Rayuan Wardina kepada selebriti
Oleh ABD. AZIZ ITARaziz.itar@utusan.com.my
WARDINA sedih melihat kes pembuangan bayi semakin banyak berlaku dalam masyarakat pada hari ini.
MENYEDARI kes-kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, selebriti Wardina seakan-akan tidak mampu membendung lagi rasa kesalnya berhubung senario yang amat menyedihkan itu.
Pengacara rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 itu bukan sahaja kesal, malah dia juga sering menangis setiap kali paparan kes-kes yang amat menyayat hati itu dilaporkan menerusi media massa.
Menurut Wardina atau nama sebenarnya Wardina Safiyyah Fadhullah Wilmot, golongan artis merupakan antara pihak yang sedikit sebanyak telah menyumbang kepada penularan gejala tidak sihat itu.
Sehubungan itu, anak kacukan Melayu dan Australia ini mencadangkan agar kalangan artis seperti penyanyi serta pelakon menunjukkan contoh teladan yang baik bagi menjadi ikutan terutamanya golongan muda di negara ini.
"Saya menyeru supaya artis-artis kita menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat. Contohnya, bagi yang bercinta atau bukan muhrim jangan berpegang tangan di depan khalayak termasuklah melalui media massa.
"Kalau berlakon pun elakkan bersentuhan dengan pelakon bukan muhrim. Semua itu akan menjadi tontonan dan boleh menjadi ikutan golongan remaja. Ia adalah antara punca awal yang boleh mendorong kepada perbuatan zina.
"Sebab itu saya mahu menjalankan suatu kempen bersama dengan mana-mana NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang berminat bagi menangani masalah tersebut," katanya kepada Hits.
Jelas Wardina, buat masa ini dia sudahpun menghubungi sebuah NGO yang dikenali sebagai Jemaah Islah Malaysia yang sebelum itu cukup aktif dalam menjalankan kempen menjauhi perbuatan zina dalam masyarakat.
Ibu kepada tiga anak ini berharap popularitinya sebagai selebriti terkenal dapat membantu menjayakan kempen menjauhi zina tersebut, sekali gus berharap gejala pembuangan bayi dapat dikurang atau dihapuskan di negara ini.
Wardina sudah menghubungi salah seorang 'orang kuat' Jemaah Islah Malaysia iaitu Dr. Hazlina Halizah Siraj bagi membantu NGO itu dalam kempen-kempen itu yang telah dijalankannya sebelum ini.
"Difahamkan, beliau sebelum itu telah menjalankan suatu kempen yang dikenali sebagai Anda Bijak Jauhi Zina tetapi ia kurang menonjol. Kalau boleh saya mahu terbabit bersama beliau dalam menjayakan kempen itu," ujarnya.
Wardina yang merupakan bekas pelakon sitkom terkenal Spanar Jaya menjelaskan hasratnya itu selepas terbabit menjayakan forum Selebriti Sebagai Ikon Masyarakat di pusat beli-belah KB Mall, Kota Bahru, Kelantan Ahad lalu.
Menerusi program Hari Hiburan Islam itu, ahli panel lain yang terbabit termasuklah selebriti TV9, Fara Adeeba dan penulis novel berjudul Ayat-Ayat Cinta dan Bila Cinta Bertasbih terkenal dari Indonesia iaitu Habiburrahman el-Sirazy.
Katanya lagi, program-program televisyen seperti drama dan filem yang disiarkan kebanyakan tidak menyekat adegan-adegan bersentuhan yang membabitkan golongan bukan muhrim.
"Adegan-adegan berpegangan tangan atau berpelukan dalam drama televisyen serta filem di kalangan pelakonnya boleh menggalakkan perhubungan bebas antara lelaki dan wanita. Ia boleh mempengaruhi golongan muda.
"Sebab itu, saya sarankan supaya diharamkan adegan-adegan seperti itu di mana ia boleh digantikan dengan adegan-adegan lain yang lebih kreatif. Kita jangan terlalu mahu meniru budaya dari Barat yang tidak ada batas sempadan.
"Saya tidak berniat mahu tunjuk alim dalam soal ini tetapi ia adalah tanggungjawab sosial saya sebagai orang Islam. Selepas ini saya tidak kisah kalau ada selebriti yang tidak sukakan saya kerana komen-komen saya ini," tuturnya.
Tambah Wardina, hasrat murni bagi membendung, sekali gus menghapuskan gejala pembuangan bayi luar nikah juga seharusnya ditangani oleh semua pihak seperti ulama, media massa dan golongan artis sendiri.
Malah, hasil perbincangannya dengan Habiburrahman el-Sirazy yang membenarkan novel-novelnya yang berkonsepkan keislaman diadaptasi ke filem, beliau mencadangkan agar lebih banyak filem sedemikian dihasilkan.
"Daripada forum yang kami sertai itu, banyak tercetus idea-idea contohnya bagi menggalakkan lebih banyak filem-filem berunsurkan keislaman diterbitkan di negara ini. Kita tidak sepatutnya meniru gaya hidup Barat melalui filem.
"Sebaliknya, apa yang sepatutnya kita tiru ialah soal kreativiti dan teknologi yang dibawa dari Barat. Sudah sampailah masanya lebih ramai selebriti tampil ke depan bersama-sama saya bagi menjayakan hasrat murni ini," katanya lagi.
sumber:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm
¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬¬
bismillah....
masya Allah,alhamdulillah...moga ada ramai lagi golongan artis yang berjiwa seperti Ukhti Wardina Safiyya...Barakallahu fik. Di arena glamor yang penuh warna warni tipuan dunia, masih ada yang berjaga dari tidur..
Tidak dapat dinafikan lagi sangat besar pengaruh mereka, terutama bagi golongan remaja mahupun bukan remaja tapi kurang fikirnya.
Mengenggam bara (ISLAM) dalam penyakit ummat yang seperti barah kian parah bukan tindakan seperti syuro' (mesyuarat/perbincangan/perdebatan/ dan sebagainya) yang perlu dilakukan tapi tindakan berbentuk amal perbuatan...tidak perlu tunggu persatuan, jemaah atau bantuan dari mana-mana jabatan...fikirkan tindakan sendiri yang mampu dilakukan, sekalipun hanya meluangkan masa untuk remaja-remaja yang ketandusan kasih sayang dan perhatian. Apatah lagi mereka yang kegersangan Tarbiyyah Ruhiyyah hilang arah pedoman dalam langkah Tauhid mencari Tuhan.
Berikan masamu untuk kerja Dakwah...kerana dakwah tidak perlukan kita, kita perlukan dakwah. Hidup bukan untuk sendiri, walaupun mati sendiri. Hakikat ibadah apa sumbanganmu untuk ummah...kesan dari taqarub ilallah jadikan diri cahaya yang berjalan di tengah ummah.
Nah, wahai ahli ilmu jom pi turun padang tengok penyakit ummah. Golongan yang tidak minat membaca dan menuntut ilmu bukan sesuai untuk diberi buku dan diajak kuliah. Tapi luangkan masa borak dengan mereka. Walaupun terkadang rasa buang masa bercakap loghat alaf baru. Apapun diri yang berkata terlebih dahulu diuji untuk kuat berbuat. Moga amal bicara ini menguatkan lagi untuk melangkah menjadi amal perbuatan.
"Dan apakah orang yang sudah mati lalu Kami hidupkan dan Kami beri dia cahaya yang membuatnya dapat berjalan di tengah-tengah orang banyak, sama dengan orang yang berada dalam kegelapan, sehingga dia tidak dapat keluar dari sana? Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang kafir terhadap apa yang mereka kerjakan." al-An'am 6: 122
Allahu'alam
No comments:
Post a Comment