Monday, December 14, 2009

~...GeoGraFi dari Perspektif al-Quran...~



bismillah~




Segala Puji hanya layak bagi Allah Taala yang telah mengizinkan ana memakai ‘kacamata’ pendidikan semasa menyertai seminar isu-isu semasa al-Quran dan al-Hadith tempoh hari. Ana lebih tertarik mengenai isu pendidikan dalam perspektif al-Quran dan as-Sunnah (tiada dalam tajuk pembentangan tetapi hanya saringan sendiri). Walaupun hujah yang menyentuh mengenai pendidikan hanya seberapa, kerana kebanyakkan pembentang membentangkan isu dari pelbagai sudut kehidupan seperti Ikhtilaf, Islam Liberal, Orientalis Feminis Muslim, Autoriti Hadith, Gender, Gerakan Islah dan Pembangunan Manusia melalui al-Quran dan Sains.



Amat malang sekali jika pendidikan sekular yang sudah menjadi corak pendidikan di negara kita tidak cuba diatasi melalui alternatif atau anisiatif pendidik itu sendiri. Seharusnya seorang guru perlu mengaitkan isu pelajaran dengan agama, sekalipun teori-teori ilmu yang dipelajarinya semasa di Universiti sememang berasal dari negara Barat dan berfalsafahkan akal semata-mata. Walhal ilmu kifayah seperti subjek bahasa, Sains, Matematik, Geografi, Kemahiran Hidup, Ekonomi, Kejuruteraan dan sebagainya berasal dari Al-Quran juga.



Teringat ana sewaktu mula-mula mendapat tawaran di UPSI dalam bidang yang menjadi pilihan pertama iaitu Pendidikan Geografi, ramai kawan memberi respons hambar sebab mereka tidak minat Geografi dan memandang enteng subjek Geografi. Paling kelakar mereka fobia dengan peta, kerana mindsetting mereka Geografi tu subjek peta. Huh! Apalah Geografi bukan subjek peta taw, tapi Sains Fizikal malah lebih dari itu, segala yang ada atas muka bumi termasuk langit dan bawah tanah itulah skop Geografi. Kalau tidak ada pakar dalam bidang Geografi bagaimana nak atasi masalah banjir kilat, kemarau, tanah runtuh, tsunami, pemanasan global dan banyak lagi isu fenomena alam yang lain. Walaupun boleh sahaja hujah mengaitkan ianya kejadian Tuhan, jadi bagaimana manusia nak menghargai alam ciptaan Tuhan tanpa subjek Geografi???



Sebenar posting ini lebih kepada membawa analogi atau contoh untuk para Muallim terutama kawan-kawan yang bakal praktikum di sekolah tahun depan dan buat kawan-kawan yang telah berposting di mana-mana sekolah di seluruh negara. Positif dan Optimislah jika kalian kena mengajar subjek yang diluar opsyen kalian, (agak kasihan seorang sahabat yang mengambil major Matematik dan minor Fizik diarahkan mengajar Bahasa Melayu dan Geografi.) Memang berat tapi itulah suatu persediaan para bakal Guru untuk sanggup menerima dan mencuba apa sahaja opsyen yang diberi bagi memenuhi kekosongan.



Subjek Geografi lebih mudah untuk mengajak para pelajar berfikir mengenai alam ciptaan Allah Taala. Misalnya proses kitaran hidrologi (air) penyejatan air laut dan sungai akibat kepanasan cahaya matahari telah menyebabkan wap air naik ke langit dan membentuk awan(titisan wap air), awan yang semakin banyak terkumpul itu akan ditiup angin sehingga melanggar puncak gunung yang tinggi lalu air tersebut turun semula ke bumi mengalir menyusup ke dalam bumi atau menjadi air larian pemukaan yang mengalir ke dalam sungai atau tasik. Begitulah seterusnya air naik ke atas dan turun semula ke bumi.



Firman Allah Taala dalam surah At-Tariq 86: 22 yang bermaksud;
“Demi langit yang mengandungi hujan*”
(*Raj’I = kembali berputar. Hujan dinamakan raj’i dalam ayat ini, kerana hujan itu berasal dari wap yang naik dari bumi ke udara, kemudian turun ke bumi, kemudian kembali ke atas, dan di atas kembali ke bumi, dan begitulah seterusnya.)


Kenapa ana minat Geografi? Tidaklah lain kerana ana suka anugerah alam ciptaan Tuhan. Apabila cikgu kat depan menerangkan proses kejadian alam ana hanya mampu memuji Allah Taala kerana penerangan lanjut cikgu dihadapan mengingatkan ana beberapa firman Allah Taala mengenai proses yang sedang diterangkan.



Fenomena ketegangan permukaan bumi;
“sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang berlayar di laut dengan (muatan) yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan Allah dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkan-NYA bumi setelah mati (kering), dan DIA tebarkan di dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, (semua itu) sungguh, merupakan tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang mengerti.” Surah Al-Baqarah 2:164



Surah lain yang berkaitan Geografi ;
-Fenomena gelombang jauh dan pendek : surah Hud 11:42, An-Nur 24:40, Luqman 31:32
-Batas pemisah antara air laut dan air sungai : surah al-Furqan 25:53, an-Naml 27:61, ar-Rahman 55:19, 55:20
-Awan-awan yang menggumpal : surah an-nur 24:43, at-Thuur 52:44
-Tekanan udara dan ketinggian saling berlawanan : al-an’am 6:125
-Pembentukan hujan dan angin: 2:164, 7:57, 13:12, 16:10, 24:43, 25:48, 30:48, 35:9, 78:14, 86:11
-Bulat bumi dan putarannya : surah ali-imran 3:27, al-Hajj 22:61, Luqman 31:29, Fathir:13, az-Zumar 39:5, Qaff 50:7, an-Nazi’aat 79:30
-Graviti bumi : surah al-an’am 6:59, maryam 19:25

Secara tidak langsung itulah proses tarbiyyah Tauhid untuk ana. Namun bagi ana dalam keparahan masalah sosial di kalangan remaja hari ini akibat kegersangan intipati agama iaitu Tauhid maka, sewajarnya agama diemplimentasikan ke dalam subjek akademik. Tidaklah ia bererti setiap topik perlu dikaitkan dengan dalil al-Quran atau al-hadith tetapi cetusan membina budaya berfikir pelajar untuk mengaitkan segala sistem dan makhluk yang ada di atas bumi ini dengan kekuasaan Pencipta sangat-sangat penting dan menjadi peranan para guru terutama yang muslim. Ana sangat-sangat tertarik dengan modul Penghayatan Aqidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran (PASAK) yang dibentangkan oleh Prof. Dr Mohd.Arip Haji Kosmo. Terutama pengajaran Sains dari perspektif al-Quran yang dihujahkan berjaya menawan hati pelajar baik muslim dan bukan muslim. Komen seorang pelajar bukan islam yang mahu mengkaji al-Quran setelah melalui Modul PASAK ini sangat menyentuh hati. malahan mentod ini juga sesuai untuk dakwah kepada non-muslim. Mungkin jika anda telah memuat turun audio rakaman boleh mendengar sendiri petikan yang di baca oleh Prof.Dr.Afip…


BOLEH ZIARAH BLOG BELIAU di sini ; http://pasakeedah.blogspot.com/



Sememang jika kita mentadabburi ayat al-Quran sungguh banyak ayat-ayat yang berkaitan dengan subjek pengajaran di sekolah. Bukan bermakna para muallim boleh mentafsir mengikut akal secara membabi buta. Tetapi tafsiran yang sudah jelas nyata dan disertai rujukan tafsir muktabar itulah yang perlu para pendidik kuasai untuk mentarbiyyah anak remaja yang kini yang kecelaruan identiti.

Bukan sekadar subjek Sains yang boleh diaplikasikan untuk mentarbiyyah para syabab tetapi juga Geografi, Matematik, Sejarah, Kemahiran Hidup, Bahasa dan sebagainya. Kita semua sedia maklum akan sistem pendidikan sekular di negara ini yang berjaya membentuk acuan masyarakat mengasingkan agama dari kehidupan. Sampai bila kita hanya mengkritik dan menghentam sedangkan solusi perubahan sedikit pun kita tak mampu lakukan melainkan bagi anak-anak yang bertuah ibu bapa yang mempunyai kesedaran pastikan menghantar ke sekolah Tahfiz, agama dan sebagainya. Manakala anak-anak yang mendapat ilmu agama di sekolah sekular hanya berteori di atas kertas peperiksaan. Alangkah baiknya jika setiap subjek yang lain itu dapat dimanipulasikan dalam bentuk budaya berfikir dan berzikir. Ilmu fardu kifayah penting untuk manusia mentadbir sistem manakala ilmu fardu ain untuk manusia memandu sistem ke arah yang diredhai Allah Taala. Berfikir akan sistem kehidupan membawa manusia menerokai kebesaran setiap inci alam ciptaan Tuhan…

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), 'Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka." (surah ali-Imran 3:190-191)



Allahu’alam~

No comments: