Tuesday, December 25, 2007

~…TERISTIMEWA BUAT MUSLIMAH…~

Muslimah fillah,
Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukannya dicipta daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan pula diciptakan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya. Lantaran daripada ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Adakah semudah itu kau ingin menyerah diri pada sang kumbang?

Renunglah pada keindahan bunga mawar yang unggul terjaga berpagar duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian. Kilauan warnanya yang memancar indah menjadi tarikan. Namun, lantaran pagaran duri yang berbisa itu, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Muslimah,
Akuilah hakikat kejadian dirimu yang menjadi pelemah kejadian lelaki. Seandainya pakaian malu tinggalkan daripada tubuhmu dan perbatasan aurat kau pandang sebarangan, jadilah dirimu hanya sekuntum bunga yang indah tapi sayang tidak berduri. Kau tidak layak dimahkotakan sebagai si mawar berduri.

Sesungguhnya Utusan Allah ada mengatakan tentang bahaya dirimu.
‘Tidak ada fitnah yang lebih besar selepas wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita’. Adakah kau mahu penyebab terhumbannya lelaki ke neraka?

Ingatlah duhai muslimahku sayang,
Ingatlah bahawa ciri-ciri wanita yang solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan yang diizinkan. Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika kau memelihara dirimu sebagai hadiah yang kudus,suci,mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang telah dijanjikan Allah buatmu.

Indahnya hidup ini andai melayarinya dengan bernaungkan keredhaan Allah, bertunjangkan ilmu dan kebenaran, bersulam akhlak penuh menawan. Sesungguhnya wanita solehah menjadi idaman insan soleh bernama Adam.

‘wanita yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik…’

Ya Allah jadikan kami bidadari syurga…
Ameen..

Monday, December 3, 2007

~...MENGHARAPKAN KEAJAIBAN DARIPADA KESEDERHANAAN...~

Abu Mundzir, Faridul Farhan Abd Wahab “dunia di genggaman, bukan dunia menggenggam hati”

Sewaktu Saydina Umar al-Khattab mendatangi Nabi kita SAW yang sedang menjauhi (memboikot) isteri-isterinya selama sebulan, beliau dapati Nabi SAW sedang berbaring di atas tikar anyaman yang tidak ada kasurnya, sehingga berbekas pada punggung baginda. Baginda bertelekan di atas bantal dari kulit yang diisi oleh serabut pohon kurma, dan tidak ada yang memenuhi sekeliling rumah itu –menurut Umar- melainkan tiga lapis kulit. Melihatkan keperluan Nabi SAW seperti gandum yang sedikit, dan rumah yang kosong daripada perabot, Umar al-Khattab R.A pun berkata; “Wahai Rasulullah, mohonlah kepada ALLAH agar DIA memberikan keluasan harta pada umatnya. Sesungguhnya orang Persia dan Romawi telah mendapatkan dan diberi keluasan dalam masalah duniawi, padahal mereka tidak beribadah kepada ALLAH.”
Pantas, Nabi SAW duduk bersandar dari pembaringan seraya bersabda; “Apakah engkau meragukan bahawa keluasan di Akhirat lebih baik dari keluasan dunia? Sesungguhnya mereka itu kaum yang telah disegerakan dengan kebaikan-kebaikan dalam kehidupan dunia.” Mendengar itu, Umar pun berkata; “Wahai Rasulullah, mintakanlah ampunan atas kelancanganku ini.” [1]
Mengambil pelajaran daripada gaya hidup Nabi SAW ini, ath-Thabari dan beberapa ulama’ menarik kesimpulan darinya[2] bahawa seorang Muslim sepatutnya hidup sederhana dan meninggalkan kehidupan mewah dan berfoya-foya. Inilah model kehidupan serba zuhud, yang -dalam istilah Syeikul Islam Ibnu Taimiyyah[3]- meninggalkan segala sesuatu yang tidak ada manfaatnya bagi kehidupan akhirat. Pernyataan Ibnu Taimiyah ini diperkuatkan lagi oleh Syeikh al-Utsaimin tatkala mensyarahkan hadith-hadith dalam bab zuhud kitab Riyadhus Shalihinnya Imam Nawawi[4]. Kata Syeikh Utsaimin, zuhud itu bahkan lebih tinggi darjatnya berbanding warak, lantaran warak itu meninggalkan apa-apa yang membahayakan di akhirat, yakni meninggalkan yang haram. Sedang zuhud itu meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat baginya di Akhirat, sehingga Nabi SAW sahaja mengingatkan kita akan bahayanya dari dibukanya dunia untuk kita sebagaimana telah dibukanya untuk orang-orang sebelum kita sehingga kita pun hancur seperti mana hancurnya mereka (kerana dunia).
“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu,
sampai kamu masuk ke dalam kubur.
Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu),
dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.
Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin,
niscaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim,
dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan 'ainulyaqin,
kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”
(Surah at-Takatsur [102]:1-8)

Hamka ketika mengakhiri penafsirannya tentang surah ini memperingatkan; “Segala kepuasan duniawi adalah nikmat, semuanya akan ditanyakan.
ALLAH akan menanyakan kepada hamba-NYA bagaimana dia memakai nikmatNYA dan bagaimana dia membayarkan haknya.
Sebab itu hati-hatilah kita mensyukuri segala nikmat ALLAH dan janganlah lupa kepada yang menganugerahkan nikmat, kerana dipesona oleh nikmat itu sendiri.”[5]

Bahkan, ALLAH SWT sering menyebut ulang kisah para Nabi dan kaum penentangnya, dan akan anda dapati betapa di antara persamaan di antara setiap kaum penentang itu adalah kesemuanya diketuai oleh kelompok atasan, professional atau orang-orang kaya.

“Dan berkatalah pemuka-pemuka yang kafir di antara kaumnya dan yang mendustakan akan menemui hari akhirat (kelak) dan yang telah Kami mewahkan mereka dalam kehidupan di dunia: "(Orang) ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum”
(Surah al-Mu’minun [23]:33)

Tentu, bagi seorang beriman, ia akan mengambil pelajaran daripada ciri-ciri persamaaan yang disebut ulang al-Quran ini. Dan tentu, mereka yang benar-benar cintakan Islam dan bersiap sedia mengorban jiwa dan raga demi memenuhi cita-citanya, pasti menjadi Nabi SAW sebagai model ikutan dalam melayari kehidupan dan perjuangan yang serba mencabar ini.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(Surah al-Ahzab [33]:21)

“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(SUrah ali Imran [3]:31)

Maka, dengan pendahuluan yang serba panjang ini, izinkan saya menjelaskan, mengapa saya mengkritik para ustaz.

AGAMA ITU NASIHAT

Dalam Hadith yang ketujuh daripada Hadith Arbainnya Imam Nawawi, diberikan buat kita sebuah Hadith, di mana Nabi SAW bersabda, “Agama itu nasihat.” Kami berkata: Bagi siapa? Ia bersabda: Bagi ALLAH dan bagi kitabNYA dan bagi RasulNYA dan imam-imam kaum Muslimin dan bagi orang ramai mereka.” (HR Muslim[6])

Tatkala Islam menganjurkan umatnya untuk beramar ma’ruf dan bernahi munkar, maka adakah wajar hanya sesetengah kelompok yang wajar dan patut dikritik, sedangkan sesetengah yang lain (yakni para ustaz) terlalu maksum untuk ditegur dan diperbetulkan? Adakah ini keadilan yang diajarkan oleh Islam?

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biar pun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau pun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjaan.”
(Surah an-Nisa’ [4]:135)

Apakah adil andainya sesetengah kelompok dalam masyarakat kita seperti muda-mudinya atau para artis atau pelajar universiti dan lain-lainnya, yang memang dibesarkan dalam lingkungan yang jauh daripada sinar Islam, sentiasa diberikan hak untuk kita mencela dan mencemuhnya, tetapi para ustaz yang memang hidup dalam suasana penuh kesolehan, tatkala mereka gagal memberikan contoh keteladanan yang baik untuk umat, menjadi haram untuk kita mengkritik, membetulkan dan mendakwahi mereka? Sungguh, pemikiran sebeginilah yang menjadikan orang semakin menjauhi agama.

“Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu.”
(Surah al-Ghafir [40]:83)

Apatah lagi andainya kritikan itu dibuat sesuai dengan disiplinnya, iaitu dibuat secara umum dan bukan secara khusus (menyebut nama dan seumpamanya) yang bisa mengaibkan dan menjatuhkan seseorang, seperti mana yang dipercontohkan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali misalnya, tatkala melakukan kritikan terhadap sebuah buku. Kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi:

“Tak lama setelah itu, terbit lagi satu buku Syaikh al-Ghazali yang isinya menolak pendapat-pendapat yang menyerang Islam. Buku ini berjudul At-Taasshub wa at-Tasamuh baina al-Masihiyyah wa al-Islam. Buku ini adalah jawapan terhadap buku dari salah seorang Kristien Kopti yang memojokkan dan menjelek-jelekkan Islam. Al-ghazali tidak menyebut judul buku dan siapa penulisnya hingga orang itu meninggal dunia. Al-Ghazali hanya menyebut bahawa penulisnya adalah seorang pejabat penting pemerintahan…”[7]

Maka, andainya kritikan itu benar dan telah pun memenuhi adabnya, katakan pada saya di mana silapnya? Adakah hanya kerana para ustaz yang menjadi sasarannya? Jika para ustaz saja tidak boleh ditegur, masakan para pemerintah zalim akan tergamak untuk diperbetulkan?

KETELADANAN DALAM BENTUK KESIBUKAN

Tuan-tuan bayangkanlah sendiri, andainya para ustaz dan pelajar asyik dengan dalih “sibuk”, bagaimana mungkin para professional seperti doctor atau engineer atau ahli perniagaan akan dapat kita ajak untuk menyumbang kepada Islam, lantaran para ustaz saja telah memberikan contoh yang buruk dan memudahkan mereka mendefinisikan erti kesibukan?

Mana mungkin para professional tadi tidak akan beralasan dengan “sibuk” andainya ustaz yang mengajar hanya separuh hari saja layak mengatakan ia sibuk sedang mereka (para professional) yang kerjanya sampai ke malam, tentunya jauh akan lebih sibuk! Pastinya tatkala ustaz yang dapat bercuti bila tiba musim cuti sekolah sudah sering beralasan sibuk sedang mereka yang terpaksa bekerja sepanjang tahun tanpa menikmati musim cuti, tentunya akan berkata betapa mereka lebih berhak mengaku bahawa mereka sibuk! Maka, salah siapakah andainya para professional ini menyangka bahawa mereka terlalu sibuk untuk menyumbang kepada islam, tatkala para ustaz atau pelajar sahaja sudah teramat sering “lepas tangan” daripada bantuan yang ditagih ummah, dengan dalih dan alasan yang pastinya menjadi model buruk buat para professional, iaitu mengatakan “saya sibuk”?

Salah siapakah tatkala masyarakat sekeliling menjadi teramat hairan lagi ajaib tatkala saya dan beberapa sahabat mengajarkan tuisyen secara percuma kepada adik-adik sekolah begitu pulang dari kerja, lantaran setiap jasa harus –pada pandangan kebanyakan orang- diberikan ganjaran dan upahnya, andainya sesetengah ustaz sahaja menyangka dialah manusia tersibuk di dunia hanya kerana dia mengajar junior-juniornya?

Saya bercakap mewakili umat, betapa umat “bawahan” seperti kami, pastinya akan merasakan diri kami juga terlalu sibuk untuk agama, andainya orang yang kerjanya lebih rileks seperti ustaz atau pelajar sudah pandai mendeklarasikan kononnya merekalah “manusia tersibuk di dunia.”

KETELADANAN DALAM BENTUK KEZUHUDAN

Saya tidak pernah mengharamkan untuk seseorang memiliki perabot atau kenderaan atau rumah, dan lain sebagainya. Cuma, jika tidak ada yang bisa mencontohkan kehidupan nan sederhana kepada umat, kepada siapa lagi umat ini mahu merujuk?

Maka, jangan salahkan para remaja andainya mereka berzina, kerana pernikahan itu saja dipersulit lagi dipersusahkan. Jangan salahkan remaja andainya mereka takut untuk menikah awal dan lebih rela bercouple, lantaran mereka sentiasa merasakan ketidak cukupan untuk bernikah,lantaran sudah menjadi syarat wajib menikah, harus mempunyai kereta, set sofa, televisyen, set bilik tidur, dan sebagainya.

Bagaimana mungkin kita menasihati para remaja untuk bernikah saja berbanding bercouple, dan hidup sekadarnya, sedangkan kita saja, di rumah kita saja, tergambar di benak pemikiran mereka betapa harusnya memenuhkan penginapan mereka nanti dengan segala macam kemewahan dunia!

Bagaimana mungkin mereka tahu hidup sekadarnya, sedang mata mereka, demikian masuk ke rumah sapa pun, pastinya terpenuhi dengan t.v, sofa, perabot-perabot mewah lainnya, dan sebagainya?

Anda hanya tahu berkata, tahu berteori, tahu beretorika, supaya remaja menjauhi couple atau menikah awal dan hidup sekadarnya, tapi anda saja gagal memberikan contoh dan role model untuk mereka memahami apa erti hidup sekadarnya!

Tentunya tidak salah andainya Tuan Guru Nik Aziz menginapi kediaman rasmi Menteri Besar nan serba mewah, lantaran itu memang menjadi haknya. Tapi bukankah hidupnya di rumahnya sendiri di Pulau Melaka menjadi bahan kaguman buat kita semua? Lihatlah sendiri, berapa ramai yang kagum, dan berapa ramai yang mengikuti jejak langkahnya? Benar sekali kata si Gopi[8]; “Pegang saja tarak guna…” Ya tuan-tuan, kita hanya tahu “pegang” contoh-contoh teladan yang baik ini, tapi tidak kita “bacakan” dalam realiti kehidupan kita.

Majalah Islam tersohor Indonesia “Sabili” dalam telaah khususnya pernah menyiarkan apa yang dianggap sebagai “kesederhanaan menjadi lakun baru dalam panggung politik Indonesia. Sosok sederhana, dengan motivasi dakwah dan memperjuangkan bangsa menata langkah baru masa depan Indonesia.”[9] Sosok-sosok seperti ketua MPR Hidayat Nur Wahid mengejutkan para wartawan Indonesia dengan kesederhanaannya. Mantan DPR dari PKS, Mashadi misalnya juga mengejutkan wartawan Harian Republika yang ingin bertamu ke rumahnya untuk membincangkan perihal design interior, lantaran yang terhidang di dalam rumahnya, di ruang tamunya, hanyalah tikar beserta white board sahaja! Inilah yang disimpulkan oleh wartawan Sabili seraya menjadi tajuk telaah khusus itu: Mengharap Keajaiban Dari Kesederhanaan!


KETELADANAN DALAM SOAL CARA MELEMPARKAN KRITIKAN

Tidak semua FRU yang jahat, tapi kenapa dalam soal perhimpunan aman BERSIH, orang-orang agama “pukul rata” FRU bahawa merekalah yang memprovokasi masyarakat? Bagaimana pula dengan anggota FRU yang bercuti, yang telah pencen, yang soleh-soleh, yang tidak terlibat pada hari itu, adakah mereka juga termasuk dalam tuduhan kita sebagai provokater?

Tidak semua polis jahat. Ayah angkat saya semasa saya student (anaknya belajar tuisyen dengan saya) sangat soleh, bahkan setiap kali habis mengajar anaknya, kami terbiasa solat Isyak bersama dengan saya (atas permintaan keluarga itu) mengimamkan solat bersama. Tapi, hanya kerana polis sering menjalankan arahan mereka seperti menghalang demonstrasi, menangkap penceramah, meruntuhkan rumah setinggan dan sebagainya, kita lantas “pukul rata” polis sebagai jahat dan sebagainya, walhal berapa ramai polis yang justeru anti rasuah, kuat ke masjid dan sebagainya.

Tidak semua artis benci dan lupa pada agama. Tapi kenapa golongan artis sering di”pukul rata” sebagai melalaikan umat, menjadi role model yang tidak wajar diikuti dan sebagainya?

Tidak semua remaja rosak, tapi kenapa sering kita gunakan ungkapan “remaja hari ini dah tak sama dengan remaja dulu” atau ungkapan-ungkapan semacamnya, sedangkan betapa masih ramai remaja yang bahkan bersungguh memperjuangkan agama?

Ungkapan-ungkapan di atas justeru adalah ungkapan umum yang bisa difahami oleh semua orang yang bersih hatinya, bukan ungkapan “pukul rata” seperti mana yang difahami oleh mereka-mereka yang prejudis. Sebab, jika menyebut ungkapan-ungkapan yang umum tidak dibenarkan oleh agama, bererti agama membenarkan kritikan-kritikan yang khusus yang menyebut nama orang sekian-sekian yang tentunya boleh mengguris hatinya, mengaibkan dirinya dan menjatuhkan maruahnya.

Jika ungkapan umum tidak dibenarkan, maka silakanlah kritik Tuan Guru Nik Aziz kerana ketika ceramahnya berkenaan isu “Barua”[10], beliau mengatakan taubat yang sebenar adalah bila kita dah minta maaf pada orang yang kita bermasalah dengannya, dan melangsaikan hutangnya, bukannya bertaubat tapi tak bayar hutang orang. Taubat sebegitu adalah taubat orang Melayu menurut Nik Aziz. Aduh…. Adakah semua orang Melayu gaya taubatnya begitu?

Jika ungkapan umum yang dapat difahami oleh masyarakat umum itu adalah dilarang kerana dianggap sebagai “pukul rata”, maka silakanlah kritik Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (http://www.saifulislam.com/) kerana dalam salah satu artikelnya ia menyatakan “Muslim Pencemar Islam”[11] (dalam bahasa Melayu, Muslim difahami dalam bentuk mufrad dan jamak). Adakah semua Muslim termasuk Muslim seperti Nik Aziz atau Hassan al-Banna atau Umar Abdul Aziz juga mencemarkan Islam? Adakah ungkapan sebegini dianggap “pukul rata” semua Muslim?

Adakah cemuhan kita bahawa kerajaan zalim bererti seluruh elemen kerajaan seperti kerani sesebuah jabatan kerajaan, atau guru sebagai kakitangan kerajaan, atau dispatch sesebuah jabatan kerajaan, sebagaimana soleh dan Islami pun ia, tetap termasuk ke dalam kelompok zalim?

Inilah masalahnya. Bila elemen-elemen dalam masyarakat seperti FRU, polis, guru, JPJ, artis, masa melayu dan sebagainya dikritik, kita bisa memahaminya sebagai satu teguran berbentuk umum. Tapi demikian golongan ustaz yang dikritik, bereti kita sedang “mencemar duli” kerana cuba menggoncang “kemaksuman” mereka, sehingga wajar saja mereka mengamuk satu kampung. Persoalan benar atau tidak isi kandungan teguran itu sudah tidak lagi penting. Soal ramai atau tidak ustaz yang melakukan kesalahan itu tidak lagi mustahak. Tapi demikian “sapa makan cili dia terasa pedas”, lantaran kem”maksuman”nyalah yang disentuh, bukan ia jadikan sebagai bahan muhasabah, melainkan asbab untuk ia mengamuk satu kampung.

KETELADANAN DALAM SOAL KETAWADHUKAN

Ustaz Hamid Abu Nashr, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin ke-IV menceritakan, ia pernah menulis surat yang panjang lebar kepada Mursyidul Am ketika itu, Imam Hassan al-Banna menyatakan ketidak puashatiannya kerana Mursyidul Am tidak mendengar pendapat syura, dan demikian teguran itu sampai kepada Setiausaha Agung Ikhwan ketika itu, Ustaz Abdul Hakim Abidin, beliau telah memarahi Ustaz Hamid Abu Nashr lantaran kononnya tidak wala’ pada pimpinan, dan yang sewaktu dengannya.

Begitu surat itu sampai ke tangan Hassan al-Banna, ternyata Imam al-Banna melayani teguran al-akhnya dalam nada yang sangat berbeza dengan Ustaz Abdul Hakim. Imam al-Banna pantas menelefon Ustaz Hamid seraya meminta maaf atas keterlanjuran Ustaz Abdul Hakim dan juga berjanji akan menghormati keputusan syura Dewan Pendiri, walau apa pun kondisinya.

Ketawadhukan seorang mursyidul am ini, meninggalkan kesan yang sangat dalam kepada bakal penggantinya itu. “Saya sangat bahagia dan merasa bahawa dakwah Islam tengah dinahkodai seorang lelaki yang rindu kebebasan serta menghargai pendapat orang lain, meski berseberangan dengan keputusannya,”[12] jelas Ustaz Hamid.

Semua orang tahu dan semua orang bisa menjelaskan bahawa antara punca maraknya gejala social di kalangan remaja lantaran mereka kurang perhatian atau kurang kasih sayang, terutamanya daripada ibubapa. Lantaran demikian, kaedah terbaik membawa mereka untuk kembali kepada dengan Islam, tentunya bukan dengan kaedah hukum dan hujah seperti yang dipraktikkan aktivis dakwah kini, tapi harus dicurahkan kasih sayang dan perhatian agar mereka benar-benar merasakan apa yang menjadi kekosongan di jiwa sanubari mereka. Itulah sebabnya, yang sering anda dapati ialah remaja-remaja sebegini lebih mudah didekati gerakan Tabligh berbanding gerakan Islam lainnya, lantaran biar Tabligh mungkin kurang dari segi hujah dan dalil, tapi mereka kaya dengan kasih sayang dan perhatian.

Maka bayangkan sahajalah andainya seorang ustaz, biar pun dia di antara ustaz yang bersungguh dan paling aktif menjalankan kerja dakwah, tapi demikian mendengar teguran dan kritikan yang dilemparkan kepada golongan-golongannya, pantas ia mengucapkan terima kasih seraya meminta maaf di atas kelemahannya dan akan berusaha memperbaikinya, biar teguran itu justeru tidak ditujukan buat dirinya! Bayangkan, betapa ramai masyarakat di luar sana akan luluh dan cair hatinya, begitu sang ustaz mempamerkan sikap penuh tawaduk sebegini!

Tapi bilamana sang ustaz saja merasakan dirinya kebal dan maksum daripada sebarang bentuk teguran dan kritikan, bisakah anda bayangkan seorang professional, atau seorang CEO, atau seorang ketua polis, atau seorang perdana menteri, untuk tunduk tawaduk mendengarkan teguran dan kritikan orang terhadapnya?

“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati..”
(Surah al-Furqon[25]:63)

PENUTUP

Bukankah Barat mula menjauhkan diri dari Gereja lantaran kecewa melihat “aksi” dan karenah “orang agamanya”? Maka sanggupkah kita membiarkan umat Islam menjauhi agamanya, lantaran kecewa dengan telatah dan keegoan para ustaznya?

Kita berbicara tentang kesederhanaan Rasulullah Saw dan para sahabat, atau seorang Umar Abdul Aziz, dan lain-lainnya, tapi kita gagal mencontohkan buat mereka erti kesederhanaan itu. Kita berbicara pada mereka tentang erti ketawahukan, tapi kita pantas melenting penuh keegoan demikian ada kritikan dilemparkan kepada kita. Kita berbicara pada umat tentang pengorbanan dan kepentingan dakwah, tapi kitalah orang yang mucl sebagai paling sibuk di dunia, serta sangat suka mencari-cari salah insane yang mahu berdakwah.

Kenapa tiada seorang pun yang mahu membela student UPM yang bergambar dengan anjing dan babi, atau setidak-tidaknya menegur mereka-mereka yang menyebarkan email yang boleh memalukan student tersebut? Tapi, mereka pantas mengamuk tatkala “kemaksuman” mereka sebagai ustaz cuba “dicemar duli”, sepertimana Kamal Atarturk yang cuba mewujudkan suasana tidak boleh dikritik dan tindakan mengkritik dianggap sebagai tindakan jenayah yang perlu ditebus dengan nyawa.[13] Lalu daripada asal orang mengambil iktibar dan pelajaran yang baik daripada artikel-artikel dan tazkirah-tazkirah berkenaan Islam, orang kemudiannya merasa jelek dan menjauhkan diri daripada Islam tatkala para “orang agama” mula berdebat dan bertengkar tidak berkesudahan. Marilah kita ambil iktibar daripada kisah pengislaman Yasin Benz[14] yang begitu benci terhadap sikap “pandai cakap” atau “Pengkritik AF” gereja, lalu semakin bertambah menjauhinya.

“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir?”
(Surah al-Baqarah [2]:44)

“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan.”
(Surah as-Shaf [61]:2-3)

Ya, marilah kita walk the talk terhadap apa yang kita perkatakan. Ternyata banyak yang bisa kita pelajari daripada kata-kata si Gopi, “Pegang saja tarak guna. Mau saya bacakan….?”


RUJUKAN

[1] Hadith riwayat Bukhari. Matan penuh boleh dirujuk dalam kitab an-Nikah, bab Mau’izhatur Rajuli Ibnatahu li Haali Zaujiha, Fat-hul Baari IX/3849, no. 5191

[2] Khumais as-Sa’id, “Pelajaran Penting dari Marahnya Nabi SAW”, Pustaka Ibnu Katsir(2005), ms. 94-103

[3] Dr. ‘A’id Abdullah al-Qarni, “al-Qur’an Berjalan: Potret Keagungan Manusia Agung”, Sahara Publishers(2006), ms. 269 (tajuk tentang Rasulullah SAW sebagai pemimpin kepribadian dalam soal kezuhudan)

[4] Syaikh Muhammad al-Utsaimin, “Syarah Riyadhus Shalihin (Jilid 2)”, Darul Falah(2006), ms. 453-459

[5] Prof. Dr. Hamka, “Tafsir al-Azhar (Juzu’ 30)”¸Pustaka Panjimas(1985), ms. 255

[6] Terjemahan hadith diambil daripada buku Mustafa ‘Abdul Rahman, “Hadith 40: terjemahan dan syarahnya”, Dewan Pustaka Fajar, ms. 155

[7] Dr. Yusuf Qardhawy, “Syaikh Muhammad al-Ghazali Yang Saya Kenal (Saikh al-Ghazali Kamaa Araftuhu: Rihlatu Nishfi Qarnin)”, Robbani Press (1998), hlm. 21

[8] Iklan Berita Harian seperti yang tersiar di kaca televisyen

[9] “Sabili” Edisi 9 Th. XII, 19 November 2004/ 6 Syawal 1425, Ruangan “Telaah Khusus”, ms. 96-104. Sosok-sosok yang ditampilkan semuanya adalah kader parti Islam PKS iaitu Ketua MPR dan mantan Presiden PKS Hidayat Nur Wahid, mantan anggota DPR Komisi I Pak Mashadi, serta anggota DPD Sulawesi Selatan Abdul Azis Kahar Muzakkar.

[10] Kaset ceramah Tuan Guru Nik Aziz berkenaan isu “Barua”, mensyarahkan tafsiran al-Quran surah al-Baqarah [2]:189-196

[11] Ruangan “Teladan Hidup” oleh Hasrizal Abdul Jamil, Majalah “I” Bil. 58 keluaran Ogos 2007, ms. 46-47

[12] Khozin Abu Faqih, “Bersama 6 Mursyid ‘Am Ikhwanul Muslimin”, Auliya Press(2006), ms. 116-118

[13] Dr. Abdullah Azzam, “Turki Negara Dua Wajah: Pengkhianatan Atarturk Terhadap Dunia Islam”, Alam Raya Enterprise(2007), ms. 4

[14] Kholid Abu Sholih, “Akhirnya Mereka Lari Dari Neraka: Kisah nyata orang-orang yang hatinya tersinari oleh Islam”, WIP(2006), ms. 28-34


.:.al-ahkam.net.:.