Saturday, November 20, 2010

~...Rawat Hati dengan Agama...~



Seseorang mengadukan kepada Syeikh Utsaimin mengenai hatinya yang tidak tersentuh ketika membaca al-Quran.

Beliau menjawab, “ Bagaimanapun keadaannya, terlebih dahulu anda mesti beriman dan membenarkan hari akhirat. Hanya sahaja padanya terdapat kekerasan hati. Kerasnya hati pada zaman sekarang ini sangat banyak. Sebabnya adalah manusia tidak beribadah dan menghinakan diri di hadapan Allah dengan sempurna. Jika sahaja seseorang beribadah dan menghinakan diri dengan sebenar-benarnya di hadapan Allah Taala tentu dia akan mendapatkan kelunakkan dan kekusyukan hati. Begitu pula jika seseorang membaca al-Quran dengan disertai penghayatan, nescaya dia akan mendapatkan kelunakan hati dan kekhusyukan .

Allah Taala berfirman :

“Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung pasti kamu akan melihatkannya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah”. (Surah Al-Hasyr : 21)

Penyebab lain kerasnya hati di antaranya adalah kemunculan kerosakan dunia pada zaman ini, dan terfirnahnya manusia dengannya serta banyaknya masalah berkenaan denganya. Oleh kerana itu anak kecil yang belum berkecimpung dengan dunia dan dunia pun belum terbuka baginya, engkau dapati lebih khusyuk dan lebih mudah menangis daripada orang dewasa, kami menyaksikannya dan tentunya kalian pun menyaksikannya pula.

Aku nasihatkan kepada saudaraku yang bertanya tadi hendaklah hati dan fikirannya difokuskan kepada hal-hal yang bersangkutan dengan agamanya. Hendaklah pula bersemangat membaca Al-Quran dengan meresapi maknanya secara perlahan-lahan. Pula hendaknya bersemangat untuk menelaah hadith-hadith yang mengandungi targhib (motivasi) dan tarhib (peringatan). Hadith-hadith seperti ini boleh melunakkan hati.

(MAJMU’ FATAWA IBNU UTSAIMIN JUZ 3 HALAMAN 380)



Sumber : dipetik dari Majalah FATAWA vol.III/No.12. Disember 2007/ Dzulhijjah 1428



Thursday, November 18, 2010

~...Tol dan Perjalanan Insan...~



bismillah~

Semasa musim perayaan kesesakan lalu lintas menjadi fenomena biasa bagai suatu kemestian. Menyelusuri lebuh raya bertol akan kelihatan pula kenderaan-kenderaan beratur panjang seperti gerabak keretapi menanti giliran. Bagi yang mempunyai kad sentuh dan jalan atau ‘Touch N Go’ laluannya sedikit lancar berbanding laluan tunai tetapi laluan lencana kemas atau ‘Smart Tag’ juga yang aman sentosa dengan tenang tanpa perlu membuka cermin pintu kereta kenderaan lalu melepasi tol dengan lancar.

Bayangkan pula hakikat perjalanan manusia sebelum menemui Allah Azza wajalla kelak. Liku-liku kehidupan tersebut bukanlah terhenti dengan kematian di dunia tetapi ketahuilah wahai insan permulaannya adalah di dunia. Kerana dunia adalah jambatan menuju alam kekal abadi yakni alam akhirat.

Allah Azza wa jalla berfirman yang bermaksud:

“…Adakah kamu lebih redha kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat? Tidaklah kehidupan dunia melainkan kesenangan yang sedikit jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat”. (surah At-Taubah : 38)

Alam seterusnya yang perlu dilalui manusia adalah alam kubur. Sama ada kematian seseorang dapat dikebumikan dengan jasad atau tidak pasti tidak terlepas dari persoalan di alam kubur.

Nabi shallahu alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:

“Apabila seorang mukmin diletakkan dalam kuburnya datanglah (malaikat-malaikat) kepadanya lalu dia mengucapkan….”

(Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Menantilah insan tersebut di alam kubur sehingga datangnya tiupan sangkakala. Ketika ini tidak berguna lagi taubat bagi mereka yang belum masuk ke alam kubur. Tiupan sangkakala ini menghancurkan langit dan bumi. Tiupan kali pertama mematikan sekalian makhluk. Lalu tiupan kedua pula akan menghidupkan kembali semua makhluk sejak zaman manusia pertama dijadikan iaitu Nabi Adam alayhisalam juga samada dari zaman batu atau disebut zaman dinosaur (binatang bersaiz besar) pada berjuta-juta kurun terdahulu sehinggalah makhluk yang baru sahaja mati ketika sangkakala pertama ditiup.

“Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi maka tiba-tiba mereka menunggu (keputusan masing-masing)”. (Surah Az-Zumar 39:68)

Tiupan sangkakala yang menandakan makhluk dihidupkan semula dapat disokong dengan hadith nabi shalallahu alayhi wasallam yang bermaksud:

“Dibangkitkan setiap hamba ( manusia) mengikut sebab kematian masing-masing”.

(Hadith diriwayatkan oleh Muslim)

Perjalanan manusia dan seluruh makhluk diteruskan dengan menghadapi ‘Al-Hashar’ iaitu saatnya manusia dikumpulkan. Inilah saatnya janji Tuhan Maha Pencipta apabila sekalian makhluk datang mengadap Raja segala raja. Pemilik sekalian alam.

“Pada hari bumi diganti dengan bumi yang lain dan langit-langit begitu juga, dan mereka datang di hadapan Allah yang Maha Perkasa”. (Surah Ibrahim : 48)

Ketahuilah wahai insan saat ketika manusia itu dikumpulkan di padang Mahsyar maka bermula detik terpanjang dalam kehidupan. Penantian yang penuh kecemasan di mana selama 50,000 tahun manusia berada di sana untuk melalui beberapa lagi liku sebelum diketahui keputusan rumah kekal abadi mereka antara Syurga atau Neraka.

Di sinilah saatnya bagi orang mukmin mendapat syafa’at atas amalan yang telah mereka kerjakan di dunia. Beruntunglah umat Nabi Muhammad Shallahu alayhi wasallam kerana baginda telah dibenarkan memberi syafa’at kepada ummatnya. Namun, apalah maknanya jika ketika di dunia ummatnya melupakan Nabi Shallahu alayhi wasallam.

“Dan tidak memberi syafaat itu melainkan daripada orang yang diredhai sahaja”. (Surah Al-Anbiya’ : 28)

Seterusnya, adalah saat penyerahan buku catatan amal masing-masing. Sesungguhnya saat ini barulah manusia akan menyedari kebenaran bahawa tiap amal yang dapat disembunyikan dari pengetahuan Allah Azza wa jalla melainkan kesemuanya telah tercatat dalam kitab amalnya. Sungguh beruntung manusia yang menerima kitab catatan amalnya dari tangan kanan kerana menandakan amal kebaikannya yang banyak. Namun, sebaliknya kerugian besar bagi manusia yang menerima kitab amalnya dari tangan kiri atau di belakang. Adakah untuk menerima kitab tersebut samada dari tangan kanan atau kiri tersebut kita berhak menentukan? Jawapannya ia dengan pilihan amal yang dilakukan.

“ Dan siapa yang diberikan kepadanya kitab di sebelah kanannya maka dia akan dihisab dengan mudah dan dia akan kembali kepada kaum keluarga(yang sama-sama beriman) dengan keadaan gembira dan adapun orang yang catatan diberikan dari sebelah belakang maka dia akan berteriak,’Celakalah aku!’ dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala(neraka)”.

(Surah Al-Insyiqaq 84 : 7-12)

Selesai menerima kitab amal ini manusia akan tiba kepada saat penghisaban. Maka sungguh benar janji Allah Azza wa jalla Hari Penghisaban ini tidak ada keraguan lagi.

“Sesungguhnya kepada Kami mereka kembali. Kemudian itu urusan Kami memeriksa mereka”. (Surah Al-Ghasyiah 88 : 25-26)

Setelah sesi pemeriksaan ibarat melepasi mesin laser kastam di lapangan terbang yang dapat mengenal pasti barang larangan. Namun Allah Maha Teliti setiap amal hambaNya. Maka, setelah itu manusia akan melalui sesi menimbang amalannya. Di mana alat yang digunakan bukanlah penimbang biasa-biasa atau luar biasa yang pernah kita lihat di dunia. Hebatnya alat penimbang di akhirat ini bersikap adil dan tiada amal yang terlepas dari perkiraan Neraca Al-Mizan.

“Dan pada hari kiamat kami letakkan timbangan yang betul sehingga satu diri pun tidak akan rugi walau sedikit sekalipun”.

(Surah Al-Anbiya : 47)

Bagi golongan kafir setelah melalui timbangan al-MIzan mereka akan terus dicampakkan ke dalam neraka jahanam. Cuma yang masih meneruskan proses tapisan Allah Taala adalah golongan mukmin dan munafik. Ketahuilah wahai manusia jika anda masih berada di padang mahsyar saat ketika di peringkat ini. Manusia akan merasa sangat lapar dan dahaga. Sungguh beruntung ummat Nabi Shalallahu alayhi wasallam kerana mempunyai telaga untuk tumpang melepaskan kekeringan tekak.

Sabda Shalallahu alayhi wasallam bersabda :

“Sesungguhnyapada tiap-tiap nabi ada telaga dan mereka berharap siapa paling banyak pengikut yang meminumnya”. (Hadith Riwayat oleh At-Tirmidzi)

Di padang Mahsyar kelak merupakan hari ujian bagi iman manusia di mana manusia akan diperintahkan untuk bersujud tetapi mereka tidak mampu dan pasti menyesali keengkaran mereka ketika di dunia yang berpeluang untuk sujud tetapi tidak mahu.

“Di hari dibukakan betis diarahkan sujud tetapi mereka tidak mampu”.

(Surah al-Qalam : 42)

Peringkat paling mendebarkan lagi mengerunkan para mukmin dan munafik adalah perjalanan menuju titian as-Sirat, di mana titian itu merentangi neraka jahanam. Di sinilah para mukminin dan munafik dapat dibezakan.

“Pada hari ketika orang-orang munafik lelaki dan perempuan berkata kepada orang-orang beriman, ‘Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu’…”

(Surah al-Hadid : 13)

“Sesungguhnya tidak seorang pun di antara kamu yang tidak melaluinya…(Titian As-Sirat)”

(Surah Maryam : 71)

Sungguh beruntung para mukmin yang terselamat semasa melalui titian as-Sirat. Namun, tapisan Allah Taala untuk meletakkan mukmin tersebut ke syurga masih belum selesai.

Dari Abi Sa’ed al-Khudri telah berkata, Rasulullah Shalallahu alayhi wasallam telah bersabda, “Apabila orang-orang mukmin terselamat dari neraka maka mereka ditahan di satu tempat namanya Al-QANTHORAH di antara syurga dan neraka. Maka diqisas (dibalas sebagaimana diperlakukan di dunia seperti tumbuk balas tumbuk)di antara mereka beberapa kezaliman sewaktu di dunia…”

(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Destinasi abadi yang menjadi idaman para mukminin ini sungguh luar biasa tidak pernah terbayang di mata, tidak pernah terdengar di telinga jauh lagi dari gambaran fikiran.

“..Dan adapun orang-orang yang diselamatkan, tempatnya di dalam syurga, mereka tetap di situ selama ada langit dan bumi, melainkan menurut kehendak Tuhanmu. Pemberian yang tiada putus-putus”.

(Surah Hud : 108)

Friday, November 5, 2010

~…BELAJAR DARI BATU…~




Sebelum belajar erti batu,

Jangan jadi hati batu dan kepala batu,

Apatah lagi batu api,

Moga kita semua terpelihara dari menjadi sebahagian batu api neraka..



Ada apa dengan batu?

Wahai insan batu di jalanan tiada siapa pedulikan

Kerana ianya tidak menarik lagi tidak berharga sering terdedah kepada proses luluhawa dan hakisan,

Batu berharga pula tak duduk atas bumi tapi berada di dalaam lapisan bumi yang dalam,

Memakan masa bertahun dan menjalani tekanan dalam bumi yang bertubi sebelum muncul sebagai permata berharga rebutan manusia..

Sebagaimana rukun fitrahnya pembentukan batuan berharga, wajarlah manusia mengambil manfaat akan proses keberhasilan sesuatu matlamat dan kejayaan… segalanya mempunyai harga, hanya mereka yang kenal erti sakit, erti pengorbanan, kesungguhan, keikhlasan akan hargai erti kejayaan…

Namun jangan pandang rendah pada batu jalanan,

Alihkan pandanganmu sejenak kepada saudara kita di Palestin,

Betapa bertuahnya batu itu,

Tidak berharga bagi mereka yang cintakan dunia, tapi bagi pejuang-pejuang agama di sana batu itulah senjata berharga…

Bukan keberhasilan batu sebagai penilaian tetapi usaha jitu yang yakin kemenangan akan datang dari Tuhan…

.:Sesungguhnya tiada suatupun ciptaan-MU yang tidak berharga:.

~...CERPEN : "Anak-anak Syurga" ...~




bismillah~

Sudah lama tidak mengarang cerpen, ada beberapa cerpen yang tidak sempat disiapkan. Sebenar ana suka berkongsi kisah menarik atau perjalanan hidup orang lain melalui cerpen. Cerpen berikut hampir setengah tahun di peram, sebenar dibuat bukan untuk blog tapi tiba-tiba nak berkongsi kat blog nie. Sketsa kehidupan dari kisah sebenar ragam anak-anak di DQ al-Wildan (nama watak mungkin bukan nama sebenar).

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dari jauh kelihatan dua beradik sedang bertengkar, ustazah Asma’ segera bergegas meleraikan pertengkaran dua orang anak muridnya itu.

“Kenapa nie?” tanya ustazah Asma’.

“Sofia nie orang da kata nak keluar pi surau depan nie tunggulah lelaki habis turun dulu,” ujar Aisyah dengan penuh emosi.

“Orang tak perasan, orang main pergi ja,” balas Sofia

Aisyah 2 tahun lebih tua dari Sofia yang berusia 10 tahun terus memarahi adiknya, manakala Sofia juga tidak mahu mengalah mempertahankan diri.

“Sudah..sudah sayang jangan bertengkar lagi,” sambil memeluk kedua-dua beradik itu ustazah Asma’ cuba meleraikan pertengkaran tersebut.

Sofia terus berlari keluar dari kelas yang merupakan dewan solat dan kelas mereka menghafaz al-quran. Mereka sebenarnya sedang menunggu waktu untuk bersolat jemaah dengan pelajar lelaki.

Pusat Tahfiz al-Wildan merupakan sebuah pusat menghafal al-Quran yang menempatkan kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki yang terdiri dari kalangan anak yatim, anak orang asli, mualaf, fakir miskin dan asnaf(boleh menerima zakat). Ustazah Asma’ yang merupakan graduan berkelulusan di bidang Kejuruteraan sengaja memilih jalan menjadi pendidik di pusat tahfiz ini supaya dapat menjaga hafalannya dan kerana terlalu rindukan suasana madrasah Dar Asma’ Tahfizul Quran yang merupakan titik bermulanya penghijrahan diri dari zaman kejahilan kepada mengenal agama. Walaupun tidak sama suasana al-Wildan dengan Dar Asma’, sekurangnya dia berasa perlu menimba pengalaman di tempat berbeza. Malahan di sana juga dia berjaya menamatkan hafalan quran 30 juzuk. Sudah sampai masanya dia perlu mempraktikkan ilmu untuk bekal akhirat.

“Aisyah sudah lah tu,” ustazah Asma’ cuba mendekati Aisyah yang masih tidak puas hati kerana Sofia melawan cakapnya.

“Awak, marah Sofia kerana kesalahannya atau ikut emosi semata-mata? Kita nak marah biarlah marah kerana Allah,” tambah ustazah Asma’ cuba menasihati.

“Macam mana marah kerana Allah tu ustazah?” Tanya Aisya penuh minat.

“Jika benar kita cintakan Allah Taala mestilah cinta dan benci kita pada sesuatu kerana Allah Taala juga, memcintai apa yang Allah suka dan membenci apa yang Allah Taala larang. Aisyah manusia memang tidak dapat lari dari kesilapan, kita juga tidak ma’sum dan dalam menegur kesalahan orang kita menegur kerana membenci perbuatan yang dilakukan bukan membenci orang tersebut,” ujar ustazah Asma’.

“Aisyah cuma mahu menegur saja,” balas Aisyah.

“Aisyah marah tadi sebab Sofia buat silap pergi tanpa keizinan ustazah kan, niat Aisyah baik mahu menyedarkan adik tentang kesilapannya tetapi cara marah dengan tengking tidak sesuai untuk menegur Sofia, malah tidak baik sampai bertengkar. Aisyah sebagai kakak kena menegur dengan cara baik kepada adik. Malah asalnya teguran akan jagi pergaduhan jika kita tidak dapat mengawal emosi dengan baik,” tambah ustazah Asma’ panjang lebar.

Aisyah terus mendiamkan diri.

Pelajar-pelajar perempuan lain memerhatikan sejak dari tadi drama pertengkaran Sofia dan Aisyah sehingga sesi nasihat ustazah Asma’. Kebiasaan mereka solat berjemaah di kelas mereka tapi malam ini mudirah (pengetua) meminta supaya pelajar perempuan turun ke musolla untuk berjemaah dengan pelajar lelaki. Disebabkan kelas menghafaz pelajar lelaki lewat habis jadi pelajar perempuan menunggu agak lama. Ikhtilat yang sangat ditekankan di pusat tahfiz jugalah menyebabkan Aisyah teremosi memarahi adiknya Sofia yang terlupa pesan ustazah supaya turun ke surau selepas pelajar lelaki turun.

*Ikhtilat= batasan pergaulan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim

*Musolla= surau

“Ustazah…saya banyak kali cuba untuk mengelakkan dari memandang lelaki tetapi saya selalu gagal, saya nak jadi macam ustazah Nur,” tiba-tiba Umairah datang mengadu kepada ustazah Asma’.

Ustazah Nur merupakan ustazah yang lebih tua dari ustazah Asma’, dianugerahkan Allah suara yang merdu dalam mengalunkan kalimah Allah persis suara adik Sa’ud yang merupakan al-hafiz berusia 5 tahun dan termuda di Mesir. Ustazah Nur yang juga sangat menjaga pandangan selalu menasihati pelajar perempuan agar jangan membiasakan mata liar memerhati yang bukan mahram.

Mungkin pelajar lelaki sudah mula turun surau, Umairah rasa bersalah apabila terpandang dan rasa ingin melihat pelajar lelaki. Alhamdulillah qudwah hasanah yang ditunjukkan oleh ustazah Nur menjadi ikutan kepada pelajar-pelajar:- fikir ustazah Asma’.

“A’ah saya pun macam tu ustazah,” Solehah pula bersuara apabila terdengar pengaduan Umairah.

“Saya da cuba tapi saya tak boleh,” tambah Umairah sambil menangis di sebelah ustazah Asma’.

“Tengok belum habis mencuba awak da buat keputusan untuk diri awak dengan mengatakan tak boleh. Umairah, ustazah bangga dengan awak, awak baru berusia 12 tahun tapi dapat menangis di atas kesilapan dan dosa yang awak rasakan. Sedangkan ramai lagi wanita usia bertahun-tahun tidak pernah rasa bersalah jauh lagi mahu menangis dengan dosa yang dilakukan,” pujuk ustazah Asma’ sambil mengusap lembut kepala umairah yang terduduk menangis di sisinya.

“Tak mengapa dalam meninggalkan perkara yang biasa dilakukan memang perlu kuat untuk melawan, nak membaiki diri untuk menjadi lebih baik memang perlukan mujahadah. Teruskan berusaha minta tolong kepada Allah dengan doa ye sayang. Syaitan memang akan cuba mencari titik kelemahan kita untuk digoda. Biasalah tu nak membuat sesuatu perubahan bukan automatik boleh bertukar. Tengok Abdullah tu adakah dia lahir terus boleh berjalan? Tidak..dia mula dengan meniarap, merangkak dan baru boleh berjalan dan berlari kan. Jadi biar sedikit-sedikit asalkan ada perubahan, yang penting kita tidak putus asa untuk berusaha menjadi lebih baik,” Ujar ustazah Asma’ panjang lebar kepada bakal-bakal hafizah di hadapannya.

“budak lelaki da nak mula solat,” tiba-tiba Nabila datang untuk meminta pelajar perempuan segera ke musolla.

…………………………….