Thursday, August 30, 2007

~...NASIHAT SANG SAHABAT....~

[serial ukhwah]: NASIHAT SANG SAHABAT

Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab “Tuhanku, kurniakanlah aku “khalilan shalihaa”..”

Maka tercatatlah di dalam kalam ALLAH nan indah:-

Demi Masa
Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian
Kecuali mereka yang beriman, dan beramal shalih,
Dan saling berpesan tentang kebenaran,
Dan saling berpesan mengenai kesabaran.
(Surah Wal-Ashr [103]:1-3)

“Taushiah bil haq, taushiah bish shabr”. Saling berpesan akan kebenaran dan kesabaran. Itulah antara ciri-ciri sekaligus syarat-syarat untuk terlepas daripada kerugian. Itulah juga karakteristik sekaligus watak yang ideal yang harus hadir pada diri seorang sahabat. Kerana manusia itu lebih sering meminta pandangan mahupun nasihat, daripada seorang yang dianggapnya sebagai sahabat. Begitu juga, manusia itu lebih mudah menerima nasihat, tatkala ia terpacul dari mulut seorang yang bergelar sahabat.

Maka, kehidupan itu akan lebih berseri, dan pasti lebih bererti, tatkala budaya memberi dan mengambil nasihat mula berleluasa lalu memasyarakat di dalam pentas kehidupan manusia kini. Bukan sahaja kehidupan, bahkan agama itu juga ditampung oleh budaya saling bernasihat. Bukankah junjungan kita yang mulia sahaja telah bersabda; “Sesungguhnya Agama itu Nasihat!”

Tapi, yang namanya nasihat itu bisa saja menjadi longlai lesu, tanpa mampu menghadirkan apa-apa erti, tatkala kita sebagai salah satu di antara dua pihak yang menginteraksikan nasihat –pemberi atau penerima- terjunam jatuh dari landasan nasihat yang sepatutnya.

Yang satu pemberi nasihat, tatkala ia hadir dengan gaya seorang “Pengkritik AF”. Lihatlah sendiri, seorang pengkritik rancangan realiti t.v, biarpun ia sendiri tidak pandai menyanyi, walaupun ia sendiri bersuara sumbang, namun mulutnya cukup pantas lagi pedas mengeluarkan kritikan yang terkadang entah apa-apa, seolah-olah dialah jaguh nyanyian yang sebenar-benarnya. Maka, letakkanlah siapa pun saja, hatta anak-anak yang tidak tahu apa-apa berkenaan muzik, pasti ia sendiri bisa saja mengatakan; “nyanyian awak kurang feel”, “pitching awak lari”, “awak kurang penghayatan” dan lain seumpamanya, demi memberikan kritikan yang ia rasakan terbaik. Demikianlah “Pengkritik AF”, dan demikian jualah kita, tatkala berperanan sebagai pemberi nasihat.

Nasihat diberi, tanpa menghirau apa perasaan sang penerima nasihat, walaupun kita sendiri jika di posisi itu, pasti kurang menyenanginya. Nasihat diberi, tanpa bercermin pada diri sendiri, sama ada dirinya sendiri saja mampu dan sudah melaksanakan apa yang dinasihatkannya itu. Nasihat diberi, tanpa ia ingat betapa ada kehidupan dan pembalasan Akhirat, sesudah pentas kehidupan dunia yang fana ini.

“Hai orang yang beriman! Mengapakah kamu mengatakan apa yang kamu sendiri tidak perbuat?
Amat besar kebencian ALLAH terhadap orang yang berkata, namun ia sendiri tidak berbuat.”
(Surah as-Shaf [61]:2-3)

Yang satu lagi, adalah sang penerima atau pengambil nasihat. Biar ia sendiri yang terkadang meminta nasihat, namun jawapan yang ia harapkan terpacul dari mulut temannya itu, bukanlah jawapan yang harus ia dengar, tetapi yang mahu ia dengar. Walhal, gunanya anda berteman dengan seorang nan shalih, ialah agar anda bisa dinasihati olehnya tentang apa yang harus anda dengar, bukan apa yang mahu anda dengar.

Bukankah sangat malang diri anda, tatkala anda tidak punya sahabat nan shalih, yang bisa menasihati anda, yang bisa memperingatkan anda, yang bisa memperbetulkan sekaligus menyempurnakan segala kekurangan anda, tatkala anda menyimpang dihanyut arus kehidupaan, sedang jalan perjuangan mu masih panjang?

Maka, jika anda yang dikecewakan oleh seorang wanita yang sudahpun dilamar, lalu anda minta nasihat daripada saya, saya tidak akan menyatakan “biasalah tu minat kat wanita. Itu normal..” sebagai memenuhi apa yang anda mahu dengar, bahkan saya akan memperingatkan anda betapa pernikahan itu justeru adalah kerana hendak meraih redha ALLAH. Bahawa pernikahan itu justeru adalah untuk memenuhi sunnah Rasulullah, lalu tentunya faktor-faktor agama yang paling diambil kira tatkala memilih calon, tatkala menguruskan urusan pernikahan, bahkan tatkala upacara walimah dan hari-hari mendatang, semuanya harus mencerminkan nilai “agama” yang paling tinggi. Lalu, bagaimana mungkin anda menangisi dan meratapi seorang wanita yang sudah dilamar, sedangkan haram hukumnya mengharapkan wanita yang sedang dalam lamaran saudara anda sendiri? Walhal, cinta nan suci adalah cinta yang mendatangkan halawatul iman (kemanisan) iman, bukan cinta yang menjadikan anda buta dan tuli, lalu semakin jauh anda dari landasan Ilahi.

Jika seorang yang mempunyai seorang teman wanita dan ingin menumpangkannya menaiki kenderaan meminta nasihat daripada saya, saya tidak sewenangnya menyatakan “hukumnya harus asal anda tidak bermaksiat kepadanya..” seperti mana yang mahu anda dengar, tetapi bahkan saya akan menasihatinya, bayangkan perasaan dan syak wasangka isteri anda, andainya ia tanpa tersengaja melihat seorang wanita menumpangi kenderaan anda, biar pun anda tidak melakukan dosa dengannya? Bayangkan betapa ramainya orang akan berburuk sangka terhadap anda, andainya anda
tetap menumpangkannya tanpa sebarang keperluan yang mendesak? Ingatlah bahawa biarpun sesuatu perkara itu harus atau halal, bukankah di dalam islam ada juga yang dinamakan saddudz dzara’I, iaitu menutup pintu fitnah?

Jika seorang yang bakal bernikah meminta nasihat pada saya, saya tidak semudah itu berkata “Jangankan kahwin dengan orang tak tarbiyah, kahwin dengan ahli kitab pun islam benarkan…” malah saya akan menasihatinya, betapa Nabi kita SAW memperingatkan kita agar memilih calon yang beragama jika kita ingin bahagia, dan betapa al-Quran al-Karim memperingatkan terlalu banyak kali, betapa isteri kerap menjadi musuh bahkan penyebab anda gugur dari jalan Ilahi Rabbi.

Saya tidak akan menasihati anda “takde masalah anda yang berkemampuan bagi hantaran dan buat walimah yang serba grand..” bahkan saya akan sentiasa menasihati anda, betapa pernikahan itu juga adalah da’wah, maka alangkah baiknya jika anda bisa menunjukkan contoh yang terbaik kepada masyarakat, akan betapa mudahnya perkahwinan seperti yang disyaratkan oleh Islam. Mudahkan dan murahkan perbelanjaan, simplekan saja walimah undangan. Itulah yang akan saya katakana, kerana itulah yang harus dan patut anda dengar.

Betapa indahnya apabila dinasihati. Dan betapa ruginya tatkala yang menasihatkan itu, hanya menabur apa yang anda mahu dengar, bukan apa yang harus dan patut anda dengar. Moga Dzat Yang Maha Pemurah, tidak akan fakirkan kita daripada beroleh sahabat nan sejati, sang pemberi nasihat.


sumber:al-ahkam.net

Friday, August 17, 2007

~...Habit 4: Think Win-Win Untuk Survival Dakwah...~


“Saya tidak akan menang kecuali ada yang kalah”, kata Ahmad.
“Betul, jika ia sebuah pertandingan. Tetapi hakikat kehidupan kita bukan suatu pertandingan. Ia adalah suatu realiti yang kita boleh menang bersama”, jawab Syarif.
“Betulkah begitu? Bukankah sudah sekian lama kita hidup dalam dunia pertandingan? Sejak Darjah 1 lagi. Kalau tak dapat nombor 1 hingga 30, tentu sahaja masuk ke kelas 2 Bakti dan bukan lagi 2 Aman. Silap-silap tercampak ke 2 Erat”, sambung Ahmad pula.
“Ya, sebab itulah susah untuk Think Win-Win kerana kita hidup dan membesar di dalam dunia Win-Lose atau jika dua Win-Lose gagal beralah, ramai pula yang memilih Lose-Lose”, ujar Syarif sambil mengenang-ngenang kembali PUISI 2006 yang ditelitinya dari Saifulislam.Com.

THINK WIN-WIN
Ramai yang bertanya kepada saya mengapa saya mengambil masa yang terlalu lama untuk mendokumenkan Habit 4 iaitu Think Win-Win, selepas 3 habit yang pertama telah selesai saya nukilkan.

Jawapannya mudah.
Terlalu sukar untuk menulis tentang Think Win-Win, sebagaimana susah untuk mempraktikkannya. Kita sudah benar-benar selesa hidup, makan, minum, belajar, bekerja malah berdakwah dengan Think Win-Lose.
Pemikiran Win-Lose terbit dari sangkaan diri bahawa dunia ini miskin kebaikan. Pemikiran yang membayangkan bahagian masing-masing seperti sebuah kek. Jika engkau makan potongan yang besar, maka ia akan mengecilkan bahagianku!
Lantas kita sentiasa bertanding di luar pertandingan. Hasilnya tidak ada sesiapa yang menang. Menang atas kekalahan orang lain, bukanlah kemenangan yang bermakna. Ia umpama enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas.
Sakit apa?
Sakit iman. Memanjat kejayaan dengan memijak orang lain.
Paling malang, apabila pemikiran Win-Lose ini menguasai jiwa daie. Bertanding di dalam dakwah.
Saya pernah menempuh pengalaman yang mengajar saya betapa peritnya berdakwah di dalam kerangka Win-Lose.


PENGALAMAN PAHIT
Semasa bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, saya sungguh berhasrat untuk memberikan sepatah dua kata menyambut kedatangan pelajar baru tahun itu. Atas kapasiti saya sebagai Imam, saya bertemu dengan pelajar Muslim baru dari pelbagai negara yang datang belajar di The Queen’s University, Belfast. Namun sudah tentu saya juga mahu bercakap secara khusus kepada pelajar Malaysia yang senegara dengan saya.
Lantas sebuah program diatur semenjak seminggu dua sebelum pelajar baru tiba, dan ia adalah amalan biasa bagi komuniti pelajar Malaysia. Tiba-tiba saya dikejutkan apabila ada pula pelajar senior lain yang mahu mengadakan program pada tarikh dan masa yang sama. Untuk berkelakuan rasional dan berfikiran Win-Win, saya mengajak pelajar yang mahu bercakap itu untuk bersama-sama di dalam program yang telah dirancang ini. Malah saya menawarkan diri untuk bercakap hanya setengah jam, supaya setengah jam berbaki diisi oleh pelajar tersebut.
Prioriti utama ialah, saya tidak mahu pelajar baru diletakkan di dalam suasana terpaksa memilih. Ia bukan pertandingan populariti, tetapi ia adalah tanggungjawab agama yang maqasidnya adalah pada mengumpulkan manusia di dalam kebaikan.

“Agar kamu tegakkan agama, dan janganlah pula kamu berpecah belah di dalam urusan itu” (Al-Syura 42: 13)

Beberapa panggilan telefon dibuat untuk mencari kata sepakat. Tetapi masa dibuang dari pagi hingga lewat malam tanpa penyelesaian kerana Win-Lose adalah jenayah kepada dakwah.
“Ustaz ambil pelajar lelaki dan biar pelajar perempuan datang ke program kami”, katanya.
“Apa? Apakah kalian ini feminist atas nama dakwah?”, mengapa yang lelaki disingkirkan dari manfaat jika benar dakwah kamu substancenya adalah kebaikan?”, tersirap darah saya menerima cadangan itu.
Selepas puas berdiskusi, akhirnya saya pula disinggung sebagai ‘outsider‘ yang sepatutnya ke tepi.
Lambakan gerakan Islam yang ada di Malaysia belum berupaya memenangkan Islam kerana mereka sangat berminat untuk bertanding di dalam dakwah. Kemenangan hanya dapat dicapai di atas kekalahan orang lain!
Jika soal pilihanraya yang dimaksudkan, maka amat sahih hanya satu kemenangan yang boleh diwartakan. Tetapi soal Tarbiyah, pemuliharaan spesis manusia agar keluar dari Jahiliah kepada Islam, Win-Lose telah membazirkan masa dan manusia.
Lose-Lose jua yang sering terhasil


REFORMASI 1998
Besarnya hikmah di sebalik Reformasi 1998, gerakan Islam diajak bermuhasabah dan tiada peranan yang signifikan boleh dimainkan oleh sesiapa jika setiap satunya masih terperangkap di dalam kesumat Win-Lose. Kita harus mencari titik pertemuan, bukan untuk bertolak ansur semata, tetapi untuk mencipta suatu momentum yang berkesan ke arah memenangkan Islam.
Tetapi Win-Lose itu sudah melekat pada hemoglobin darah mujahidin dakwah kita, terlalu sukar untuk mempercayai bahawa kemenangan sebenar ialah pada keupayaan diri membawa orang lain untuk sama-sama berjaya. Berjaya sendiri-sendiri adalah kepalsuan yang menipu.
Apabila mereka yang berjuang atas nama Islam gagal melakukan hijrah dari Win-Lose kepada Win-Win, akhirnya pencapaian kita pada ulangtahun ke-50 kemerdekaan Malaysia, adalah Lose-Lose. Semakin kita sangka yang kita berdakwah, semakin rancak orang melarikan diri dari Islam. Kerana pseudo mujahid ini tidak mahu mencari kemenangan Islam, sebaliknya lebih berselera mencari kemenangan sendiri-sendiri.


PAS
Antara pencetus kepada pemikiran Win-Lose ialah pada superiority complex. Lawannya ada inferiority complex yang sentiasa membiarkan dirinya menjadi tempat orang mengelap kaki. Ia adalah Lose-Win.
Untuk itu saya sering mencadangkan sahabat-sahabat yang mahu menggunakan alasan PAS sebagai jemaah tertua sebagai alasan untuk ‘mewajibkan’ penyertaan bersamanya, agar membuat semakan semula terhadap pendekatan sebegini.
Di zaman orang berani berfikir dan bercakap apa sahaja, nanti yang tertua itu akan disendakan sebagai terbongkok, ternyanyuk dan tertinggi tekanan darahnya. PAS sebagai jemaah tertua, tetap jemaah tertua. Tetapi keistimewaan menjadi jemaah tertua, ialah pada kelebihan pengalaman dan pelajarannya di dalam senario dakwah dan politik Malaysia. Tawarkan ia sebagai suatu kelebihan, dan bukannya hak yang menekan.
Menawarkan kelebihan, lebih berkesan dalam mencipta kawan tanpa perlu mengambil risiko membiakkan lawan.
Alhamdulillah pendekatan yang proaktif ini semakin mudah diterima, khususnya di kalangan generasi muda yang mempunyai prospek yang tinggi terhadap angin perubahan. Jika ia belum begitu membantu PAS dalam menambah keahlian sekali pun, ia meramaikan orang yang memahami dan tidak memusuhi PAS.
Saya yakin gerakan-gerakan Islam sedang rancak menjana perubahan ke arah Win-Win ini.
ABIM
Alhamdulillah dengan sikap yang positif, saya tidak berdepan dengan apa-apa masalah malah menghargai peluang dari sahabat-sahabat di dalam ABIM yang sering mengajak saya kepada dialog dan kerjasama. Saya telah beberapa kali mengisi program di Anjung Rahmat dan semua orang saling mengambil manfaat. Diskusi saya bersama kepimpinan ABIM juga menyegarkan jiwa dakwah atas keyakinan semua bahawa Win-Win adalah kunci kejayaan.


Saya juga diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang penasihat Gabungan Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) yang diusahakan oleh tenaga-tenaga muda ABIM, sebagai mengambil manfaat dari serba sedikit pengetahuan saya di dalam Sejarah, khususnya Kajian Othmaniyyah. Sifat saling hormat menghormati dan terbuka kepada dialog dan kerjasama, menghasilkan banyak kebaikan yang pulangan manfaatnya ialah kepada Ummah. Itu keutamaannya.
~sumber : saifulislam.com~

Thursday, August 2, 2007

~...Wal' Ashr : Pengurusan Masa Dalam Islam...~

Oleh : Hafiz Firdaus Abdullah[1]

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:
Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.
Melaksanakan amal shalih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.
Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.
Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.
Saya yakin para pembaca sekalian telah menghafal dan mengetahui maksud tiga ayat al-Qur’an di atas sejak dari kecil. Akan tetapi timbul satu cabaran hebat: Masa! Tidak cukup masa untuk melaksanakan keempat-empat tuntutan dalam ayat tersebut. Mengapakah Allah Subhanahu wa Ta'ala bersumpah dengan masa padahal tuntutan-tuntutan yang disebut-Nya selepas sumpahan tersebut amat sukar dicapai kerana keterbatasan masa?
Sebenarnya apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengaitkannya dengan masa, bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat tuntutan tersebut berjaya kita capai atau tidak. Dalam erti kata lain, sesiapa yang memiliki pengurusan masa yang efisyen akan mampu mencapai tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang beruntung. Sebaliknya sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dia akan gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang rugi.
Melalui tulisan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian tentang bagaimana mengurus masa secara efisyen. Ia amat mudah, hanya terdiri dari lima langkah. Ia amat ringkas, hanya memerlukan lima belas minit dari masa anda. Akan tetapi ia amat penting, penentu sama ada anda menjadi orang yang beruntung atau rugi.

Langkah # 1: Menyedari Bahawa Masa Adalah Tetap.
Berhenti sekejap dan lihat kepada jam anda. Sama ada jam tangan, jam talifon bimbit atau jam di dinding. Sama ada jam yang menggunakan jarum atau angka digital. Terdapat pelbagai jenis jam dan pelbagai jenis reka bentuk, dengan kepelbagaian yang tidak mampu kita hitung. Akan tetapi dalam kepelbagaian tersebut, terdapat sesuatu yang sama, sesuatu yang tetap. Iaitu, 60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam dan 24 jam = 1 hari.
Formula di atas tidak dapat diubah atau diperlahankan. Kita tidak boleh mengubah agar dalam satu hari ada 30 jam. Kita tidak boleh memperlahankan agar 100 saat menjadi satu minit. Ringkasnya, masa adalah sesuatu yang tetap. Lalu bagaimanakah kita hendak melebihkan masa supaya dapat mencapai keempat-empat tuntutan dari surah al-‘Ashr?
Jawapannya, kita tidak boleh melebihkan masa kerana ia adalah tetap. Sebaliknya kita boleh ubah perkara-perkara yang kita lakukan kerana ia tidak tetap. Salah satu sebab utama orang menghadapi masalah keterbatasan masa ialah kerana mereka melakukan terlalu banyak perkara. Sikap inilah yang perlu diubah, dari melakukan banyak perkara kepada melakukan hanya beberapa perkara.
Sebagai contoh, seorang pelajar pusat pengajian tinggi mungkin melakukan perkara-perkara berikut sehingga menghadapi keterbatasan masa:
Belajar jurusan yang diambil.
Menyertai sesi latihan Kick Boxing setiap petang, dua kali seminggu.
Menyertai kelab bahasa Inggeris.
Menyertai pasukan sukarelawan menziarahi rumah orang kurang upaya setiap hari Ahad.
Ahli panel rekabentuk grafik untuk risalah bulanan fakulti yang diterbitkan setiap bulan.
Bermain untuk pasukan badminton asrama.
Menghadiri kuliah-kuliah agama yang dianjurkan oleh masjid di kampus setiap hari.
Menganjurkan usrah untuk pelajar-pelajar yang baru masuk ke kampus setiap malam Jumaat.
Menjadi wakil penjual kad tambah nilai talifon bimbit untuk syarikat 015-xxx xxxx.
Perkara-perkara di atas hendaklah diubah dan dikurangkan, umpama:
Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.
Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.
Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.
Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.
Kenyataan saya di atas mungkin memeranjatkan. Bukankah lagi banyak yang dilakukan, lebih baik dan berjaya seseorang itu? Saya berkata, kenyataan tersebut sekali pun masyhur, perlu dipertimbangkan semula. Banyak tidak semestinya berjaya, sedikit tidak semestinya gagal.
Ingat! Masa adalah tetap. Melakukan banyak perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan tidak mencapai kualiti yang terbaik. Malah adakalanya cukup syarat sahaja. Semua ini akhirnya melahirkan perasaan tidak puas hati, kekecewaan dan kehilangan motivasi. Sebaliknya melakukan beberapa perkara dalam masa yang tetap menyebabkan perkara-perkara yang dilakukan mencapai kualiti yang baik. Ini akhirnya melahirkan perasaan kesyukuran, puas hati dan motivasi untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

Formula masa adalah tetap, iaitu
60 saat = 1 minit, 60 minit = 1 jam dan 24 jam = 1 hari.

Kita tidak boleh mengubah masa tetapi boleh mengubah perkara yang dilakukan dalam masa tersebut.





Langkah # 2: Fokus Dan Prioriti, Bukan Rambang Dan Suka Hati.
Sebab kedua yang menyebabkan keterbatasan masa adalah sikap melakukan perkara-perkara secara rambang dan suka hati, tidak secara fokus dan berprioriti. Ditegaskan bahawa individu muslim yang berjaya bukanlah seorang yang melakukan banyak perkara, tetapi adalah seorang yang melakukan beberapa perkara dan dia melakukannya secara fokus dan berprioriti.
Fokus maksudnya memberi tumpuan kepada sesuatu perkara secara mendalam sehingga menguasainya secara luas. Prioriti maksudnya menimbang sesuatu perkara, sama ada patut didahulukan atau dikemudiankan, sama ada patut dipertamakan atau diletakkan di tangga kedua, ketiga dan seterusnya.
Sebagai contoh, menuntut ilmu agama hendaklah difokuskan kepada aqidah kerana aqidah yang sahih lagi kukuh menjamin kejayaan seorang muslim di dunia dan akhirat. Menuntut ilmu agama hendaklah diberi prioriti kerana seseorang yang memahami Islam secara benar akan menjadi individu yang berjaya, bukan sahaja dari sudut agama tetapi juga dari sudut pembelajaran, kerjaya dan motivasi diri.
Memberi fokus dan prioriti kerana ilmu agama tidak bererti mengabaikan ilmu duniawi. Seorang muslim yang memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh serta kefahaman Islam yang benar akan mengetahui bahawa Islam amat menuntut agar dia menjadi seorang yang profesional dalam urusan duniawi. Dia mengetahui firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَقُلْ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ.
Dan katakanlah: “Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu amalkan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia (Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” [al-Taubah 9:105]
Dia mengetahui sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ.
Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.[2]
Firman Allah yang bermaksud “Beramallah kamu…” adalah fi‘il amr yang berupa satu perintah. Ini menunjukkan kewajipan untuk kita beramal. Sementara perkataan “amal” bukanlah terhad kepada solat, puasa dan zikir tetapi meliputi semua aktiviti yang selari dengan Islam termasuk menuntut ilmu duniawi dan berkerja dalam jurusan duniawi. Sesiapa yang berpendapat perkataan amal hanyalah solat, puasa dan zikir, bererti dia masih berpegang kepada kefahaman sekularisme yang memisahkan antara agama dan dunia.
Menyentuh tentang sekularisme, fahaman ini telah banyak mempengaruhi umat Islam pada masa kini. Di satu sudut kita akan temui orang yang hanya memberi tumpuan kepada agama hingga mengabaikan dunia. Di sudut yang lain kita temui pula orang yang hanya memberi tumpuan kepada dunia sehingga mengabaikan agama. Amat sedikit untuk ditemui orang yang memberi tumpuan kepada agama dan dunia sehingga mencapai kecemerlangan dalam kedua-duanya.
Seterusnya amal tersebut kita lakukan sebaik mungkin, sesempurna mungkin. Ini kerana dari sudut aqidah, kita mengetahui bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat apa yang kita lakukan. Seolah-olah, Allah dan Rasulullah hadir mengawasi apa yang sedang kita lakukan. Kemudian di Hari Akhirat kelak …(Allah) akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah amalkan.” Sudah tentu semua ini akan menyebabkan kita malu untuk melakukannya secara enteng atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya kita akan melakukannya sesempurna mungkin kerana: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mengasihi jika seseorang itu beramal, dia beramal dengan cemerlang.”
Oleh itu, langkah kedua dalam mengurus masa ialah memberi fokus dan prioriti dalam beberapa perkara yang dilakukan sehingga setiap detikan saat memiliki nilai dan manfaat. Keberadaan masa yang sentiasa tetap menyebabkan kita tidak mampu untuk mensia-siakannya dengan sikap yang rambang dan suka hati.

Individu muslim yang berjaya bukanlah seorang yang melakukan banyak perkara, tetapi adalah seorang yang melakukan beberapa perkara dan dia melakukannya secara fokus dan berprioriti.




Langkah # 3: Menyedari Bahawa Masa Tidak Menunggu Sesiapa.
Sekali lagi saya ingin meminta para pembaca merenung kepada jam. Perhatikan bahawa ia sentiasa bergerak. Jika ia terhenti kerana kehabisan bateri atau kerana anda menghentikannya, jam-jam yang lain tetap bergerak. Semua ini mengarah kepada satu kesedaran yang amat penting, iaitu masa tidak menunggu sesiapa.
Saya yakin semua orang tahu akan hakikat ini. Akan tetapi kadangkala kita melakukan perkara-perkara yang memberi gambaran seolah-olah masa menunggu kita. Seolah-olah masa berhenti sementara bagi membolehkan kita melakukan perkara-perkara tersebut. Apakah perkara-perkara yang saya maksudkan itu? Berikut saya kemukakan beberapa contoh:
Menyambung tidur selepas solat Subuh pada hari cuti. Jika hari Isnin hingga Jumaat bangun pukul 5.45 pagi, solat Subuh berjamaah dan terus ke kuliah atau pejabat, maka pada hari cuti bangun dilewatkan hingga pukul 8 atau 9 pagi. Ada juga yang melanjutkannya hingga siang hari.
Meluangkan masa antara 1 hingga 2 jam membaca surat khabar.
Menonton orang lain bersukan, seperti menonton perlawanan bola sepak, futsal, hoki, tenis dan sebagainya.
Beriktikaf di hadapan kaca TV, purata antara 1 hingga 3 jam setiap hari.
Keluar makan bersama rakan-rakan dengan tempoh yang lama, purata antara 1 hingga 2 jam.
Contoh-contoh di atas adalah segelintir dari sekian banyak perkara yang kita lakukan yang sebenarnya merupakan satu kesia-siaan masa. Istilah seerti baginya ialah pembaziran masa dan pembaziran, sama ada melibatkan masa, wang, kesihatan, pemikiran dan perbuatan, adalah suatu tindakan yang tidak sepatutnya menjadi ciri-ciri seorang muslim. Ini kerana:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ.
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan. [al-Isra’ 17:27]
Di sini saya tidak bermaksud untuk menyuruh para pembaca sekalian mengabaikan perkara-perkara di atas. Jika anda ingin tidur lebih untuk merehatkan minda dan tubuh pada hari cuti, lakukanlah ia pada waktu siang dan bukan pada waktu pagi. Waktu pagi adalah saat yang penuh keberkatan untuk kita lakukan aktiviti yang bermanfaat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا.
Ya Allah! Berkatilah umat aku pada pagi hari.[3]
Ada pun waktu siang, maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:
قِيْلُوْا، فَإِنَّ الشَّيَاطِيْنَ لاَ تَقِيْلُ.
Tidurlah (sebentar) pada siang hari kerana sesungguhnya syaitan-syaitan tidak tidur pada siang hari.[4]
Merujuk kepada surat khabar, anda sudah mendapat berita dengan hanya membaca beberapa perenggan pertama bagi setiap laporan. Kemudian jika anda membacanya dengan manhaj fokus dan prioriti, 80% dari laporan yang dikemukakan boleh diabaikan. Semua ini membolehkan anda khatam membaca surat khabar dalam masa 15 minit sahaja.
Ada pun sukan, maka Islam menganjurkan kita untuk bersukan demi kekuatan dan kesihatan. Berkenaan kekuatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ.
Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah.[5]
Ada pun kesihatan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي.
Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau kesihatan yang baik di dunia dan akhirat. Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau keampunan dan kesihatan yang baik dalam urusan agamaku, duniaku, ahli keluargaku dan hartaku.[6]
Walaubagaimana pun bezakan bahawa Islam menganjurkan kita bersukan dan bukan menonton orang lain bersukan. Saya sebenarnya amat hairan memerhatikan gelagat orang yang menonton orang lain bersukan. Bukan sekadar menonton, mereka menyokong pasukan yang ditonton dengan penuh jiwa dan raga. Mereka menunggu perlawanan bermula dengan penuh debaran. Mereka memerhati perlawanan dengan penuh kekhusyukan, kekhusyukan yang mengalahkan semua nilai khusyuk solatnya dalam sehari. Jika pasukan yang disokong menang mereka melompat kegembiraan. Jika sebaliknya, mereka tunduk kesedihan mengalirkan air mata.
Kepada para penonton seumpama perenggan di atas, saya ingin bertanya beberapa soalan mudah. Jika anda sakit, adakah pasukan yang anda sokong datang untuk menziarahi anda? Jika anda menghadapi kesempitan kewangan, adakah pasukan yang anda sokong memberikan sumbangan atau pinjaman? Jika anda gagal dalam kehidupan, adakah pasukan yang anda sokong akan membantu anda mencapai kejayaan? Saya yakin jawapannya tidak. Oleh itu kenapakah anda menyerahkan segala jiwa dan raga, termasuk masa anda, kepada satu pasukan yang tidak kisah langsung tentang anda?
Ada pun menonton TV, maka tontonlah dengan manhaj fokus dan prioriti, iaitu satu dua rancangan yang memberi manfaat kepada pembangunan minda. Percayalah, kebanyakan pemilik syarikat siaran TV tidak menonton apa yang disiarkan oleh syarikatnya melainkan beberapa rancangan yang terpilih. Mereka tahu, jika mereka menonton TV saban hari, mereka tidak akan menjadi individu berjaya yang dapat memiliki sebuah syarikat siaran TV.
Akhir sekali, makan bersama-sama rakan dianjurkan oleh Islam kerana memiliki keberkatan di dalamnya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegaskan:
فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ.
Berkumpullah kalian ketika makan dan sebutlah nama Allah padanya (Bismillahi Rahmani Rahim), nescaya makanan kalian akan diberkati.[7] Oleh itu makan bersama adalah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi menghabiskan masa yang lama ketika makan bersama adalah pembaziran masa dan pembaziran adalah sunnah……

Masa tidak berhenti untuk menunggu sesiapa. Maka janganlah membazir masa dengan melakukan perkara yang sia-sia.




Langkah # 4: Di Celah-Celah Masa Ada Masa.
Sebenarnya dalam keterbatasan masa yang dihadapi, kita boleh memiliki masa yang lebih. Berikut dikemukakan beberapa tip untuk mencari masa di celah-celah masa:
Berani berkata tidak. Apabila orang lain mengajak anda untuk melakukan aktiviti yang sia-sia atau minimum manfaatnya, beranikan diri berkata tidak. Tolaklah ajakan tersebut dengan sopan, umpama: “Tak mengapa silakan, saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan.” Atau yang lebih baik: “Tak mengapalah, saya ada kertas kerja fakulti yang belum disiapkan. Hmm! Alang-alang anta ada masa lapang, jom kita siapkan bersama?”
Gunakan kaedah temujanji (appointment). Kaedah temujanji bukan hanya untuk orang yang sudah berjaya tetapi juga untuk orang yang ingin berjaya. Apabila ada rakan yang ingin menziarahi anda, tetapkan waktu bermula dan berakhir. Apabila ada mesyuarat persatuan, minta ditetapkan waktu mula dan akhir. Kemudian jangan anda berganjak dari waktu yang dijanjikan. Kaedah ini mungkin kurang selesa bagi rakan atau ahli-ahli persatuan anda, justeru sejak awal berilah penjelasan yang hikmah tentangnya.
Manfaatkan bas dan tandas. Dua suasana yang lazim kita lalui tetapi tidak sedar bahawa masa boleh dimanfaatkan di dalamnya. Ketika dalam pengangkutan awam dan tandas, kita sebenarnya memiliki masa untuk membaca, mengkaji dan berfikir. Maka janganlah bazirkannya dengan nyanyian dan khayalan.
Do Not Disturb. Peranan tanda Do not disturb please bukan saja untuk digantung pada tombol pintu bilik hotel, tetapi juga untuk digantung pada tombol pintu bilik asrama atau dileher anda. Apabila anda sedang melakukan aktiviti yang penting, cuba elakkan faktor-faktor yang boleh menyebabkan gangguan. Senyapkan talifon bimbit. Tutup pintu bilik asrama. Pastikan rakan perbincangan di perpustakaan adalah mereka yang benar-benar fokus dalam perbincangan.
Ketahuilah bahawa satu gangguan akan merosakkan fokus anda pada kadar dua hingga tiga kali ganda dari tempoh gangguan itu sendiri. Sebagai contoh, anda mungkin mengambil masa 20 saat untuk membaca dan menjawab satu pesanan ringkas (SMS). Akan tetapi anda akan mengambil masa 1 minit untuk mengembalikan fokus kepada apa yang sedang anda lakukan sebelum itu. Kemudian, lazimnya SMS tersebut akan berbalas semula. Oleh kerana itulah dikatakan: A minor interruption will lead to many other interruptions.
Cepat bukan jimat. Wujud satu kefahaman, bahawa sesuatu aktiviti yang dilakukan dengan cepat akan menjimatkan masa. Sebenarnya tidak. Ia bahkan membazir masa. Sebabnya:
a) Cepat menyebabkan anda terpaksa menggunakan fikiran pada kadar yang tinggi. Ini menyebabkan ia cepat letih sehingga tidak dapat melakukan aktiviti seterusnya dengan efisyen.
b) Cepat menyebabkan projek yang anda lakukan memiliki banyak kesilapan dan kekurangan. Akhirnya anda terpaksa melakukan semula dari awal untuk menampung kesilapan dan kekurangan tersebut demi mencapai kualiti yang memuaskan.
c) Anda akan mudah marah dan merungut apabila berlaku gangguan yang tidak dijangkakan. Ini kerana gangguan tersebut mempengaruhi kadar kecepatan anda. Namun yang sebenarnya mengganggu ialah sikap anda yang ingin cepat sehingga mudah marah dan merungut. Satu gangguan mungkin mengambil masa 5 minit, tetapi anda akan memerlukan 15 minit untuk kembali tenang dan lapang.
d) Anda mungkin dapat membaca buku dalam masa yang cepat (speed reading). Akan tetapi dalam kecepatan tersebut banyak poin penting yang anda tertinggal atau salah faham. Kemudian apabila ingin membuat kertas kerja, anda gagal mengemukakan maklumat yang bermanfaat dan tepat padahal semuanya sedia terkandung dalam buku-buku yang sudah anda baca sebelum itu. Akhirnya anda terpaksa merujuk semula kepada buku-buku tersebut.
Oleh itu cepat bukanlah jimat. Sikap yang terbaik ialah dipertengahan antara cepat dan lambat. Sikap yang dimaksudkan ialah tenang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berpesan:
اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ.
Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan.[8]
Lakukan pelaburan masa. Pelaburan bererti menggunakan modal yang kecil untuk memperoleh manfaat yang besar di kemudian hari. Pelaburan bukan sahaja berkaitan dengan wang ringgit, tetapi juga masa. Gunakan masa yang sedikit sebagai pelaburan untuk mencapai manfaat masa yang besar di kemudian hari.
Satu contoh mudah, saya yakin para pembaca sekalian lazim menggunakan perisian Microsoft Word untuk menyiapkan kertas kerja kuliah dan sebagainya. Saya juga menggunakannya untuk menulis risalah ini. Pada mulanya saya menggunakan perisian tersebut secara terus tanpa belajar apa-apa tentangnya. “Alaah! Microsoft Word! Siapa yang tak tahu guna?”
Akan tetapi pada satu hari, saya mengambil keputusan untuk belajar tentangnya. Saya membeli buku The Complete Idiot’s Guide To Microsoft Word 97 oleh Daniel T. Babola yang diterbitkan oleh QUE Corporation, tahun 1996.
Saya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk mengkajinya. “Wah! Sungguh banyak yang mampu dilakukan oleh perisian ini. Dan semua itu dapat dilakukan dengan amat mudah.” Demikian bisik hati saya. Apa yang saya belajar dalam tiga minggu tersebut, sepuluh tahun yang lalu, dapat saya manfaatkan hingga hari ini. Tiga minggu tersebut merupakan satu pelaburan masa yang benar-benar menguntungkan. Ia, alhamdulillah, membolehkah saya melakukan pelbagai kerja dengan perisian Microsoft Word dan semuanya dapat dilakukan dengan mudah dan kemas.
Tak dapat bayangkan apa yang saya maksudkan? Cubalah anda melaburkan masa membacanya. Carilah edisi yang terkini. Saya yakin kertas kerja kuliah dapat anda siapkan dengan kemas lagi canggih dalam masa sejam berbanding tiga jam sebelumnya.
Belanjakan RM untuk masa. Ada satu kata pepatah Inggeris: Time is more valuable than money. Iyya! Masa lebih bernilai dari wang ringgit. Maka gunakanlah wang ringgit untuk memperoleh masa yang lebih. Kertas kerja kuliah anda sekali lagi saya jadikan contoh. Adakah anda terpaksa ke makmal komputer atau cybercafe untuk menaipnya? Banyak masa yang terbuang di sana, dari menunggu giliran sehinggalah kepada petunjuk di skrin yang tidak bergerak searah dengan tetikus.
Sebagai alternatif lain, cuba beli komputer riba sendiri. Anda tidak perlu membelanjakan wang yang banyak. Memadai komputer riba terpakai dengan kelajuan prosesan sederhana. RM1500.00 yang anda belanjakan akan dapat menjimatkan masa anda dalam jumlah yang tidak dapat dihitung.
Menyentuh berkenaan mencari masa di celah-celah masa, saya tidaklah bermaksud agar para pembaca sekalian menggunakan seluruh masa yang ada untuk bekerja keras. Islam tidak menyuruh umatnya menjadi rahib yang hanya beribadah mahu pun robot yang hanya bekerja. Sebaliknya Islam membolehkan agar ibadah dan kerja diselang-seli dengan lawak jenaka, sembang-sembang bersama rakan dan beristirehat. Ringkasnya, setiap sesuatu ada masanya, yang penting hendaklah kita membahagikannya secara adil.
Salah seorang sahabat dan juru tulis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bernama Hanzhalah al-Usaidi radhiallahu 'anh pernah menceritakan: ‘Satu hari saya berjumpa dengan Abu Bakar as-Shiddiq radhiallahu 'anh.” Abu Bakar bertanya: “Kamu apa khabar?”
Hanzalah menjawab: “Saya telah melakukan satu kemunafiqan!”
“Subhanallah! Apa yang kamu cakap ni?”
“Sebentar tadi saya bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda mengingatkan kami berkenaan neraka dan syurga sehingga seolah-olah saya dapat melihat dengan mata saya sendiri. Apabila saya berangkat pulang dari sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, saya bermain-main bersama isteri dan anak-anak serta melakukan beberapa urusan sehingga saya lupa kebanyakan (dari apa yang dipelajari dari Rasulullah sebelum itu).”
“Demi Allah! Saya juga pernah mengalami hal yang sama!” ujar Abu Bakar.
Kemudian Hanzhalah dan Abu Bakar pergi berjumpa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hanzhalah berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah menjadi seorang munafiq!”
Rasulullah bertanya: “Kenapa sedemikian?” Lalu Hanzhalah menceritakan apa yang terjadi padanya. Lalu Rasulullah bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي وَفِي الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمْ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً (ثَلاَثَ مَرَّاتٍ).
“Demi Allah yang jiwaku berada di Tangan-Nya, kalau kalian sentiasa dalam keadaan seperti ketika bersamaku dan kalian sentiasa berzikir, nescaya para malaikat akan menemani kalian di atas tempat tidur dan juga di jalanan.
Akan tetapi wahai Hanzhalah, segala sesuatu ada masanya.” (Baginda mengulanginya tiga kali).[9]
Tujuh Tip Mencari Masa Di Celah-Celah Masa:
1. Berani Berkata Tidak.
2. Gunakan Kaedah Temujanji.
3. Manfaatkan Bas Dan Tandas.
4. Do Not Disturb.
5. Cepat Bukan Jimat.
6. Lakukan Pelaburan Masa.
7. Belanjakan RM Untuk Masa.






Langkah # 5: Carilah Keberkatan Dalam Masa.
Sebelum ini saya ada menerangkan tentang formula masa dan pergerakan jam. Memang, ia tidak dapat diubah. Akan tetapi sebagai seorang mukmin, kita beriman kepada wujudnya sesuatu yang istimewa di sebalik formula masa dan pergerakan jam. Perkara istimewa tersebut tidak dapat diukur dengan apa-apa formula dan tidak dapat dilihat pada mana-mana jam.
Perkara istimewa tersebut ialah keberkatan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada para hamba-Nya yang terpilih. Dengan keberkatan ini, seseorang itu mampu melakukan banyak perkara bermanfaat untuk agama, umat, manusia dan alam sekali pun dalam formula masa dan pergerakan jam yang tetap sama.
Bagaimanakah memperoleh atau mencari keberkatan dalam masa? Berikut dikemukakan dua cara:
Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ.
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[10]
Luangkanlah masa sekurang-kurang seminggu sekali untuk menalifon ibubapa atau menulis surat kepada mereka. Sebulan sekali, baliklah ke kampung menziarahi dan memperhatikan hal ehwal mereka. Dalam zaman materialisme dan individualisme masa kini, ibubapa sering diketepikan. Akan tetapi ketahuilah, keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa kita. Jika ibubapa redha kepada kita, Allah juga akan redha kepada kita. Apabila Allah redha kepada kita, tidak ada perkataan yang mampu saya taip untuk menggambarkan hasilnya.[11]
Sedekahkan masa.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ.
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:261]
Dalam ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan pulangan dividen harta bagi sesiapa yang sebelum itu mensedekahkan hartanya secara ikhlas untuk kebaikan agama dan umat Islam. Secara analogi, demikianlah juga dividen masa yang akan diperoleh oleh sesiapa yang mensedekahkan masanya secara ikhlas demi kebaikan agama dan umat Islam. Sedekah masa yang saya maksudkan ialah melakukan kerja-kerja sukarelawan. Kerja sukarelawan tersebut bukanlah kerana kumpulan atau persatuan, tetapi kerana agama dan umat.
Antara kerja sukarelawan yang saya maksudkan ialah mengajar tusyen kepada pelajar-pelajar sekolah luar bandar, melawat hospital, melawat rumah orang tua, melawat rumah orang kurang upaya dan memperbaiki rumah yang rosak di kawasan kampung. Jika anda menguasai ilmu agama, lakukanlah amar ma’ruf dan nahi mungkar.[12] Jika anda menguasai ilmu perbandingan agama, maka jadilah seorang pendakwah. Sesiapa yang mensedekahkan masanya demi kebaikan agama dan umat Islam, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan kepadanya kelapangan masa untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang bermanfaat.
Dua perkara di atas, iaitu memperhatikan hal-ehwal ibubapa dan melakukan aktiviti sukarelawan telah saya senaraikan ketika mengupas langkah pengurusan masa # 1. Di sana saya senaraikan bahawa jumlah perkara yang hendak dilakukan oleh seseorang hendaklah dikurangkan kepada:
Memberi tumpuan menuntut ilmu agama.
Memberi tumpuan kepada jurusan yang diambil.
Memberi perhatian kepada hal-ehwal ibubapa di kampung.
Menyertai hanya satu aktiviti sukarelawan di kampus.
Apabila anda melakukan perkara ketiga dan keempat secara ikhlas dan sebaik-baiknya, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan keberkatan dalam masa anda sehingga anda memiliki kelapangan untuk melakukan perkara-perkara lain yang bermanfaat. Maka setelah itu, senarai empat perkara di atas boleh anda tambah menjadi lima, enam dan seterusnya. Akan tetapi ingat, hendaklah perkara yang anda tambah itu masuk dalam kategori firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3).
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

Sesiapa yang mensedekahkan masanya demi kebaikan agama dan umat Islam, maka Allah akan mengurniakan kepadanya kelapangan masa untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang bermanfaat.





[1] Risalah ini merupakan kertas kerja yang saya bentangkan dalam seminar Motivation Is A Catalyst To Succeed yang diadakan pada 29 Julai 2007 di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai sahih oleh Mokhtar Ahmad an-Nadwi dalam Jami’ li Syu‘ab al-Iman, hadis no: 4930 (Bab Tentang Amanah...).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2606 (Kitab al-Jihad, Bab berangkat pada waktu pagi).
[4] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no: 1647.
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2664 (Kitab al-Qadar, Bab suruhan untuk bersifat kuat…).
[6] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 4785 (Musnad ‘Abd Allah bin ‘Umar).
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3764 (Kitab al-Ath‘imah, Bab berkenaan berkumpul untuk makan).
[8] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 3011.
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2750 (Kitab al-Taubah, Bab keutamaan sentiasa berzikir…).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya, hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.
[11] Lebih lanjut berkenaan kedudukan ibubapa dalam Islam, rujuk buku saya Wahai Ibu! Wahai Ayah! terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006.
[12] Lebih lanjut tentang ilmu yang saya maksudkan, rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2007.