Saturday, October 25, 2008

~... Diam, suatu unsur yang membina...~

asSalamua'alaykum wbt~

Bukan mudah menjadi orang yang bijak menambat hati manusia lain. Ia merupakan suatu unsur yang amat penting dalam seni dakwah iaitu memenangi hati manusia sebelum melangkah kepada usaha islah ke atasnya. Dai’e yang kreatif adalah orang yang dapat memanipulasi emosi, suasana dan kelebihannya untuk menambat hati manusia ke arah kebaikan. Bagi seseorang yang bergelar dai’e, mustahil padanya tidak ada keinginan untuk menambat hati manusia atau menarik hati-hati ke arahnya agar dapat di didik dan dibentuk. Dari dasar inilah maka seringkali kita melihat dan mendengar pelbagai cara dan kaedah yang digunakan untuk menambat hati manusia.

Namun begitu, dalam usaha islah kita, sebulat-bulatnya kita menolak metode pemikiran Machiavelli yang meletakkan matlamat sebagai penghalal cara. Dai’e bergerak di atas medan dakwah dalam kotak titah perintah dan larangan Allah s.w.t. Seluas-luas kapasitinya dalam dunia dakwah dan seramai-ramai lahan dakwah yang mampu dicapainya, itu semua tetap berada di dalam kotak syariat dan hukum-hakam Allah s.w.t.; tanpa kompromi. Mustahil bagi seorang yang menyeru kepada Allah s.w.t. membawakannya dengan kaedah yang dimurkai Allah s.w.t. Di sinilah letaknya kemurnian dakwah yang kita kemban. Semuanya berdasarkan hukum dan ketetapan Allah, dipetik dan dirungkai teknik dan seninya dari sirah Nabi Muhammad s.a.w. yang agung dan kisah para sahabat, salafussoleh, tabi’in dan mereka yang telah berjuang di medan dakwah islam ini.

Suatu komponan utama dalam memenangi hati manusia adalah lidah. Tutur bicara dan kata-kata kita seringkali menjadi agen pengikat hati-hati manusia. Kuatnya lidah dalam mengikat hati manusia dapat dilihat dari kata-kata seorang peniaga kepada sang pembeli, sehingga percaya dengan apa sahaja yang disarankan. Bahkan juga umpama seorang hawa yang terpedaya dengan kata-kata lelaki nista yang menipu, akhirnya sang hawa berteleku kecewa, mulut bermadah dengan hiba dan airmata menitis ke riba. Begitulah lidah, tidak bertulang, lembutnya memikat dan geraknya ligat. Inilah aset, atau boleh jadi suatu liabiliti bagi manusia bila dihisabkan peranannya demi akhirat.

Namun lidah punyai bahayanya. Ia adalah salah satu daging antara dua yang diarahkan untuk di jaga dengan baik agar terselamat di akhirat kelak. Hadith falyaqul khairan au liyasmut menyuruh kita agar berkata baik atau diam sebagai penanda kita beriman dengan Allah s.w.t dan hari akhirat. Begitulah Allah Menciptakan, penuh dengan teka-teki agar manusia berfikir dan berwaspada agar redha Allah jua yang dicapai.

Ironinya pada lidah, dalam diamnya juga ia punya peranan. Menjadi dai’e yang mahir dan berseni dalam memanfaatkan lidah tidak bermakna perlunya manis saat berbicara, penuh kelembutan bahasa dan suara, tapi juga bijak untuk diam. DIAM. Di saat diamlah kita menyembunyikan pelbagai benda, di saat diamlah kita menjadi penadah arimata hiba, di saat diamlah kita menjadi orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Begitulah kuatnya lidah. Begitulah kuatnya diam. Sehebat kata-kata, diam juga mampu membawa perubahan.

Dai’e yang ingin menambat hati tidak seharusnya terus-menerus berkata-kata, seperti lenggoknya punggung itik, ia bergoyang ke kiri ke kanan sedang tidak ada siapa yang mahu melihat. Cukuplah seadanya, kemudian diam akan memainkan peranan yang besar dalam memikat hati. Dengan diamlah kita menghargai mereka yang bersama kita, agar mereka juga berbicara dan kita mendengar. Di saat gundahnya lahan dakwah kita, di saat itu, diamlah ubat yang paling mujarab dapat kita ajukan padanya. Di saat rancaknya perbualan, diamlah penawar paling berkesan untuk mengelak dusta dan kesombongan. Di saat tingginya jiwa, diamlah unsur perendah hati dan pelembut jiwa.

Andai kata diam jatuh di tempatnya, ia kan menjadi usaha terindah bagi seorang dai’e. Belajarlah untuk diam, agar kurang bodohnya dai’e di hadapan manusia dan kurang azabnya dari Allah di hari akhirat kelak. Bukan mudah menangkap belut kerana lembutnya badan dan licinnya kulit berbanding terubuk walau besar, tapi tulangnya banyak lenggoknya kurang. Tapi indahnya saat diam menjadi suatu seni yang dikuasai oleh dai’e, jiwa-jiwa terikat kerana luhurnya kata-kata dan kesediaannya untuk diam.

Lidah itu suatu aset yang menguntungkan di saat bicaranya dan juga di saat diamnya. Pelajarilah diam dengan lebih bersungguh kerana terlalu lama sudah kita berbicara.

Wallahu’alam.

http://bahantarbiyyah.info/v3/wordpress/?p=52 .:.

No comments: