Wednesday, January 5, 2011

~...Online dengan TUHAN...~



Bismillah~

Dewasa kini kita tidak dapat lagi menafikan kepentingan alat komunikasi baik telefon, internet, faksimili dan sebagainya. Komunikasi membolehkan penyampaian maklumat antara manusia yang berada di kutub utara dengan kutub selatan berlaku dalam beberapa saat walapun jarak beribu-ribu kilometer. Interaksi tanpa sempadan ini memudahkan urusan harian manusia dan menjadikan manusia semakin bijak dan rancak mengurusi kehidupan.

Walau bagaimanapun, manusia sering lupa pada Yang Maha Pencipta kepada komunikasi dan interaksi. Sesungguhnya alam ini diurus dan ditadbir oleh Sang Pencipta Yang Maha Hebat tapi sering kali manusia lupa untuk berkomunikasi dengan Pencipta kepada peralatan komunikasi ini tadi.

Jika kita kehilangan telefon bimbit dan tidak dapat mengakses internet pasti hidup rasa kekurangan kerana tidak lagi dapat berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang jauh. Apatah lagi jika kita adalah ahli perniagaan atau pengurus kepada sesebuah organisasi. Tidak kurang juga ada sebahagian manusia bagai ‘cacing kepanasan’ apabila tidak dapat berkomunikasi di laman sosial dunia internet dan tidak dapat menghantar ‘short massage system’ (SMS).

Namun, manusia yang tidak pernah cuba mengenali kepentingan komunikasi dengan Tuhan Pencipta Sekalian Alam akan berasa ‘tak pa’ apabila lewat atau terus meninggalkan komunikasi dengan Allah Taala yakni melalui doa dan solat. Berapa ramai di antara kita yang merasakan kepuasan setelah mengadu dan berkomunikasi dengan Allah Taala? Paling malang apabila ibadah solat dan doa tersebut dibuat sebagai kelaziman fizikal semata-mata tidak terkesan oleh ruhani. Maka tidaklah hairan jika orang yang bersolat tapi masih berbuat kejahatan dan kemaksiatan. Bacaan dalam solat tak difahami maknanya dan doa pula jika dibuat secara berjemaah hanya di ‘Ameen’ kan ikut imam tapi bacaan bahasa arab tak cuba difahami walhal doa dalam bahasa melayu secara sendiri dengan penuh penghayatan dan pengharapan itu lebih baik dan berpotensi dimakbulkan Allah Azza wa Jalla. Lalu muncullah rungutan sudah penat berdoa tapi Allah Azza wa Jalla tak makbulkan, walhal bagaimana doa mahu diperkenankan sedangkan hati dalam keadaan tidak bersungguh dan lalai.

Apabila seseorang hamba berkomunikasi dengan Allah Azza wa Jalla tapi tidak difahami oleh dirinya tentang apa yang dikomunikasikan dapat dianalogikan dengan seorang individu A cuba meminta barang kepada individu B tetapi semasa meminta kepada individu B tersebut si A tadi tidak memanggil dengan nama si B, bercakap pula tanpa melihat si B. Agak-agak anda nak tolong ke orang macam tu? Apatah lagi kemungkinan besar anda pun tak perasan si A tadi sedang bercakap dengan anda. Namun Allah Azza wa Jalla tidaklah bersifat seperti sifat manusia tetapi Allah Azza wa Jalla Maha Mengetahui tiap sesuatu dan Allah Azza wa Jalla jugalah Yang Maha Mengetahui perihal setiap hambanya melebihi apa yang diketahui oleh hamba itu sendiri. Cumanya Allah Azza wa Jalla ingin melihat usaha hamba tersebut walaupun DIA terlebih dahulu mengetahui keperluan hamba NYA.

Oleh itu, jika kita pernah kegelisahan apabila kehilangan telefon dan tidak dapat berhubung dengan manusia periksa diri semula pernahkah atau selalukah kita merasai kegelisahan apabila kurang berdoa kepada Alla Azza wa Jalla dan terlewat menunaikan solat? Jadikanlah pengaduan segala permasalahan kita walhal sekecil-kecil masalah terlebih dahulu kepada Allah Azza wa Jalla Sang Pencipta Masalah sebelum kita mengadu kepada manusia kerana sesungguhnya DIA juga telah ciptakan jalan penyelesaian dan kesembuhan. Kita juga sering lupa melihat DIA mendatangkan pertolongan dan jalan keluar selalunya melalui asbab manusia lain lalu menyebabkan kita terus lupa kerana menyangka manusia jugalah yang membantunya bukan meletakkan segala sesuatu atas keizinan Allah Azza wa Jalla.



Allahua’alam~

No comments: