Monday, May 26, 2008

~...APA KENA DENGAN FRIENDSTER, MYSPACE & ETC...?~

Bismillah...

insha Allah artikel nie sangat menarik untuk direnung dan dipraktikalkan...
bukan seratus peratus untuk dipraktikal tapi ambik la manfaat dari apa yang dapat dinilai terbaik untuk anda...
selamat membaca dan berfikir....
wallahu 'alam
.....................................................................................................................................................................

Sebab utama saya meninggalkan Friendster adalah demi menjamin kualiti sebuah ikatan persahabatan. Bagi saya, Friendster membuatkan saya kurang menghargai rakan-rakan, sama ada yang dekat atau jauh, yang mengelilingi diri saya. Sejak zaman turunnya Nabi Adam dari syurga, dan sejak manusia buat kali pertama tinggal di atas muka bumi, ikatan persahabatan tidak berfungsi seperti hari ini.

Di zaman mereka, persahabatan bermakna pertemuan dan perpisahan. Kadang-kala perpisahan itu ada pertemuannya sekali-sekala, dan kadang-kala terus lesap macam asap. Persahabatan hari ini, yang dibantu dengan teknologi Friendster menjadikan erti persahabatan itu sebagai sebuah pertemuan (dan sebuah pertemuan), dan tiada perpisahan. Akibatnya, persahabatan menjadi online 24 jam, 7 hari seminggu, walaupun seorang di benua Amerika, dan rakannya itu pula di benua Asia.

Bagi saya perpisahan (atau lama tak jumpa dan tahu khabar) menjadikan saya menghargai rakan-rakan yang ada. Saya dapat merasakan perbezaan ketara apabila bertemu dan berbual di dunia nyata dengan rakan yang ada di dalam senarai Friendster saya berbanding rakan yang tiada Friendster. Borak saya dengan rakan bukan Friendster, yang lama tidak berjumpa, adalah lebih bermutu dan menyeronokkan. Ini memandangkan saya tidak tahu langsung apa-apa tentang perkembangan dirinya. Jadi perbualan akan lebih menarik. Dan inilah dia persahabatan! Kamu bertemu, kamu berpisah, dan kemudian kamu bertemu lagi untuk bersembang hal-hal menarik sepanjang kamu berpisah.

Kalau kamu sudah tahu bahawa rakan kamu sudah berkahwin dan sudah ada anak, dan anda tahu berita gembira ini hanya dengan melihat profil Friendsternya, apakah tidak pelik dan janggal untuk bertanya kepadanya apabila bersua muka di alam nyata, "Eh, engkau dah kahwin ke?" Saya rasa tidak seronok mengetahui berita tentang rakan saya hanya dengan melihat profil dan gambar-gambar yang diletakkan di profil mereka. Memang faedahnya kita akan dapat mengetahui perkembangan terkini sahabat handai, tetapi adakah PERLU bagi kita untuk mengetahui perkembangan mereka pada setiap bulan, atau pada setiap minggu, atau pada setiap hari, atau pada setiap jam? Adakah perlu? Dan adakah ini menjamin kualiti dalam persahabatan?

KUALITI
Saya berpendapat persahabatan begini kurang kualitinya. Saya lebih rela lama tidak berjumpa kawan yang saya ada dan kemudian tiba-tiba berjumpa mereka 10 tahun di akan datang. Ini lebih menarik dan mengujakan. Berjumpa kawan, sama ada yang jauh atau dekat, tiap-tiap hari di Friendster adalah sesuatu yang sangat membosankan. Ada orang berhujah bahawa sebab utama dia menyertai Friendster adalah untuk mencari semula kawan-kawan lama.

Memang betul. Friendster meningkatkan kebarangkalian untuk bertemu semula dengan teman-teman lama. Selalunya, apabila mereka bertemu kembali dengan kawan lama di Friendster, mereka akan berasa sangat-sangat terkejut, terkesima, dan teruja. Ada juga rasa riang di dalamnya. Kemudian mereka saling bertukar-tukar testimonial dan mesej dengan sangat kerap.

Namun, kekerapan ini semakin berkurangan apabila masa semakin menuju ke depan. Testimonial yang pada awalnya saling bertukaran 2 kali sehari, akhirnya bertukar kepada sebulan sekali, dan akhirnya 3 bulan sekali. Dan apabila masa semakin lagi bergerak, testimonial yang pada dulunya memiliki aroma seperti "Eh, bestnya jumpa kau. Apa cerita kau sekarang..bla..bla..bla.. (panjang sangat nak tulis)", akhirnya berubah menjadi "Eh, kau ni memang la. Takkan setakat lalu aje kat profile aku. Alang-alang dah lalu tu, bagi la testimonial".

Di samping itu, perkembangan sahabat lama kita akhirnya tidak lagi diberitahu in-person. Sebaliknya kitalah yang perlu membuka profil mereka untuk mengetahui apa cerita mereka sekarang. Sounds familiar? Percayalah, dengan tidak memiliki Friendster, anda pasti akan menemui sesuatu yang lebih menarik dan mengujakan dalam setiap ikatan persahabatan yang terjalin.

Ketika ibu saya kecil, dia memiliki seorang rakan baik. Namun demikian, mereka berdua telah berpisah. Pada satu hari, kira-kira 40 tahun kemudian, ibu saya mendapat panggilan telefon dari seorang wanita. Wah, rupa-rupanya si pemanggil itu adalah rakan ibu saya sewaktu kecil! Dari mana dia dapat nombor telefon rumah saya, saya sendiri pun tidak tahu. Tetapi, ada udang di sebalik batu rupanya.

Dia menelefon ibu saya untuk menjemput menghadiri kenduri kahwin anak lelakinya. Anak lelakinya adalah salah seorang anggota kumpulan rap yang sangat terkenal kira-kira 10 tahun dahulu (maaf saya rahsiakan nama kumpulan itu). Sebelum berlakunya kenduri kahwin itu, agak kerap juga ibu saya dan dia berbual di telefon. Selalunya dia yang akan menelefon ibu saya. Tetapi setelah perginya majlis itu, tidak pernah rasanya dia menelefon ibu saya. Apabila kakak saya kahwin pula, ibu saya menjemputnya datang, dan Alhamdulillah, jemputan itu berjaya ditunaikan olehnya.

Dan kemudian mereka berdua berpisah lagi. Sudah jarang menghubungi. Inilah persahabatan. Bertemu dan berpisah. Datang dan pergi.

Namun, ada sesuatu yang perlu kita sedar. Perpisahan bukan bermaksud terus melupakan. Sebab itu pepatah Melayu berpesan kepada para suami, "Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan". Orang tua-tua kita bukan menyuruh suami meninggalkan isteri di rumah untuk menggatal dengan perempuan lain. Sebaliknya, mereka menasihati suami supaya pergi jauh sekali-sekala dari rumah, dan apabila pulang, pasti akan terbit lebih rasa kasih sayang di antara suami dan isteri. Ini kerana jarak dan perpisahan akan melahirkan lebih rasa sayang di hati manusia. Maka, perpisahan juga akan menjadikan sebuah persahabatan itu lebih berkualiti.


KESAN PSIKOLOGI
Kesan psikologi komuniti sosial maya mungkin masih belum kita rasakannya. Setakat pengetahuan saya, masih tiada lagi sebarang kajian ilmiah untuk mengkaji kesan Friendster, MySpace dan sebagainya kepada psikologi manusia. Saya cuma berteori, kesannya hanya dapat kita lihat kira-kira 20 tahun dari sekarang. Friendster adalah sesuatu yang baru dan ia masih lagi dalam proses bertatih. Belum pun lagi mencecah separuh dekad usianya. Friendster semakin mendapat tempat di hati ramai orang. Semakin ramai orang yang lebih suka bersosial di Friendster dan Yahoo Messenger berbanding di alam nyata. Tidakkah ini berlawanan dengan fitrah manusia?

Kadang-kadang saya berasa aneh apabila melihat gelagat manusia yang begitu asyik melayan rakannya di komputer, sehingga rakan yang ada di sebelahnya dilayan acuh tak acuh (saya juga kadang-kala terjebak dengan perbuatan tak bagus ini). Pernah sekali saya memasuki bilik rakan saya. Di bilik itu ada 3 orang penghuni. Sebelum saya masuk, saya sangka tiada orang di bilik itu kerana senyap sunyi sungguh. Tiada suara manusia. Jika ada semut bersin, mungkin saya akan mendengar bersinan semut itu. Rupa-rupanya, masing-masing sibuk dengan internet, YM dan Friendster.

Inikah persahabatan yang kita mahukan? Persahabatan yang kurang menghargai sahabat yang ada di sebelah? Saya mahu sembang-sembang dengan mereka pun rasa teragak-agak memandangkan masing-masing sudah hanyut di internet. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk keluar sahaja setelah bertanya satu dua patah soalan yang dijawab secara sambil lewa.

Dari kesan psikologi yang lain, apa akan terjadi kira-kira 20, 30, 40 tahun dari sekarang, apabila banyak profil di Friendster yang menampilkan profil-profil orang yang sudah mati. Saya rasa, sesuatu yang agak depressing apabila melihat satu demi satu rakan-rakan Friendster kita meninggal dunia. Jika anda adalah rakan MySpace kepada mangsa pembunuhan bersenjata yang dilakukan oleh
Cho Seung Hui di Virginia Tech, apa yang mungkin anda rasa sekarang?1


MEMBUANG MASA
Masa juga menjadi sebab utama mengapa saya meninggalkan Friendster. Kebanyakkan orang memiliki alasan ini untuk meninggalkan Friendster. Seorang rakan saya, memberitahu bahawa semasa di zaman Friendsternya, secara purata dia menghabiskan 3 jam sehari melayari Friendster. Ya, 3 jam. Oleh kerana sehari ada 24 jam, maka dia menghabiskan 1/8 waktu hariannya di Friendster.

Saya pula dalam 1 jam sehari. Tapi apa yang saya dapat dalam 1 jam melihat profil sekian-sekian orang, yang kadang-kala tiada kaitan langsung dengan diri saya? Saya mungkin tidak mendapat dosa dengan melihatnya (belum tentu lagi), tapi saya yakin saya telah melakukan sesuatu yang lagha dan tidak ada manfaat, baik bagi kehidupan dunia mahu pun akhirat. Kalau ada manfaat dunia, masih okay lagi, tetapi apabila saya memikirkan tiada langsung manfaat dunia dan akhirat, lebih bagus saya belajar buat roti canai.

Di dalam bab fiqh Islam, ada satu masalah furu' yang bersifat khilaf tentang hukum bermain catur. Para fuqaha berbahagi-bahagi pendapat tentang hukumnya. Pendapat majoriti fuqaha mazhab Hanbali adalah haram bermain catur, dan hukum haram ini adalah hukum paling kuat ataupun rajih di dalam mazhab Hanafi. Ada juga ulama yang mengelaskan hukum bermain catur sebagai jatuh dalam grey area. Malah ada juga ulama-ulama besar yang mengatakan harus hukum bermain catur. Dalam mazhab Shafi'i pula, hukum bermain catur tidaklah haram, cuma ia tidak digalakkan.2

Namun demikian, secara umumnya hukum pelbagai jenis yang dikeluarkan oleh para fuqaha itu ada melibatkan konsep masa. Ulama-ulama ini bimbang kalau-kalau umat Islam terlalu asyik dan leka bermain catur. Para ulama adalah golongan manusia yang benar-benar memahami dan menghargai nikmat masa yang Allah kurniakan ke atas kita. Bagi mereka, satu saat yang digunakan secara sia-sia akan membuatkan manusia menangis dan benar-benar menyesal di hari Akhirat nanti.

Bayangkan, bagaimana agaknya kalau para ulama yang mengeluarkan hukum bermain catur itu masih lagi hidup pada hari ini, dan kemudiannya mereka melihat pemuda-pemudi Islam menghabiskan banyak masa mereka di Friendster, MySpace, X-Box, PS3, anime, soap opera, Yahoo Messenger, dan sebagainya? Ini realiti remaja Islam sekarang. Perjuangan Islam memerlukan tenaga orang muda. Adakah orang muda Islam hari ini mampu melakukan sehebat Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menawan kota Istanbul (Constantinople) dari cengkaman Empayar Byzantine ketika usianya baru sahaja 21 tahun?

Saya sudah pun melepasi had umur 21 tahun, dan saya masih tidak melakukan sumbangan besar kepada Islam. Adakah anda mampu memecahkan rekod
Sultan Muhammad al-Fatih, seperti dengan membebaskan kota Palestin dari rejim Zionis pada usia 20 tahun?

Mungkin itu terlalu besar bagi diri kita. Ibarat mahu mengumpul bintang-bintang di langit. Taqwa kita dan taqwa Sultan Muhammad al-Fatih besar bezanya. Taqwa yang lemah tidak mampu menggentarkan Zionis dan musuh-musuh Islam yang lain. Maka, kita beralih kepada sesuatu yang lebih kecil. Bolehkah kita pada hari ini, sekurang-kurangnya membaca setengah juzuk Al-Quran setiap hari? Angkat tangan siapa boleh!

Saya tahu, tak ramai yang mampu. Setengah juzuk Al-Quran hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk membacanya. 30 minit terasa seperti 30 jam apabila orang-orang yang berhati kotor membaca Al-Quran. Tetapi kita dengan mudah mampu melayari Friendster sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Aneh bukan? Mungkin ini ada kaitannya dengan teori relativiti yang dikemukakan oleh
Albert Einstein. Satu petikan kata-katanya untuk menjelaskan teori relativiti yang kompleks ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam ialah:
"Put your hand on a hot stove for a minute, and it seems like an hour. Sit with a pretty girl for an hour, and it seems like a minute. That's relativity."

Agaknya pada hari ini, tidak salah kalau saya mengatakan bahawa umat Islam, tanpa mereka sedari telah memiliki satu rumus paradigma: hot stove = Al-Quran, dan pretty girl = Friendster.


PERUBAHAN
Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya tentang Friendster. Tidak mengapa. Saya tidak paksa anda untuk meninggalkannya secara serta-merta. Sebab itu artikel ini bertajuk Kempen Menjauhi Friendster, dan bukannya Kempen Memboikot Friendster. Saya tidak syadid atau keraskan perkara ini kepada anda. Saya hanya syadid pada diri saya sendiri. Saya bimbang kalau-kalau saya ketagih Friendster, maka saya gunakan kaedah cold turkey3 untuk mengatasinya.

Bagaimana saya mampu untuk menghalang manusia dari menyertai komuniti sosial maya ini, sedangkan ia semakin menjadi budaya kehidupan manusia zaman moden? Pada tahun 2006, carian utama di Google adalah Bebo (tangga pertama) dan MySpace (tangga ke-2)4. Bebo juga merupakan satu lagi rangkaian sosial maya yang semakin meraih populariti masyarakat dunia. MySpace, Bebo, Friendster, dan lain-lain, adalah realiti hari ini.

Tapi percayalah, hati manusia itu sifatnya sentiasa berubah. Mungkin hari ini anda memandang Friendster itu sebagai sesuatu yang elok dan bermanfaat. Saya juga begitu satu ketika dahulu. Tetapi, apabila alam ini semakin mendewasakan saya, pandangan dan paradigma saya telah berubah. Sama ada kita sedari atau tidak, satu hari nanti kita pasti akan berubah dan menjadi semakin dewasa (hanya semata-mata anda berumur 40 tahun, itu tidak bermakna anda telah dewasa).
Muhammad Ali, bekas jaguh tinju termasyhur di dunia pernah berkata:
A man who views the world the same at fifty as he did at twenty, has wasted thirty years of his life.


Satu hari nanti, apabila datang detiknya anda tiba-tiba terfikir untuk meninggalkan alam Friendster, maka janganlah ragu-ragu untuk melaksanakannya. Sedangkan pengasas Friendster sendiri, iaitu Jonathan Abrams juga telah meninggalkan Friendster, mengapa anda juga tidak boleh? Apa yang bezanya, selepas Jonathan Abrams meninggalkan Friendster, beliau telah melabur di dalam sebuah kelab malam di San Francisco, iaitu Slide. Dan kemudian mengasaskan satu lagi rangkaian sosial lain, dinamakan Socializr pada tahun 2006.

Jonathan Abrams mengasaskan Friendster dan Socializr dengan matlamat asalnya yang berbeza. Beliau mendapat idea menubuhkan Friendster setelah dia gagal dalam percintaan. Jonathan Abrams tidak boleh hidup tanpa kehadiran wanita di sisinya. Maka dengan kewujudan Friendster, ia akan membantu Jonathan Abrams untuk mencari teman wanita yang baru yang cantik5. Socializr pula diwujudkan dengan bisnes dan wang sebagai matlamat utama setelah Friendster memasuki zaman suramnya (yang akhirnya membawa kepada penarikan dirinya dari syarikat yang diasaskan olehnya ini).

Kita selaku umat Islam, janganlah setelah meninggalkan Friendster dan kemudian terlibat aktif pula di dalam MySpace! Kita umat Islam mesti memiliki pandangan hidup yang berbeza dengan mereka yang bukan Islam. Matlamat kita akhirat, bukan dunia. Dunia adalah alat, dan akhirat itu matlamat. Maka gunakanlah alat-alat yang ada di dunia ini dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, setelah kita menarik diri dari Friendster, fokuskan usaha kita pada perkara-perkara yang lebih membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Bak kata Sidi Ahmad al-Zarruq6 di dalam wasiatnya:
"Berkerjalah di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup selamanya, tetapi beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari."

MENCARI SAHABAT
Gunakanlah Friendster secara ala kadar. Jangan terlebih-lebih kadar. Dan jangan fikir dengan ada beratus-ratus orang kawan di dalam senarai sahabat Friendster anda, itu menandakan anda sangat popular dan memiliki ramai kawan. Sahabat baik susah dicari. Sebab itu Rasulullah saw sendiri pernah bersabda di hampir penghujung usia Baginda, yang maksudnya lebih kurang,
"Orang yang paling aku percayai adalah Abu Bakar. Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu."7
Semua umat Islam kenal Abu Bakar as-Siddiq. Beliau merupakan lelaki pertama yang benar-benar percaya kepada wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah, di kala ramai orang mengatakan Nabi sudah terkena penyakit gila dan schizo. Beliau adalah seorang lelaki yang sanggup mengambil risiko menemankan Rasulullah dalam hijrah Baginda dari Mekah ke Madinah walaupun dirinya sentiasa berada di dalam keadaan ketakutan sepanjang perjalanan hijrah tersebut. Beliau adalah salah seorang dari 10 orang sahabat Nabi yang dijanjikan Syurga. Beliau adalah seorang lelaki yang apabila dibentangkan Syurga dan Neraka di hadapannya, pasti tidak akan bertambah lagi keyakinannya terhadap segala janji dan ancaman Allah kerana keimanannya sudah berada di tahap paling maksimum. Beliau jugalah yang berkata, "Jika sebelah kaki aku berada di dalam Syurga dan sebelah lagi di luar, maka aku masih lagi berasa tidak selamat. Jika kedua-duanya sudah berada di dalam Syurga, barulah aku boleh berkata Alhamdulillah."

Abu Bakar begitu istimewa. Beliau adalah sebaik-baik calon sahabat idaman. Siapa yang tidak mahu menjadikan manusia semulia Saidina Abu Bakar as-Siddiq ini sebagai seorang teman sejati? Namun demikian, apabila menyentuh tentang konsep persahabatan, Nabi tetap mengatakan "Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu." Padahal, Abu Bakarlah antara manusia yang paling rapat dengan Nabi di sepanjang perjuangan Baginda menyebarkan dakwah Islam yang penuh dengan ranjau dan duri. Apa yang boleh dikatakan di sini, sesungguhnya seorang sahabat sejati itu sangat sukar dicari.

Sidi Ahmad al-Zarruq sekali lagi di dalam wasiatnya menasihatkan supaya mencari seorang teman baik bagi menolong kita di dalam urusan-urusan duniawi dan akhirat. Dan dalam masa yang sama juga, beliau memberikan amaran bahawa sahabat baik yang benar-benar berada di sisi kita dalam keadaan susah dan senang adalah amat sukar dicari (jangan lupa bahawa Sidi Ahmad al-Zarruq hidup pada 846-899 Hijrah, iaitu lingkungan tahun 1400-an. Di zaman itu pun susah untuk mencari sahabat baik, maka apatah lagi di zaman 2000-an yang semakin materalistik ini).

Ada orang yang suka bermegah-megah dengan ramainya kawan yang mereka ada. Tapi betulkah kawan yang mereka ada itu benar-benar seorang kawan? Ketahuilah bahawa anda sebenarnya tidak memiliki ramai kawan. Oleh itu jika anda memiliki seorang kawan baik, anda sebenarnya terdiri dari golongan yang sangat bertuah di dunia. Dan jika anda ada dua orang kawan baik, buatlah sujud syukur banyak-banyak kepada Allah. Ini kerana sahabat akan bersama-sama dengan kita dalam susah atau senang. Dan jangan lupa juga bahawa seorang musuh yang kita ada adalah jauh lebih banyak dari 1000 kawan di sekeliling pinggang.

Kawan yang hanya bersama kita di waktu senang, itu tidak dinamakan kawan. Itu dinamakan parasit. Saya pernah sahaja mendengar beberapa kisah sahih tentang persahabatan dunia moden. Dua orang ini siap pernah berbai'ah, atau pun taat setia. Tetapi apabila yang seorang lagi benar-benar di dalam kesusahan, tiba-tiba rakannya itu tidak mahu menolongnya. Ini kes kawan yang lari di waktu kita susah, belum lagi masuk bab kawan makan kawan, atau kawan tikam belakang.


SAHABAT DAN CINTA
Perhubungan sahabat adalah sama seperti perhubungan cinta. Kita tidak menganggap seseorang itu cintakan kita apabila dia melarikan diri apabila kita susah. Begitulah juga dalam persahabatan. Fahami konsep cinta ini, maka kita akan faham tentang konsep persahabatan. Cinta itu lebih asyik berbanding sebuah persahabatan. Dalam cinta, kita akan selalu berjumpa ayat-ayat cinta seperti "Aku akan tetap bersama mu selamanya...dalam susah atau pun senang." Ini janji sehidup semati dalam percintaan. Sedangkan orang yang bercinta (malah yang telah berkahwin) pun boleh berpisah dan bercerai-berai, maka apatah lagi dalam hubungan persahabatan.

Sifat cinta adalah setia dan patuh kepada insan yang dicintainya. Seorang wanita pernah bertanya kepada seorang penyair tentang bagaimana kita mahu tahu sama ada seseorang itu benar-benar mencintai dirinya dengan sebenar-benar cinta. Dan penyair itu menjawab:
"Jika si dia berasa yang dia pasti mati jika tidak meminum air disebabkan kehausan, dan kemudian engkau berkata kepadanya, "Jangan minum air itu", maka dia tidak akan minum air itu".
Inilah yang dinamakan cinta. Dan inilah juga intisari ikatan persahabatan. Persahabatan dan percintaan yang hakiki tidak akan berubah apabila situasi berubah. Pengajarannya, berhati-hatilah dalam mencari cinta dan persahabatan di dalam dunia ini.

Ikatan persahabatan dan percintaan (yang palsu) berubah apabila situasi berubah kerana kebanyakkan manusia melihat sesuatu perkara, masalah dan isu mengikut dari kaca mata dirinya sahaja. Dengan kata lain, kebanyakkan manusia mementingkan diri sendiri, atau pun selfish. Oleh itu, apabila memulakan sebuah persahabatan dan percintaan, jangan terus menganggap bahawa mereka akan benar-benar memahami diri kita.

Lain tempat tegak, lain barang yang nampak. Dunia dia dan dunia anda mungkin berbeza. Tapi tak mustahil anda dan dia mempunyai aspirasi yang sama. Lihat sahaja sejarah perkembangan Islam oleh Rasullullah di Mekah selama 13 tahun, dan di Madinah selama 10 tahun. Bagaimana caranya dalam tempoh 23 tahun itu, Rasulullah berjaya menyatukan penduduk tanah Arab yang terdiri dari pelbagai puak yang saling bercakaran dan dibelit pula dengan fahaman fanatik asobiyyah, menjadi satu ummah yang diikat kukuh dengan tali akidah kepada Allah yang satu?

Ini kerana mereka yang memeluk Islam itu memiliki aspirasi yang sama. Aspirasi mereka adalah untuk mencari keredhaan Allah, dan seterusnya mudah-mudahan mendapat balasan syurga dan terlepas dari azab api neraka. Dengan aspirasi inilah kaum Ansar sanggup mengorbankan apa sahaja demi menolong orang-orang Muhajirin. Ya, apa-apa sahaja, sehingga ada kaum Ansar yang mahu menceraikan isteri mereka untuk diberikan kepada orang-orang Muhajirin yang masih bujang. Kaum Ansar ini tidak gila, tetapi mereka telah benar-benar memahami konsep persaudaraan dan persahabatan yang hakiki.

Melalui aspirasi itu jugalah, umat Islam yang pada mulanya hanya ada seketul dua jumlahnya, akhirnya meningkat menjadi beratus-ratus ribu orang yang berpayung di bawah akidah tauhid yang sama. Seluruh tanah Arab berjaya di Islamkan. Ketika berlakunya Haji Wida' tahun 10 Hijrah, iaitu haji terakhir yang dihadiri oleh Rasulullah sebelum kewafatannya pada tahun 11 Hijrah, sekurang-kurangnya 120,000 orang telah bersama-sama Nabi mengerjakan haji tersebut. Kadang-kadang, amat aneh memikirkan bagaimana dalam tempoh 2 dekad sahaja, umat Islam di tanah Arab mampu mencapai tahap yang sangat gemilang. Dan saya percaya, ia adalah disebabkan aspirasi mereka yang sama. Dan aspirasi inilah yang mampu menjadi kunci untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam di muka bumi ini.


SAHABAT YANG PATUT DICARI
Sahabat yang patut kita cari adalah sahabat yang berkawan dengan kita bukan kerana kekayaan, kepopularan, kehenseman, dan kecomelan yang kita ada. Kekayaan boleh hilang serta-merta. Begitu juga dengan populariti. Maka apabila kekayaan dan populariti ini hilang, kita juga akan kehilangan sahabat. Dan jangan juga berkawan dengan seseorang itu hanya semata-mata dia hensem, kacak, cantik dan comel. Semua benda ini akan pergi satu hari nanti. Orang yang dilahirkan cantik, jangan bermegah dan suka menunjuk-nunjuk. Sila merendah diri dan jangan gedik. Cantik sebenarnya adalah satu masalah besar bagi diri manusia.

Cantik itu ibarat dilahirkan dari perut ibu sebagai seorang yang kaya-raya, dan kemudian kekayaan itu semakin surut apabila umur bertambah, dan tiada langsung cara untuk menambahkan kekayaan yang semakin beransur-ansur hilang itu. Pepatah orang putih mengatakan, "Beauty is only skin-deep". Maksudnya, kacak dan cantik itu hanyalah setebal kulit. Apabila kulit manusia yang setebal kira-kira 2mm ini disiat dari badan, maka apakah beza di antara si Beauty dan si Beast? Maka berhati-hati dengan kecomelan yang anda miliki.

Sahabat yang baik patut menjadi cermin kepada diri kita. Di dalam Sahih Bukhari, terdapat satu hadith yang sering dipetik oleh umat Islam, iaitu "Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain." Tanya diri anda, apa tujuan anda melihat cermin?

Kita melihat cermin bukan untuk melihat kecantikan diri kita. Kita melihat cermin untuk membetulkan apa-apa yang tidak kena pada wajah dan badan kita, atau pada pakaian yang kita kenakan. Ini fungsi hakiki cermin. Jika anda melihat cermin untuk melihat kecantikan diri anda, dan kemudian rasa perasan yang anda ini cantik, comel atau kacak, maka apa beza di antara anda dan
Wicked Queen dalam kisah dongeng Snow White?8

Oleh sebab itu Nabi mengatakan bahawa seorang mukmin adalah cermin bagi orang mukmin yang lain. Apabila berjumpa dengan seorang mukmin yang lain, jadikan mereka sebagai cermin. Lihat perkara-perkara yang baik pada diri mereka, lalu pantulkan kebaikan itu pada diri anda. Mudah-mudahan pantulan itu akan membuatkan anda menyedari perkara-perkara buruk dalam hidup anda yang mesti anda perbaiki. Untuk anda menjadi cermin kepada mukmin yang lain, maka anda juga mahu tidak mahu perlu juga berubah menjadi lebih baik dari semalam. Apabila semua mukmin saling berfungsi seperti cermin, maka semakin indahlah akhlak masyarakat Islam yang ditonjolkan kepada masyarakat bukan Islam. Indahnya akhlak akan membawa kepada perkembangan ummah yang lebih sihat dan progresif.

Kesimpulannya, agak sukar bagi kita untuk melihat keburukan dan aib diri sendiri tanpa ada cermin. Dan cermin itu adalah saudara mukmin kita. Dengan cermin, barulah kita boleh melihat siapa kita. William Shakespeare ada menulis satu perkara berkaitan cermin di dalam salah satu karyanya yang popular, iaitu Macbeth. Katanya lebih kurang, "Tuhan telah menetapkan bahawa manusia hanya boleh melihat wajahnya melalui cermin". Dengan kata lain, kita tidak akan sama sekali boleh melihat wajah sendiri dengan mata kita. Kita hanya boleh melihat wajah sendiri melalui refleksi yang dihasilkan melalui cermin.

Kita tidak boleh melihat wajah sendiri. Tetapi orang lain yang ada di sekeliling kita boleh melihat wajah kita. 'Orang lain' ini berpotensi menjadi cermin bagi diri kita. Sebaik-baik cermin adalah orang-orang mukmin. Maka pilihlah 'cermin' itu berhati-hati. Cermin yang baik akan menyedarkan kita tentang keaiban yang ada pada diri. Kurangkan bergaul dan pergi ke tempat-tempat yang mempunyai banyak 'cermin-cermin rosak dan dusta'. Cermin-cermin sedemikian saya sifatkan sebagai cermin yang digunakan oleh Perseus untuk membunuh Medusa.
Siapakah Medusa?

Medusa adalah satu makhluk jahat dalam mitos Greek. Medusa memiliki rambut ular dan wajahnya begitu hodoh. Manusia yang memandang Medusa akan berubah serta-merta menjadi batu. Oleh itu Perseus menggunakan pelindung cermin dalam usahanya membunuh Medusa. Dengan melihat pantulan imej Medusa di dalam cermin (dan tidak memandang tepat ke arah Medusa bagi mengelakkan disumpah menjadi batu), Perseus akhirnya berjaya memenggal leher Medusa. Inilah cermin yang membawa kepada kemusnahan Medusa. Dan 'cermin-cermin rosak dan dusta' yang saya sebutkan di perenggan sebelumnya juga boleh membawa kemusnahan kepada diri kita jika tersilap langkah. Cermin rosak dan dusta ini dihasilkan oleh kaki-kaki maksiat dan lagha. Maka, cari dan berkawanlah dengan orang-orang yang mukmin dan soleh. Mudah-mudahan kita mendapat sebaik-baik cermin. Jangan biarkan diri anda terbunuh seperti Medusa.


SAHABAT HAKIKI
Biar apa pun jenis sahabat yang anda miliki, tetapi ketahuilah bahawa sahabat baik yang sebenar bagi seseorang manusia itu adalah amal solehnya. Inilah sebaik-baik teman, dan ia juga adalah sebaik-baik bekal bagi kita untuk bertemu dengan Allah. Ini seperti mana kisah Hatim al-'Assam yang terdapat di dalam kitab Ya Ayyuhal Walad al-Muahib tulisan Imam al-Ghazali. Hatim al-'Assam adalah seorang sahabat baik kepada Syaqiq al-Balkhiy.

Pada satu hari, Syaqiq bertanya kepada Hatim, "Kamu telah bersahabat denganku selama 30 tahun. Apakah yang telah kamu perolehi dari persahabatan kita ini?" Jawab Hatim al-'Assam, "Aku telah memperolehi lapan perkara, cukup sebagai bekalan bagi keselamatan aku di Akhirat nanti."

Dan ini perkara pertama dari 8 perkara itu. Untuk 7 perkara lagi, sila dapatkan kitab itu di kedai buku berhampiran (tak tebal pun kitab tu).
Aku melihat semua manusia mempunyai kekasih. Sebahagian mereka sanggup menemani kekasihnya sehingga waktu ajal mendatang. Ada pula yang akan terus menemaninya hingga ke liang lahad. Selepas itu mereka akan pulang. Tinggallah manusia ini keseorangan di dalam kuburnya. Lalu aku berfikir, "Sebaik-baik sahabat adalah mereka yang sanggup menemani aku sehingga ke dalam lubang kubur. Aku tidak menemui sahabat sebegini melainkan amal solehku."

Lalu aku pun menjadikan amal soleh sebagai kekasih aku. Agar amalan aku itu boleh menjadi pelita menerangi kegelapan di dalam kubur aku kelak, boleh menghiburkan aku dan tidak meninggalkan aku keseorangan di dalamnya.

Sebagai satu kesimpulan, tulisan ini bukan bertujuan untuk mengajak para pengguna Friendster, MySpace, Facebook, dan sebagainya, untuk terus memboikotnya jauh-jauh. Sebaliknya hanya untuk memberikan satu kesedaran bahawa Friendster itu adalah satu alat, dan bukannya matlamat. Maka, jika Friendster adalah satu alat, adakah wajar untuk kita menghabiskan masa yang begitu lama, setiap hari di situ? Dan tulisan ini dibuat bagi menyedarkan diri saya, dan mudah-mudahan mampu memberikan sesuatu yang berguna juga kepada orang lain.

Semoga kita semua semakin dewasa di dalam iman, amal dan taqwa kepada Allah. Dan moga-moga kita bertemu dengan seorang sahabat sejati yang dapat membantu kita dalam perjuangan di bumi Allah yang fana ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin!

--------
NOTA KAKI:
1 Online Snapshots of VT.
http://blog.wired.com/27bstroke6/2007/04/online_snapshot.html

2 Untuk penjelasan lebih lanjut tentang hukum bermain catur, sila baca
Chess in the Light of the Jurist oleh Sheikh Hamza Yusuf.
Download PDF.

3
Cold turkey adalah satu slanga English yang merujuk kepada kaedah membuang ketagihan secara serta-merta. Contohnya, jika anda mahu cold turkey dalam ketagihan merokok, maka anda akan terus buang rokok itu jauh-jauh, terus tidak menghisapnya. Jika anda mengurangkan jumlah rokok yang dihisap secara beransur-ansur, ini bukanlah dipanggil cold turkey. Cold turkey
memerlukan keazaman yang tinggi.

4 Social networks top Google search.

http://news.bbc.co.uk/2/hi/technology/6189809.stm

5 Kenyataan hartawan Mark J. Pincus, seorang usahawan yang banyak melabur dalam Friendster:
"Basically, Jonathan wanted to meet girls. He told me himself, he started Friendster as a way to surf through his friends’ address books for good-looking girls." dari
Wallflower at the Web Party.

6 Sidi Ahmad al-Zarruq (846-899 Hijrah) adalah seorang ulama besar kelahiran Fez, Maghribi. Beliau bermazhab Maliki dan juga merupakan salah seorang sheikh besar dalam tariqat Shadhili. Jasanya lebih harum dalam bab tasawwuf, namun demikian beliau juga adalah seorang pakar hadith dan fiqh. Diberi nama timangan sebagai Muhtasebul ulama' wal awliya
yang bermaksud orang yang membetulkan para ulama dan para wali. Beliau merupakan satu-satunya ulama yang mendapat gelaran ini.

Ada juga para ulama lain yang diberikan nama timangan, seperti Imam al-Ghazali dipanggil Hujjatul Islam. Di dalam sistem tradisi Syiah, ada juga ulama mereka yang dipanggil Hujjatul Islam. Tetapi dari segi tradisi Sunni, apabila disebut Hujjatul Islam, maka ia merujuk kepada Imam al-Ghazali sahaja. Di zaman moden, Syeikhul Islam lebih merujuk kepada Imam Ibnu Taimiyyah. Namun demikian, secara tradisinya ia tidak begitu. Sheikhul Islam adalah istilah yang lebih meluas penggunaannya. Antara para ulama lain yang digelar dengan Sheikhul Islam adalah seperti Sheikh Zakariyya al-Ansari, Qadi Iyad, Imam Ibnu Hajar 'Asqalani, dan Imam Futuhi al-Hanbali.

7
Habib Ali al-Jufri ada menyentuh perkara ini dalam satu ceramahnya. Jangan bimbang, ceramah ini ada sarikata Bahasa Melayu.
http://www.youtube.com/watch?v=zH9BtuUHMsk

8
Wicked Queen selalu bertanya kepada cermin yang dimilikinya, "Cermin ajaib yang ada di dinding, siapakah wanita paling cantik? (Magic mirror on the wall, who is the fairest one of all?)" Selalunya cermin itu menjawab Wicked Queen adalah wanita paling cantik di dunia (padahal sebaliknya). Apabila pada satu hari cermin itu mengatakan Snow White adalah wanita paling cantik di dunia, Wicked Queen menjadi begitu cemburu dan marah.

Ini merangsangnya untuk menghasilkan sebiji epal beracun untuk diberikan kepada Snow White. Snow White memakan epal itu dan menyebabkan dia jatuh koma, sehinggalah ada seorang putera raja yang berjaya menyedarkannya semula. Hampir semua orang mengetahui kisah ini, tetapi tak semua orang sedar bahawa: Perasan Cantik + Penyakit Hati = Kebinasaan, kerana akhirnya Wicked Queen terbunuh disebabkan sifat hasad yang ada di hati.


-------
BERHIBUR SETELAH MEMBACA
Pesan Abang oleh Sudirman. Abang Tawel Sensei tak pandai berpesan, maka terpaksa gunakan lagu ini untuk menyampaikan pesan kepada diri sendiri dan orang lain. Apa pun, hargailah waktu muda kita sebaiknya. Masa yang pergi tidak akan kembali

Sumber dipetik dari : http://hembusan.blogspot.com/2007/04/kempen-menjauhi-friendster-2.html

Sunday, May 25, 2008

~mine name Ist Azizah ('',)~

bismillah...

actually...tak faham sangat apa yang izzati suruh buat berdasarkan mesej dari shoutbox tue...bile da baca blog dier, baru faham...he3...afwan slow skit...

disebabkan izzati yang sangat 'bz' dengan 'short sem' pun boleh sahut cabaran untuk wat 'tag' yang diberi...
ana yang suke buat2 sibuk nie, se'afdal'nyer menyahut cabaran tue...he3
walaupun cam tak best je,(bimbang xpose diri lak)

'ADA APA DENGAN NAMA?' huh!...sangat subjektif untuk dihuraikan...
tak pe2 jangan risau nie bukan slot falsafah untuk memsubjektifkan nama sendiri...
cuma sedikit perkongsian mengenai sejarah nama sendiri,
yup! setiap orang perlu bangga dengan nama sendiri kerana itulah nama yang telah tercatat di 'lauh mahfuz' sebagai nama kita...bukan nyer membanggakan nama yang 'trendy' n 'glemer' tapi maksud takde padahal setiap panggilan orang untuk kita adalah doa...

okey...tak nak melalut ke topik lain...

nama abah: Jabar bin Ariffin
nama mak: Siti Saudah binti Mat Nor
nama : Azizah binti Jabar

menurut ustazah ana waktu sekolah dulu azizah berasal dari perkataan al-aziz(perkasa)
jadi aziz atau azizah makna sama...
masa dulu pun ana gagal tulis nama dalam jawi dengan betul...ingatkan a kat depan alif tapi 'ain...jadi sebutan sebenar nama ana menurut bahasa arab kena dengung kat depan tu a'zizah..

menurut kakak sulung ana pula sepatutnya nama ana Izatul Izzieyanie...tapi disebabkan ana nie 'spesel' he3...adik beradik lain semua mak dan mak sedara yang letak...tiba abah ana rasa 'turn' dia pula, lebih-lebih lagi die kata susah sebut nama yang kak long ana cadangkan tue...dengan izin Allah termaktubla nama puteri ketiga zuriat kelima keluarga ini sebagai 'azizah the legend'
he3...AZIZAH JABAR...

malu nak citer tapi 'share' juga la...

nama kakak sulung : Izatul Laili binti Jabar
abang : Khairul Azmi bin Jabar
abang : Khairul Azlan bin Jabar
kakak : Izatul Ashikin binti Jabar
ana : Azizah binti Jabar
adik : Khairul Hafizwan bin Jabar

apa yang tak kena pada senarai nama di atas?
perasan tak...hu3 dulu kecik2 semua orang tanye nape nama ana je yang pendek yang lain panjang skit...disebabkan kurang kematangan, ana jadi sedih coz name xbesh mcm dorg...
ditambah lagi dengan abang ana yang suke menyakat ana, die kata ana nie anak angkat huh! kejam betul...ana pun siap cek surat beranak betul ke tak ana nie anak angkat,,,cek2..nama abah sama lakk dengan dorg...konfius lak...(mase tue tak tau lagi sejarah nama ana)

paling buat ana kecik hati skit mase sekolah dulu,,,ade pula kawan yang kata nama ana macam orang dulu (klasik)...bior la klasik pun, siap ada tajuk filem tuh...=p "azizah the legend"
cuma yang tak leh tahan bila ana kasi tau je nama ana kat pak cik2 mak cik2...mesti dorg nak menyanyi lagu oh azizah! padahal lirik lagu fatimah...apa lah dorg nie suka2 je tukar lagu marah pencipta lagu tue baru depa tau...=p
tapi memang ade lagu kot...tp lagu dari filem allahyarham P.Ramlee...penarik beca...

name ana yang spesel(barakah..insha Allah)... =)
tak berapa nak perasan, tapi setelah sorang teman kasi tau, dalam asmaul-husna Allah ada rangkaian nama ana, yang tersusun cantik...Al-Aziz (perkasa) Al-Jabbar(kuasa/kuat)...
sejak tue la ana dapat 'refresh' mentaliti semula, bahawa setiap nama ada istimewanyer...
alhamdulillah...

tapi ana semak kat buku maksud di sebalik nama...maksud azizah= pengasih / penyayang...
tak pe tak kisah,,yang penting maksud yang membawa kebaikan...

kat umah keluarga n sedara mara panggil ana 'azi'...
disebabkan zaman awal remaja, ana nie "agak2 jahat" sikit...
bile tukat sek.teknik ana pun tukar la...suruh orang panggil 'ezy' (ceh,nampak glemer skit)
ops! bukan masalah glemer yea...tp ade history nyer...
mase tingkatan 3...cikgu geografi kesayangan ana tue orang cina kelantan...bahasa melayu nyer amat fasih...ana nie da tau name ade 5 huruf je (a.z.i.z.a.h) gatal2 nak panjangkan jadi (a.z.z.i.e.y.z.a.h)..tulis kat buku macam tue...bila nama kena sebut, pueh la cikgu Ang Boon Cheng (beliau lah pencetus inspirasi ana meminati geografi sekaligus bakal guru geografi kelak...insha Allah...selain dari cikgu Wan Salia-guru geografi tingkatan 6) nak sebut nama ana...tersekat-sekat dier sebut menjadi bunyi ez-zy-zah...kawan2 kelas semua ketawa cz nama baru untuk ana...he3...pe pun setelah ana kat teknik name tue la yang melekat...e.z.y

dengan takdir Allah...hijrah name panggilan tersebut rupanya membawa perubahan dalam hidup ana...maka bermulalah 'pengislahan' diri ana...

kat upsi lak...orang panggil izzah...ana saje suruh panggil...cz insha Allah sesuai dengan niat 'pengislahan' yang lebih mantap...kerana nama panggilan itu kan doa...izzah(kemuliaan)...
lagipun xlari dari nama ana, cuma ambik hujung je..
alhamdulillah...subhana Allah! cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui impak 'pengislahan' ini...

nama panggilan?
-azizah
-azi
-ezy
-izzah
-"chik" (anak sedara je panggil)

sekian demikian...

nak kena tagged orang lain lak ker...
nak tagged spe yerk...nnti kiter tengok spe yang kena...=p

wallahu'taala bisawab...

p/s :- cerita diatas hanyalah rekaan semata-mata tiada kena-mengena dengan yang tak hidup atau yang telah meninggal dunia...=p






~jika mulia yang dituntut...
besar yang dicari...
maka jauh perjalanannya...
tinggi pengorbanannya...~


Friday, May 16, 2008

~...sangkaanku meleset sekali...~

Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan taubat.

Nabi s.a.w bersabda :-
كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Ertinya : "Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat" (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499, 4/659)

Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih diredhai oleh Allah.

Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis
ثلاث لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن " . فقال رجل : ما يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : " إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه

Ertinya : Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"

Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangak buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya" ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-
Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)

Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-
ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق

Ertinya : Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangak buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya" ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)

Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya

SANGKA BURUK YANG HARUS

Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar'. Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk' apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak berdosa.

Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey rambang dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon, bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan lain-lain informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat, saya pernah menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup menarik sekali.
Namun mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon untuk mendapatkan komen beliau, akhirnya kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami daptkan komen beberapa orang lagi demi memastikan info yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun info yang sam a diperolehi.

SANGKA BURUK YANG HARAM

Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya.
Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.
Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.

JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK

Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat.
Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.
Hasilnya, apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan satu tindakan yang patut dipuji pada zahirnya, akan wujud sebahagian kumpulan dalam UMNO yang mentakwil apa yang tersirat dan tujuan sebenar dari setiap tindakan baik yang dibuat, sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak mendapat pujian, penghargaan dan terima kasih. Demikian juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik dibuat oleh pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh sebahagian pihak pembangkang. Saya tidak kata semua, namun saya kata ada sebahagian mereka.

Sebagai contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran Ex-Gratia kepada bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20 tahun lepas, maka ada yang tetap tidak mahu menghargai tindakan itu lantas berkata :-

"Mengapa baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu"
Individu dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka bijak, sukar diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang luar biasa (kononnya).
Namun jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan kesilapan yang terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil lagi, mereka akan bersangka baik pula demi membela segala tindakan tersebut atas dasar maslahat katanya. Bagus, ia memang satu sifat yang baik, tetapi boleh menjadi buruk jika tidak betul cara kendaliannya.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan sangka buruk sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa menjadi mainan diri. Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadikan diri taksub kepada team mereka.

JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN

Kali ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.
Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain. Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.
Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya.
Sebagai contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang berlaku kepada S.S Mufti Perlis. Akhir-akhirnya ini S.S Mufti Perlis semakin berterus terang mengkritik beberapa dasar kerajaan yang kurang tepat sebagai contohnya ISA. Akhirnya, pelbagai sangka buruk timbul antaranya,
Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihnraya 8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek' kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.
Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di Perlis sudah di penghujung.
"Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!" Tempelak mereka.
Dan macam-macam lagi.
Saya kerap dengar komen "mengapa baru sekarang!!?" sebagai hujjah untuk membidas segala kebaikan orang lain. Wajarkah komen sebegini?
Saya dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing dalam hal ini.
Bila saya sebut masalah hukum di dalam ASB, Overridding Commission dalam MLM, Pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu berkata
"Mengapa baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal dulu, ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk kata haram, jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada join skim lain dan sekarang dah rugi kot" Katanya.
Saya menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang atau dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu baru tiba kini dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu dipertikaikan.?
Bersyukur sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan keadaan kesihatan, dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak sekarang dewasa dan lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak memarahi virus yang menghinggapi kita lalu berkata
"hei virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu juga memikirkannya.
Jawapan mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum cukup kajian dan ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara sekarang.
Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan lalu kerana itu baru bersuara sekarang.
Dulu, mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar, kerana itu baru tegur.
Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal seperti ini?.

JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN

Jenis yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.
Saya masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu (Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini). Ada individu menghantar link satu forum kepada saya, forum itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram.
Tiba-tiba mucul seorang former yang berkata :"puas aku fikir dan cari di web zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin ini sibuk-sibuk menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa yang dia hendak sebenarnya?"
"akhirnya aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku"
Begitulah lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan muslihat di sebalik segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dan agenda DUNIA. Ini bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.

Sebagai contoh lain.
Ada yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 bertanya sambil bersangka buruk berkenaan orang di sekitarnya:-
a- "Ustaz ada dengar tak slot Dr Zainol Hadja pengasas ayam organik di radio ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang tanda halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang dakwaan Dr Zainol dan perjuangannya memartabatkan makanan yang betul-betul halal kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak perkayakan diri sendiri jer"
b- "PPIM ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam, mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat budjet"
c- "Ustaz ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!", simpul seorang pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)
d- "eleh ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak' dari penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual agamanya untuk popular di televisyen"
e- "Saya benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu tidak berani berterus terang"
f- "Kecewa dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari perjuangan dakwah ke?" Tanya seorang bersangka buruk kepada saya melalui ruang komentar.
g- Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa : "jika suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah sebenarnya ia ada benda jahat yang sedang disorokkan"
Banyak lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia Cuma beberapa contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu. Semua punyai peranannya, samada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak ikhlas atau punyai agenda lain.
Malah jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal, apa salahnya. Selagi mana zahir tindakan semua mereka tadi adalah baik dan menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.

Allah swt mengingatkan :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :
الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ
Ertinya : "Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam" ( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )

Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.

Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.
Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

"Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),
Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata
"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :
Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".
Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas :-
إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )
Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-
إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

KESIMPULANNYA

Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.
لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ
Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ""Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )
Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya.
Namun, apa yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada kebaikkan ini suka pula bersangka baik kepada penganjur skim-skim cepat kaya yang tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen hari ini. Sepatutnya anda perlu bersangka buruk lebih sedikit dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan berhati-hati yang sebenar.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://zaharuddin.net/
12 Mei 2008

Sumber:
http://zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=711&Itemid=72