Friday, December 3, 2010

~...MERANCANG KEMATIAN…~


bismillah~


Sudahkah anda merancang kematian anda?
Ish,apa nie cakap pasal mati jer…

Macamana nak merancang, mana ada orang tahu dia mati bila, ya tepat sekali jawapan anda, sebab tak tahu lah kita kena rancang…yakni bersedia.

Semua orang tahu tarikh nak masuk peperiksaan, temuduga, hari raya, nikah dan sebagainya, lalu merancang persediaan untuk hadapi hari-hari tersebut. Namun hari yang dirancang itu belum pasti sebenarnya kerana boleh jadi hari kematian muncul terlebih dahulu, ketika ini nak salahkan siapa tak merancang untuk kita? Malahan hari kematian itu pasti dan tiada siapa yang boleh menangguhkannya apatah lagi menolaknya tidak kira sama ada kita bersedia atau tidak.

Ramai yang bijaksana lagi sistematik perancangannya untuk menyambut atau meraikan sesuatu, tapi tidak ramai yang bijaksana dalam erti kata sebenar…

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ditanya : Siapakah manusia yang paling bijak? Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Mereka yang paling banyak mengingati mati, dan yang paling banyak membuat persediaan untuknya. Itulah orang yang bijak, mereka pergi dengan kemegahan dunia dan kemuliaan akhirat.” [Diriwayatkan oleh al-Tabarani dan al-Haithami berkata : Isnadnya hasan].

Kehidupan di dunia ini sebenar adalah perjalanan menuju kematian. Jika sebuah kereta atau sebuah kapal mahu memulakan perjalanan dan pelayaran sudah semestinya kereta dan kapal itu bermula pada destinasi yang diketahui lagi dikenali lalu dimaklumi juga kepada penumpang dan anak kapal destinasi tujuan kereta dan kapal tersebut. Jadi sudahkah kita kenal lagi mengenali asal tujuan perjalanan kehidupan ini???

Kenalilah dari mana kita datang dan ke mana destinasi akhir kita. Kematian bukanlah destinasi akhir tapi pintu akhir di dunia dan pintu permulaan untuk alam akhirat. Jadi sudah tentu destinasi sebenar seluruh makhluk manusia dan jin adalah Syurga dan Neraka.

Bagiku dan pandanganku, cukuplah 3 perkara utama yang dapat dihuraikan dalam perancangan manusia menuju kematian.

“Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (iaitu): 1 - Sedekah jariah, 2 - ilmu yang bermanfaat dan 3 - anak yang soleh yang mendoakannya”. (H/R Muslim 3084)

Bukankah dunia ini ibarat ladang dan hasilnya akan dituai di akhirat nanti? Maka, marilah kita bercucuk tanam merangkumi tiga perkara yang telah disebutkan Nabi Shalallahu alayhi wasallam tersebut. Jika kita perhatikan sedekah jariah, yakni kita menginfakkan atau memberi sebahagian harta yang kita ada untuk kebaikan orang lain atau untuk kebaikan umat islam maka di situ telah menunjukkan kita perlu mencari harta. Jadi adakah di sini mengajak kita meninggalkan hal pekerjaan di dunia? Tentulah tidak, malah menyedarkan kita matlamat asal hidup untuk mengumpul saham akhirat maka bekerja keraslah wahai manusia untuk mencari habuan dunia dan akhirat.

Seterusnya, ilmu yang bermanfaat yakni ilmu yang dipelajari sama ada ilmu wahyu atau ilmu aqliah. Ilmu wahyu adalah ilmu agama yang diwahyukan oleh Allah Taala kepada pesuruhNYA Nabi Muhammad Shalallahu Alayhi Wasallam. Dan ilmu aqliah yakni ilmu fardhu kifayah yang bertujuan mentadbir dan mengurus sistem kehidupan manusia yakni merangkumi ilmu kejuruteraan, perubatan, pendidikan, kebajikan dan sebagainya. Maka, apabila ilmu tadi diajarkan dan disebarkan kepada manusia lain yang dengan itu ramai manusia mendapat manfaat dari ilmu tadi maka, pahala yang berterusan sehingga ke hari kiamat akan datang memenuhi saham amal sang pengajar atau sang pengamal ilmu itu tadi, sebanyak bilangan orang yang mendapat menfaat dari ilmu itu tadi sebanyak itulah pahala yang diterimanya.

Dan terakhir, anak yang soleh yang mendoakan. SubhanaAllah Maha Pemurahnya Allah Azza wa Jalla kepada hambaNYA yang berusaha memikul anugerah dan amanah Allah dalam bentuk pimpinan seorang ibu atau ayah kepada zuriatnya. Lalu apabila anak yang diasuh dan dididik membesar menjadi hamba Allah Taala yang taat dan beriman kepada Allah lalu sering mendoakan kedua ibu bapanya, maka inilah harta ayah bonda yang tiada tolok bandingnya dengan isi dunia kerana setelah kematian ibu bapa tadi sesungguhnya segala harta dan kekayaannya tidaklah dapat dibawa bersama ke alam barzakh tetapi doa anak yang soleh itu jugalah yang akan sampai menemani kedua orang tua mereka.

Namun begitu, untuk mendapatkan harta bagi disedekahkan, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan terlebih dahulu hendaklah kita berILMU. Ilmu yang tersangat penting di sini adalah ilmu wahyu yakni ilmu agama. Bayangkan tanpa ilmu agama bagaimana kita mahu membezakan harta yang dicari itu halal atau haram? Jangan jadi seperti Robin Hood yang berniat baik membantu orang dalam kesusahan melalui hasil rompakan. Bagaimana pula mahu menjadi orang berilmu dan memanfaatkan ilmu kemahiran yang dipelajari tanpa terlebih dahulu kita berilmu dengan ilmu agama kerana sesungguhnya dengan agama akan menjadikan seseorang ikhlas mengharapkan pahala hanya dari Allah Taala bukan pujian dan terima kasih dari manusia. Terlebih kerana amal yang ikhlas itulah yang diterima oleh Allah Azza wajalla. Seterusnya anak yang soleh, bagaimana mahu mendapat anak yang soleh kalau tidak terlebih dahulu ibu bapanya yang soleh, lalu bagaimana mahu menjadi soleh kalau bukan dengan ILMU agama.

Oleh itu, marilah kita merancang kematian kita dengan ILMU Agama. Sentiasalah melakukan pertambahan ilmu agama yakni sesungguhnya ilmu Allah Taala amatlah luas dan tak akan habis, maka sudah tentu kita perlu sentiasa menambah ilmu sehingga ke akhir hayat. Sesungguhnya kebaikan yang diterima Allah Taala adalah dengan berilmu sebelum beramal.

"Barangsiapa Allah kehendaki baginya kebaikan maka Allah akan fahamkan dia dengan agama" -HR Bukhori



Wa Allahu’alam bisawab~

Saturday, November 20, 2010

~...Rawat Hati dengan Agama...~



Seseorang mengadukan kepada Syeikh Utsaimin mengenai hatinya yang tidak tersentuh ketika membaca al-Quran.

Beliau menjawab, “ Bagaimanapun keadaannya, terlebih dahulu anda mesti beriman dan membenarkan hari akhirat. Hanya sahaja padanya terdapat kekerasan hati. Kerasnya hati pada zaman sekarang ini sangat banyak. Sebabnya adalah manusia tidak beribadah dan menghinakan diri di hadapan Allah dengan sempurna. Jika sahaja seseorang beribadah dan menghinakan diri dengan sebenar-benarnya di hadapan Allah Taala tentu dia akan mendapatkan kelunakkan dan kekusyukan hati. Begitu pula jika seseorang membaca al-Quran dengan disertai penghayatan, nescaya dia akan mendapatkan kelunakan hati dan kekhusyukan .

Allah Taala berfirman :

“Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung pasti kamu akan melihatkannya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah”. (Surah Al-Hasyr : 21)

Penyebab lain kerasnya hati di antaranya adalah kemunculan kerosakan dunia pada zaman ini, dan terfirnahnya manusia dengannya serta banyaknya masalah berkenaan denganya. Oleh kerana itu anak kecil yang belum berkecimpung dengan dunia dan dunia pun belum terbuka baginya, engkau dapati lebih khusyuk dan lebih mudah menangis daripada orang dewasa, kami menyaksikannya dan tentunya kalian pun menyaksikannya pula.

Aku nasihatkan kepada saudaraku yang bertanya tadi hendaklah hati dan fikirannya difokuskan kepada hal-hal yang bersangkutan dengan agamanya. Hendaklah pula bersemangat membaca Al-Quran dengan meresapi maknanya secara perlahan-lahan. Pula hendaknya bersemangat untuk menelaah hadith-hadith yang mengandungi targhib (motivasi) dan tarhib (peringatan). Hadith-hadith seperti ini boleh melunakkan hati.

(MAJMU’ FATAWA IBNU UTSAIMIN JUZ 3 HALAMAN 380)



Sumber : dipetik dari Majalah FATAWA vol.III/No.12. Disember 2007/ Dzulhijjah 1428



Thursday, November 18, 2010

~...Tol dan Perjalanan Insan...~



bismillah~

Semasa musim perayaan kesesakan lalu lintas menjadi fenomena biasa bagai suatu kemestian. Menyelusuri lebuh raya bertol akan kelihatan pula kenderaan-kenderaan beratur panjang seperti gerabak keretapi menanti giliran. Bagi yang mempunyai kad sentuh dan jalan atau ‘Touch N Go’ laluannya sedikit lancar berbanding laluan tunai tetapi laluan lencana kemas atau ‘Smart Tag’ juga yang aman sentosa dengan tenang tanpa perlu membuka cermin pintu kereta kenderaan lalu melepasi tol dengan lancar.

Bayangkan pula hakikat perjalanan manusia sebelum menemui Allah Azza wajalla kelak. Liku-liku kehidupan tersebut bukanlah terhenti dengan kematian di dunia tetapi ketahuilah wahai insan permulaannya adalah di dunia. Kerana dunia adalah jambatan menuju alam kekal abadi yakni alam akhirat.

Allah Azza wa jalla berfirman yang bermaksud:

“…Adakah kamu lebih redha kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat? Tidaklah kehidupan dunia melainkan kesenangan yang sedikit jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat”. (surah At-Taubah : 38)

Alam seterusnya yang perlu dilalui manusia adalah alam kubur. Sama ada kematian seseorang dapat dikebumikan dengan jasad atau tidak pasti tidak terlepas dari persoalan di alam kubur.

Nabi shallahu alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:

“Apabila seorang mukmin diletakkan dalam kuburnya datanglah (malaikat-malaikat) kepadanya lalu dia mengucapkan….”

(Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Menantilah insan tersebut di alam kubur sehingga datangnya tiupan sangkakala. Ketika ini tidak berguna lagi taubat bagi mereka yang belum masuk ke alam kubur. Tiupan sangkakala ini menghancurkan langit dan bumi. Tiupan kali pertama mematikan sekalian makhluk. Lalu tiupan kedua pula akan menghidupkan kembali semua makhluk sejak zaman manusia pertama dijadikan iaitu Nabi Adam alayhisalam juga samada dari zaman batu atau disebut zaman dinosaur (binatang bersaiz besar) pada berjuta-juta kurun terdahulu sehinggalah makhluk yang baru sahaja mati ketika sangkakala pertama ditiup.

“Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi maka tiba-tiba mereka menunggu (keputusan masing-masing)”. (Surah Az-Zumar 39:68)

Tiupan sangkakala yang menandakan makhluk dihidupkan semula dapat disokong dengan hadith nabi shalallahu alayhi wasallam yang bermaksud:

“Dibangkitkan setiap hamba ( manusia) mengikut sebab kematian masing-masing”.

(Hadith diriwayatkan oleh Muslim)

Perjalanan manusia dan seluruh makhluk diteruskan dengan menghadapi ‘Al-Hashar’ iaitu saatnya manusia dikumpulkan. Inilah saatnya janji Tuhan Maha Pencipta apabila sekalian makhluk datang mengadap Raja segala raja. Pemilik sekalian alam.

“Pada hari bumi diganti dengan bumi yang lain dan langit-langit begitu juga, dan mereka datang di hadapan Allah yang Maha Perkasa”. (Surah Ibrahim : 48)

Ketahuilah wahai insan saat ketika manusia itu dikumpulkan di padang Mahsyar maka bermula detik terpanjang dalam kehidupan. Penantian yang penuh kecemasan di mana selama 50,000 tahun manusia berada di sana untuk melalui beberapa lagi liku sebelum diketahui keputusan rumah kekal abadi mereka antara Syurga atau Neraka.

Di sinilah saatnya bagi orang mukmin mendapat syafa’at atas amalan yang telah mereka kerjakan di dunia. Beruntunglah umat Nabi Muhammad Shallahu alayhi wasallam kerana baginda telah dibenarkan memberi syafa’at kepada ummatnya. Namun, apalah maknanya jika ketika di dunia ummatnya melupakan Nabi Shallahu alayhi wasallam.

“Dan tidak memberi syafaat itu melainkan daripada orang yang diredhai sahaja”. (Surah Al-Anbiya’ : 28)

Seterusnya, adalah saat penyerahan buku catatan amal masing-masing. Sesungguhnya saat ini barulah manusia akan menyedari kebenaran bahawa tiap amal yang dapat disembunyikan dari pengetahuan Allah Azza wa jalla melainkan kesemuanya telah tercatat dalam kitab amalnya. Sungguh beruntung manusia yang menerima kitab catatan amalnya dari tangan kanan kerana menandakan amal kebaikannya yang banyak. Namun, sebaliknya kerugian besar bagi manusia yang menerima kitab amalnya dari tangan kiri atau di belakang. Adakah untuk menerima kitab tersebut samada dari tangan kanan atau kiri tersebut kita berhak menentukan? Jawapannya ia dengan pilihan amal yang dilakukan.

“ Dan siapa yang diberikan kepadanya kitab di sebelah kanannya maka dia akan dihisab dengan mudah dan dia akan kembali kepada kaum keluarga(yang sama-sama beriman) dengan keadaan gembira dan adapun orang yang catatan diberikan dari sebelah belakang maka dia akan berteriak,’Celakalah aku!’ dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala(neraka)”.

(Surah Al-Insyiqaq 84 : 7-12)

Selesai menerima kitab amal ini manusia akan tiba kepada saat penghisaban. Maka sungguh benar janji Allah Azza wa jalla Hari Penghisaban ini tidak ada keraguan lagi.

“Sesungguhnya kepada Kami mereka kembali. Kemudian itu urusan Kami memeriksa mereka”. (Surah Al-Ghasyiah 88 : 25-26)

Setelah sesi pemeriksaan ibarat melepasi mesin laser kastam di lapangan terbang yang dapat mengenal pasti barang larangan. Namun Allah Maha Teliti setiap amal hambaNya. Maka, setelah itu manusia akan melalui sesi menimbang amalannya. Di mana alat yang digunakan bukanlah penimbang biasa-biasa atau luar biasa yang pernah kita lihat di dunia. Hebatnya alat penimbang di akhirat ini bersikap adil dan tiada amal yang terlepas dari perkiraan Neraca Al-Mizan.

“Dan pada hari kiamat kami letakkan timbangan yang betul sehingga satu diri pun tidak akan rugi walau sedikit sekalipun”.

(Surah Al-Anbiya : 47)

Bagi golongan kafir setelah melalui timbangan al-MIzan mereka akan terus dicampakkan ke dalam neraka jahanam. Cuma yang masih meneruskan proses tapisan Allah Taala adalah golongan mukmin dan munafik. Ketahuilah wahai manusia jika anda masih berada di padang mahsyar saat ketika di peringkat ini. Manusia akan merasa sangat lapar dan dahaga. Sungguh beruntung ummat Nabi Shalallahu alayhi wasallam kerana mempunyai telaga untuk tumpang melepaskan kekeringan tekak.

Sabda Shalallahu alayhi wasallam bersabda :

“Sesungguhnyapada tiap-tiap nabi ada telaga dan mereka berharap siapa paling banyak pengikut yang meminumnya”. (Hadith Riwayat oleh At-Tirmidzi)

Di padang Mahsyar kelak merupakan hari ujian bagi iman manusia di mana manusia akan diperintahkan untuk bersujud tetapi mereka tidak mampu dan pasti menyesali keengkaran mereka ketika di dunia yang berpeluang untuk sujud tetapi tidak mahu.

“Di hari dibukakan betis diarahkan sujud tetapi mereka tidak mampu”.

(Surah al-Qalam : 42)

Peringkat paling mendebarkan lagi mengerunkan para mukmin dan munafik adalah perjalanan menuju titian as-Sirat, di mana titian itu merentangi neraka jahanam. Di sinilah para mukminin dan munafik dapat dibezakan.

“Pada hari ketika orang-orang munafik lelaki dan perempuan berkata kepada orang-orang beriman, ‘Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu’…”

(Surah al-Hadid : 13)

“Sesungguhnya tidak seorang pun di antara kamu yang tidak melaluinya…(Titian As-Sirat)”

(Surah Maryam : 71)

Sungguh beruntung para mukmin yang terselamat semasa melalui titian as-Sirat. Namun, tapisan Allah Taala untuk meletakkan mukmin tersebut ke syurga masih belum selesai.

Dari Abi Sa’ed al-Khudri telah berkata, Rasulullah Shalallahu alayhi wasallam telah bersabda, “Apabila orang-orang mukmin terselamat dari neraka maka mereka ditahan di satu tempat namanya Al-QANTHORAH di antara syurga dan neraka. Maka diqisas (dibalas sebagaimana diperlakukan di dunia seperti tumbuk balas tumbuk)di antara mereka beberapa kezaliman sewaktu di dunia…”

(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Destinasi abadi yang menjadi idaman para mukminin ini sungguh luar biasa tidak pernah terbayang di mata, tidak pernah terdengar di telinga jauh lagi dari gambaran fikiran.

“..Dan adapun orang-orang yang diselamatkan, tempatnya di dalam syurga, mereka tetap di situ selama ada langit dan bumi, melainkan menurut kehendak Tuhanmu. Pemberian yang tiada putus-putus”.

(Surah Hud : 108)

Friday, November 5, 2010

~…BELAJAR DARI BATU…~




Sebelum belajar erti batu,

Jangan jadi hati batu dan kepala batu,

Apatah lagi batu api,

Moga kita semua terpelihara dari menjadi sebahagian batu api neraka..



Ada apa dengan batu?

Wahai insan batu di jalanan tiada siapa pedulikan

Kerana ianya tidak menarik lagi tidak berharga sering terdedah kepada proses luluhawa dan hakisan,

Batu berharga pula tak duduk atas bumi tapi berada di dalaam lapisan bumi yang dalam,

Memakan masa bertahun dan menjalani tekanan dalam bumi yang bertubi sebelum muncul sebagai permata berharga rebutan manusia..

Sebagaimana rukun fitrahnya pembentukan batuan berharga, wajarlah manusia mengambil manfaat akan proses keberhasilan sesuatu matlamat dan kejayaan… segalanya mempunyai harga, hanya mereka yang kenal erti sakit, erti pengorbanan, kesungguhan, keikhlasan akan hargai erti kejayaan…

Namun jangan pandang rendah pada batu jalanan,

Alihkan pandanganmu sejenak kepada saudara kita di Palestin,

Betapa bertuahnya batu itu,

Tidak berharga bagi mereka yang cintakan dunia, tapi bagi pejuang-pejuang agama di sana batu itulah senjata berharga…

Bukan keberhasilan batu sebagai penilaian tetapi usaha jitu yang yakin kemenangan akan datang dari Tuhan…

.:Sesungguhnya tiada suatupun ciptaan-MU yang tidak berharga:.

~...CERPEN : "Anak-anak Syurga" ...~




bismillah~

Sudah lama tidak mengarang cerpen, ada beberapa cerpen yang tidak sempat disiapkan. Sebenar ana suka berkongsi kisah menarik atau perjalanan hidup orang lain melalui cerpen. Cerpen berikut hampir setengah tahun di peram, sebenar dibuat bukan untuk blog tapi tiba-tiba nak berkongsi kat blog nie. Sketsa kehidupan dari kisah sebenar ragam anak-anak di DQ al-Wildan (nama watak mungkin bukan nama sebenar).

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dari jauh kelihatan dua beradik sedang bertengkar, ustazah Asma’ segera bergegas meleraikan pertengkaran dua orang anak muridnya itu.

“Kenapa nie?” tanya ustazah Asma’.

“Sofia nie orang da kata nak keluar pi surau depan nie tunggulah lelaki habis turun dulu,” ujar Aisyah dengan penuh emosi.

“Orang tak perasan, orang main pergi ja,” balas Sofia

Aisyah 2 tahun lebih tua dari Sofia yang berusia 10 tahun terus memarahi adiknya, manakala Sofia juga tidak mahu mengalah mempertahankan diri.

“Sudah..sudah sayang jangan bertengkar lagi,” sambil memeluk kedua-dua beradik itu ustazah Asma’ cuba meleraikan pertengkaran tersebut.

Sofia terus berlari keluar dari kelas yang merupakan dewan solat dan kelas mereka menghafaz al-quran. Mereka sebenarnya sedang menunggu waktu untuk bersolat jemaah dengan pelajar lelaki.

Pusat Tahfiz al-Wildan merupakan sebuah pusat menghafal al-Quran yang menempatkan kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki yang terdiri dari kalangan anak yatim, anak orang asli, mualaf, fakir miskin dan asnaf(boleh menerima zakat). Ustazah Asma’ yang merupakan graduan berkelulusan di bidang Kejuruteraan sengaja memilih jalan menjadi pendidik di pusat tahfiz ini supaya dapat menjaga hafalannya dan kerana terlalu rindukan suasana madrasah Dar Asma’ Tahfizul Quran yang merupakan titik bermulanya penghijrahan diri dari zaman kejahilan kepada mengenal agama. Walaupun tidak sama suasana al-Wildan dengan Dar Asma’, sekurangnya dia berasa perlu menimba pengalaman di tempat berbeza. Malahan di sana juga dia berjaya menamatkan hafalan quran 30 juzuk. Sudah sampai masanya dia perlu mempraktikkan ilmu untuk bekal akhirat.

“Aisyah sudah lah tu,” ustazah Asma’ cuba mendekati Aisyah yang masih tidak puas hati kerana Sofia melawan cakapnya.

“Awak, marah Sofia kerana kesalahannya atau ikut emosi semata-mata? Kita nak marah biarlah marah kerana Allah,” tambah ustazah Asma’ cuba menasihati.

“Macam mana marah kerana Allah tu ustazah?” Tanya Aisya penuh minat.

“Jika benar kita cintakan Allah Taala mestilah cinta dan benci kita pada sesuatu kerana Allah Taala juga, memcintai apa yang Allah suka dan membenci apa yang Allah Taala larang. Aisyah manusia memang tidak dapat lari dari kesilapan, kita juga tidak ma’sum dan dalam menegur kesalahan orang kita menegur kerana membenci perbuatan yang dilakukan bukan membenci orang tersebut,” ujar ustazah Asma’.

“Aisyah cuma mahu menegur saja,” balas Aisyah.

“Aisyah marah tadi sebab Sofia buat silap pergi tanpa keizinan ustazah kan, niat Aisyah baik mahu menyedarkan adik tentang kesilapannya tetapi cara marah dengan tengking tidak sesuai untuk menegur Sofia, malah tidak baik sampai bertengkar. Aisyah sebagai kakak kena menegur dengan cara baik kepada adik. Malah asalnya teguran akan jagi pergaduhan jika kita tidak dapat mengawal emosi dengan baik,” tambah ustazah Asma’ panjang lebar.

Aisyah terus mendiamkan diri.

Pelajar-pelajar perempuan lain memerhatikan sejak dari tadi drama pertengkaran Sofia dan Aisyah sehingga sesi nasihat ustazah Asma’. Kebiasaan mereka solat berjemaah di kelas mereka tapi malam ini mudirah (pengetua) meminta supaya pelajar perempuan turun ke musolla untuk berjemaah dengan pelajar lelaki. Disebabkan kelas menghafaz pelajar lelaki lewat habis jadi pelajar perempuan menunggu agak lama. Ikhtilat yang sangat ditekankan di pusat tahfiz jugalah menyebabkan Aisyah teremosi memarahi adiknya Sofia yang terlupa pesan ustazah supaya turun ke surau selepas pelajar lelaki turun.

*Ikhtilat= batasan pergaulan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim

*Musolla= surau

“Ustazah…saya banyak kali cuba untuk mengelakkan dari memandang lelaki tetapi saya selalu gagal, saya nak jadi macam ustazah Nur,” tiba-tiba Umairah datang mengadu kepada ustazah Asma’.

Ustazah Nur merupakan ustazah yang lebih tua dari ustazah Asma’, dianugerahkan Allah suara yang merdu dalam mengalunkan kalimah Allah persis suara adik Sa’ud yang merupakan al-hafiz berusia 5 tahun dan termuda di Mesir. Ustazah Nur yang juga sangat menjaga pandangan selalu menasihati pelajar perempuan agar jangan membiasakan mata liar memerhati yang bukan mahram.

Mungkin pelajar lelaki sudah mula turun surau, Umairah rasa bersalah apabila terpandang dan rasa ingin melihat pelajar lelaki. Alhamdulillah qudwah hasanah yang ditunjukkan oleh ustazah Nur menjadi ikutan kepada pelajar-pelajar:- fikir ustazah Asma’.

“A’ah saya pun macam tu ustazah,” Solehah pula bersuara apabila terdengar pengaduan Umairah.

“Saya da cuba tapi saya tak boleh,” tambah Umairah sambil menangis di sebelah ustazah Asma’.

“Tengok belum habis mencuba awak da buat keputusan untuk diri awak dengan mengatakan tak boleh. Umairah, ustazah bangga dengan awak, awak baru berusia 12 tahun tapi dapat menangis di atas kesilapan dan dosa yang awak rasakan. Sedangkan ramai lagi wanita usia bertahun-tahun tidak pernah rasa bersalah jauh lagi mahu menangis dengan dosa yang dilakukan,” pujuk ustazah Asma’ sambil mengusap lembut kepala umairah yang terduduk menangis di sisinya.

“Tak mengapa dalam meninggalkan perkara yang biasa dilakukan memang perlu kuat untuk melawan, nak membaiki diri untuk menjadi lebih baik memang perlukan mujahadah. Teruskan berusaha minta tolong kepada Allah dengan doa ye sayang. Syaitan memang akan cuba mencari titik kelemahan kita untuk digoda. Biasalah tu nak membuat sesuatu perubahan bukan automatik boleh bertukar. Tengok Abdullah tu adakah dia lahir terus boleh berjalan? Tidak..dia mula dengan meniarap, merangkak dan baru boleh berjalan dan berlari kan. Jadi biar sedikit-sedikit asalkan ada perubahan, yang penting kita tidak putus asa untuk berusaha menjadi lebih baik,” Ujar ustazah Asma’ panjang lebar kepada bakal-bakal hafizah di hadapannya.

“budak lelaki da nak mula solat,” tiba-tiba Nabila datang untuk meminta pelajar perempuan segera ke musolla.

…………………………….


Monday, October 18, 2010

~...Selamat berIJAZAH wahai bakal-bakal JENAZAH...~



Bismillah…

Minta maaf jika ada yang kurang senang dengan tajuk tersebut. Apa ni, masa inilah orang nak ‘happy-happy’ meraikan kemenangan setelah empat tahun bertungkus-lumus bergelar mahasiswa dia pula potong stim. Siapa pula mahu melarang kalian menjadi ‘happening’? Saya juga berkonvokesyen baru-baru ini. Alhamdulillah. Cuma itulah yang selalu pelik, orang lain teruja dan gembira saya pergi tanpa perasaan. Lebih kepada sekadar memenuhi harapan ibu bapa. Tak pergi konvokesyen pun tetap dapat transkip Ijazah Sarjana Muda kan.

Tetapi saya pulang dengan mode sentimental sikit. Bukan jiwang berkhayal tetapi bak kata orang tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat mengenali erti kehidupan. Bukan tugasan dan peperiksaan yang menjadi ingatan tapi suka-duka menjadi manusia itu pasti kekal dalam ingatan. Setiap orang ada cerita tersendiri cukuplah bagi saya kenangan terindah di alam kampus adalah pembelajaran di luar bilik kuliah, iaitu belajar mengurus emosi, mengurus hati, mengurus fikiran, mengurus nafsu, interaksi dengan warga kampus dan masyarakat serta pelbagai kemahiran interpersonal yang tidak terdapat dalam bilik kuliah dan yang paling penting menyedari nikmat penerimaan terletak pada pemberian.

Kepada rakan-rakan yang graduan UPSI 2010 ke-12 kali ini, perasan tak semasa seminggu sebelum kita menjalani latihan mengajar @praktikum dua orang rakan kita (Mohd Fadhiri bin Mohd Ariffin dan Mohd Faizol ) telah dijemput ILLAHI kerana terlibat dengan kemalangan ngeri yang berlaku di Tg.Malim. Baru-baru ini pula seminggu sebelum majlis konvokesyen berlangsung seorang lagi rakan kita (Norazmi bin Abdul Karim) telah dijemput ILLAHI ketika dalam perjalanan menghadiri konvokesyen kerana terlibat dengan kemalangan ngeri bas ekspress di Simpang Ampat, Negeri Sembilan. Moga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang soleh. Allahuma Ameen. Jejak kematian semakin hampir buat sesiapa sahaja. Meningkat usia bukan lambang kebanggaan dewasa bahawa anda matang tetapi insafilah kerana ianya tanda aras kepada hampirnya tarikh kematian. Walhal kematian tidak pernah mengenal usia.

Lantas terfikir apalah makna sekeping ijazah di saat Malaikat Maut datang menjemput? Ada sesiapa mahu menafikan bahawa dirinya bukan bakal jenazah? Menuntut ilmu itu ibadah dan itulah antara bekal kita, namun terkadang manusia itu bukan tak tahu Cuma sering lupa watak dan peranan kerana asyik terleka dibuai keindahan kejayaan sementara.

Di saat perarakan barisan graduan masuk ke dewan konvokesyen terbayang pula bagaimana hari ‘konvokesyen’ di akhirat sana nanti? Di saat menerima sekeping ijazah kita boleh mengawal tangan untuk menyambut pemberian dengan kedua-dua belah tangan. Tetapi saat ketika buku catatan amal diberikan masihkan kita punya daya dan pilihan? Sungguh beruntung mereka yang menerima buku catatan amal dari tangan kanan dan sungguh rugi mereka yang menerima dari sebelah belakang. Namun sesesungguhnya ‘konvokesyen’ di sana nilaian tertinggi hanyalah IMAN dan TAQWA bukan lagi pointer atau kelas pertama kedua dan ketiga.

Allah Azza wa jalla berfirman yang bermaksud :

“Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNYA. Maka adapun orang yang catatannya diberikan dari sebelah kanannya, maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah, dan dia akan kembali kepada keluarganya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. Dan adapun orang-orang yang catatannya diberikan dari belakang. Maka dia akan berteriak, ‘Celakalah aku!’. Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala(neraka)”.
(Surah al-Insyiqaq 84: 6-12)


p/s : Tahniah buat semua graduan walau dari mana Institusi yang anda berasal. Khas buat graduan UPSI Sarjana Muda Pendidikan Geografi  selamat berkhidmat untuk agama, negara dan anak bangsa, walau di mana kalian bakal ditempatkan.

Wednesday, September 29, 2010

~…Transformasi ‘girl to women/mum’…~




Bismillah…

Jika ada yang mahu mentafsir dari sudut bahasa tajuk di atas ‘girl’ merujuk kanak-kanak/remaja perempuan manakala ‘women’ ialah wanita yang dewasa, begitu juga untuk ‘mum’ sebagai ibu. Namun, umumnya dua perkataan tersebut membawa maksud yang sama dari segi jantina. Bicara mengenai perubahan ianya terlalu subjektif tetapi bergantung pada skop perubahan dan atas target apa perubahan dilakukan.

Sebenar artikel kali ini mahu membicarakan perspektif ‘blind spot’ atau titik buta yang jarang orang perasan tetapi golongan wanita selalu ikutkan perasaan(bagi kes yang kurang memahami bahawa inilah lumrah transformasi). Tranformasi atau perubahan yang ingin diulaskan sebenar berkaitan amalan ritual iaitu tugasan ibadah, watak, peranan, dan sewaktu dengannya yang berkaitan dunia wanita.

Umumnya mengetahui dunia kanak-kanak lelaki hampir sama dengan dunia kanak-kanak wanita dari segi perkembangan mindanya, sensitivitinya, keperluan fizikal dan mentalnya dan banyak lagi. Kerana pada usia begini kanak-kanak sedang mengalami proses perkembangan fizikal dan mental maka keperluan mereka melebihi peranan dan tanggungjawab sebagai manusia untuk dimainkan.

Peringkat remaja pula perbezaan lelaki dan perempuan sangat ketara. Dari pelbagai sudut sama ada emosi, minat/kecenderungan, kebolehan, tubuh badan, tanggungjawab dan peranan serta banyak lagi mula berlaku perkembangan yang drastik dan aktif.

Panjang lebar intro artikel, namun sebetulnya skop transformasi di sini adalah ibadah wanita bujang dengan wanita bukan bujang (isteri dan ibu) . Perspektif orang bujang sudah tentu ada beza dengan bukan bujang. Namun bukan persoalan penting di sini melainkan persediaan minda untuk hadapi transformasi kehidupan.

Semasa berikhtikaf pada ramadhan yang lepas Allah izinkan saya berbual seketika dengan seorang ukht(saudari) yang merupakan kakak yang solehah lagi disegani ilmunya yang kini merupakan ibu kepada seorang mujahideen(Ameen). Perbualan singkat tersebut telah menambahkan lagi desakan untuk berbicara mengenai topik ini. Sebenar ukht tersebut berpesan ‘Sementara masih bujang ini baguslah teruskan amal ibadah seperti berikhtikaf ini kerana akak pun rindu nak beribadah macam zaman bujang dulu, sudah jadi isteri dan ibu tentu ibadah kita berbeza, lebih-lebih lagi ada anak kecil yang sedang lincah ini, masa ibadah kita seperti untuk solat sunat, mengaji dan hadiri majlis ilmu sudah berkurangan kerana kita ada amanah lain yang juga penting dalam nilaian ibadah’. Begitulah lebih kurang isi perbualan kami.

Pasti semua orang akan berpandangan, status pun berbeza maka apatah lagi peranan dan tanggungjawab yang dimainkan. Benar, semua orang akan berpandangan begitu. Tetapi berapa ramai menyelami transformasi tersebut dengan nilaian iman. Terdapat ibu atau isteri yang ‘down’ lemah semangatnya dalam ibadah kerana menyangka aktiviti ibadah seperti solat sunat, puasa sunat, membaca quran dan sewaktu dengan yang semakin terhad dengan adanya anak kecil telah menjadikan dirinya semakin jauh dari Allah Taala atau semakin teruk. Lalu mainan syaitan menjerat membuat semangat yang kendur itu terpedaya pula pada jalan kelalaian dengan alasan kalimah ‘tak pa’. Hakikatnya nilai ibadah yang sedang dilakukannya iaitu menjaga, mendidik dan mengasihi anak tersebut dengan ikhlas lebih tinggi berbanding ibadah sunnat.

Pokok pangkalnya, apabila kita diletakkan dalam sesuatu situasi , watak dan peranan maka, nilailah dalam kaca mata agama dengan mengutamakan perkara yang lebih utama tanpa mengabaikan perkara kurang utama.

Tidaklah bermaksud dengan bertambahnya amanah dan tanggungajawab terhadap manusia maka tanggungjawab kita kepada Allah Taala sudah berkurang. Tidak sama sekali! Malahan sebenar telah bertambah dan semakin dekat jika kita tahu erti sebenar watak dan peranan dan melihat dari sudut ‘mengumpul saham akhirat’. Kesimpulannya ibadah seorang gadis atau wanita yang belum berkahwin bermula dengan kuantiti untuk mencapai kualiti tetapi ibadah seorang ibu atau isteri pula keberkesanannya pada kualiti. Maka berbahagialah wahai wanita-wanita bergelar ibu. Usah dicemburui zaman gadismu kerana kau berada pada fasa yang lebih mudah menempah syurga (walaupun turut mudah menempah tiket ke neraka, Nauzubillahi min zalik!).

Daripada Anas bin Malik, Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda yang bermaksud:

“Apabila seorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.”
(Hadis Riwayat Ahmad).

Hadith Nabi shallallahu ‘alayhi wasallam:

“Diperlihatkan neraka kepadaku. Ternyata majoriti penghuninya adalah para wanita yang kufur.”Ada yang bertanya kepada beliau: “Apakah para wanita itu kufur kepada Allah?” Beliau menjawab: “(Tidak, melainkan) mereka kufur kepada suami dan mengkufuri kebaikan (suami). Seandainya engkau berbuat baik kepada salah seorang dari mereka satu masa, kemudian suatu saat ia melihat darimu ada sesuatu (yang tidak berkenan di hatinya) niscaya ia akan berkata: Aku sama sekali belum pernah melihat kebaikan darimu.”
(HR. Al-Bukhari no. 29 dan Muslim no. 907)

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wasallam:
“Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan, lalu bersabar menjaga mereka, maka Allah mengizinkan syurga bagi mereka atas kasih sayang yang ditunjukkan pada anak-anak perempuan itu.” Seorang lelaki bertanya, “Bagaimana kalau dia mempunyai dua orang anak perempuan?” Baginda berkata, “Walaupun dua.” Ditanya lagi, “Kalau seorang saja, hai Rasulullah?” Baginda berkata, “Walaupun seorang saja.”
[Riwayat Ahmad, 2/335 dan Al-Hakim, 4/176, Kitab Al-Birr Was-Silah. Katanya: sanadnya sahih. ]


Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wasallam bersabda:

“Barangsiapa mempunyai seorang anak perempuan yang lahir daripadanya, lalu dia tidak menanamnya hidup-hidup atau menghinanya, dan dia tidak melebihkan anak lelaki daripada anak perempuan itu, maka Allah akan mengizinkan syurga untuknya disebabkan oleh anak perempuan itu.” [Riwayat Al-Hakim, Al-Mustadrak, 4/177, Kitab Al-Birr Was-Silah, katanya, sanadnya sahih.]

Sesungguhnya kasih sayang Rasulullah termasuk juga terhadap wanita, termasuk saudara-saudara perempuan bersama anak-anak perempuan sebagaimana dilihat dalam hadith riwayat Bukhari dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad dari Abu Sa’id Al-Khudri, katanya: Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam  bersabda:

“Barangsiapa mempunyai tiga anak peremuan, atau tiga saudara perempuan lalu melayani mereka dengan baik, maka Allah akan mengizinkannya masuk ke syurga.” [Riwayat Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, 1/162, bab man ‘ala thalatha ikhw]







Thursday, September 16, 2010

~...MUHASABAH CINTA RAMADHAN...~




Syawal ini tetamu silih berganti…

Datang dan pergi…

Tanda tautan silaturahim terjalin kembali…
Namun bagaimana kesannya pemergian tetamu agung itu…



Menyoroti teladan para Salafus Soleh...

Kedatangan tetamu itu diraikan dengan hati kegirangan...

Dan pemergiannya pula diiringi dengan air mata dan hati yang kepiluan…

Lambang mukmin yang dahagakan kerahmatan dan keampunan…



Baru beberapa detik pemergian tetamu Ramadhan...

Sebahagian manusia bagai tidak pernah menerima kunjungannya…

Pakaian yang dulu cukup kainnya semakin tersingkap pula…

Masjid yang meriah penuh safnya lengang sudah..



Ramadhan itu sajiannya halwa telinga dengan kalamullah…

Syawal ini diganti pula hiburan memekik telinga lagi melalaikan…

Santapan pandangan pula melemaskan lalu mengoda nafsu yang beriman..

Santapan rohani terus lesu dan kegersangan…



Amalan ramadhan adalah ibadat keimanan atau adat warisan?

Ritual fizikal tentu tidak sama dengan ritual rohani...

Sedangkan fenomena ramadhan kelihatan ‘penjara kebaikan’ ...

Yakni berlalu sahaja tetamu agung itu maka diri bebas kembali menjadi diri sendiri bukan lagi lakonan bagi menjalani ‘adat warisan’…



Bukan bererti menafikan hak Aidilfitri tapi sekadar koreksi diri...

Mencari kesan Ramadhan di hati...

Tadabbur insan dengan mata hati...

Tanyakan pada diri apakah Taqwa telah diperolehi…

~...Berlalunya Ramadhan...~

bismillah~

Dalam kitab Latha’if al-Ma’arif karangan Ibnu Rajab al-Hanbali (wafat 795 H) kita jumpai para salaf mengungkapkan kesedihannya dan kegundahan mereka :



  • Umar bin Abdul Aziz ketika berkhutbah pada hari raya 'Idul Fithri berkata : “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kalian telah berpuasa karena Allah selama 30 hari, kalian solat malam selama 30 hari, dan pada hari ini kalian semua keluar untuk memohon kepada Allah agar amalan kalian diterima. Ketahuilah, dulu sebagian salaf menampakkan kesedihan pada hari raya ‘Idul Fithri, kemudian ditanyakan padanya : ‘Bukankah hari ini hari kegembiraan dan kebahagiaan?’. Maka dia menjawab : ‘Benar, namun aku hanyalah seorang hamba yang Allah memerintahkanku untuk beramal, akan tetapi aku tidak mengetahui apakah amalku diterima Allah atau tidak?”.



  • Wuhaib bin al-Warad jika melihat sekumpulan orang yang tertawa terbahak-bahak pada hari ‘Idul Fithri maka ia berkata : “Jika mereka termasuk orang-orang yang diterima puasanya di sisi Allah, sungguh apa yang mereka lakukan ini bukanlah perbuatan orang-orang yang bersyukur. Dan jika puasa yang mereka lakukan tidak diterima, maka perbuatan mereka ini bukanlah perbuatan orang-orang yang takut.”


  •  Diriwayatkan bahwa Ali bin Abi Thalib radiyallahu anhu berseru pada akhir malam bulan Ramadhan : “Duhai, siapakah yang diterima amalannya sehingga kami bisa memberi ucapan selamat kepadanya, dan siapakah yang ditolak amalannya sehingga kami bisa menyampaikan bela sungkawa terhadapnya?”

Sunday, August 1, 2010

~…Saat Menanti Kehadiran Tetamu Yang Dirindui…~


Bismillah~

 
Jika seorang ibu menantikan kepulangan anak kesayangan yang berbulan-bulan tidak berjumpa pasti ibu tersebut menyiapkan pelbagai menu enak kesukaan anak kesayangan tersebut. Rumah dan kamar tidurnya dibersihkan dan dihias rapi untuk menyambut kepulangan anak kesayangan.

Jika seorang isteri yang menantikan kepulangan kekasih hati yakni sang suami yang berbulan-bulan lamanya tidak bersua lantaran dipisahkan oleh amanah dan komitmen terhadap agama dan bangsa, si isteri mempersiapkan diri dan rumah. Dihiasi diri dengan kebersihan rapi, wangian dan keceriaan senyuman dan rumah pula dihiasi indah demi memastikan keselesaan dan kepuasan sang suami.

Namun, kedatangan tetamu yang satu ini bukan sekadar dirindui golongan manusia tertentu berdasarkan kedudukan masing-masing seperti tadi (ibu,anak, isteri dan suami) tetapi sekalian manusia yang beriman pasti teramat merinduinya juga membuatkan hati berdebar-debar menantikan kehadiran tetamu yang dirindui ini.

Sesungguhnya Allah mengangkat darjat tetamu ini dalam Al Qur’an dan melalui lisan Nabi Muhammad Shalallahu ‘alayhi wa Sallam , kemudian Allah menjadikan kebaikan seluruhnya ada padanya, baik di awalnya, tengahnya ataupun akhirnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman :

شَهْرُ رمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتِ مِنَ الْهُدَى وَ الْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadhan bulan yang didalamnya diturunkan Al qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dan yang batil)” (QS Al-Baqarah :185)

Lantas bagaimana pula persiapan kita dalam menyambut kehadiran tetamu tahunan yakni Bulan Penuh Hikmah, Bulan Kemuliaan, Bulan Ketaqwaan Bulan Keampunan dan pelbagai lagi nama yang dapat dinisbatkan untuk Bulan Ramadhan ini? Tentulah persiapan menyambut tetamu yang dirindui ini mengambil sedikit masa (perancangan, aturan masa dan persiapan mental dan fizikal) demi meraih kemenangan sebenar.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa. (al-Baqarah 2:183)


Cukupkah persiapan peperiksaan bulan Mac dengan mengunakan usaha persiapan peperiksaan bulan Januari? Tentu perlukan kemaskini. Apatah lagi ilmu, iman dan amal perlu sangat untuk dibuat persediaan.

Kita diambang Ramadhan…Alhamdulillah kita masih diberi peluang untuk memasuki Madrasah Tarbiyyah ini, insya Allah. Bagaimana persiapan kita menyambut Ramadhan?

Di sini ingin saya mengajak diri sendiri dan sahabat pembaca sekalian untuk membuat persiapan menyambut ramadhan..Jika masyakat lazim disibukkan persiapan Syawal kenapa kita tidak mahu mengikut para Nabi dan Rasul, dan Salaffus Soleh yang mengutamakan persiapan Ramadhan berbanding Syawal?

Bagaimana harus mempersiapkan?

Terpulang pada keperluan masing-masing…tepuk dada tanya iman, apakah kekurangan iman dan amal.

1. Muhasabah diri

Bagaimanakah bentuk amalan kita sebelas bulan yang lalu yakni selepas Ramadhan tahun lepas pergi meninggalkan kita? Adakah roh(solat jemaah dan solat awal waktu, solat malam, puasa sunat, sedekah, menutup aurat, menjaga akhlak dan bicara dan sebagainya) Ramadhan terus hidup dalam sebelas bulan yang telah dilalui ataupun ibadah kita bermusim?

Pertanyaan yang wajib ditanya kepada diri kita adalah:


  • Apakah kita ridha dengan keadaan kita sekarang ini ataukah tidak?

  • Apakah kita menganggap diri telah mencapai keadaan yang lebih baik dan sempurna atau malahan dalam keadaan lemah dan jauh dari kesempurnaan?

  • Apakah semua fikiran, sifat dan akhlak yang telah kita lakukan adalah sesuatu yang tidak boleh berubah dan sudah menjadi kuat ataukah kita sebagai manusia memiliki usaha dan ikhtiar dalam membaikinya?
Pertanyaan-pertanyaan seperti ini terpendam di dalam jiwa kita untuk dicarikan kesempatan untuk dibedah dan dikoreksi serta direnungkan.

Hal ini sangat diperlukan seseorang untuk maju dan berkembang kearah kebaikan, namun ironinya kebanyakan orang tidak mahu menyediakan waktunya untuk merenung dan memuhasabahkan dirinya tersebut, karena dua hal:

1. Tenggelam dalam kesibukan mencari kehidupan.

2. Muhasabah ini menuntut adanya persediaan dan ketetapan perubahan yang selalu tidak disukai orang ramai.

Muhasabah (introspeksi diri) sangat dianjurkan dalam syariat islam agar kita tidak tenggelam dalam kehidupan material dan sibuk dengan kehidupan yang tiada batas. Anjuran ini diungkapkan khalifah Umar bin al-Khathab Radhiallahu’anhu dalam pernyataan beliau: “Muhasabahlah terhadap dirimu sebelum kamu dihisab, dan timbang-timbanglah sebelum kamu ditimbang”.

Demikian juga ungkapan khalifah Ali bin Abi Thalib Radhiallahu’anhu: “Alangkah perlunya seorang memiliki satu saat yang tidak disibukkan dengan kesibukan untuk muhasabah diri. Ia melihat apa yang dilakukannya berupa kebaikan dan keburukan diwaktu siang dan malamnya”.

Sebenarnya introspeksi diri ini memberikan kesempatan kepada kita untuk mengetahui kesalahan dan titik kelemahan kita, lalu dapat mendorong kita menjadi lebih baik lagi. Hal ini disampaikan khalifah Ali bin Abi Thalib Radhiallahu’anhu: :Hasil dari introspeksi diri adalah perbaikan diri”.

Rasulullah Shalallahu 'alayhi wa Salam bersabda :
"Barangsiapa yang beribadah pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan introspeksi diri, akan Allah ampuni dosa-dosanya yang terdahulu." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Dan Salman Al-Farisi, bahwasanya Rasulullah Shalallahu 'alayhi wa Salam bersabda:

"Antara shalat-shalat lima waktu; antara Jum'at dengan Jum'at dan antara Ramadhan yang satu dengan ramadhan berikutnya ada pengampunan dosa, bagi mereka yang menghindari dosa-dosa besar." -HR. Muslim dalam kitab Ath-Thaharah: 342, 343, 344.

Jadi, bersama-sama kita muhasabah (koreksi diri) bagaimana kualiti Ramadhan kita yang lepas, bagaimana amal dan iman kita di antara bulan Ramadhan yang lepas dengan Ramadhan yang bakal datang ini serta apakah target Ramadhan kita kali ini.

2. Menambah ilmu

Mungkin sebahagian orang berasa sudah cukup faham hal ehwal puasa ini, cukup dapat A bagi subjek Pendidikan Islam di sekolah jadi buat apa lagi nak baca buku tentang puasa dan bulan Ramadhan ini? Bukankah agama islam itu tidak berubah dan sama? Benar kalam Allah Tabarakka Taala dan kalam Nabi Shalallahu a'layhi wasalam tetap sama tetapi adakah anda telah merasa cukup dan terlalu banyak mengetahui ilmu mengenai puasa dan Ramadhan ini? Boleh jadi apa yang anda rasa cukup tahu itu sebenar membuka ruang untuk mengatakan anda banyak lagi tidak tahu jika sekadar merasa cukup ilmu agama silibus sekolah.

Jika kita mahu mempersiapkan diri dan menyambut tetamu istimewa ini dengan cara yang lebih baik dan terbaik sudah seharusnya kita perlu menambah ilmu. Tidak rugi membaca buku atau mendengar ceramah mengenai puasa dan Ramadhan ini, kerana jika kita sudah sedia tahu mungkin ianya sekadar nasihat dan peringatan dan jika kita baru tahu inilah ilmu baru yang harus kita amalkan.

Tidak mahukah kita termasuk dalam golongan yang Allah Taala beri kebaikan sebagaimana sabda Baginda Shalallahu Alayhi Wasalam bersabda :

"Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah mendapatkan kebaikan, maka Allah akan memahamkan dia dalam urusan agama" (HR Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya, mencukupkan diri dengan petunjuk Nabi dalam setiap ketaatan adalah perkara yang sangat penting, khususnya (mencukupkan diri dengan) petunjuk Nabi Shalallahu ‘alayhi wa Salam pada bulan Ramadhan. Karena amal shalih seseorang tidak diangkat kecuali jika apabila ia ikhlas karena Allah dan hanya mengikuti tuntunan Rasulullah Shalallahu ‘alayhi wa Salam. Sesungguhnya ikhlas dan mutaaba’ah (mengikuti Rasulullah Shalallahu ‘alayhi wa Salam) merupakan dua syarat wajib diterimanya amal shalih. Keduanya ibarat dua sayap burung, maka alangkah jauhnya (dari realiti) jika ada burung yang terbang dengan satu sayap !!

Bagaimana Nabi Shalallahu Alayhi Wasalam berpuasa? Jadi perlunya kita menambah ilmu dengan membaca, mendengar ceramah atau apa sahaja medium untuk menambah pengetahuan agama.


Berikut antara pautan untuk tambah ilmu tentang persiapan Ramadhan :


http://moslemsunnah.wordpress.com/2009/08/16/20-kumpulan-ebook-ilmiah-gratis-untuk-bekal-ramadhan-anda/

http://www.rumaysho.com/hukum-islam/puasa/2654-menghidupkan-bulan-ramadhan-dengan-sunnah-puasa.html

http://al-fikrah.net/index.php?name=News&file=article&sid=134

3. Persiapan Syawal sebelum Ramadhan

Sebenar lebih baik kita menyediakan barangan keperluan menyambut Syawal sebelum bulan Ramadhan dan bukannya dalam bulan Ramadhan kita disibukkan dengan aktiviti membeli-belah, menjahit langsir baju dan sebagainya. Tidak mengapalah jika menjahit dan memasak kuih muih itu memang pekerjaan untuk menyara keluarga. Namun, konteks yang ingin diperkatakan ialah kebanyakkan orang (kaum hawa terutamanya) terlalu disibukkan dengan persiapan Syawal lebih-lebih lagi dipenghujung Ramadhan sehingga leka dan lalai untuk merebut hikmah dan tawaran hebat yang Allah Taala sediakan di bulan Ramadhan. Fenomena ini lebih rancak ketika 10 Ramadhan terakhir. Masjid dan surau yang sepatutnya semakin meriah di 10 Ramadhan terakhir tiba-tiba lengang lantaran kesibukan kaum hawa dengan persiapan Syawalnya. Alangkah ruginya, kita disibukkan dengan kemahuan nafsu-nafsi dan memandang sepi keperluan rohani yang sememangnya dahaga rahmat dan pengampunan Allah Tabaraka Taala.

Di samping itu, kebiasaan kaum muslimah akan menyediakan telekung 'khas solat raya' apa kata sesekali memperuntukan pula telekung 'khas Ramadhan', menarik juga kerana dapat menunjukkan semangat ibadah kita dengan mengenakan telekung baru. Walaupun persediaan fizikal tidak sepenting persediaan rohani tetapi perkaitan fizikal juga memberi kesan kepada ruhani. Bagaimana kita boleh membelanjakan beratus-ratus ringgit untuk membeli pakaian menghadap manusia tetapi mengantikan 'pakaian rasmi' untuk mengadap Rabbul Izzati pula kita berkira dan tidak pernah rasa malu dengan telekung berbau(akibat jarang basuh dan terutama telekung di surau atau masjid). 

Sekian demikian sedikit sebanyak pandangan dan perkongsian moga apa yang ditulis menjadi momentum untuk penulis sendiri beramal dengan lebih baik.

wa Allahu'alam bisawab~

 
Nabi yang mulia ‘alaihi Shalallahu 'alayhi wa Salam telah bersabda :

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الجُوْعُ وَالعَطَشُ (صحيح, رواه أحمد وابن ماجه و الدارمي والبيهقي عن سعيد المقبري عن أبي هريرة)

“Berapa banyak orang yang berpuasa namun hanya mendapatkan rasa haus dan lapar belaka.” (Shohih, diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah, Ad-Darimi dan Al-Baihaqi dari Abu Sa’id Al-Maqburi dari Abu Hurairoh).