Saturday, May 29, 2010

~...ReFLekSi akhir...~


Bismillah~

Sambungan…



Cerita Pakaian

Bagi yang biasa berjubah semasa belajar mesti menghadapi masalah apabila diberi pesanan warisan oleh senior-senior iaitu ‘masa praktikum nanti tak boleh pakai jubah tau’. Sejak tahun pertama sehinggalah ana semester 7 (sebelum praktikum) pasti ada yang memberi pesanan sebegitu. Seorang kakak senior pernah bercerita dia pernah ditegur oleh pengetua sekolah supaya tidak memakai jubah walaupun dia hanya cuba pakai semasa hari jumaat sahaja. Memang pelik dan sering tertanya kenapa praktikum tak boleh pakai jubah. Apa masalah dengan jubah? Haishh..peraturan manusia memang pelik. Nak tak nak sebelum praktikum mencari juga semula koleksi baju kurung.Alhamdulillah. sebenar sekolah ana tiada masalah, ana pakai juga jubah sebab peraturan sebegitu terpulang pada pengetua atau guru sekolah berkenaan. Mujur pengetua dan guru-guru sana ‘sporting’. Semasa berborak dengan guru senior sekolah berkenaan, dia turut memberitahu bahawa sememang ada dalam pekeliling bahawa guru dilarang memakai jubah. Pelikkan kenapa jubah dilarang tetapi baju kebaya dengan kain terselak tidak dilarang.TAK FAHAM! Tapi itulah nama pun peraturan ciptaan manusia, sedangkan peraturan(syariat) Allah Taala pun manusia tanpa perasaan melanggar apatah lagi peraturan ciptaan manusia. Ramai juga guru-guru yang memakai jubah.jadi ianya tiada masalah…Cuma satu perkara yang sukar nak pesan kat para pelajar bab menutup aurat, bagi sekolah agama lain cerita, tapi ini sekolah 1Malaysia. Pakaian sukan mereka lengan pendek, walaupun kita menyuruh pelajar perempuan memakai sarung lengan tetapi sebahagian guru-guru sendiri tidak prihatin bab aurat maka bagaimana pelajar nak ikut.  Inilah cabaran sekolah sekular. Pepatah menyebut ‘Guru kencing berdiri pelajar kencing berlari’.



Cerita Kelas

Pada posting jurnal praktikum yang lepas mungkin ana telah memberitahu bahawa ana mengajar kelas pertama, tengah dan terakhir. Pakej lengkap untuk merasai variasi cabaran dalam mengawal kelas. Memang seronok mengajar kelas pertama ini, biasalah pelajar-pelajar pandai mereka lebih cepat faham dan mudah mengikut arahan. Kelas tengah ini pula macam-macam juga ragamnya. Dan paling sakit kepala dan boleh mengundang ‘sakit jiwa’ (jika terlalu ikut perasaan) ialah kelas hujung. Sebenar pelajar-pelajar kelas hujung ini kebanyakan mereka kekurangan kasih sayang dan tiada semangat untuk belajar. Peranan guru-gurulah memberi kata-kata positif pada mereka. Jangan disumpah seranah dan jangan sesekali menghina mereka sekalipun mereka memang degil dan sangat-sangat nakal. Semasa ana memuji beberapa orang pelajar kelas akhir ini mereka macam terkejut dan berkata ‘cikgu tipu..’. ternyata mereka telah meletakkan ‘mindsetting’ mereka bahawa mereka budak tak pandai dan malas. Hal ini berikutan kerana cikgu-cikgu sendiri yang melabel pelajar sebegitu. Sedangkan mereka juga berpotensi mencapai kecemerlangan diri. Walaupun mungkin bukan bidang akademik semata. Ana tertarik pada kisah yang disampaikan oleh Dr.Tengku Asmadi (Pakar motivasi ) seorang profesor di Jepun telah berjaya mencari formula untuk mengembalikan prestasi pelajar di sebuah sekolah di Jepun. Setelah ditanya apakah formula yang telah dibuatnya, rupanya dia tiada mencipta apa-apa formula tetapi dia telah mengubah suai kedudukan pelajar di kelas-kelas. Jika sebelum ini sekolah tersebut mengkelaskan pelajar yang terpandai dalam satu kelas dan tercorot dalam satu kelas yang lain, profesor tersebut telah mencampuradukkan pelajar yang pandai dengan pelajar yang corot. Dan ternyata para pelajar kategori corot tersebut mampu menunjukkan prestasi sebanding pelajar kategori pandai. Maka asbab utama yang berjaya dikenal pasti adalah motivasi guru-guru itu sendiri. Apabila pelajar telah diasingkan mengikut ketegori pandai dan tak pandai ini, secara automatik minda guru telah ditetapkan bahawa kelas pandai ini mesti kena fokus dan penyampaian yang serius tetapi kelas hujung ini pula, alahai malasnya nak masuk mengajar, dah lah malas belajar main-main sahaja mereka, jadi tak mengapalah tak perlu mengajar beriya sangat. Beri mereka salin nota senyaplah kelas. Virus inilah yang melanda dikalangan pendidik, mungkin tidak semua tetapi majoriti. Ana juga tidak terkecuali apabila berada di kalangan guru senior yang bersikap sebegitu terkadang diri sendiri juga hilang motivasi nak memanusiakan manusia di kelas hujung ini. Ana menyarankan kepada bakal-bakal guru untuk telaah metod pengajaran sistem khalifah institut (klik laman) banyak manfaat dengan skop paradigma yang berbeza tetapi sangat berguna untuk pendidik yang benar mahu mentarbiyyah anak didik mengikut acuan al-quran dan as-Sunnah.



Guru Pembimbing

Guru pembimbing adalah guru senior yang akan kita ambil alih kelas mereka. Berbaiklah dengan guru pembimbing supaya dapat tunjuk ajar yang berkesan daripadanya. Redhalah sekiranya menerima guru pembimbing yang ‘skema’ dalam pencerapan. Memang cemburu bila tengok guru pembimbing rakan lain ‘sporting’ dan pemurah dalam memberi markah. Tidak mengapa dan tak perlu risau anggap inilah yang terbaik buat kita. Setakat penilaian manusia apalah sangat kan. Yang penting kita ikhlas semasa dinilai Allah Taala. Ana memang dapat guru pembimbing yang agak ‘skema’, terkadang ‘tension’ juga. Tetapi tidak mengapa kita akan belajar untuk lebih berhati-hati dan menghargai peluang yang ada. Minggu terakhir praktikum baru ana tahu kenapa guru pembimbing bersikap begitu rupanya semasa dia praktikum dia mendapat penyelia petang sebagai guru pembimbing dan merupakan seorang yang sangat teliti. Maka sudah pasti bakat pencerapan tersebut menjadi warisan untuk diperturunkan kepada bakal-bakal guru yang dicerap. Alhamdulillah alla kulli hal.



Cerita Usrah

Beberapa sahabat bertanya kepada ana perkembangan usrah yang pernah ana ceritakan sebelum ini. Alhamdulillah, sejak dari permintaan seorang ustaz di sekolah tersebut supaya ana membuat aktiviti untuk pelajar perempuan maka tanpa menunggu suruhan dan saranan kedua terus bertindak sendiri(mungkin ustaz tersebut marah ana tidak ikut MLM dia). Ternyata mereka sangat-sangat dahagakan tarbiyah islam yang sebenar. Semasa sesi taklimat sebelum praktikum sememang kita dipesan supaya tidak membuat aktiviti tambahan tanpa arahan (usrah dan halaqah la tu yang dimaksudkan) seperti yang pernah senior buat kerana jika disabit kesalahan boleh mengugat kelancaran pemarkahan praktikum. Alhamdulillah sempat membuat usrah 3 kali seminggu (2kali pengisian perkongsian + 1kali tayangan video muhasabah). Waktu pelajar pulang 1.15 petang bagi pelajar menengah rendah dan 1.50 petang bagi pelajar menengah atas. Guru-guru pula pulang selepas jam 2.30petang. Jadi memang punya kesempatan untuk bersama pelajar terutama selepas solat zohor. Malah kalau pulang rumah awal pun kebiasaan aktiviti adalah tidur (rupanya penyakit kebanyakkan cikgu pagi wajib tidur petang, aduss memang tak suka tidur petang). Terharu tengok komitmen mereka yang sanggup pulang lewat. Kelemahan; ana tidak sempat melatih mereka cara berkongsi bahan maka, menjadi masalah untuk mereka yang mahu meneruskan usrah selepas ketiadaan ana. Cadangan dari seorang ustaz; tubuhkan badan dakwah (BADAR) dari kalangan mereka, samaada membentuk persatuan baru atau menggunakan persatuan yang ada.Beri latihan dan kesedaran untuk mereka terus menjadi contoh remaja islam yang sebenar disamping  amar makruf nahi mungkar.



Cerita Sekolah

Sekolah yang ana praktikum bukan sekolah pilihan kerana asalnya ana mahu memilih sekolah di Bangi kerana ada rumah percuma yang ditawarkan =). Tetapi kawan telah meletakkan nama ana untuk sekolah di Seremban. Buat rayuan nak tukar kepada pihak Unit Latihan Mengajar sudah tidak dilayan. Akhirnya penempatan praktikum di Negeri Sembilan ditutup dan kami yang tersenarai di Negeri Sembilan di’campak’kan di antara negeri Pahang, Perak dan Selangor. Maka, begitu alkisahnya ana berpraktikum di Bestari Jaya yang maju jaya. Alhamdulillah sekolah luar bandar dan mempunyai pelajar yang agak liar dan sedikit nakal ini benar-benar memberi kesediaan buat kami untuk menghadapi sekolah yang mungkin lebih teruk dari ini bila ‘posting’ nanti. Jika berpraktikum di sekolah pelajar-pelajar yang bijak pandai dan tiada masalah disiplin tentu kurang pengalaman yang dapat dikutip kecuali cabaran menghadapi keintelektualan pelajar. Apapun dimana kita diletakkan itulah yang terbaik dan carilah ruang dan peluang untuk menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain.



Sekian tamat sudah laporan penuh (perkongsian, pandangan dan luahan) EDISI PRAKTIKUM…moga ada manfaat buat mereka yang mahu ambil manfaat. Sudah pasti ada yang tidak setuju dengan pandangan yang ada, sejuta kemaafan dipohonkan jika ada yang terasa atau ana salah berkata (harap sudi ditegur). 1001 cerita mahu dikongsi sebenarnya tetapi ruang masa yang terhad dan beberapa tapisan perlu dibuat. Walaupun praktikum sebagai pendidik di sekolah telah berakhir praktikum kehidupan sebenar terus berlangsung. Praktikal kehidupan bukan sekadar merealisasikan teori tetapi juga melahirkan pengajaran dan panduan buat hari mendatang. Di sinilah peranan aqal dan iman memanipulasikan hayat yang dipinjamkan.

p/s: alhamdulillah belum tamat praktikum ditawarkan kerja(staff+pengajar+penyelia=3 dalam 1) di sebuah madrasah tahfiz (institut swasta). Teruskan mengutip mutiara berharga dari pengalaman dunia pendidikan.

Sekian, Jazakumullahu khayron jaza’ buat pembaca Edisi Praktikum.

Allahu’alam~

~...karya: sajak 'antara'...~



~ANTARA~

lorong sunyi, suram dan sepi,
jalan sesak, riuh-rendah, sorak dan tawa,
ruang luas, kosong, dan bercahaya
suasana kelam, silau dan sirna,
dua jalan dua keadaan,

bersendiri berdikari
berteman, berpautan tidak betah sendiri,
terkadang perlu sendiri terkadang harus bersama berlari,

melihat dengan mata hati,
merenung dengan mata akal,
mentafsir dengan ilmu diri,
menganalisis dengan neraca islami,

sama tetapi berbeza,
berbeza tetapi diciptakan sama,
unik kejadian bukti kehebatan,
hanya bisa dirasai oleh jiwa mencari kepastian,

hitam putih warna kehidupan,
bukan salah memilih hitam,
terkadang si Hitam lebih mengenal si Putih,
berbanding si Putih sering perasan cukup Putih,

ruang dan masa,
peluang dan kesempatan,
cabaran dan risiko,
kenangan dan harapan,

antara hidup dan mati,
antara iman dan kufur,
antara rahmat dan murka,
antara TUAN dan Hamba,

hidup bukan memilih antara
tetapi natijah pilihan...


p/s: minta maaf jika sukar difahami, luahan sajak 'syok sendiri' =p


Sunday, May 16, 2010

~...ReFLeKSi...~


bismillah~

Refleksi dengan guru tidak dapat dipisahkan.Ibarat isi dengan kuku. Setiap hari selepas pengajaran dan pembelajaran (PnP) guru mesti membuat refleksi untuk tatapan pengetua dan muhasabah diri. Walaupun beza Rancangan Pengajaran Harian (RPH) guru pelatih dengan guru tetap, guru pelatih lebih panjang dan teliti RPH mereka  tetapi refleksi tetap sama kena buat untuk tatapan pengetua dan muhasabah diri, (yang lebih penting RPH guru pelatih akan disemak oleh pensyarah pembimbing dan guru pembimbing apabila dicerap PnP mereka.

Alhamdulillah, tamat sudah praktikum(latihan mengajar) selama 14 minggu. Maka, sekaligus tamat juga pengajian ana di UPSI selama 4 tahun. Semoga segalanya berjalan lancar.Allahuma ameen.

Seperti yang diminta oleh adik-adik(junior) di UPSI supaya membuat refleksi keseluruhan sepanjang praktikum. Maka, suka ana berkongsi, moga ada manfaat untuk bakal-bakal guru praktikum akan datang.


CERITA PELAJAR

1. "Cikgu, 'shaking' cikgu." ujar seorang pelajar lelaki India sambil menghulurkan tangan kanan untuk bersalam.
    "Sorry, can't shaking, i'm muslim can't shaking with boy."
Pada hari lain,
    "Cikgu 'shaking' cikgu." ujar pelajar india yang lain.
Tangan dikatup seperti orang Thai memberi penghormatan, "sawadikap!" ujar ana sambil berseloroh.
Hari lain,
    "Cikgu 'shaking' cikgu..cikgu tak mahu 'shaking' saya tidak mahu duduk diam, saya kacau lagi cikgu." ujar seorang pelajar lelaki india yang memang suka membuli ana. Haisshhh..penat layan budak nie.

Solusi: buat tak layan ja bila mereka mula 'naik lemak'...
TIPS PENTING: Hari pertama masuk kelas tunjukkan ketegasan bukan kebegisan dan terapkan disiplin bukan hukuman membuta tuli. Terus-terang ana gagal bab nie, jadi nasihat untuk orang lain cubalah aplikasinya.
2. "Cikgu..betul ke cikgu 'couple' dengan cikgu Y?" tanya seorang pelajar perempuan tingkatan 3
"aik, macam mana pulak boleh timbul isu saya 'couple' nie." balas ana
"Tak de, ada budak perempuan beritahu cikgu dengan cikgu Y 'couple' sebab diorang nampak cikgu dengan cikgu Y masa jaga lompat tinggi hari tu "balasnya
"Masa tu kan ada seorang lagi cikgu perempuan, kat tengah padang kitorang bertugas tak akan begitu pun disebut 'couple'?" balas ana yang pelik dengan mereka, sebab cikgu yang dikaitkan tersebut jarang sekali ana bertegur dengannya.
Pada masa lain...
"Cikgu nak tanya sikit boleh, cikgu dengan cikgu X ada apa-apa ke?" tanya seorang pelajar perempuan tingkatan 5.
    "Nie gosip dari arah mana pulak nie, utara selatan timur barat?" balas ana.
"Saya dengar dari kelas ke kelas."

Pencerahan: Cikgu X dan CIkgu Y adalah guru pelatih dari UPSI. Biasalah cikgu lelaki muda+bujang memang kena sedialah layan ke'gedik'an pelajar perempuan hari ini. Di kalangan mereka saling meminati guru lelaki dua orang nie. Sedih juga dalam sibuk ana buat promosi 'no couple' nama sendiri pula dicanangkan mereka. Gara-gara ingin bersaing sesama mereka dan mahu kawan lain cemburu maka, tercetuslah gosip yang cuba dicanangkan dengan nama ana. Alhamdulillah hari terakhir pelajar tingkatan 5 tadi meminta maaf dan menangis.

3. "Cikgu kenapa selalu nak bangun cikgu suruh duduk?" seorang pelajar perempuan cina bersuara tidak puas hati.
Ana hanya membalas dengan senyuman.Tidak mahu berkata apa.
Pada hari lain,
"Cikgu selalu macam ni, nanti diorang tak mahu hormat cikgu."ujar seorang pelajar pempuan india.
"Tak mengapa hormat tidak semestinya dengan berdiri." balasku, padahal saya bercakap kamu semua bercakap tu kira tak hormat juga getus hatiku sendiri.

Sebenar sejak awal lagi apabila ana masuk ke kelas ana akan suruh pelajar duduk setelah mereka baru nak bangun memberi salam. Semua pelajar terpinga-pinga pelik dan ada juga buat tak kisah sebab memang berat punggung nak bangun (malas)..Namun sebaliknya setelah memberi masa mereka bersedia untuk memulakan pembelajaran ana pula yang akan memberi salam kepada mereka. Walaupun tidak sempat diterangkan kepada semua alhamdulillah sempat menjelaskan kepada pelajar islam, nabi shalallahu alayhi wa Salam tidak suka diberi perhormatan dengan berdiri untuk baginda, jadi siapakah ana untuk membiarkan perkara sebegitu. Walaupun mungkin dibuat sekadat adat, tapi apa maknanya?

Rasulullah Shallallaahu ‘alayhi wa Salam bersabda,

“Barangsiapa suka dihormati manusia dengan perhormatan dalam bentuk berdiri, maka hendaklah dia bersiap sedia dengan tempat duduknya di Neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih)
Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata,
“Tidak seorang pun yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah Shallallaahu ‘alayhi wa Salam. Tetapi, bila mereka melihat Rasulullah Shallallaahu ‘alayhi wa Salam (hadir), mereka tidak berdiri untuk beliau. Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa beliau membenci perkara tersebut.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih)
Ini adalah kerana para sahabat Rasulullah Radhiallaahu ‘anhu yang sangat mencintai Rasulullah Shallallaahu ‘alayhi wa Salam pun apabila mereka melihat Rasulullah Shallallaahu ‘alayhi wa Salam masuk ke dalam sesuatu majlis, mereka tidak berdiri untuk beliau. Kerana mereka mengetahui bahawa Rasulullah Shallallaahu ‘alayhi wa Salam tidak menyukai perkara tersebut.


CERITA CIKGU

"Bina hubungan yang baik dengan guru-guru dan pihak pentadbir." inilah pesanan lazim yang dipesan kepada bakal-bakal guru dan guru pelatih.
Benar, sikap ringan mulut bertanya dan bersapa itu nilai murni yang perlu dalam masyarakat supaya kita saling mengenali dan ambil peduli. Namun dalam bersikap ramah-tamah jangan pula hilang prinsip diri dan tiada sempadan dosa pahala. Kebiasaan di kalangan kaum hawa di peringkat masyarakat mana pun bergosip (mengumpat/memfitnah) itu perkara biasa. Malah perbualan itu tidak sedap atau kurang manis (tidak cukup rasa) jika tiada selingan gosip. Begitu juga di kalangan guru-guru di bilik guru(bukan semua). Pandai-pandailah jaga diri dan iman. Bersikap sederhana itu mungkin lebih baik. Walaupun seboleh mungkin kita nak menunjukkan keramahan jangan sampai main layan je umpatan.
Firman ALLAH TAALA yang bermaksud : 
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." -(Surah al-Hujurat ayat 12)


bersambung....


Allahu'alam~

Saturday, May 1, 2010

~...TerSisih...~

bismilllah~

Tertarik dengan sebuah iklan aiskrim jenama popular yang sedang ditayangkan di kaca televisyen tika ini. Apa yang membuat ana tertarik adalah bagaimana seorang anak kecil meletakkan kedudukan ayahnya di pandangan matanya. "Ayah tidak pandai mendandan, ayah tidak pandai memasak, , ayah tidak pandai berkebun, banyak lagi yang ayah tidak pandai, tetapi ada sesuatu yang ayah tahu, ayah tahu saya suka hari minggu dengan menikmati aiskrim....dan ayah memang hebat!" Begitulah lebih kurang dialog kanak-kanak comel tersebut. Dalam banyak-banyak kekurangan yang ingin disenaraikannya hanya satu kelebihan ayah yang dapat dikongsi lalu kelebihan itu membuatkan dia lupa dan tidak kisah kekurangan lain yang ada pada ayahnya...SubhanaAllah alangkah indahnya jika semua anak-anak hari ini memiliki sifat sebegitu.

Lumrah kebiasaan manusia, seseorang yang telah berbuat banyak kebaikan pada kita, apabila dia melakukan satu kesilapan kita mudah menghukum kesilapan yang dilakukan sehingga menafikan kebaikan yang telah dia lakukan. Dalam konteks habluminnannas (hubungan sesama manusia) sememang alam manusia tidak lari dari sifir sebegitu, walhal diri sendiri pun tidak maksum(terlepas dari berbuat dosa). Tetapi teramat menyedihkan jika seorang anak mengambil tugas Tuhan dengan menghukum ibu bapa sendiri. Hebah berita di dada akhbar ibu bapa yang menzalimi anak-anak, sama ada kes buang anak, dera anak, rogol, tidak beri nafkah dan sebagainya. Namun, bagaimana pula kes sebaliknya anak-anak menzalimi ibu bapa? Sepak, terajang, kurung, pukul dan sebagainya. Tentu ada yang jarang mendengar kerana bukan berita sensasi. Tapi itulah realiti yang ingin dikongsi.


Alhamdulillah, pada hari sabtu yang lepas (24 Aupril 2010), ana bekesempatan melawat Rumah Seri Kenangan,  Tanjung Rambutan yang terletak di daerah  Ulu Kinta Perak. Sebenar lawatan ini adalah agenda matapelajaran Sivik. Ana diminta menjadi guru pengiring. Walaupun saat akhir diberitahu tetap teruja kerana sejak dari bangku sekolah, ana sangat teringin melawat rumah orang-orang tua, kerana warga emas ini mesti memerlukan tempat untuk berkongsi cerita, dan pastinya itu peluang keemasan yang harus diambil oleh golongan muda untuk belajar dari cerita kehidupan mereka yang terlebih dahulu makan garam.

Rumah Seri Kenangan ini di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Di Malaysia terdapat hanya 3 buah rumah kebajikan untuk warga emas, iaitu terletak di Cheras Kuala Lumpur,  Ulu Kinta Perak, dan Perlis. Rumah Seri Kenangan ini mempunyai 384 orang penghuni. Lebih kurang 150 orang penghuni beragama islam. 70% penghuni mengidap sakit mental. Kebanyakan penghuni Rumah Seri Kenangan ini merupakan warga emas yang merempat dan terbiar di kaki lima dan sekitar bandar Ipoh.

Sempat mendengar luahan hati dua orang mak chik. Seorang tidak pernah berkahwin (tiada suami dan tiada anak untuk menjaganya). Selepas kematian ibu bapa, beliau tinggal sendirian, lalu penduduk kampung yang risau akan keselamatan warga emas ini (dirompak,samun,rogol,bunuh) menghantarnya ke sini.Moral cerita jangan ada wanita yang bercita-cita tak mahu kahwin sebab nanti masa tua tiada siapa nak jaga =p..(realiti : memang ada wanita tidak mahu berkahwin).

Seorang lagi mak chik yang mungkin pangkat nenek ana. Rodziah (dengan loghat Perak) dia memperkenalkan namanya  pada ana. Melihat senyuman yang terukit di wajahnya membuahkan kerinduan dihati kepada arwah nenek, kerana senyuman yang serupa ukirannya. Sangat sedih cerita mak chik Rodziah ini kerana dia dilayan seperti orang gaji oleh anak yang dijaganya selama ini. Dia ditengking, diherdik,disepak dan diterajang.

Dan pelbagai lagi 1001 kisah tersemat di kalbu warga-warga emas di sini, yang tersisih dan terbuang jauh dari anak-anak. Terfikir juga bagaimanakah keadaan kita (jika panjang umur) di masa tua nanti. Wahai anak-anak ingatlah bahawa putaran alam ini ibarat roda. Apa yang lebih penting setiap amal walau sebesar zarah pasti ada balasannya. Sekalipun mungkin kita mempunyai alasan bersikap demikian kepada ibu bapa kerana mungkin atas kesilapan mereka dahulu, tetapi kita bukan penghukum. Jika benar besar dosa mereka tapi itu antara mereka dengan Tuhan, jangan pula kita warisi dosa dengan menyisihkan mereka. 

Allah Taala berfirman yang bermaksud;

"Dan Rabbmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah (beribadah) selain Dia dan HENDAKLAH BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBUBAPA. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya telah sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah engkau mengatakan "Ah!" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Rabbku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku pada waktu kecil" (Surah al-Isra': 23-24)

Diceritakan oleh Muawiyyah bin Jahimah r.a:

Bahawasanya Jahimah r.a. datang kepada Rasulullah sallahua'layhiwassalam dan berkata: 'Wahai Rasulullah, aku ingin berperang, dan aku datang kepadamu untuk bermusyawarah'. Maka Beliau sallahua'laihiwassalam bersabda: "Apakah engkau masih mempunyai ibu?" Ia menjawab, "Ya." Beliau sallahua'layhiwassalam bersabda: "Hendaklah engkau tetap berbakti kepada ibumu kerana sesungguhnya syurga berada di bawah telapak kaki ibu" (Hadis Riwayat An-Nasae'i dengan sanad yang hasan) 

Gambar yang sempat di'candid' :



Allahu'alam~