Tuesday, July 7, 2009

~...Pupusnya budaya kejiranan pemangkin gejala sosial...~

oleh : Ummu Sumayyah

Jika zaman dahulu aduan mengenai kelakuan anak jiran akan dibalas dengan ungkapan terima kasih namun hari ini apabila anda mengadukan kepada jiran mengenai sikap buruk anaknya pasti anda akan dimarahi atau lebih teruk disaman dengan alasan memfitnah.

Ungkapan menjaga tepi kain bukanlah suatu sikap yang buruk tetapi adalah sifat sensitiviti yang perlu ada dalam diri setiap muslim. Malahan menepati sabda Rasulullah shalallahu alayhi wassalam :

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah mengubahnya dengan tangannya, sekiranya beliau tidak mampu(berbuat demikian) hendaklah mengubahnya dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu (berbuat demikian) hendaklah mengubahnya dengan hatinya dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Said al-Kudri


Namun gejala sosial dikalangan remaja terus berleluasa tanpa siapa pun peduli kerana para ibu bapa hari ini sangat sibuk dengan urusan kerja mereka sehingga pergaulan seharian anak-anak tidak dikawal. Malahan terdapat anak remaja di depan mata ibu bapanya mereka sangat menjaga kelakuan, tetapi apabila ibu bapa tiada di rumah atau jauh dari pandangan mereka maka mereka akan bersikap liar mengikut kawan-kawan. Di sinilah peranan jiran tetangga penting untuk memantau pergerakan anak-anak mereka.

Natijahnya, berterusan di dada-dada akhbar laporan keruntuhan akhlak para remaja kita hari ini. Sekalipun peratusan kes jenayah juvana dan gejala sosial di negara kita masih sedikit dibandingkan dengan negara lain. Namun, apa yang penting diberi perhatian adalah sejauh mana gejala ini dapat dibendung kerana yang pasti setiap tahun statistik terus bertambah.

Komuniti masyarakat hari ini telah pudar atau lebih jelas mengalami kepupusan semangat kejiranan yang kebiasaanya lebih sebati dengan masyarakat di desa. Pelbagai faktor didapati penyebab hilangnya budaya kejiranan antaranya posisi perumahan seperti rumah pangsa, apartmen dan kondominium iaitu tiadanya suasana untuk beramah mesra sesama jiran kerana masyarakat di kota hari ini pagi-pagi keluar bekerja, petang menjelang malam baru pulang sehingga tiada masa bertegur sapa dengan jiran di sebelah. Maka, tidak hairan sesebuah keluarga yang telah bertahun menghuni di sesebuah tempat tidak tahu nama jiran apatah lagi bilangan ahli keluarga mereka. Lebih teruk lagi jika peragut yang meragut beg tangannya rupanya anak jiran sebelah rumah kita.

Sebenarnya, apabila semangat kejiranan ini ada dalam diri setiap ahli masyarakat gejala sosial dikalangan remaja dapat dibendung. Hal ini demikian kerana kebanyakan remaja yang terlibat dengan kes keruntuhan akhlak antara faktornya adalah kurang pantauan ibu bapa. Ibu bapa tidak akan dapat memantau tingkah laku anak mereka 24jam, maka melalui pantauan jiran-jiran sekeliling pasti sedikit sebanyak mereka dapat mengetahui siapa anak mereka dari pandangan mata jiran-jiran.

Malahan, anak-anak remaja juga akan lebih menjaga akhlak apabila menyedari bahawa masyarakat mengenali mereka sebagai anak kepada si fulan. Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kesediaan ibu bapa menerima aduan atau kritikan mengenai tingkah laku anak-anak mereka. Sikap positif ibu bapa yang menerima aduan jiran lalu menyiasat sendiri tindak-tanduk anak-anak dapat mengurangkan kerja penguat kuasa dalam membendung gejala sosial ini sekaligus lebih menunjukkan mereka sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap anak remaja.


No comments: