Monday, October 18, 2010

~...Selamat berIJAZAH wahai bakal-bakal JENAZAH...~



Bismillah…

Minta maaf jika ada yang kurang senang dengan tajuk tersebut. Apa ni, masa inilah orang nak ‘happy-happy’ meraikan kemenangan setelah empat tahun bertungkus-lumus bergelar mahasiswa dia pula potong stim. Siapa pula mahu melarang kalian menjadi ‘happening’? Saya juga berkonvokesyen baru-baru ini. Alhamdulillah. Cuma itulah yang selalu pelik, orang lain teruja dan gembira saya pergi tanpa perasaan. Lebih kepada sekadar memenuhi harapan ibu bapa. Tak pergi konvokesyen pun tetap dapat transkip Ijazah Sarjana Muda kan.

Tetapi saya pulang dengan mode sentimental sikit. Bukan jiwang berkhayal tetapi bak kata orang tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat mengenali erti kehidupan. Bukan tugasan dan peperiksaan yang menjadi ingatan tapi suka-duka menjadi manusia itu pasti kekal dalam ingatan. Setiap orang ada cerita tersendiri cukuplah bagi saya kenangan terindah di alam kampus adalah pembelajaran di luar bilik kuliah, iaitu belajar mengurus emosi, mengurus hati, mengurus fikiran, mengurus nafsu, interaksi dengan warga kampus dan masyarakat serta pelbagai kemahiran interpersonal yang tidak terdapat dalam bilik kuliah dan yang paling penting menyedari nikmat penerimaan terletak pada pemberian.

Kepada rakan-rakan yang graduan UPSI 2010 ke-12 kali ini, perasan tak semasa seminggu sebelum kita menjalani latihan mengajar @praktikum dua orang rakan kita (Mohd Fadhiri bin Mohd Ariffin dan Mohd Faizol ) telah dijemput ILLAHI kerana terlibat dengan kemalangan ngeri yang berlaku di Tg.Malim. Baru-baru ini pula seminggu sebelum majlis konvokesyen berlangsung seorang lagi rakan kita (Norazmi bin Abdul Karim) telah dijemput ILLAHI ketika dalam perjalanan menghadiri konvokesyen kerana terlibat dengan kemalangan ngeri bas ekspress di Simpang Ampat, Negeri Sembilan. Moga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang soleh. Allahuma Ameen. Jejak kematian semakin hampir buat sesiapa sahaja. Meningkat usia bukan lambang kebanggaan dewasa bahawa anda matang tetapi insafilah kerana ianya tanda aras kepada hampirnya tarikh kematian. Walhal kematian tidak pernah mengenal usia.

Lantas terfikir apalah makna sekeping ijazah di saat Malaikat Maut datang menjemput? Ada sesiapa mahu menafikan bahawa dirinya bukan bakal jenazah? Menuntut ilmu itu ibadah dan itulah antara bekal kita, namun terkadang manusia itu bukan tak tahu Cuma sering lupa watak dan peranan kerana asyik terleka dibuai keindahan kejayaan sementara.

Di saat perarakan barisan graduan masuk ke dewan konvokesyen terbayang pula bagaimana hari ‘konvokesyen’ di akhirat sana nanti? Di saat menerima sekeping ijazah kita boleh mengawal tangan untuk menyambut pemberian dengan kedua-dua belah tangan. Tetapi saat ketika buku catatan amal diberikan masihkan kita punya daya dan pilihan? Sungguh beruntung mereka yang menerima buku catatan amal dari tangan kanan dan sungguh rugi mereka yang menerima dari sebelah belakang. Namun sesesungguhnya ‘konvokesyen’ di sana nilaian tertinggi hanyalah IMAN dan TAQWA bukan lagi pointer atau kelas pertama kedua dan ketiga.

Allah Azza wa jalla berfirman yang bermaksud :

“Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNYA. Maka adapun orang yang catatannya diberikan dari sebelah kanannya, maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah, dan dia akan kembali kepada keluarganya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. Dan adapun orang-orang yang catatannya diberikan dari belakang. Maka dia akan berteriak, ‘Celakalah aku!’. Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala(neraka)”.
(Surah al-Insyiqaq 84: 6-12)


p/s : Tahniah buat semua graduan walau dari mana Institusi yang anda berasal. Khas buat graduan UPSI Sarjana Muda Pendidikan Geografi  selamat berkhidmat untuk agama, negara dan anak bangsa, walau di mana kalian bakal ditempatkan.