Friday, June 13, 2008

~...belajar dari air...~





Kita ini tak ubah seperti air. Air sungai sentiasa mengalir. Jangan sesekali diam kerana air yang tidak mengalir akan menyebabkan bau tak enak dan mengundang perbagai penyakit contohnya ; demam denggi yang berpunca dari pembiakan nyamuk aedes di kawasan air yang bertakung. Begitulah diri kita, apatah lagi yang mengaku dirinya seorang muslim. Kita dituntut untuk sentiasa bergerak (berusaha). Tentu sahaja bergerak di sini bukan hanya mengejar keperluan diri semata-mata.



Tetapi, berfikir dan berbuat untuk orang lain sangat perlu sepert kata Sayyid Qutb : "Siapa yang hanya memikirkan dirinya sendiri, dia akan hidup sebagai orang kerdil dan mati sebagai orang kerdil, tapi siapa yang mahu memikirkan orang lain, dia akan hidup sebagai orang besar dan mati sebagai orang besar."



Sebenarnya keberadaan kita hidup di dunia ini mempunyai makna.. Misalnya kita sebagai lahir dari keluarga yang miskin, kita belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan apabila mempunyai kerjaya yang baik dapat mengubah nasib keluarga sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara.. Sangat malang jika hidup kita di dunia ini tidak memberi makna kepada masyarakat sekeliling. Lebih malang lagi jika keberadaan kita tidak disukai orang sekeliling kerana menjadi beban kepada orang lain atau penyebab segala masalah seperti pencuri, perompak, pengedar dadah dan sewaktu dengannya. Atau mungkin hadirnya kita hanya sebagai penumpang di atas kehidupan orang lain, tidak sedikit pun memberi sumbangan walhal hal ehwal diri sendiri juga tidak dapat diuruskan kecualilah jika kita golongan orang kurang upaya (OKU), namun golongan OKU sekarang pun sudah ramai yang berjaya seperti manusia normal.
Untuk itulah, kehadiran kita sesungguhnya di dunia ini adalah sejauh mana kita dapat memberi kepada orang lain, kerana inilah rahsia peribadi unggul manusia...sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain. Persoalannya, apakah kita selalu memberi manfaat kepada orang lain? Baik dari membantunya menyelesaikan masalah atau sekadar mendengar masalah, meringankan bebanan orang seperti membantu orang ketika melihatnya membawa barang yang berat. Atau kita sebenarnya seorang yang suka membebankan orang lain, mencari masalah, atau mengeruhkan hubungan silaturahim? Ingat kita boleh memberikan kesejukan, namun kita juga boleh menyebabkan orang lain kelemasan. Ibarat air hujan, turun sedikit mendinginkan suasana, apabila turun banyak banjir pula yang berlaku.


Seterusnya, kita juga boleh mengamati bahawa air itu selalu menuju ke tempat tertentu. Jika air sungai akan mengalir mengikut alirannya, air hujan juga mengalir ke pelbagai tempat sama ada ke sungai atau laut, menyusup ke dalam bumi atau menjadi air larian permukaan. Kita pun begitu, kehidupan ini perlu mempunyai matlamat yang jelas, tujuan hidup yang jelas, tak sekadar mengalir begitu sahaja.
Dalam hal ini, persoalan mengenai waktu menjadi penting kerana orang yang berjaya, waktunya adalah sebuah sejarah tersendiri. Kita perlu pandai memanfaatkan waktu, bukan sekadar menjadi orang yang berjaya, malah agar kita banyak berbuat atau memberi manfaat kepada orang lain. Oleh sebab itu, sesekali kita perlu pandang belakang, iaitu merenung kembali hidup kita selama 22 tahun, apakah jasa kita kepada keluarga, masyarakat dan negara. Malah terhadap agama islam, adakah kita penyumbang kepada imej islam yang baik atau memburukkan lagi pandangan orang bukan islam terhadap agama islam dengan berpakaian tak cukup kain mengalahkan mereka, atau meninggalkan ajaran islam sehingga orang bukan islam yang mengetahui ajaran sebenar islam keliru mana satu orang islam? Apatah lagi jika kita ditanya di akhirat kelak; apakah kita sudah menunaikan kewajiban kita dalam beramar makruf nahi mungkar? Tepuk dada biar iman berbicara.


Berapa banyak waktu pula yang kita buang untuk menonton televisyen, berjalan ke pasar raya atau bersenang-lenang menghabiskan masa muda. Sementara, seperti kata Imam As-Syahid Hassan Al-Banna ; " kewajiban kita lebih banyak dari waktu yang tersedia". Masihkah kita akan bermalas-malasan, dalam waktu yang sama kita juga mengaku dan berbangga dengan identiti seorang muslim iaitu beragama dengan satu agama yang hanya diterima di sisi Allah. Padahal kita jarang sekali berjuang menyeru kebaikan apatah lagi nak mencegah kemungkaran. Sangat malunya kita kepada Allah SWT ketika kita mengaku pejuang sejati.

*********************************************
Tidak hanya sekadar itu, air juga mempunyai folosofi atau nilai falsafah yang mendalam. Ketika air ditahan atau disekat ia akan terus mencari jalan lain, jalan keluarnya. Semasa disekat itu, kekuatan air juga semakin besar. Contohnya kita lihat air di empangan, apabila air di empangan tersebut mengalir dapat pula mewujudkan kuasa yang besar, tenaga kinetik menjana tenaga hidroelektrik. Di dalam kehidupan seharian kita, banyak persoalan, konflik dan permasalahan yang kita hadapi. Ramai orang yang akan memandang rendah cita-cita dan impian kita.
Namun, apabila kita berfikir positif atas berbagai onak dan duri yang melanda itu terkadang membuat kita semakin dewasa untuk menjalani kehidupan di kemudian hari. Syaratnya, tak usahlah terlalu banyak berkeluh kesah. Yang terpenting adalah tetaplah tegak berdiri, bergerak membawa impian kita, Insya Allah ketika kerja keras sudah kita lakukan, Allah pasti akan membalas dengan hasil kebaikan yang memuaskan bagi kita. Masalah hidup akan senantiasa ada, tinggal bagaimana kita menyikapinya. Dengan keluh kesah semata, atau bijaksana menghadapinya.



Subhanallah, semoga setelah menuliskan ini saya akan tetap tegar menghadapi variasi seni kehidupan ini. Dan, tentu saja, saya berharap, setelah membaca coretan sederhana ini, Anda juga akan mempunyai semangat hidup yang lebih baik lagi. Salam cinta dan perjuangan…!
Allahu Akbar!!!





...diterjemah, ditambah dan diubahsuai daripada karya asal 'kita ibarat air' Oleh Yon's Revolta-Indonesia...

No comments: