Thursday, August 28, 2008

~...Kisah Benar : Dakwah Kita Dakyah Mereka...~






asSalamualaikum w.b.t Saya ingin menceritakan pengalaman silam saya untuk menjadi teladan, panduan dan kesedaran pada semua umat islam. Saya dilahirkan di negeri Pahang. Kini berumur 25 tahun. Pendidikan awal di S.K Tekam Utara dan kini menuntut di salah sebuah pusat pengajian tinggi swasta dulu dikenali Institut Pengajian Islam.




Di pusat pengajian itu banyak memberi kesedaran pada diri saya tentang keindahan agama Islam, dimana saya telah dilahirkan di dunia ini sebagai penganut Nya tanpa menyelami tentangnya(Islam). Saya sendiri tidak terlintas difikiran untuk menjadi pelajar di institut tersebut tetapi mungkin Allah S.W.T telah tentukan. Disanalah saya mula mengenal diri dan mendalami tentang ilmu-ilmu tentang islam.Saya sebenarnya sedih mengingatkan tentang perkara yang ingin saya ceritakan ini. Tetapi untuk kesedaran semua agar tidak terlepas pandang pada sesuatu yang dianggap selamat tetapi pada hakikatnya amat merbahaya, memalukan, hilang maruah, tidak bertanggungjawab dan terhina pada umat islam.




Ianya bermula pada hujung tahun 2006 keadaan saya pada masa itu amat perit dihimpit masalah keluarga, kewangan dan rakan seagama.fikiran saya serabut dan juga buntu apabila masalah datang sekaligus. Pertama masalah keluarga dan rumah tangga dimana saya dituduh berlaku curang terhadap isteri saya. Memang sebelum itu saya pernah melakukan kesilapan. Kejadian itu berlaku sewaktu saya baru mendirikan rumah tangga, saya melakukan hubungan sulit dengan kerani tempat saya bekerja. Oleh itu saya menyesal dan tidak mengulanginya lagi tetapi isteri saya tidak mempercayai diri saya sepenuhnya seperti sedia kala.




Tidak lama kemudian seorang wanita meminati saya tetapi saya tidak mengendahkan perasaannya terhadap saya wanita itu nekad untuk bertemu semula dengan isteri saya dan dia telah buat cerita bahawa saya telah meniduri saya beberapa kali sewaktu isteri saya tiada di rumah. Perkara itu membuatkan isteri saya telah berkurangan kasih sayangnya terhadap saya walaupun saya telah menjelaskan perkara yang sebenarnya. Rupa-rupanya wanita tersebut telah berpakat telah berpakat dengan ibu mertua saya. Sememangnya perkahwinan ini tidak direstui ibu sebelah isteri saya.




Kedua, masalah kewangan dimana pendapatan isteri lebih daripada saya dan dianggap tidak sepadan dengan saya oleh ibu mertua. Pelbagai cara saya cuba mengambil hati kedua mertua tapi pandangan mereka tetap sama. Sehingga kami terpaksa bercerai atas desakan mertua, dan kesalahan yang pernah saya lakukan dulu sebagai penyebab utama.




Ketiga, saya telah melakukan kesilapan terhadap rakan serumah dimana penghuninya semua pelajar di pusat pengajian yang sama. Saya telah bercakap tentang perkara yang tidak sepatutnya saya cerita pada rakan yang lain tentang rakan serumah. Oleh itu, mereka sepakat untuk memulaukan saya walaupun itu kesalahan saya yang pertama setelah selama dua bulan mengenali mereka. Setelah saya memohon maaf, saya pula difitnah dengan dengan pelbagai cerita sehingga ada yang memanggil saya ANJING oleh rakan sekuliah dan seagama (ISLAM) dengan saya.




Pada suatu hari dalam keadaan yang begitu tertekan, saya telah didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai BENNET, nama samarannya pula ALIFF. Dia selalu hadir apabila saya memerlukannya. Pernah sekali saya terpaksa membayar duit yang telah dilaburkan oleh rakan kongsi perniagaan saya sebanyak RM6000 dalam masa yang singkat. Dia menawarkan diri untuk membantu saya setelah dia mendapat tahu bahawa saya meminta bantuan dari rakan-rakan seagama dengan saya, tetapi gagal.




Dia membawa saya ke sebuah gereja kira-kira 4 km dari tempat saya belajar. Di sana saya ditemukan dengan seorang paderi. Saya diminta menceritakan masalah yang dihadapi, setelah saya menceritakan masalah saya, tanpa banyak alasan paderi tersebut masuk ke sebuah bilik, tidak lama kemudian dia keluar lalu menyerahkan wang sebanyak RM6000 dan dia berkata “KAMU TIDAK PERLU RISAU SAYA AKAN SENTIASA MEMBANTU KAMU WALAUPUN KITA BERLAINAN AGAMA, DUIT TAK PERLU KAMU PULANG. AMBILLAH IA ANGGAP IA DUIT KAMU SENDIRI YANG SAYA TOLONG SIMPANKAN, TETAPI SAYA HAIRAN MENGAPA ORANG SEAGAMA KAMU BEGITU BERSIFAT PENTINGKAN DIRI. KAMI DISINI DIASUH SUPAYA SENTIASA MENGAMBIL BERAT ANTARA SATU SAMA LAIN.”
Semenjak itu saya kerap berjumpa dengan paderi tersebut, dia menawarkan diri untuk mendengar segala masalah saya, saya juga telah mengajak rakan-rakan yang senasib dengan saya. Telah beberapa kali saya hampir meminum ‘air suci’ bagi penganut agama kristian tetapi alhamdulillah hasrat tidak kesampaian.




Saya dan rakan-rakan yang lain pernah mengadakan perjumpaan dimana ianya dipanggil sebagai hari penghapus dosa. Diadakan di Pantai Cherating, Kuantan Pahang seramai hampir 2500 orang pelajar IPT berbangsa melayu terlibat sama.Selain itu kami selalu mengadakan perjumpaan secara terbuka sesama rakan-rakan yang terlibat setiap kali perjumpaan kami akan diberi nasihat, semangat dan perangsang untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna.
Didalam perbincangan dan perjumpaan tersebut kami selalu ditekankan tentang mencari kebenaran dan hala tuju yang diredhai hanya dengan cara membandingkan kehidupan manusia dan keadaan persekitaran Islam disekeliling kita dengan Kristian secara praktikal bukannya secara teori kerana praktikal itulah nyata dan benar. Mereka juga ada memberi penerangan tentang ayat–ayat suci Al-Quran sebagai contoh: Ayat 199, juz Al-Araaf *maafkanlah dan suruhlah maaruf berpaling dari orang –orang yang jahil. (Dikatakan ayat ini bahawa orang-orang seperti kami tidak ada ruang lagi disisi agama Islam. Oleh itu, kami telah ditakdirkan dan dipertemukan oleh Allah S.W.T dengan mereka yang menuju ke syurga).Ayat 105, surah Al-Khafi* maka orang-orang yang ingkar akan tanda-tanda Tuhan akan menemuinya sebab itu hapuslah (pahala) perbuatan mereka dan timbangan untuk mereka pada hari kiamat. (Dikatakan ayat ini bahawa tidak berpeluang langsung bagi orang-orang seperti kami untuk masuk syurga jika mengikut jalan islam kerana perkara itu ada dinyatakan di dalam Al-Quran oleh itu satu-satunya agama yang Maha Pengasih dan Penyayang adalah kristian yang sentiasa memberi peluang arah dan jaminan untuk ke syurga.)




Sehinggalah suatu hari saya merasakan apa yang telah dilalui ini banyak salahnya, hati dan perasaan tidak tenteram, sentiasa berdebar-debar. Saya cuba kuatkan semangat untuk meluahkan apa yang terbuku di hati ini kepada dua orang sahabat dimana mereka telah menyedarkan bahawa apa yang dianggap selama ini salah iaitu saya menyalahkan agama islam, padahal penganut agama itu yang bersalah kerana agama islam adalah agama yang sempurna dan jika kita mengikut segala yang telah ditetapkan nescaya kita akan bahagia di dunia dan akhirat, insyaAllah.Kini saya merapatkan diri dengan Allah S.W.T agar mendapat kehidupan yang diredhai NYA.




Pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) banyak membantu saya dari segi makanan mental dengan menjemput saya mengikuti program-program yang mereka anjurkan supaya saya dapat mengukuhkan akidah dan tauhid di dalam diri. Saya mendoakan agar semua pihak yang banyak membantu saya akan terus membantu supaya kita dapat menyelamatkan rakan-rakan saya yang masih di dalam kebingungan tentang agama islam dan hampir dimurtadkan.
Saya berharap sangat pihak yang bertanggungjawab cepatlah bertindak seiring dengan ABIM, jangan sampai anak, adik, abang, kakak, cucu atau saudara kamu sendiri dimurtadkan baru sedar kamu telah menjadi insan yang hina di mata umat islam. Jangan kamu lalai dengan gaji yang beribu, berlagak dengan gelaran yang diberi takut nanti mata menjadi kelabu sampai tidak perasan orang yang dimurtadkan itu rupanya seibu dengan kamu….wasSalam….


#PERHATIAN! Surah al-araaf dan al-kahfi diatas adalah terjemahan yang pihak kristian tafsir sendiri.maka diharap tiada kekeliruan selepas ini. Paling afdal rujuklah terjemahan yang sahih..




..........................................................................................................................................




.p/s : kisah ini adalah benar-benar terjadi kepada seorang hamba Allah yang ana kenali. Penulis telah meminta ana menyalin cerita ini untuk diambil iktibar kepada orang lain. Sesungguhnya kehidupan ini adalah ladang ujian, kekadang ujian yang tidak diduga mendatang dalam keadaan yang sukar diterima dek akal. Namun, ingatlah firman ALLAH S.W.T surah Al-Ankabut 29:2“apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan ‘kami telah beriman’ dan mereka tidak diuji?”




Apa yang pasti setiap ujian adalah rahmat dari ALLAH untuk meningkatkan keImanan da keTaqwaan hambanya. Ketahuilah semakin berat ujian yang dipikul kamu menandakan tinggi keImanan kita. Yakinlah pada ALLAH bahawa DIA tidak menzalimi hambanya melainkan kitalah yang sering zalim pada diri sendiri. Banyakkanlah bersyukur padanya dalam senang mahupun susah. Malah jika diuji zahirkanlah rasa kesyukuran kerana ujian itu adalah perhatian dari kasih sayang NYA kepada kita.




~wallahu ta'ala bisawab~

1 comment:

rossees said...
This comment has been removed by a blog administrator.