Saturday, October 15, 2022

Teringat sebuah pandangan seorang sahabat dalam diskusi tadabbur alQuran beberapa tahun lepas, apabila topik perbincangan mengenai Sains & AlQuran.
.
.
Sahabat ini memberi pandangan seharusnya seorang muslim pelajari ilmu alQuran dahulu barulah Sains supaya kepercayaan ilmu alQuran menunjangi iktikad dalam diri apabila bertembung kajian Sains dengan tafsiran alQuran. Kerna ada perkara melibatkan hal ghaib yang AlQuran khabarkan tidak dapat dibuktikan dengan kajian saintifik.
.
.
Minggu lepas perbincangan kelas AlAqsam (Sumpah Allah dalam AlQuran) bertemu lagi topik Bintang dalam surah An-Najm. Bintang yang menghiasi malam bukan sekadar penghias malam. Bukan sekadar objek langit yang menjadi tunjuk arah. Tapi alQuran membahaskan perbincangan yang sangat spesifik bagi setiap sifat-sifat bintang.
.
.
Apabila Allah bersumpah dengan sesuatu objek yang dijadikannya bermakna Allah nak ceritakan kekuasaan-Nya.
Allah berfirman ;
وَالنَّجمِ إِذا هَوىٰ
"Demi bintang semasa ia menjunam (jatuh),"
هَوىٰ
Bintang yang meluncur, menjunam & jatuh.
Menurut tafsiran Ibnu Qayyim bintang yang meluncur dalam keadaan bersinar, menjunam & jatuh.
Juga disebut Meteor ini kerna adanya para Malaikat yang melempar Iblis Syaitan yang mencuri dengar ketetapan-ketetapan takdir untuk penduduk bumi.
.
.
Masa kecil dahulu pernah juga dengar jika melihat meteor melintas kira kita orang bertuah dan masa itu mustajab untuk berdoa sesuatu hajat. Betapa kepercayaan itu boleh jatuh syirik.
.
.
Belum lagi zaman remaja dahulu semangat dan bangga berbintang Zodiak Pieces. Setiap bulan baca surat khabar dan majalah yang ada ramalan Zodiak ni. Lepas tu berangan-angan dengan ramalan tersebut rasa bahagia dan macam betullah. Astagfirullahal azim. Dah pasca remaja dewasa barulah ku belajar semula ilmu agama betul-betul dan dapati amalan membaca ramalan zodiak ini bahaya kepada akidah dan boleh jadi syirik. Walaupun saja-saja baca dengan rasa tak nak percaya sangat. Sama jugalah situasi tersebut dengan mendatangi peramal.
.
.
Daripada Abu Hurairah radiallahu anha berkaitan perkara ini, bahawa Rasulullah shalallahu alayhi wasallam bersabda:
Ketika Allah SWT menetapkan suatu urusan di langit, malaikat lantas meletakkan sayapnya dalam rangka tunduk pada perintah Allah SWT yang seolah-olah seperti suara gemercingan rantai di atas batu. Apabila rasa takut telah dihilangkan dari hati mereka, mereka mengucapkan, “Apa yang telah difirmankan oleh Rabb kalian?” Mereka menjawab, “Perkataan yang benar. Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Maka syaitan-syaitan pengintip berita itu pun mendengarkan berita itu. Mereka berada dalam posisi yang saling bersesak-sesakan -Sufyan RA menggambarkannya dengan mengiringkan telapak tangannya dan merenggangkan jari-jemarinya. Jika syaitan yang di atas mendengar berita itu, maka segera disampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya. Kemudian yang lain juga menyampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya hingga sampai kepada tukang sihir dan dukun.
Terkadang syaitan pengintip berita itu terkena api sebelum sempat menyampaikan berita itu. Terkadang pula setan itu sempat menyampaikan berita itu sebelum terkena api. Lalu dengan berita yang didengarnya itulah tukang sihir atau dukun membuat seratus kedustaan. Orang-orang yang mendatangi tukang sihir atau dukun pun mengatakan, “Bukankah pada hari ini dan itu, dia telah mengabarkan kepada kita bahawa akan terjadi demikian dan demikian?” Akibatnya, tukang sihir dan dukun itu pun dipercayai karena satu kalimat yang telah didengarnya dari langit.
[Hadith riwayat al-Bukhari: 4800]
.
.
Diriku juga pernah mempunyai pengalaman masa remaja dahulu mengikuti beberapa orang yang berhajat dengan mendatangi seorang yang digelar ustaz berbangsa arab yang tinggal di Malaysia. Masa tersebut diriku tak tahu apa yang ustaz buat itu menepati ruqyah syariyyah atau tidak. Selepas pasca remaja dewasa barulah Allah rezekikanku mempelajari kriteria dan kaedah yang menyalahi agama malah boleh jatuh kepada syirik dalam perubatan islam. Barulah teringat antara kaedah ustaz berbangsa arab tersebut yang diragui ; Tulis àyat-ayat yang tidak difahami pada satu kertas dan diminta letak / sembunyikan dalam bantal, minta baju terpakai orang yang mahu dilindungi, mintak gambar dan ada beberapa perkara lain.
.
.
Malahan ada juga orang ku kenali (Si H) menemani kawannya bertemu dengan seorang perawat penyakit misteri yang bergelar ustaz, baru melangkah masuk ke rumah. Mudah sahaja ustaz tersebut memberitahu kepada si H ustaz scan kat badan dia ada 4-5 ekor jin.
.
.
Cerita mengenai kebatilan dalam perubatan Islam ini tak akan habis kerna terlalu banyak yang menyalahi sunnah ruqyah cara Nabi. Apatah bomoh moden tidak guna nama bomoh tapi ustaz, ustazah, tok ayah, màk chik sekian2.
Moga Allah pelihara kita semua daripada mudah meletakkan pergantungan kepada makhluk. Apatah melalui ikhtiar yang dilarang dalam agama.
.
.
Dan sungguh, mempelajari semula ilmu alQuran membawa kita mengenali batasan dalam beramal dan menjalani kehidupan. Kerna tujuan kita dijadikan hanyalah untuk beribadah kepada Allah dengan mengEsakan-Nya, mengAgungkan-Nya, memBesarkan-Nya tanpa saingan dan tandingan.
.

 

No comments: