bismilllah~
Tertarik dengan sebuah iklan aiskrim jenama popular yang sedang ditayangkan di kaca televisyen tika ini. Apa yang membuat ana tertarik adalah bagaimana seorang anak kecil meletakkan kedudukan ayahnya di pandangan matanya. "Ayah tidak pandai mendandan, ayah tidak pandai memasak, , ayah tidak pandai berkebun, banyak lagi yang ayah tidak pandai, tetapi ada sesuatu yang ayah tahu, ayah tahu saya suka hari minggu dengan menikmati aiskrim....dan ayah memang hebat!" Begitulah lebih kurang dialog kanak-kanak comel tersebut. Dalam banyak-banyak kekurangan yang ingin disenaraikannya hanya satu kelebihan ayah yang dapat dikongsi lalu kelebihan itu membuatkan dia lupa dan tidak kisah kekurangan lain yang ada pada ayahnya...SubhanaAllah alangkah indahnya jika semua anak-anak hari ini memiliki sifat sebegitu.
Lumrah kebiasaan manusia, seseorang yang telah berbuat banyak kebaikan pada kita, apabila dia melakukan satu kesilapan kita mudah menghukum kesilapan yang dilakukan sehingga menafikan kebaikan yang telah dia lakukan. Dalam konteks habluminnannas (hubungan sesama manusia) sememang alam manusia tidak lari dari sifir sebegitu, walhal diri sendiri pun tidak maksum(terlepas dari berbuat dosa). Tetapi teramat menyedihkan jika seorang anak mengambil tugas Tuhan dengan menghukum ibu bapa sendiri. Hebah berita di dada akhbar ibu bapa yang menzalimi anak-anak, sama ada kes buang anak, dera anak, rogol, tidak beri nafkah dan sebagainya. Namun, bagaimana pula kes sebaliknya anak-anak menzalimi ibu bapa? Sepak, terajang, kurung, pukul dan sebagainya. Tentu ada yang jarang mendengar kerana bukan berita sensasi. Tapi itulah realiti yang ingin dikongsi.
Alhamdulillah, pada hari sabtu yang lepas (24 Aupril 2010), ana bekesempatan melawat Rumah Seri Kenangan, Tanjung Rambutan yang terletak di daerah Ulu Kinta Perak. Sebenar lawatan ini adalah agenda matapelajaran Sivik. Ana diminta menjadi guru pengiring. Walaupun saat akhir diberitahu tetap teruja kerana sejak dari bangku sekolah, ana sangat teringin melawat rumah orang-orang tua, kerana warga emas ini mesti memerlukan tempat untuk berkongsi cerita, dan pastinya itu peluang keemasan yang harus diambil oleh golongan muda untuk belajar dari cerita kehidupan mereka yang terlebih dahulu makan garam.
Rumah Seri Kenangan ini di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Di Malaysia terdapat hanya 3 buah rumah kebajikan untuk warga emas, iaitu terletak di Cheras Kuala Lumpur, Ulu Kinta Perak, dan Perlis. Rumah Seri Kenangan ini mempunyai 384 orang penghuni. Lebih kurang 150 orang penghuni beragama islam. 70% penghuni mengidap sakit mental. Kebanyakan penghuni Rumah Seri Kenangan ini merupakan warga emas yang merempat dan terbiar di kaki lima dan sekitar bandar Ipoh.
Sempat mendengar luahan hati dua orang mak chik. Seorang tidak pernah berkahwin (tiada suami dan tiada anak untuk menjaganya). Selepas kematian ibu bapa, beliau tinggal sendirian, lalu penduduk kampung yang risau akan keselamatan warga emas ini (dirompak,samun,rogol,bunuh) menghantarnya ke sini.Moral cerita jangan ada wanita yang bercita-cita tak mahu kahwin sebab nanti masa tua tiada siapa nak jaga =p..(realiti : memang ada wanita tidak mahu berkahwin).
Seorang lagi mak chik yang mungkin pangkat nenek ana. Rodziah (dengan loghat Perak) dia memperkenalkan namanya pada ana. Melihat senyuman yang terukit di wajahnya membuahkan kerinduan dihati kepada arwah nenek, kerana senyuman yang serupa ukirannya. Sangat sedih cerita mak chik Rodziah ini kerana dia dilayan seperti orang gaji oleh anak yang dijaganya selama ini. Dia ditengking, diherdik,disepak dan diterajang.
Dan pelbagai lagi 1001 kisah tersemat di kalbu warga-warga emas di sini, yang tersisih dan terbuang jauh dari anak-anak. Terfikir juga bagaimanakah keadaan kita (jika panjang umur) di masa tua nanti. Wahai anak-anak ingatlah bahawa putaran alam ini ibarat roda. Apa yang lebih penting setiap amal walau sebesar zarah pasti ada balasannya. Sekalipun mungkin kita mempunyai alasan bersikap demikian kepada ibu bapa kerana mungkin atas kesilapan mereka dahulu, tetapi kita bukan penghukum. Jika benar besar dosa mereka tapi itu antara mereka dengan Tuhan, jangan pula kita warisi dosa dengan menyisihkan mereka.
Allah Taala berfirman yang bermaksud;
"Dan Rabbmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah (beribadah) selain Dia dan HENDAKLAH BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBUBAPA. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya telah sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah engkau mengatakan "Ah!" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Rabbku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku pada waktu kecil" (Surah al-Isra': 23-24)
Diceritakan oleh Muawiyyah bin Jahimah r.a:
Bahawasanya Jahimah r.a. datang kepada Rasulullah sallahua'layhiwassalam dan berkata: 'Wahai Rasulullah, aku ingin berperang, dan aku datang kepadamu untuk bermusyawarah'. Maka Beliau sallahua'laihiwassalam bersabda: "Apakah engkau masih mempunyai ibu?" Ia menjawab, "Ya." Beliau sallahua'layhiwassalam bersabda: "Hendaklah engkau tetap berbakti kepada ibumu kerana sesungguhnya syurga berada di bawah telapak kaki ibu" (Hadis Riwayat An-Nasae'i dengan sanad yang hasan)
Bahawasanya Jahimah r.a. datang kepada Rasulullah sallahua'layhiwassalam dan berkata: 'Wahai Rasulullah, aku ingin berperang, dan aku datang kepadamu untuk bermusyawarah'. Maka Beliau sallahua'laihiwassalam bersabda: "Apakah engkau masih mempunyai ibu?" Ia menjawab, "Ya." Beliau sallahua'layhiwassalam bersabda: "Hendaklah engkau tetap berbakti kepada ibumu kerana sesungguhnya syurga berada di bawah telapak kaki ibu" (Hadis Riwayat An-Nasae'i dengan sanad yang hasan)
Gambar yang sempat di'candid' :
Allahu'alam~
No comments:
Post a Comment