air yang tidak mengalir akan menyebabkan bau tak enak dan mengundang perbagai penyakit contohnya ; demam denggi yang berpunca dari pembiakan nyamuk aedes di kawasan air yang bertakung. Begitulah diri kita, apatah lagi yang mengaku dirinya seorang muslim. Kita dituntut untuk sentiasa bergerak (berusaha). Tentu sahaja bergerak di sini bukan hanya mengejar keperluan diri semata-mata.



Tetapi, berfikir dan berbuat untuk orang lain sangat perlu sepert kata Sayyid Qutb : "Siapa yang hanya memikirkan dirinya sendiri, dia akan hidup sebagai orang kerdil dan mati sebagai orang kerdil, tapi siapa yang mahu memikirkan orang lain, dia akan hidup sebagai orang besar dan mati sebagai orang besar."



Sebenarnya keberadaan kita hidup di dunia ini mempunyai makna.. Misalnya kita sebagai lahir dari keluarga yang miskin, kita belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan apabila mempunyai kerjaya yang baik dapat mengubah nasib keluarga sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara.. Sangat malang jika hidup kita di dunia ini tidak memberi makna kepada masyarakat sekeliling. Lebih malang lagi jika keberadaan kita tidak disukai orang sekeliling kerana menjadi beban kepada orang lain atau penyebab segala masalah seperti pencuri, perompak, pengedar dadah dan sewaktu dengannya. Atau mungkin hadirnya kita hanya sebagai penumpang di atas kehidupan orang lain, tidak sedikit pun memberi sumbangan walhal hal ehwal diri sendiri juga tidak dapat diuruskan kecualilah jika kita golongan orang kurang upaya (OKU), namun golongan OKU sekarang pun sudah ramai yang berjaya seperti manusia normal.
Untuk itulah, kehadiran kita sesungguhnya di dunia ini adalah sejauh mana kita dapat memberi kepada orang lain, kerana inilah rahsia peribadi unggul manusia...sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain. Persoalannya, apakah kita selalu memberi manfaat kepada orang lain? Baik dari membantunya menyelesaikan masalah atau sekadar mendengar masalah, meringankan bebanan orang seperti membantu orang ketika melihatnya membawa barang yang berat. Atau kita sebenarnya seorang yang suka membebankan orang lain, mencari masalah, atau mengeruhkan hubungan silaturahim? Ingat kita boleh memberikan kesejukan, namun kita juga boleh menyebabkan orang lain kelemasan. Ibarat air hujan, turun sedikit mendinginkan suasana, apabila turun banyak banjir pula yang berlaku.


Seterusnya, kita juga boleh mengamati bahawa air itu selalu menuju ke tempat tertentu. Jika air sungai akan mengalir mengikut alirannya, air hujan juga mengalir ke pelbagai tempat sama ada ke sungai atau laut, menyusup ke dalam bumi atau menjadi air larian permukaan. Kita pun begitu, kehidupan ini perlu mempunyai matlamat yang jelas, tujuan hidup yang jelas, tak sekadar mengalir begitu sahaja.
Dalam hal ini, persoalan mengenai waktu menjadi penting kerana orang yang berjaya, waktunya adalah sebuah sejarah tersendiri. Kita perlu pandai memanfaatkan waktu, bukan sekadar menjadi orang yang berjaya, malah agar kita banyak berbuat atau memberi manfaat kepada orang lain. Oleh sebab itu, sesekali kita perlu pandang belakang, iaitu merenung kembali hidup kita selama 22 tahun, apakah jasa kita kepada keluarga, masyarakat dan negara. Malah terhadap agama islam, adakah kita penyumbang kepada imej islam yang baik atau memburukkan lagi pandangan orang bukan islam terhadap agama islam dengan berpakaian tak cukup kain mengalahkan mereka, atau meninggalkan ajaran islam sehingga orang bukan islam yang mengetahui ajaran sebenar islam keliru mana satu orang islam? Apatah lagi jika kita ditanya di akhirat kelak; apakah kita sudah menunaikan kewajiban kita dalam beramar makruf nahi mungkar? Tepuk dada biar iman berbicara.


Berapa banyak waktu pula yang kita buang untuk menonton televisyen, berjalan ke pasar raya atau bersenang-lenang menghabiskan masa muda. Sementara, seperti kata Imam As-Syahid Hassan Al-Banna ; " kewajiban kita lebih banyak dari waktu yang tersedia". Masihkah kita akan bermalas-malasan, dalam waktu yang sama kita juga mengaku dan berbangga dengan identiti seorang muslim iaitu beragama dengan satu agama yang hanya diterima di sisi Allah. Padahal kita jarang sekali berjuang menyeru kebaikan apatah lagi nak mencegah kemungkaran. Sangat malunya kita kepada Allah SWT ketika kita mengaku pejuang sejati.

*********************************************
Tidak hanya sekadar itu, air juga mempunyai folosofi atau nilai falsafah yang mendalam. Ketika air ditahan atau disekat ia akan terus mencari jalan lain, jalan keluarnya. Semasa disekat itu, kekuatan air juga semakin besar. Contohnya kita lihat air di empangan, apabila air di empangan tersebut mengalir dapat pula mewujudkan kuasa yang besar, tenaga kinetik menjana tenaga hidroelektrik. Di dalam kehidupan seharian kita, banyak persoalan, konflik dan permasalahan yang kita hadapi. Ramai orang yang akan memandang rendah cita-cita dan impian kita.
Namun, apabila kita berfikir positif atas berbagai onak dan duri yang melanda itu terkadang membuat kita semakin dewasa untuk menjalani kehidupan di kemudian hari. Syaratnya, tak usahlah terlalu banyak berkeluh kesah. Yang terpenting adalah tetaplah tegak berdiri, bergerak membawa impian kita, Insya Allah ketika kerja keras sudah kita lakukan, Allah pasti akan membalas dengan hasil kebaikan yang memuaskan bagi kita. Masalah hidup akan senantiasa ada, tinggal bagaimana kita menyikapinya. Dengan keluh kesah semata, atau bijaksana menghadapinya.



Subhanallah, semoga setelah menuliskan ini saya akan tetap tegar menghadapi variasi seni kehidupan ini. Dan, tentu saja, saya berharap, setelah membaca coretan sederhana ini, Anda juga akan mempunyai semangat hidup yang lebih baik lagi. Salam cinta dan perjuangan…!
Allahu Akbar!!!





...diterjemah, ditambah dan diubahsuai daripada karya asal 'kita ibarat air' Oleh Yon's Revolta-Indonesia...

Saturday, June 7, 2008

~...part 2 : ku tinggalkan ais krim yang lazat demi air mineral yang berkhasiat...~




Part: II

Kesungguhan ustaz Razif menjadikan Sumayya serba salah sama ada untuk menerima atau menolak. Ustaz Razif sudah menyatakan kesediaannya untuk menjadikan Sumayya sayap kiri atau belahan jiwanya..Sumayya yang sememang berazam untuk menikah sebelum tamat belajar teruja untuk menerima lamaran tersebut. Hati Sumayya sukar diduga oleh sesiapa, ustaz Razif cuba sedaya untuk memiliki Sumayya walaupun disedari gadis tersebut ibarat mawar yang berduri, semakin didekati semakin disakiti dengan duri...Sumayya yang masih menanti jawapan istikharahnya memberi reaksi yang seperti main tarik tali iaitu kadang-kala ustaz Razif menyangka lamarannya diterima namun hakikatnya ustaz Razif seperti bertepuk sebelah tangan.
Sumayya sedar jalan seorang dae’i tak sunyi dari duga dan uji. Apabila memikirkan bab walimah, Sumayya mengimpikan sebuah baitul duat. Rumah tangga dae’i yang melahirkan pewaris dae’i. Tentulah pasangan yang dipilih adalah orang yang faham akan perjalanan dakwah. Rijal yang diterima maharnya tentulah rijal yang sama bahtera dengannya. Tapi....mungkinkah jodohku dengan ikhwah?atau mungkin telah Allah takdirkan aku bukan untuk mereka yang bergelar ikhwah?


Ya Allah, kurniakan aku kecintaan kepada-Mu, kecintaan orang yang mencintai-Mu, jodohkanlah aku dengan orang yang dapat menguatkan rasa cintaku kepada-Mu, orang yang dapat menyuburkan rasa rinduku kepada-Mu, serta dapat mengencarkan semangat dakwahku, peliharalah hati ini Ya Allah...agar tak dipaling daripada cinta dan rindu terhadap-Mu....ameen ya rabbal alamin...
Maafkan ku Adam...maafkanku Razif....
Hipokrit sungguh diri ini jika mengatakan hati ini tidak sedikit pun punyai perasaan terhadap kalian...aku juga wanita yang punyai naluri yang sama seperti wanita lain...kalian berdua cukup baik namun pasti ada wanita yang terbaik untuk kalian...
Bukan hati ini takut buat pilihan, tapi hati ini lebih takut jika hilang cinta dari Tuhan..
Bukan beerti memilih kalian murka Tuhan yang akan diperolehi...
Tapi hati ini bimbang hilang fokus terhadap cinta Illahi...
Bukankah cinta itu ada tingkatnya...seperti yang kalian pernah sampaikan, cinta kepada Allah cinta pertama dan utama...rasul yang kedua, ibu ayah yang ketiga, keluarga dan belahan jiwa yang seterusnya...bagaimana mahu menjadikan cinta seterusnya adalah cinta sejati kerana Illahi Robbi jika cinta Utama tidak dicari...
Mungkin sukar kalian memahami rentak hati ini, sebenarnya insha Allah lamaran kalian amatlah diterima jika kalian menurut jalan syariat-Nya...
Bukahkah tiada hubungan yang diredhai-Nya melainkan pernikahan?
Hati ini terlalu rindukan cinta dari-Nya dan cinta orang yang mencintai-Nya selepas pernikahan...bukan bermain perasaan sebelum akad dilafazkan...
Maafkanku Adam...
Maafkanku Razif...

~Pengemis cinta illahi~
Sumayya...

......................................
Sumayya hanya mampu meluahkan bicara hatinya di dalam dairi hijaunya. Selepas dicurahkan segala rintihan perasaannya kepada Rabbul Izzati, diari hijau pula menjadi teman setia mendengar isi hatinya...

”Kak Su macam mana yer jika ada orang lelaki nak couple dengan kita?”Adilla, anak ta’lim Sumayya bertanya kepadanya.
”couple? Couple tue apa yek dilla?” jawab Sumayya
“aik, kak su nie tak akan tak tau…couple tu kan orang lelaki dan perempuan bercinta.” Balas Adilla
“ada lagi penambahan, bercinta dan tempah murka-Nya”. Ujar Sumayya
”kenapa pula orang couple beroleh murka dari Tuhan?” tanya Adilla lagi.
”agak-agak apa tujuan orang bercouple? Biasanya orang bercouple tu takde matlamat yang jelas, if ada yang bertujuan nak kawin pun mereka sebenar tak faham matlamat perkahwinan. Lebih jelas dan nyata adalah kerana mengikut nafsu perasaan semata-mata..”
”Dilla tengok tiap-tiap hari berita mengenai pembuangan bayi, apa punca berlakunya kes anak luar nikah?”
”tentulah bermulanya dari ingin kenal-mengenal dengan rapat, lepas tu ber’couple’, bertelefon, b’sms, email dan sebagainya, lepas ber’couple’ mulalah menganggap pasangan adalah miliknya sepenuhnya lepas tue berlakulah penzinaan...orang ’couple’ tue kan selalu berdua-duaan, if xjumpa pun ber’couple tetap melalaikan, menghakis kualiti ibadah. Cuba sesekali dilla buat ’survey’ kat kawan-kawan kita yang bercouple berapa ramai yang menjaga waktu solat? Belum lagi ’survey’ berapa ramai yang khusyuk dalam solat iaitu tak ingat pasangan dia dalam solat...”
”adikku sayang, islam tak pernah menghalang hubungan antara lelaki dengan perempuan tapi ada syariatnya, ada jalannya...hubungan antara perempuan dan lelaki yang bukan muhrim hanya diredhai-Nya melalui pernikahan...jika memang berniat untuk bernikah buat apa nak couple-couple...bak kata Abu Saif dalam buku ’aku terima nikahnya’ : apabila kita kenal pasangan sebelum nikah, iaitu couple lame-lame nanti da kawin kita cepat bosan kerana da tak tau nak kenal apa lagi, lagi pun kebiasaan orang sikap selepas kawin berbeza dengan sebelum kawin jadi alasan orang yang nak berkenal-kenalan sebelum kawin dengan cara b’couple tue tak wajar” ujar Sumayya panjang lebar.
”erm, betul tue kak su ramai kawan-kawan kata kalau tak couple macam mana nak kawin”
Sampuk Adilla.
”tu la die alasan warisan yang selalu didengar, apa yang pelik dengan tak kenal tapi leh kawin...ramai je yang tak bercinta sebelum kawin tapi perkahwinan mereka bahagia je, malah mak ayah kita dulu pun kawin ikut pilihan orang tua, tak kenal pun alhamdulillah bercucu cicit tetap bahagia, sebenarnya cinta selepas kawin nie kan lagi nikmat, tapi tak taula nikmat macam mana kerana akak pun tak kawin lagi, dilla kenal tak kak Asiah, dia da bernikah sejak semester satu lagi, tak kenal sangat pun pasangan dia, tapi dia kata nikmat Allah lebih terasa apabila kita jaga cinta kerana-Nya” ujar Sumayya lagi.
”macam mana nak jaga cinta kerana-Nya yer kak?” tanya Adilla lagi.
”jagalah syariat-Nya, elakkan diri dari perkara yang membawa kemurkaan-Nya, ingat musuh kita syaitan sentiasa cuba mengoda hati kita, jika kita tak couple die akan goda supaya kita couple, bila kita da ber’coupla die akan goda supaya kita selalu berjumpa pasangan kita, bila da berani berjumpa, die akan goda supaya kita tak malu berpegang tangan, dan goda seterusnya kepada penzinaan..nauzubillah min zalik” tambah Sumayya lagi.
”teruk juga bahana dari ber’couple tue yer kak” Adilla menunjukkan tanda faham.
”yup, bahana di dunia dan di akhirat yang menanti lagi dahsyat” Sumayya mengiyakan kata-kata Adilla.
”lepas nie boleh la dilla nasihat kawan yang ajak dilla couple tue seperti yang kak su cakap nie” ujar Adilla.
”tak perlu seperti yang akak cakap, cukup secara ringkas tapi dia faham, tolak secara berhikmah yer” nasihat Sumayya.
”doakan dilla kuat yer kak” pinta Adilla lagi..
”insha Allah, sama-sama berdoa kepada Allah, sesungguhnya Dia sahaja sumber kekuatan kita” tambah Sumayya lagi.
”dilla balik dulu kak, asSalamua’laykum”
”wa’alaykumusSalam warahmatullah”

.........................................................

Ahli bicara lebih mudah dari ahli amal...mudahnya aku menyusun kata-kata sebagai nasihat untuk Adilla petang tadi, namun hakikatnya aku sendiri pernah tersungkur di pedu dosa.
’Ya Rauf, pemilik segala cinta...
Berikanlah hamba rasa cinta kepada-Mu yang tak berbelah-bagi,
Jadikanlah segala hartaku, keluarga, dan teman-teman ku sebagai penguat cinta ku kepada-Mu,
Jadikanlah segala apa yang tidak menjadi hak ku sebagai ruang untuk bertambahnya cinta ku terhadap-Mu,
Ya A’fu, pemberi kemaafan
Ampunilah segala dosa-dosa silam hamba, akibat kejahilan, kealpaan, dan kelalaian ku dalam menilai cinta-Mu Yang Maha Agung...
Terimalah taubatku Ya Allah...
Janganlah Engkau uji ku dengan cinta duniawi yang melemahkan ku dalam perjalanan mengapai redha-Mu, letakkanlah dunia sekadar di tanganku dan akhirat itu di hatiku...
Ameen ya robbal alamin...

Seperti biasa Sumayya tidak melepaskan peluang untuk mengadu kasih di sepertiga malam mengadap Illahi...
Menyedari hakikat mulut yang berkata akan diuji terlebih dahulu dengan apa yang diperkata, maka Sumayya tetap memohon agar dikuatkan hatinya dalam meninggalkan ’ais krim’ yang sedap demi ’air mineral’ yang berkhasiat...

...........................................................

ais krim memang sedap nikmatnya terasa apabila dimakan ketika cuaca terik, namun siapa yang tahu disebalik ais krim yang manis dan sejuk itu boleh membawa mudarat untuk mereka, kencing manis, batuk, dan pasti dahaga lagi kerana ais krim bukan dapat menghilangkan dahaga sepenuhnya. Air mineral pasti dicari apabila dahaga selepas makan ais-krim. Siapa pula yang dapat menyangkal khasiat air mineral yang dapat meneutralkan kembali kandungan gula dan garam dalam badan kita? Malahan pelbagai kebaikan kepada tubuh badan jika kita memilih air mineral yang suci lagi jernih itu.
Andai ais-krim digambarkan sebagai cinta manusia
Dan air mineral cinta Tuhan...
Siapakah yang berani memilih salah satu dan bukan kedua-duanya?

Wallahu’alam bisawab~


p/s : cerita di atas hanyalah rekaan penulis semata-mata, tiada kena-mengena dengan mereka yang tak hidup atau yang telah meninggal dunia..

Tuesday, June 3, 2008

~...hijrah sebelum hijrah; 7 pengajaran penting...~

Jika disebut peristiwa hijrah, pasti ramai yang terus memikirkan penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Sebenarnya terdapat peristiwa hijrah yang berlaku sebelum itu, iaitu penghijrahan sebahagian umat Islam dari Mekah ke Habasyah, yang kini dikenali sebagai Etophia.

Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun kelima sejak Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam diangkat menjadi Rasul. [Thabaqat Ibn Sa‘ad (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 1, ms. 161] Ia pada mulanya dipimpin oleh ‘Utsman bin Mazh‘un radhiallahu 'anh dan terdiri dari lebih kurang sepuluh orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms. 346] Beberapa bulan kemudian berlaku penghijrahan yang kedua ke Habasyah yang terdiri dari lebih kurang lapan puluh tiga orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 352]

Terdapat beberapa pengajaran penting di sebalik peristiwa hijrah ke Habasyah yang sebenarnya dapat kita manfaatkan pada zaman kini. Insya-Allah melalui risalah ini saya akan menerangkan tujuh daripada pengajaran tersebut .

Pengajaran # 1:

Plan A, Plan B.Faktor utama yang menyebabkan penghijrahan ke Habasyah ialah penindasan kaum musyrik ke atas umat Islam di Mekah. Syaikh Mahmud Syakir menerangkan:Sebab utama yang menyebabkan kaum muslimin hijrah ke Habasyah ialah tekanan dan intimidasi luar biasa daripada pihak musyrikin Quraish.

Selain itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga khuatir kaum musyrikin Quraish akan menggunakan kekuatan fizikal untuk memaksa mereka yang telah masuk Islam agar meninggalkan agama yang baru mereka peluk. Kelihatannya inilah yang menjadi sebab utama hijrahnya sahabat-sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ke negara Habasyah.

Saat memberikan keterangan latar belakang hijrahnya sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, semua buku rujukan sejarah Islam menyatakan hal yang baru saja diungkap. [Mausu‘ah Ghuzwat al-Rasul (edisi terjemahan oleh Abdul Syukur Abdul Razzaq atas judul Ensiklopedi Peperangan Rasulullah; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005), ms. 29]

Apabila menghadapi penindasan kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak bersikap buntu atau mengalah. Sebaliknya baginda aktif memikirkan jalan keluar untuk menyelamatkan agama umatnya. Plan A ialah tetap tinggal di Mekah. Akan tetapi memandangkan Plan A sukar dilaksanakan, baginda merangka Plan B yang merupakan penghijrahan ke Habasyah.

Di sini terdapat pengajaran yang penting kepada umat Islam. Jika kita menghadapi sesuatu halangan dalam beragama atau berdakwah, jangan bersikap buntu atau mengalah, mahu pun asyik menyalahkan pihak lain.Sebaliknya hendaklah aktif memikir jalan keluar yang membolehkan kita tetap berpegang kepada agama yang dicintai ini dan terus melaksanakan dakwah.

Pengajaran # 2:

Peka Kepada Suasana Antarabangsa.Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hidup pada zaman yang masih belum mengenal surat khabar, televisyen, telex, fax, satelit, internet, talifon, sistem pesanan ringkas (SMS) dan apa-apa lain alat komunikasi. Di sebalik semua ini, baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa dan tahu kepada negara manakah, kepada pemimpin manakah, baginda hendak menghantar umat Islam bagi mendapatkan perlindungan.Ketika melihat umat Islam ditindas oleh kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya di bumi Habasyah terdapat seorang raja yang tidak dizalimi seorang jua orang yang berada di bawah pemerintahannya. Ia adalah negara yang benar, hingga Allah memberi jalan keluar bagi penindasan yang kalian alami.” [Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Ishaq dan sanadnya dinilai hasan oleh Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Shahihah (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms.170]

Raja yang dimaksudkan oleh baginda, namanya Ashama bin Bahr. Di Habasyah, raja digelar sebagai Najasyi sebagaimana di negara Mesir, raja di gelar sebagai Firaun. [Ibn Katsir – al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh Trevor Le Gassick atas judul The Life of the Prophet Muhammad; Garnet Publishing, United Kingdom, 1998), jld. 2, ms, 18.]

Beliau ialah satu-satunya anak bagi ayahnya yang juga merupakan Najasyi sebelum itu. Akan tetapi rakyat memberontak, membunuh ayahnya dan mengangkat pakciknya menjadi Najasyi. Ashama bin Bahr dijual di pasar sebagai hamba dengan harga enam ratus dirham. Pada petang hari Ashama dibeli oleh seorang pedagang, pakciknya mati disambar kilat. Ini menyebabkan negara Habasyah menjadi hiruk pikuk.Maka sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain: “Belajarlah! Demi Allah, sesungguhnya raja kalian yang mampu mengurus persoalan ini ialah raja yang kalian jual pagi tadi. Jika kalian masih mempunyai perhatian terhadap urusan Habasyah, carilah dia.” Maka mereka mencari Ashama bin Bahr dan mengangkatnya sebagai Najasyi. Sejak dari itu beliau memerintah dengan adil dan keadaan di Habasyah kembali aman. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358-359]

Keadilan Najasyi Ashama bin Bahr terserlah dalam layanan beliau kepada umat Islam yang datang berhijrah ke negaranya. Umat Islam yang berhijrah menceritakan: “Kami berlabuh di Habasyah di mana kami berjiran dengan sebaik-baik jiran. Agama kami, ibadah kami kepada Allah berada dalam keadaan aman. Kami tidak ditindas dan kami tidak mendengar apa-apa (perkataan buruk) yang kami membencinya.” [Thabaqat Ibn Sa‘ad, jld. 1, ms. 159]

Tidak diketahui bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui perihal Najasyi Ashama yang adil di Habasyah. Kemungkinan besar baginda mendengarnya dari khabar para pedagang yang pernah ke sana. Apa pun, yang penting baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa sehingga mampu mengetahui negara manakah yang akan menjamin keamanan umatnya.Pada masa kini, umat Islam tidak begitu peka kepada suasana antarabangsa, termasuklah suasana dunia Islam. Pengetahuan tentang ini adalah penting supaya seandainya ada umat Islam yang ditindas, kita dapat menghulurkan bantuan dan mendoakan mereka. Suasana umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya memerlukan perhatian kita. Mereka semua ialah saudara seagama dengan kita. Mereka bukanlah “rakyat negara lain” tetapi umat Islam yang hanya dipisahkan oleh garisan sempadan di atas peta.


Pengajaran # 3:

Dibolehkan Meminta Perlindungan Kaum Bukan Islam Jika Dalam Suasana Terpaksa.Satu ciri penting tentang Najasyi Ashama bin Bahr yang belum saya ceritakan ialah agamanya. Beliau dan rakyatnya beragama Kristian. Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam untuk berhijrah ke Habasyah, Najasyi Ashama bin Bahr beragama Kristian.Umat Islam pada dasarnya tidak dibolehkan meminta perlindungan daripada umat agama lain. Umat Islam hendaklah saling membela dan melindung, kecuali dalam suasana terpaksa di mana mereka perlu meminta perlindungan kaum bukan Islam.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya:
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi pelindung dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. [‘Ali Imran 3:28]



Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad menjelaskan:Kaum muslimin diperbolehkan mencari perlindungan kepada orang-orang bukan Islam apabila memang sangat diperlukan. Dalam hal ini tidak ada kategori orang bukan Islam khusus yang boleh kita minta perlindungan. Ertinya, kita boleh mencari perlindungan kepada siapa saja, baik seorang penguasa beragama Kristian seperti Najasyi atau kepada orang-orang musyrik seperti (tindakan) beberapa kaum musyrikin Mekah yang memberi perlindungan kepada beberapa orang Islam. Seperti Abu Thalib yang melindungi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan Muth‘im ibn ‘Adi yang melindungi Rasulullah ketika kembali dari Thaif. [al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhau‘i al-Mashadir al-Ashliyyah: Dirasat Tahliliyyah (edisi terjemahan oleh Yessi Basyaruddin atas judul Biografi Rasulullah; Qisthi Press, Jakarta, 2006), ms. 252]

Umat Islam yang berhijrah ke Habasyah bukan sahaja meminta perlindungan dari seorang raja Kristian, mereka juga mendoakan kemenangan beliau. Ketika mereka di sana, sebahagian rakyat Habasyah ada yang bangkit memberontak ke atas pemerintahan Najasyi Ashama bin Bahr. Najasyi Ashama sendiri turun bersama pasukannya untuk melawan pemberontakan di tebing sungai Nil. Umm Salamah radhiallahu 'anha menerangkan: “Kami (umat Islam di Habasyah) berdoa kepada Allah Ta‘ala agar memenangkan Najasyi atas musuhnya dan memberikan keamanan kepada negaranya.” Setelah itu ternyata kemenangan berpihak kepada Najasyi. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358]

Mengulas fenomena ini, Syaikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi berkata:Saat Najasyi diserang musuhnya, maka umat Islam yang berhijrah ke Habasyah membantunya (dengan doa dan sokongan) sebagai pengakuan atas kebaikan sikapnya kepada orang-orang tertindas yang berhijrah ke (negara)nya dan sebagai balasan atas kebaikannya. Hal ini (doa dan sokongan) sesuai dengan ajaran-ajaran moral dalam Islam dan sesuai dengan akhlak umat Islam. [al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh M. Halabi Hamdi atas judul Sejarah Lengkap Nabi Muhammad; Mardhiyah Press, Yogyakarta, 2005), ms. 143]

Oleh itu jika terdapat individu atau masyarakat bukan Islam yang dikenali dengan kebaikan dan keadilan dizalimi oleh pihak lain, dibolehkan bagi umat Islam mendoa dan mengharapkan keamanan bagi mereka. Jika seorang amoi diserang pencuri, kita patut menolongnya. Jika sebuah negara bukan Islam diserang oleh negara lain, kita patut membantah serangan tersebut. Tindakan seperti ini bukan bererti kita menyokong agama mereka, tetapi semata-mata kerana akhlak Islam yang mengajar umatnya untuk sentiasa menyokong keadilan.

Pengajaran # 4:

Tetap Berdakwah Sekali Pun Dalam Suasana Terhimpit.Ketika menganalisa peristiwa hijrah ke Habasyah, Dr. Muhammad Husein Haykal bertanya:Amatlah berpatutan jika para pengkaji sirah Muhammad (shallallahu 'alaihi wasallam) bertanya tentang tujuan penghijrahan yang dilakukan oleh umat Islam di bawah suruhan Muhammad, adakah ia semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada penindasan kaum musyrik Mekah atau adakah ia suatu strategi politik di mana Muhammad memiliki tujuan yang lebih besar di sebaliknya? [Hayat Muhammad (edisi terjemahan oleh Ismail Raji al-Faruqi atas judul The Life of Muhammad; Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 1993), ms. 97]

Tidak dinafikan bahawa tujuan utama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam berhijrah ke Habasyah ialah untuk memelihara agama mereka daripada penindasan kaum musyrik Mekah. Walaubagaimana pun keluasan wawasan kepimpinan baginda menyebabkan kita bertanya, mungkinkah ada sesuatu lain yang ingin dicapai oleh baginda?Sudah tentu ada. Salah satu daripadanya ialah baginda ingin mengembangkan dakwah Islam kepada Habasyah dan kepada Najasyinya, Ashama bin Bahr. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yakin sikap adil Najasyi Ashama akan menyebabkan beliau menimbang dengan adil tentang Islam. Kejayaan dakwah Islam di benua Afrika akan membolehkan Islam memiliki pusat yang baru selain Semenanjung Arab.

Hakikat ini diketahui oleh para pembesar musyrik Mekah. Oleh kerana itulah, setelah mendapat tahu tentang penghijrahan umat Islam ke Habasyah, mereka mengutus ‘Abdullah bin Abu Rabi‘ah dan ‘Amr bin al-Ash bin Wail ke Habasyah untuk segera membawa balik kumpulan umat Islam yang berlindung di sana. Rombongan disertai dengan pelbagai hadiah menarik untuk merasuah Najasyi dan para menterinya.

Ketika sampai ke Habasyah, kedua-dua utusan terlebih dahulu berjumpa dengan para menteri Najasyi Ashama. Mereka berdua memberi hadiah kepada para menteri tersebut sebagai rasuah agar turut memujuk Najasyi Ashama untuk mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri bersetuju. Setelah itu kedua-dua utusan menghadap Najasyi Ashama. Mereka mendahului dengan memberi hadiah, kemudian meminta agar Najasyi Ashama mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri Najasyi Ashama menyatakan kesetujuan mereka dalam permintaan tersebut.

Walaubagaimana pun Najasyi Ashama tidak mudah terpedaya dengan hadiah dan permintaan kedua-dua utusan tersebut. Sebaliknya beliau memanggil umat Islam yang berlindung di negaranya untuk datang menghadap dan membela diri sendiri. Umat Islam memilih Ja’far bin Abu Thalib radhiallahu 'anh untuk menjadi jurucakap mereka. Ja’far dengan bijak menerangkan hakikat agama Islam dan menerangkan sikap kaum musyrik Mekah terhadap orang-orang yang memilih untuk memeluk Islam.Setelah itu Ja’far membaca beberapa ayat awal dari surah Maryam. Najasyi Ashama dan paderi-paderinya yang turut hadir ketika itu segera mengakui kebenaran Islam lalu menangis sehingga membasahi janggut mereka. Akhirnya Najasyi menolak kedua-dua utusan tersebut dan mengembalikan hadiah-hadiah mereka. Beliau terus menyatakan jaminannya untuk melindungi umat Islam yang berada di negaranya. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 353-358]

Perhatikan keberanian umat Islam, khasnya Ja’far bin Abi Thalib radhiallahu 'anhum dalam peristiwa di atas. Sekali pun mereka dalam keadaan terhimpit dan dalam keadaan simpati di bawah perlindungan orang bukan Islam, mereka tetap berani menerangkan tentang Islam. Usaha dakwah Ja’far bin Abi Thalib dan umat Islam membuahkan kejayaan. Najasyi Ashama bin Bahr akhirnya memeluk Islam. Bahkan beliau juga menjadi pendakwah Islam dan ini tidak lain tidak bukan kepada ‘Amr bin al-Ash sendiri, salah seorang daripada dua utusan musyrik Mekah yang datang menghadapnya sebelum itu.

Ia berlaku kira-kira sepuluh tahun kemudian, selepas Perang Khandaq. Dalam peperangan yang berlaku pada tahun lima hijrah tersebut, kaum musyrik kalah di tangan umat Islam. Setelah peperangan, ‘Amr bin al-Ash yang masih musyrik saat itu pergi berjumpa dengan Najasyi Ashama bin Bahr di Habasyah. Dia, bagi pihak kaumnya, merancang untuk meminta perlindungan beliau seandainya umat Islam mengalahkan mereka di Mekah.

Tatkala sampai di istana, dia berselisih dengan seorang utusan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang bernama ‘Amr bin Umayyah al-Damriy radhiallahu 'anh. ‘Amr bin al-Ash meminta kepada Najasyi Ashama untuk mengizinkannya membunuh ‘Amr bin Umayyah. Najasyi Ashama segera memarahinya, lantas menerangkan tentang Islam dan kebenaran Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai seorang Rasul Allah. Mendengar dakwah itu, ‘Amr bin al-Ash akhirnya memeluk Islam di tangan Najasyi Ashama. Beliau kemudiannya pergi ke Madinah untuk berjumpa dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan menyatakan keislaman beliau di hadapan baginda. [Syaikh Muhammad Yusuf al-Khandhlawi – Hayat al-Shahabah (Dar Ibn Katsir, Damsyik, 2000), jld. 1, ms. 290-291]

Pengajaran # 5:

Solat Jenazah Ghaib.Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah. [Ibn Hajar al-‘Asqalani – Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 7, ms. 588]

Apabila hal ini dikhabarkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda, maksudnya:
“Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 3877 (Kitab Manaqib al-Anshar, Bab kematian Najasyi)]


Sekali pun Rasulullah dan para sahabatnya berada di Madinah pada saat itu, mereka melaksanakan solat jenazah kepada Najasyi Ashama bin Bahr yang mayatnya berada di Habasyah. Solat jenazah dilakukan seperti biasa, hanya tidak ada jenazah yang diletakkan di hadapan imam. Ini dikenali sebagai solat jenazah ghaib.Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan tentang hukum solat jenazah ghaib. Para ahli fiqh Mazhab al-Syafi’e dan Hanbali membolehkannya manakala para ahli fiqh Mazhab Maliki dan Hanafi tidak membolehkannya.

Mereka berpendapat ia hanya satu-satunya kes khusus yang berlaku kepada Najasyi Ashama bin Bahr.Pendapat yang dipilih ialah di pertengahan antara dua di atas. Jika seorang muslim meninggal dunia di lokasi yang terdapat orang yang melaksanakan solat jenazah ke atasnya, maka umat Islam di tempat lain tidak perlu melaksanakan solat jenazah ghaib. Umat Islam di tempat lain cukup mendoakan keampunan dan rahmat Allah kepada yang telah meninggal dunia.

Sebaliknya jika di lokasi tersebut tidak ada orang Islam yang melaksanakan solat jenazah, maka umat Islam di tempat lain boleh melaksanakan solat jenazah ghaib ke atas orang yang meninggal dunia itu. Demikian pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin. [Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim – Shahih Fiqh al-Sunnah (al-Maktabah al-Taufiqiyyah), jld. 1, ms. 648-649]

Pengajaran # 6:

Tidak Perlu Merebut Mayat Jika Suasana Tidak Mengizinkan.

Perhatikan bahawa apabila Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia di Habasyah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengutus sesiapa untuk pergi mengambil mayatnya untuk dikebumikan di Madinah.

Padahal pada tahun sembilan hijrah, umat Islam sudah memiliki kestabilan dan kekuatan yang cukup untuk pergi ke Habasyah dan merebut mayat Najasyi Ashama.Sebaliknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membiarkan jenazah Najasyi Ashama dikebumikan mengikut aturcara Kristian dan disemadikan di kawasan perkuburan orang Kristian.

Baginda mengetahui bahawa di sebalik itu semua, di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, Najasyi Ashama tetap seorang muslim, akan melalui Alam Barzakh sebagai seorang muslim dan akan bangkit di Hari Akhirat kelak sebagai seorang muslim.Mengurusi jenazah seorang muslim mengikut aturcara Islam adalah satu kewajipan, akan tetapi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui jika direbut mayat Najasyi Ashama dari Habasyah, ia akan menimbulkan mudarat yang besar berbanding manfaat.

Ini kerana majoriti rakyat Habasyah ketika itu beragama Kristian dan baginda masih mengharapkan usaha dakwah Islam berjaya di sana. Harapan ini akan musnah jika masyarakat Habasyah memiliki pandangan buruk terhadap Islam yang telah “merebut mayat Najasyi mereka”.

Pada masa kini, fenomena merebut mayat berlaku di Malaysia. Ia adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan secara serius oleh umat Islam, khasnya pihak-pihak berwajib. Amat menghairankan apabila orang yang memeluk Islam dibiarkan begitu saja, akan tetapi apabila dia meninggal dunia kita sibuk hendak merebut jenazahnya. Saya memiliki risalah yang khas berkenaan hal ini berjudul Cadangan Terhadap Prosedur Merebut Mayat Bagi Orang Yang Diperselisihkan Keislamannya yang dimuatkan dalam Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

Pengajaran # 7:

Hukum Pemimpin Yang Tidak Mampu Melaksanakan Syari‘at Islam.

Tidak diketahui secara pasti bilakah Najasyi Ashama bin Bahr memeluk Islam. Jelasnya beliau memeluk Islam sebelum tahun lima hijrah sebagaimana peristiwa keislaman ‘Amr bin al-Ash di atas. Seandainya beliau memeluk Islam selewat-lewatnya pada tahun lima hijrah lalu meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah, bererti beliau beragama Islam minimum selama empat tahun.Walaubagaimana pun dalam tempoh empat tahun tersebut, beliau tidak melaksana satu jua syari‘at Islam dalam pemerintahannya.

Padahal dalam tempoh tersebut, banyak hukum-hukum Islam, baik ibadah, ekonomi, keluarga, politik dan sebagainya telah disyari‘atkan. Ini berlaku kerana rakyatnya yang majoriti beragama Kristian menentang Islam dan akan menentang beliau jika mereka mengetahui beliau ingin melaksanakan syari‘at Islam di atas bumi Habasyah.

Bukti bagi penentangan ini ialah peristiwa rakyatnya yang pernah memberontak kerana menganggap Najasyi Ashama telah memeluk Islam. Berhadapan dengan situasi ini, Najasyi Ashama menulis di atas sehelai kertas bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad ialah hamba Allah dan Rasul-Nya. Dia juga bersaksi bahawa ‘Isa bin Maryam ialah hamba Allah, Rasul-Nya, Ruh-Nya dan Kalimat-Nya yang ditiup kepada Maryam. Kertas itu kemudian dilipat dan simpan di dalam kocek bajunya di bahagian kanan dadanya.Najasyi Ashama seterusnya keluar menemui rakyatnya sambil bertanya:“Wahai orang-orang Habasyah! Bukankah aku orang yang paling berhak ke atas kalian?”Mereka menjawab: “Benar!”“Bagaimana kalian melihat sejarah hidupku di kalangan kalian?”“Sejarah yang baik.”“Jika begitu mengapa?”“Engkau telah keluar dari agama kami dan menyakini ‘Isa ialah hamba (Allah).”“Apa yang kalian katakan tentang ‘Isa?”“ ‘Isa ialah anak Allah.”Najasyi Ashama kemudian meletakkan tangannya di dada kanannya seraya berkata, yakni dengan bersaksi ‘Isa ialah anak Maryam dan tidak lebih dari itu, seperti apa yang dia tulis pada surat yang berada dalam kocek bajunya, yang kini berada di bawah tangannya. Mendengar dan melihat sedemikian, orang-orang Habasyah bersurai. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 360]

Penentangan yang dihadapi oleh Najasyi Ashama daripada rakyatnya, seandainya mereka mengetahui beliau telah memeluk Islam, adalah hebat. Apatah lagi jika mereka perhatikan dia cuba untuk melaksanakan syari‘at Islam dalam pemerintahannya. Sudah tentu akan ada penentangan yang lebih hebat. Justeru Najasyi Ashama tidak melaksanakan satu jua daripada syari‘at Islam dalam pemerintahannya.Hakikat ini tidak menyebabkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghukum beliau sebagai kafir. Bahkan apabila beliau meninggal dunia, Rasulullah tetap melaksanakan solat jenazah secara ghaib sambil berkata: “Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.”

Peristiwa ini memiliki pengajaran yang bernilai di sebaliknya, iaitu jika seseorang itu tidak melaksanakan sesuatu syari‘at Islam kerana ketidakmampuannya, maka dia tidak dihukum kafir. Selagi mana dia jujur benar-benar tidak mampu, Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan menghukuminya. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menerangkan pelajaran ini dari peristiwa Najasyi Ashama:Meski pun Najasyi seorang raja Nasrani, kaumnya tidak mahu tunduk kepadanya untuk masuk Islam. Yang ikut sertanya untuk masuk Islam hanya segelintir orang.

Oleh kerana itu ketika beliau meninggal dunia, tidak seorang jua yang mensolatkan (jenazah)nya. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mensolatkannya di Madinah dan orang-orang Islam turut keluar bersama membentuk saf-saf untuk mensolatkannya (di Madinah). Apabila mereka mengkhabarkan tentang kematian beliau pada hari kematiannya, baginda bersabda: “Sesungguhnya saudara kamu yang shalih daripada Habasyah (Etophia) telah meninggal dunia”.Padahal banyak daripada syari‘at Islam, atau kebanyakan daripadanya, tidak satu jua yang dilaksanakan olehnya. Beliau tidak berhijrah, berjihad, melaksanakan Haji ke Baitullah, bahkan diriwayatkan beliau juga tidak mendirikan solat lima kali sehari, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan tidak mengeluarkan zakat yang disyari‘atkan.

Semua ini kerana (amalan-amalan tersebut) akan menzahirkan (status Islamnya) kepada kaumnya dan mereka akan mengingkarinya. Dan beliau tidak mungkin untuk berselisih dengan mereka. Kita mengetahui secara pasti bahawa tidak mungkin baginya untuk menerapkan hukum al-Qur’an di kalangan mereka (rakyatnya)…………

(Selain itu) banyak juga orang yang menjadi qadhi dan imam (pada zaman pemerintahan) Islam dan (pada zaman penjajahan) Tartar, yang adil dan ingin memutuskan sesuatu perkara secara adil (yakni berdasarkan syari‘at Islam), akan tetapi itu tidak mungkin bagi mereka. Bahkan ada orang yang menghalangi mereka dan sesungguhnya Allah tidak membebankan satu jiwa melainkan menurut kemampuannya.

‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga dimusuhi dan dihukum kerana sebahagian perkara yang dia tegakkan secara adil. Bahkan ada yang mengatakan, dia diracun kerana pengadilan tersebut.Najasyi dan orang-orang lain yang semisal keadaannya dengan beliau adalah orang-orang yang berbahagia di dalam syurga, meski pun mereka tidak melaksanakan syari‘at Islam (pada zaman kepimpinan mereka). Ini kerana memang mereka tidak mampu melaksanakannya. Mereka sekadar memutuskan sesuatu perkara mengikut apa yang mereka mampu laksanakan. [Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah, 2001) jld. 19, ms. 218-219]

Demikian tujuh pengajaran yang ingin saya kongsi bersama para pembaca sekalian berkenaan hijrah sebelum hijrah, iaitu penghijrahan ke Habasyah yang berlaku lapan tahun sebelum penghijrahan ke Madinah. Seandainya kita mengkaji peristiwa hijrah ke Habasyah dengan lebih mendalam, nescaya ditemui pengajaran-pengajaran bermanfaat yang lain. Namun memadailah dengan tujuh pengajaran buat masa ini.

sumber : http://hafizfirdaus.com

Monday, June 2, 2008

~...ku tinggalkan ais krim yang lazat kerana air mineral yang berkhasiat...~

Bismillah…

Fitnah naluri setiap manusia inginkan kasih sayang kerana kita dicipta oleh Allah Yang Maha Penyayang. Perasaan ingin dikasihi dan mengasihi tetap ada dalam jiwa setiap makhluk bernama manusia. Sedangkan haiwan juga punyai fitrah ini. Apabila seseorang meningkat remaja perasaan ingin semakin melonjak dan bergelora, ditambah lagi jiwa remaja yang baru mengenali ‘dunia’…


........................................................................................................


”Ya Allah, hanya Engkau Yang Maha Mengetahui hati ini..berikanlah hamba kekuatan untuk bermujahadah. Peliharalah hamba dari naluri yang mengajak kepada kemaksiatan, Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang kurniaankanlah hamba rasa cinta dan kasih yang tertinggi hanya untuk-MU, dan jadikanlah cinta ku kepada-Mu cinta teragung. Perkenankanlah doa hamba-Mu ini Ya Rauf…Ameen Ya Rabbal alamin…”

Sumayya menghabiskan tahajudnya dengan rintihan yang panjang. Bermohon kekuatan untuk meneruskan pengislahan dirinya.

...............................................................................................................................

”Sumayya...enti da hantar proposal nikah?” Zinnirah sahabat akrabnya bertanya.
”ush...pertanyaan cepumas tuh!.kenapa tiba tukar topik nie tadikan kita bincang pasal planning kita lepas grad nanti”. Balas Sumayya.
”tak delah saje tanya, bukan ker ana dengar cerita dulu enti da dirisik orang? Manalah tahu..” ujar Zinnirah sambil mengeyitkan mata.
”mane dengar kaba angin nie...Entahlah, dulu ana semangat juga nak nikah awal, yelah bukankah wanita yang berkah itu, yang cepat nikahnya, murah maharnya dan subur rahimnya...ana teringin juga jadi wanita yang berkah tersebut. Tapi...ana tak puas lagi”
”Tak puas?, enti tak puas lagi menjadi fitnah kepada kaum adam ker?”sampuk Zinnnirah
. ”ish, enti nie janganlah cakap macam tue...ana cuma tak puas lagi merasa madu kasih-Nya”
”tapikan, nikah kerana Allah pun adalah nikmat kasihnya”ujar Zinnirah lagi

Tanpa disedari Masyitah sedang menghampiri mereka berdua...
”AsSalamua’laykum...amboi dari jauh ana dengar celoteh hang pa berdua, sape yang nak nikah nie?, diam-diam ubi berisi yer.”
”Wa’alaykumusSalam wrt...” Sumayya dan Zinnirah menjawab serentak.
”takdelah Masyitah, Zinnirah nie tiba-tiba tanya macam mana nak hantar proposal nikah”. Sumayya cuba berdalih sambil mengeyitkan matanya semula kepada Zinnirah.
”aik, macam tue pulak?” Zinnirah tak puas hati.
“nie sebenarnya ana nak sampaikan salam dengan lafaz ’asSalamua’laykum’ dari Ukhti Ummu Sulaim dan Siti Khadijah. Mereka berdua da dapat mujahid dan mujahidah kecil tau..” Masyitah dengan semangat menyampaikan perkabaran.
“owh, yeke…alhamdulillah. Depa dulu da memang waktu belajar, duk kolej sama, kos sama, pergi mana-mana pun sama. La nie nak dapat anak pun macam planning sama-sama je” celoteh Zinnirah.
”da rezeki diorang la, irah. Tapi, best juga macam tua kan...” Sumayya membalas.
”eh, da nak masuk maghrib nie, hayya ukhti-ukhti tersayang” Masyitah mematikan perbualan tersebut dengan mengajak sahabat-sahabatnya pulang ke rumah sewa mereka.

............................................................................................................................

Selesai menunaikan solat isyak berjemaah, Sumayya membuka laptopnya dan membuka koleksi gambar-gambar sahabat-sahabatnya. Fikirannya teringatkan pertanyaan Zinnirah petang tadi. Alhamdulillah, mujur Masyitah tak tanya lebih-lebih. Sumayya sendiri malas memikirkan tentang pertanyaan cepumas Zinnirah. Biarlah buat masa ini dia tenang mendambakan kasih-Nya. Tarbiyah di jalan dakwah cukup mengajar dia erti cinta yang hakiki. Kadang-kadang terasa sangat perit untuk bermujahadah. Ibarat sebuah jalan raya yang berlubang ditampal dengan tar yang baru, manakan sama jalan raya yang bertampal dengan jalan raya yang tidak bertampal. Begitulah fikir Sumayya.
”ukhti, kesukaran yang kita hadapi dalam membuat kebaikan lebih berganda pahalanya berbanding orang yang melakukan kebaikan yang sama tapi dirasakan mudah dan tanpa halangan” kata-kata Murabbi kesayangannya tergiang-giang ditelinga.
Sumayya akui kata-kata tersebut kerana berkaitan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, baginda bersabda; ”Orang yang membaca Al-Quran sedangkan dia seorang yang mahir, maka dia akan bersama dengan malaikat safarah yang menghitung amalan kebajikan. Siapa yang membaca Al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap dan sukar, maka dia akan memperolehi dua ganjaran” (HR Bukhari dan Muslim).
Tak apalah wajar je aku merasakan perit, anggaplah keperitan itu sebagai kafarah penghapus dosa-dosa silamku.
Sumayya teringatkan zaman silamnya. Dia sangat bersyukur kepada Allah kerana memberi dia peluang merasakan dua ’dunia’, dunia kejahilan dan pengislahan. Namun dia tetap menyesali akan perbuatan silamnya.
Sikap degil dan keras hati Sumayya menyebabkan ibu bapanya tidak mampu mengawal tingkah-laku anaknya. Pengaruh kawan-kawan menyebabkan Sumayya semakin liar. Setiap hari minggu dia pasti mengikut kawan-kawannya merayau-rayau di bandar. Keluar pagi balik petang. Mereka berpelesiran bersama kawan-kawan lelaki. Malahan Sumayya sendiri pernah menyertai geng ’hoppers’ yang sinonim dengan tarian ’break dance’. Bersesuaian dengan perwatakan Sumayya yang ala-ala tomboy ketika itu, menyebabkan dia sangat berminat dengan gaya pemakaian budak-budak hip-hop, berseluar besar lipat kecil dibawah dan kemeja-T besar yang dipat lengan dipadankan dengan kasut sport. .Walaupun berkali-kali dimarahi ayah dan abangnya, Sumayya sememang seorang gadis yang degil dan keras hati.
Pernah suatu hari Sumayya dipanggil oleh guru kelas semasa tingkatan dua, semata-mata untuk menasihatinya kerana ibunya berjumpa dengan guru tersebut sambil menangis merayu supaya guru tersebut tolong menasihati anaknya. Seorang guru perempuan yang rapat dengan ahli keluarganya turut menasihatinya. Guru lelaki yang mengajar sementara di sekolah tersebut turut menjadi kaunselornya....walaupun berhati batu Sumayya seorang yang berjiwa sensitif setiap nasihat yang diberi pasti diakhiri dengan air mata.
”semua orang suruh aku cari kawan-kawan yang baik...semua kata aku nie mudah terpengaruh...buruk sangat ker kawan-kawan aku tu? Ala,nak kawan dengan budak baik nanti skema sangat...diorang nak ke kawan dengan aku yang otai nie” keluh Sumayya bila merumuskan setiap nasihat orang terhadapnya. Namun jauh disudut hati Sumayya, dia berazam untuk lari dari ’dunia’ sekarang.
Semasa tingkatan tiga, kenakalan Sumayya dan kawan-kawannya semakin menjadi-jadi, kelas guru yang mereka tidak suka pasti akan diponteng atau dihuru-harakan, jika kerja sekolah tak siap mereka akan ponteng sekolah. Nama mereka turut ’black list’ sebagai pelajar yang sering lewat ke sekolah. Namun mujur ibu bapanya tidak tahu akan tingkah-lakunya di sekolah walau pun pernah sekali dia bersama kawan-kawannya dipanggil oleh guru GPK HEM kerana bergaduh dengan guru bahasa Inggeris yang tidak disukai mereka.
Selepas mendapat keputusan PMR, Sumayya bersyukur kerana lulus kesemua subjek sedang kawan-kawanya gagal. Mereka bernasib baik kerana lulus subjek bahasa Inggeris kerana mungkin berkat kemaafan yang diberikan oleh guru bahasa Inggeris mereka sebelum peperiksaan PMR berlangsung.
Semasa membuat pilihan sekolah Sumayya berdoa agar dia dapat lari dari kawan-kawannya. Bukanlah niat membuang mereka tetapi berazam untuk mencari diri yang bebas dari sebarang pengaruh tidak sihat.
Dengan izin Allah, Sumayya terpilih melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah yang berlainan negeri dan daerah asalnya. Sumayya berazam untuk berubah menjadi anak yang baik. Jika dulu dia seorang yang ramah berkawan dengan lelaki tetapi kini dia rela digelar sombong. Sudah sunnah jalan mujahadah itu berliku-liku, dia di uji dengan kehadiran seorang lelaki yang baik, Adam. Pada mulanya Sumayya teragak-agak untuk menerima ’salam’Adam. Namun akhirnya Sumayya dengan Adam digelar ’couple islamik’ kerana keterbatasan yang mereka jaga berbanding kawan-kawannya yang lain.
Terdetik juga difikiran Sumayya apa maksud ’couple islamik’? Perhubungan Sumayya dengan Adam tersebut terus berjalan seperti biasa sehingga mereka melanjutkan pelajaran ke pangajian tinggi. Sebenarnya, sebelum berkawan dengan Adam, Sumayya telah berkawan dengan beberapa orang lelaki semasa di sekolah lamanya. Sumayya merasakan hidupnya tidak pernah sunyi dari cinta lelaki. Sukar mentafsir hatinya yang sering gelisah dengan kehidupan yang dilaluinya. Atas kelemahan iman, dia melayan sahaja lelaki yang ingin berkawan dengannya.
Pengisian ta’lim dari seorang murabbi telah terkesan dihatinya. Tajuk yang dibicarakan pada hari itu adalah mengenai bahaya zina.

’dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.’ QS al-Isra’ 17:32

”mendekati zina dalam ayat tersebut menegaskan larangan Allah iaitu bukan sekadar melarang melakukan zina malah perbuatan yang membawa jalan kepada perbuatan tersebut termasuklah ber’couple’. Istilah ’couple islamik’ tu tak wujud melainkan orang tersebut meng’islamik’kan perbuatan tersebut. Ibarat nasi lemak yang basi ditukar pembungkus surat khabar kepada pembalut hadiah yang cantik, agak-agak berbau juga tak nasi lemak tue?” Ukhti Quratun ’Ain memberikan hujahnya.
”cinta sebelum nikah banyak mudaratnya. Itu sebab zina terbahagi kepada beberapa jenis iaitu zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi, zina hati iaitu dengan khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW
: 'kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh, kedua kaki juga berzina dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman.' HR Muslim dan Abu Daud.

Sebenarnya jalan menuju zina amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan penzinaan.” tambahan si pengisi ta’lim.
Perasaan bersalah semakin menebal dalam diri Sumayya. Dia mencari-cari kekuatan untuk menceritakan masalahnya kepada sang murabbiah.


”Ukhti, macam mana nie, ana pernah bercouple...dan sekarang masih berkawan dengan lelaki tersebut..” suatu hari Sumayya meluahkan kegelisahannya kepada murabbinya.
”Sumayya, teruskan bertaubat dan istighfar banyak-banyak semoga dengan penyucian jiwa enti memudahkan sinar hidayah Allah untuk memberi enti kekuatan dalam bermujahadah”
”Enti hentikan dari berhubung dengannya, kalau boleh tukar nombor telefon dan sibukkan diri dengan amal islami, apa juga bentuk ibadah yang dapat mendekatkan diri dengan Allah, ana faham bukan mudah seseorang hendak memutuskan sesuatu hubungan dengan drastik, tapi enti ingatlah dosa-dosa yang tercipta jika enti meneruskan hubungan sebegitu. Walaupun tak bertemu mata, namun zina hati tetap berlaku bila enti teringat-ingatkan dia. Apatah lagi jika bercakap melalui telefon, zina telinga. Hati yang Allah beri nie untuk mengingati DIA tetapi kita gunakan untuk mengingati orang lain. Bukan tak boleh ingatkan manusia, tapi berapa ramai yang meletakkan Allah dihati sewajar dengan tempat-Nya? Ana tidak nafikan mudah melafazakan cinta Allah pertama, kedua rasul, ketiga keluarga dan keempat orang tersayang...tapi berapa ramai yang dapat merealisasikan di hati? Tepuk dada tanya iman. Kita bukan malaikat yang tak bernafsu, malahan musuh nombor satu, syaitan laknatullah akan bekerja keras untuk menjerat manusia...apatah lagi jika jalan yang dilalui manusia tersebut menghampiri zina. Fikir-fikirkanlah ukhti...ana hanya mampu menyampaikan. Ana doakan ukhti kuat semangat dalam meneruskan pengislahan diri. innaAllah ma’anna ” nasihat sang murabbi yang sangat menyegarkan hatinya yang gersang dek dosa-dosa silam.
Sumayya semakin bertekad untuk memutuskan hubungannya dengan Adam. Keputusan Sumayya yang mengejutkan tersebut membuatkan Adam keliru dan tertanya-tanya. Sememang Adam mengakui Sumayya semakin banyak berubah dari segi penampilannya dan juga cara percakapanya. Malahan Sumayya pernah mengelakkan diri ketika bertembung dengan Adam. Adam sangat kecewa dengan perubahan Sumayya.
’moga tak diuji... asyik cinta duniawi...mengharap teduh redha Illahi...kerana segala kurnia hadir hanyalah pinjaman...sungguh ku syukuri kesempatan...’ nada dering telefon Sumayya bergetar beberapa kali. Sumayya melihat nombor yang tertera di skrin ternyata nombor Adam. Sumayya ’silent’ bunyi telefonnya dan menyambung tugasannya. Kadang-kala Sumayya teruji untuk menyahut panggilan tersebut. Namun dikuatkan hati untuk melawan perasaannya.
Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah kerana mengurniaankan aku sahabat-sahabat yang banyak mengingatku kepada Mu, terasa ada kekuatan untuk meneruskan hijrah ini...bisik hati Sumayya.
Sesekali Sumayya teruji juga apabila kawan-kawan lama bertanyakan hubungannya dengan Adam, Sumayya tersenyum mengatakan dia hanya tunggu pinangan orang yang telah ditakdirkan untuknya, walaupun tak tahu siapa...fahamlah akan kawan-kawannya bahawa Sumayya kini ’single’.
Sebenarnya hanya Allah tahu betapa berat Sumayya bermujahadah dengan hatinya, kerana selama ini hati tersebut dikotori dengan nama-nama lelaki yang bukan muhrim dengannya, apabila ingin meletakkan nama DIA Yang Maha Agung tentulah sukar kerana perlu mencuci terlebih dahulu debu-debu dosa yang melekat di hatinya...
Setelah hampir setahun Sumayya memutuskan hubungannya dengan Adam, sekali lagi dia diuji dengan kehadiran seorang ustaz yang pernah dikenalinya melalui kawannya. Kedatangan ustaz Razif menyebabkan hatinya tidak keruan, kerana lelaki tersebut pernah diminati ketika zaman sekolahnya. Tidak disangka kedatangan ustaz tersebut memberi jawapan bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan...Sumayya merasakan mungkinkah doanya telah Allah perkenankan untuk bertemu dengan lelaki yang soleh? ”Tapi...ada yang tak kena dengan ustaz nie, kenapa jika tak ikut syariat kan elok dia menyataka sahaja kepada kedua orang tuaku”...Sumayya cuba bermonolog.
Sumayya sekali lagi melanggar janji pengislahannya kerana terleka melayan ’salam’ ustaz tersebut.
”lelaki yang baik belum tentu baik untuk kita” kak Norja menasihati Sumayya selepas dia meluahkan permasalahan barunya.
”jangan sesekali memberi ruang dan harapan kepada lelaki jika kita sendiri tak pasti akan jodoh kita” kak Norja sememang penasihat yang profesional, pengalaman selama tujuh tahun di bumi an’biya menjadikan beliau matang dalam menilai hubungan. Apatah lah hubungan antara lelaki yang ber’title’ ustaz.
Jika sebelum ini Sumayya sangat menyanjung orang yang ber’title’ ustaz kerana fikirnya tentu mereka jenis lelaki yang sangat menjaga syariat, setelah mendengar pengamatan pengalaman kak Norja dapatlah Sumayya membuat kesimpulan bahawa ustaz juga manusia biasa tak lari dari nafsu dan godaan syaitan. ”wajarlah begitu, aku yang terlebih-lebih pula meletakkan tempat mereka...” Sumayya mengomel sendirian.

bersambung....