Tuesday, April 27, 2010

~...Letih...~



bismillah~

Letih, penat atau kehabisan tenaga itu biasa bagi manusia, walhal haiwan juga mempunyai sifat letih. Rupanya letih dan penat masa belajar tidaklah sama dengan masa bekerja, tetapi bergantung pada jenis pekerjaan dan daya tahan individu tersebut.

Bulan April ini sememang minggu yang sangat meletihkan sepanjang iklim praktikum ini,(+ 'partime Tusyen'). Sofbal, bulan Bahasa, Puteri Islam dan beberapa lagi tugasan dalam memeriahkan agenda sekolah. Paling 'best' dan mencatat rekod apabila masuk kerja (pergi sekolah) jam 7.25 pagi dan pulang jam 7.45 malam. Gara-gara Karnival Kaunseling dan Kerjaya. Malu sebenarnya nak bercakap diri letih kerana setiap kali mahu meluah (merungut) pasti teringat bahawa beribu-ribu orang lagi yang lebih letih dari aku. Lantas kepada siapa harus mengadu kalau bukan Yang Maha Satu (Tunggal). Pohonlah kekuatan, ketabahan dan keikhlasan kepada-NYA dalam menunaikan amanah sebagai hamba.

Terngiang-ngiang di telinga, apabila memberitahu ayah akan keletihan yang dihadapi lalu ayah hanya membalas 'mana ada kerja yang tak letih'...
Dan jawapan yang sama juga telah dikongsikan kepada seorang sahabiah setelah menerima pertanyaan melalui mesej pesanan ringkas yang begitu menghairankanku akan bentuk pertanyaannya..'ukhti antara menoreh dengan cikgu mana yang lebih memenatkan?'. (salah tempat pertanyaan agaknya sebab ana hanya merasa jadi cikgu tapi tidak pernah menoreh jadi agak tidak layak untuk memberi komen.)

Perbandingan pekerjaan guru dengan penoreh getah. Pertama kita ketepikan nilaian hasil meterial (gaji) sebelum merumuskan kepenatan dua pekerjaan ini. Walaupun mungkin penoreh getah lebih kaya berbanding guru jika getah tersebut adalah miliknya.  Kepenatan bukan boleh diitimbang dan diberi nilaian dalam bentuk angka kerana penat itu sesuatu yang subjektif yang berkaitan sifat makhluk. Kepenatan itu akan hilang apabila disusuli dengan kerehatan. Kepenatan juga terbahagi kepada dua, yakni fizikal dan mental. Bercakap soal penat guru ini, silalah membaca surat kiriman pembaca di akhbar-akhbar tempatan. Berapa ramai guru yang mengeluh akan bebanan tugas. (kepada yang berhajat nak jadi guru tu bolehlah timbang semula hajat tersebut =p) Tidak dapat dinafikan, sedangkan ana yang baru berpraktikum dan tiada komitmen lain pun agak 'stress' inikan pula bagi guru yang sudah berkeluarga.

Tetapi ana suka meletakkan sesuatu kepenatan itu dalam skop kepuasan. Berbaloi tak penat untuk sesuatu hasil? Seorang guru itu kepuasannya apabila melihat pelajarnya menunjukkan perubahan kearah kebaikan, kepuasannya dapat memberi dan menyampaikan, membentuk dan dibentuk, serta mendidik dan dididik. Tugas memanusiakan manusia bukan tugas mudah apatah lagi menyemai jiwa hamba kepada diri sesama hamba Allah Taala. Apa yang penting adalah kita usaha dalam rangka kebaikan dan matlamat tulus mencari keredhaan Allah Taala. Tidak kiralah apa juga bentuk usaha pekerjaan kita. Bukanlah nilaian manusia itu yang perlu diutamakan tetapi dimana kedudukan kita di sisi Allah ar-Rahman.

"Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal."
-Saidina Ali radiallahuanha.

Allahu'alam~

~...penghargaan...~

bismillah~



Hargailah orang di sekeliling anda,,nescaya anda akan dihargai.
Kebiasaan manusia terutama apabila berapa di peringkat atau pangkat kehidupan yang penting dan teratas sering lupa menghargai jasa orang-orang kecil.



Sering kali juga apabila orang atasan ini mahu mengejar target dan matlamat sesuatu akan merasakan orang-orang kecil bagai penganggu urusan dan matlamat mereka.



Itulah lumrah manusia, apabila merasakan diri serba betul, cukup bersistem dan tiada masa berurusan dengan orang yang lemah maka, orang-orang yang lemah ini akan dipersalahkan.



Pandangan manusia itu pelbagai, ada yang melihat keindahan sebuah pulau itu dari segi keputihan pasirnya, ada pula dari sudut kejernihan airnya, kecantikan karang lautnya, atau pemandangan yang cantik. Begitu juga apabila orang melihat keburukan sebuah kereta lama dari segi enjinnya, atau mungkin dari warna cat, bentuk badan, dan sebagainya. Dasarnya laluan berfikir manusia itu berbeza maka lahirlah sebuah natijah komentar dan keputusan yang berbeza-beza.



Walau bagaimanapun, buat orang-orang kecil yang sering merasa diri diperkecilkan, semangat dilemahkan, kehadiran tak diundangi dan kebolehan dinafikan, jangan sedih jangan serik untuk terus melangkah sebaris orang-orang besar. Hidup ini suatu proses, proses pembelajaran dalam penilaian. Belajar dari manusia, belajar dari alam, belajar dari segala makhluk. Ilmu pembelajaran itu hanya boleh diperolehi apabila anda membuat refleksi terhadap apa yang diterima, dan penilaian itu dibuat terhadap apa yang kamu beri dan bertindak balas atas penerimaan.



Sedih, terkilan, kecewa, hilang semangat, dan sebagainya itu lumrah hidup manusia. Masakan Allah Taala sengaja menciptakan naluri rasa itu secara sia-sia, pasti ada nikmat untuk diberi, kerana kita tidak akan kenal manisnya gula jika kita belum merasakan masinnya garam, kita tidak akan kenal panasnya api jika kita tidak rasa sejuknya ais dan kita tidak akan menghargai bahagia jika kita tidak kenal peritnya derita.

Walau apapun yang kita terima, kenangkan apa yang telah kita beri.
Ucapkanlah Terima Kasih sebagai penghargaan kepada manusia. Sudah berapa kalikah kita mengucapkan terima kasih kepada ibu yang sering memasakkan makanan untuk kita? Berapa kalikah juga kita mengucapkan terima kasih buat ayah yang memberi nafkah kewangan dan kasih sayang kepada kita? Pernahkah kita berterima kasih kepada tukang sapu di koridor bangunan sekolah,asrama, kuliah atau pejabat? Dan ramai lagi orang sekeliling kita yang telah berbuat baik terhadap kita. Ringankan mulut mengungkapkan terima kasih sekalipun seringan perkara seperti memberikan senyuman kepada kita (kerana senyuman itukan sedekah)..dan bertasbihlah memuji Allah Taala dalam setiap keadaan supaya kita terpilih menjadi hamba yang bersyukur.


Nabi shalallahu alayhi wasallam bersabda yang bermaksud;
"Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, nescaya dia tidak berterima kasih (bersyukur) kepada Allah Taala." Hadith Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi, disahihkan al-Albani

Allah Taala berfirman yang bermaksud;
"Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya akan AKU tambahi nikmat-KU kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azab-KU amat keras." (Surah Ibrahim ayat 7)

Allahu'alam~


Friday, April 23, 2010

~...Pendidikan seks vs pendidikan agama...~


Pertubuhan guru bantah kena ajar pendidikan seks
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/04/22
Pelaksanaan secara terburu-buru timbulkan banyak masalah

KUALA LUMPUR: Pertubuhan guru membantah cadangan memperkenalkan pendidikan kesihatan reproduktif sebagai satu subjek di sekolah kerana ia disifatkan bukan penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja, sebaliknya hanya menambah beban guru. Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata kesatuan itu terkilan dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menggesa pelaksanaannya dipercepatkan tanpa berbincang atau mendapatkan pandangan daripada kesatuan guru atau peringkat akar umbi. Beliau berkata, pelaksanaan secara terburu-buru akan menimbulkan banyak masalah sehingga merugikan pelajar, tambahan pula guru ketika ini tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang kesihatan reproduktif.

“Usaha membanteras gejala buang bayi yang semakin berleluasa ketika ini harus berpaksikan pengukuhan pendidikan agama dan moral secara lebih mendalam.

“Pegangan teguh kepada amalan agama dan nilai moral yang tinggi akan mencegah remaja daripada terpengaruh dengan gejala seks bebas yang menjadi punca utama peningkatan kes buang bayi,” katanya kepada Berita Harian.

Kelmarin, Shahrizat meluahkan hasratnya untuk menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminta supaya pendidikan kesihatan reproduktif sebagai subjek di sekolah diperkenalkan segera.
Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM), Azam Md Atan, turut membantah cadangan itu dengan menegaskan usaha membanteras gejala seks bebas dan buang bayi harus bermula di rumah.

“Asas didikan fardu ain oleh ibu bapa di rumah amat penting untuk mengelakkan remaja daripada mudah terjebak dengan gejala itu.

“Justeru, PKPSMM tidak mempersetujui idea itu (memperkenalkan subjek pendidikan kesihatan reproduktif) kerana ia jelas bukan langkah penyelesaian sebenar. Tambahan pula, beban tugas guru sudah terlampau banyak di sekolah,” katanya

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pertubuhangurubantahkenaajarpendidikanseks/Article


bismillah~

Setuju dan sokong 100%..
Tiada makna jika idea sebagai langkah mengatasi dan membendung gejala sosial setakat dibuat silibus pendidikan. Umum mengetahui sistem pendidikan Malaysia berorientasikan peperiksaan. Jadi menambah subjek hanya lebih kepada menambah kertas peperiksaan dan bilangan target yang perlu pelajar skor untuk peperiksaan. Ada sesiapa kurang jelas maksud yang ana utarakan?

Maksudnya usaha membendung budaya seks bebas dan anak luar nikah ini bukan sekadar usaha memberitahu tetapi usaha menambah tahu,faham dan amal. Sistem pendidikan yang sedia ada ini kebanyakan hasil hanya setakat untuk memberitahu dan menghafal apa yang tahu...Buktinya subjek agama, praktikal pelajar setakat di kertas peperiksaan. berjilid buku dibaca, berbuih mulut ustaz ustazah menyampai tetapi masih juga kurang hidup semangat mahu beramal di kalangan para pelajar.

Jadi bukanlah usaha menambah subjek yang perlu diberi perhatian tetapi memperkasakan matapelajaran agama. Bagi pelajar bukan islam perkasakan subjek pendidikan moral. Dan tarbiyah agama juga perlu diperingatkan juga kepada para guru dan bakal guru, kerana guru itu qudwah, contoh tauladan kepada para pelajar. Malah amanah tarbiyah agama ini bukan hanya ustaz ustazah yang memain peranan tetapi semua guru beragama islam wajib beri sokongan dan bantuan. Kerjasama di kalangan guru sangat memberi kesan ke arah sesuatu usaha kebaikan.

Namun, memang tidak dapat dielakkan apabila institusi kekeluargaan tidak membantu malah mempengaruhi pelajar berperangai sebegitu. Terdapat juga ibu bapa yang lepas tangan dan tiada kesedaran. Usaha membendung masalah ini memang tidak mungkin dapat dibuat sekaligus tetapi kesedaran berperingkat itu penting. Sememang peranan guru juga untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa pelajar yang tidak reti ajar ini.Apa yang penting kerjasama dalam masyarakat sangat penting untuk membangunkan sikap kemanusiaan.

-apa yang penting? kerjasama...=p

Allahu'alam~

Sunday, April 11, 2010

~...wasiat kemaafan...~



bismillah~




Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun,
Engkau suka mengampunkan kesalahan,
Ampunilah dosaku...


Mak dan Abah yang tercinta,
Minta maaf atas kesalahan dan dosa,
keterlanjuran kata-kata dan tindakan,
Maafkan anakmu kerana masih belum dapat membalas jasamu,
walaupun pasti jasamu tidak terbalas oleh kudratku...

Kakak-kakak, abang-abang dan adikku sayang,
Minta maaf kerana gagal menjadi saudara kandung yang baik,
Maafkanku kerana terkadang bersikap pentingkan diri...

Sahabat-sahabat yang tercinta kerana Allah,
Minta maaf kerana gagal menjadi sahabat yang baik,
Selalu lupa bertanya khabar imanmu,
Selalu juga tidak menunaikan hakmu sebagai sahabatku,
Malah apabila kalian mengadukan kesedihan dan permasalahan aku tidak pandai menghiburkanmu jauh sekali memberi solusi permasalahanmu...


Dan buat semua saudara seimanku,
Minta maaf kerana tidak layak menjadi saudara seimanmu yang baik,
Minta maaf jika terpaksa menghampakan harapan kalian,
Minta maaf kerana aku bukan yang terbaik...


Segala puji hanya layak bagi Allah yang telah melebihkanku dari yang lain,
Segala puji hanya layak bagi Allah atas segala sesuatu,
Terima kasih bagi yang sudi memaafkanku,
Terima kasih kerana mengakui aku juga hamba biasa yang tidak terlepas dari dosa dan kesilapan...



~kerana bimbang tidak sempat melafazkan maaf~


~...Mengejar bayang-bayang...~

Allah Taala berfirman yang bermaksud;
"Tidakkah engkau memerhatikan(penciptaan) Tuhanmu, bagaimana Dia memanjangkan (dan memendekkkan) bayang-bayang; dan sekiranya Dia menghendaki, nescaya Dia jadikannya (bayang-bayang itu) tetap, kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk,
kemudian Kami menariknya (bayang-bayang itu) kepada Kami sedikit demi sedikit...
-(surah al-Furqan: 45-46)

bismillah~
Jadilah diri sendiri...
sebuah kata-kata ringkas tapi penuh mendalam penghayatan di hati...
kata nasihat ini pernah dilafazkan oleh seorang sahabat masa zaman sekolah dulu,
mengimbau zaman persekolahan atau lebih tepat alam awal remaja ternyata zaman mencari identiti diri itu penuh warna-warni personaliti,
Ibarat bayang-bayang yang tidak maujud,
tetapi maujudnya memberi gambaran sebuah jasad yang kukuh,
Begitulah kehidupan ada tersirat dan tersurat,
terkadang tenggelam terkadang timbul,
mengejar bayang-bayang itu sebuah kerja sia-sia,
kerana pasti bayang-bayang itu tidak dapat didakap,
tetapi kejarlah realiti yang dilihat didepan mata,
Bukan bermakna bayangan itu tidak perlu dilihat,
kerana terkadang bayangan itu penting untuk mencari kunci jawapan,
namun persoalannya bukan bayang-bayang yang diikut,
bayang-bayanglah yang mengikut,
Apa yang penting jadilah diri sendiri...
Jadi diri sendiri bukan menyuruh terus berada dalam kejahilan dan kemaksiatan,
kerana fitrah diri itu sukakan kebaikan dan kesucian,
sucikan hati mencari ILLAHI,
bersihkan diri dengan kebaikan...
Allahu'alam~

Friday, April 2, 2010

~...Gua...~




bismillah...

Pernah terfikir masa zaman sekolah dulu, ketika merasakan betapa lemahnya diri nak hadapi dugaan zaman remaja, betapa bosannya dengan hidup yang dikelilingi maksiat dan dosa. Terfikir nak duduk kat madrasah pondok, belajar agama sahaja. Di kelilingi teman-teman yang baik. Malah terfikir nak duduk dalam gua, mengasingkan diri dari dunia yang penuh noda dan dusta.

Bermesej dengan seorang sahabat mengingatkan lagi imaginasi 'pemudi khafi' tersebut.
"Ukhti ana teringin sangat nak lari dari di kelilingi masyarakat yang rosak seperti sekarang . Terasa nak tinggal di tempat sahabat-sahabat yang soleh sahaja." lebih kurang maksud mesej yang diterima dari seorang sahabat.

Lantas ana yang kini menolak imaginasi pengecut tersebut hanya mampu membalas,
"Ukhti berada di kalangan sahabat yang soleh memang itu yang sebaiknya dan tetapi terus mengesklusifkan diri dengan lari dari berusaha mengamalkan ilmu itu bukan sunnah para Nabi. Hak ilmu yang dituntut untuk diamal dan disampaikan. Jika semua penuntut ilmu, golongan ulama dan para ustaz hanya mahu duduk di kelompok yang baik, maka siapa pula mahu membaiki masyarakat yang rosak. Sememang kita tidak mampu memberi orang lain hidayah kerana hidayah itu milik Allah Taala tetapi kita disuruh untuk menyampaikan pesanan saling ingat mengingati ke arah kebenaran dan kesabaran."

Nabi Shalallahu alayhi wasalam bersabda;
"Seorang muslim yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar atas kesakitan yang mereka lakukan lebih baik dari seorang muslim yang tidak bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar atas kesakitan yang mereka lakukan." Hadith riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah


Bercakap mengenai aspek lingkungan, bi'ah atau persekitaran. Sememangnya pengaruh sekitar sangat-sangat besar kepada iman manusia. Dan kita sering meletakkan 'mind setting' apabila seseorang masuk tempat nie rosaklah dia menjadi seperti orang-orang yang berada di tempat tersebut. Misalnya, seorang pelajar A yang mahu bertukar sekolah dengan niat nak tinggalkan kawan-kawan di sekolah lama yang sangat mempengaruhi dirinya untuk menjadi nakal. Maka, dia pun berpindah ke sekolah baru yang berada di bandar besar. Guru mula menakutkannya mengenai budaya sosial di bandar yang menjadi kemungkinan besar pelajar A ini akan bertambah nakal. Akhirnya ternyata sangkaan guru tersebut meleset, kerana berbekalkan motivasi dalaman yang mahu membaiki diri, pelajar A ini mampu tegar menjadi pelajar yang baik walaupun di kelilingi pelajar-pelajar yang nakal.




Sebaliknya pula pada kes seorang pelajar B dari bandar besar yang telah mengugurkan bayi luar nikah, ditukarkan oleh ayahnya ke sekolah pelajar A yang terletak di luar bandar dengan sangkaan sekolah luar bandar membolehkan anaknya menjadi baik. Tetapi sangkaan ayah pelajar B tadi meleset sama sekali apabila selang dua tahun selepas itu anaknya iaitu pelajar B masih membuat perkara yang sama. Jelas di sini, bukanlah persekitaran itu faktor utama seseorang jadi baik atau jahat, walaupun tidak dapat dinafikan sama sekali kesan persekitaran terhadap seseorang individu. Tetapi diri sendirilah yang menentukan pilihan 'nak atau tak'.




Menyentuh pula topik motivasi, sering kali manusia mengharapkan orang lain memberikan motivasi, semangat atau perangsang kepadanya. Hakikat sebenar definisi motivasi itu sendiri berkonsepkan dari dalam ke luar bukan dari luar ke dalam, yang membawa maksud sesi motivasi bukanlah memberi tetapi sekadar mengejutkan kesedaran yang tidur dan semangat yang kelelahan.




Sememangnya iman manusia biasa itu sifatnya naik dan turun. Disaat merudumnya semangat keimanan itulah perlunya manusia kepada Tarbiyyah Dzatiyyah (mendidik diri sendiri). Bagaimana mahu mendidik diri sendiri? Setiap individu punyai cara masing-masing untuk memperbaiki diri. Namun sebagai muslim, cara terbaik adalah kembali kepada hakikat diri sebagai muslim (menyerahkan diri kepada Allah Taala dengan menunaikan segala perintah menjauhi segala larangan) dan mukmin (bertaqwa kepada Allah Taala). Dan disaat lemahnya iman itulah perlunya makanan iman agar ruhiyah dapat disegarkan kembali. Fitrah ruh manusia memerlukan sesuatu yang bersifat rohani iaitu aktiviti kerohanian dan sebagai muslim ibadah kepada Al-Rabbul Izzati. Melalui solat yang khusyuk dan menepati waktu, solat malam, baca al-Quran dan maknanya, baca al-Hadith, zikir dan puasa dapat membentuk keimanan yang mantap.
Walau bagaimanapun, dalam keistiqamahan beramal terdetik juga kelelahan di jiwa manusia dan dengan itu perlunya manusia secara konsisten terus menambah ilmu agama. Ilmu itu buahnya amal dan amal yang sahih lagi diterima itu juga hanya berasal dari ilmu yang sahih lagi benar datangnya dari dua sumber Al-quran dan as-Sunnah.
Allahu'alam~

Thursday, April 1, 2010

~....April Fool...~


bismillah~

Ana sudah lupa akan perihal budaya mengenakan orang nie atau lebih dikenali dengan 'April Fool' setiap kali berkunjungnya tarikh 1 April setiap tahun. Mungkin sebab di Universiti tiada lagi budaya lawak tidak bertempat ini. Tapi ternyata di sekolah budaya ini sangat meriah...

Pagi-pagi lagi ana sudah terkena dengan beberapa orang pelajar India. Nasib baiklah mereka ini India...cakap banyak pun tidak guna. Tapi sangat menyedihkan di kalangan guru-guru sendiri seronok menghidupkan budaya hari menipu sedunia ini. Ana tidak hairan apabila pelajar mengenakan guru. Tapi sangat hairan bila ada cikgu-cikgu pula buat 'April Fool' kepada pelajar.
Jadi, apa cerita jika pendidiknya juga seronok mengenakan kepada pelajar...pelajar pun bertambah bahagia mengenakan rakan sekolah dan para guru.


Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menghukum seseorang...kerana kita bukan penghukum. Tetapi tanggungjawab adalah menyampaikan. Mungkin mereka tidak tahu bahawa 'April Fool' bukan budaya islam, mungkin mereka memandang remeh kerana lupa bahawa ajaran Islam sangat melarang amalan menipu.
Bayangkan jika pada hari 'April Fool' itu berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya. Apabila orang ramai yang sudah biasa mengamalkan 'April Fool' ini menerima berita tersebut mungkin menyangka itu hanya berita 'April Fool'...lantas tindakan segera yang sepatutnya diambil tidak pula dilakukan. Jadi nak salahkan siapa???


berikut adalah Fatwa-fatwa ke atas April Fool....yang dipetik dari forum; http://al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=12436/postdays=0/postorder=asc/start=0.html


April Fool telah menjadi satu fenomena yang melanda keseluruhan pelosok dunia. Ia disambut dengan melakukan pelbagai penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Hakikatnya, ia adalah satu budaya yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Apakah pandangan Islam tentang hal ini? Tulisan ini akan membawakan fatwa-fatwa ulama’ tentang hal tersebut:


Dr. Yusuf al-Qaradawi hafizahullah menyebutkan:

Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah. [HR al-Bukhari dan Muslim]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda sallallahu alaihi wassalam bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam juga bersabda: “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran”. [HR Ahmad dan At-Thabrani]. Sebahagian hadis Nabi sallallahu alaihi wassalam turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]

Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentukpun. Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana empat sebab:

1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.

3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.


4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.


Shaikh Atiyyah Saqr pula menyatakan:

Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.

Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.

Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan. [Islamonline.net] Di dalam laman islamqa.com fatwa nombor: 10834

Shaikh Shalih Fauzan menyatakan: Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah sallallahu alaihi wassalam bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”

Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita akan mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.




p/s; Ana tidak boleh tengok orang luka berdarah mesti rasa ngilu, nasib baik masa seorang pelajar tunjuk yang tangan dia luka ana terus percaya dan bawa dia carikan ubat walaupun sempat bertanya, 'ke awak nak tipu saya, 'april fool' yer?'...


Allahu'alam~