Saturday, May 29, 2010

~...ReFLekSi akhir...~


Bismillah~

Sambungan…



Cerita Pakaian

Bagi yang biasa berjubah semasa belajar mesti menghadapi masalah apabila diberi pesanan warisan oleh senior-senior iaitu ‘masa praktikum nanti tak boleh pakai jubah tau’. Sejak tahun pertama sehinggalah ana semester 7 (sebelum praktikum) pasti ada yang memberi pesanan sebegitu. Seorang kakak senior pernah bercerita dia pernah ditegur oleh pengetua sekolah supaya tidak memakai jubah walaupun dia hanya cuba pakai semasa hari jumaat sahaja. Memang pelik dan sering tertanya kenapa praktikum tak boleh pakai jubah. Apa masalah dengan jubah? Haishh..peraturan manusia memang pelik. Nak tak nak sebelum praktikum mencari juga semula koleksi baju kurung.Alhamdulillah. sebenar sekolah ana tiada masalah, ana pakai juga jubah sebab peraturan sebegitu terpulang pada pengetua atau guru sekolah berkenaan. Mujur pengetua dan guru-guru sana ‘sporting’. Semasa berborak dengan guru senior sekolah berkenaan, dia turut memberitahu bahawa sememang ada dalam pekeliling bahawa guru dilarang memakai jubah. Pelikkan kenapa jubah dilarang tetapi baju kebaya dengan kain terselak tidak dilarang.TAK FAHAM! Tapi itulah nama pun peraturan ciptaan manusia, sedangkan peraturan(syariat) Allah Taala pun manusia tanpa perasaan melanggar apatah lagi peraturan ciptaan manusia. Ramai juga guru-guru yang memakai jubah.jadi ianya tiada masalah…Cuma satu perkara yang sukar nak pesan kat para pelajar bab menutup aurat, bagi sekolah agama lain cerita, tapi ini sekolah 1Malaysia. Pakaian sukan mereka lengan pendek, walaupun kita menyuruh pelajar perempuan memakai sarung lengan tetapi sebahagian guru-guru sendiri tidak prihatin bab aurat maka bagaimana pelajar nak ikut.  Inilah cabaran sekolah sekular. Pepatah menyebut ‘Guru kencing berdiri pelajar kencing berlari’.



Cerita Kelas

Pada posting jurnal praktikum yang lepas mungkin ana telah memberitahu bahawa ana mengajar kelas pertama, tengah dan terakhir. Pakej lengkap untuk merasai variasi cabaran dalam mengawal kelas. Memang seronok mengajar kelas pertama ini, biasalah pelajar-pelajar pandai mereka lebih cepat faham dan mudah mengikut arahan. Kelas tengah ini pula macam-macam juga ragamnya. Dan paling sakit kepala dan boleh mengundang ‘sakit jiwa’ (jika terlalu ikut perasaan) ialah kelas hujung. Sebenar pelajar-pelajar kelas hujung ini kebanyakan mereka kekurangan kasih sayang dan tiada semangat untuk belajar. Peranan guru-gurulah memberi kata-kata positif pada mereka. Jangan disumpah seranah dan jangan sesekali menghina mereka sekalipun mereka memang degil dan sangat-sangat nakal. Semasa ana memuji beberapa orang pelajar kelas akhir ini mereka macam terkejut dan berkata ‘cikgu tipu..’. ternyata mereka telah meletakkan ‘mindsetting’ mereka bahawa mereka budak tak pandai dan malas. Hal ini berikutan kerana cikgu-cikgu sendiri yang melabel pelajar sebegitu. Sedangkan mereka juga berpotensi mencapai kecemerlangan diri. Walaupun mungkin bukan bidang akademik semata. Ana tertarik pada kisah yang disampaikan oleh Dr.Tengku Asmadi (Pakar motivasi ) seorang profesor di Jepun telah berjaya mencari formula untuk mengembalikan prestasi pelajar di sebuah sekolah di Jepun. Setelah ditanya apakah formula yang telah dibuatnya, rupanya dia tiada mencipta apa-apa formula tetapi dia telah mengubah suai kedudukan pelajar di kelas-kelas. Jika sebelum ini sekolah tersebut mengkelaskan pelajar yang terpandai dalam satu kelas dan tercorot dalam satu kelas yang lain, profesor tersebut telah mencampuradukkan pelajar yang pandai dengan pelajar yang corot. Dan ternyata para pelajar kategori corot tersebut mampu menunjukkan prestasi sebanding pelajar kategori pandai. Maka asbab utama yang berjaya dikenal pasti adalah motivasi guru-guru itu sendiri. Apabila pelajar telah diasingkan mengikut ketegori pandai dan tak pandai ini, secara automatik minda guru telah ditetapkan bahawa kelas pandai ini mesti kena fokus dan penyampaian yang serius tetapi kelas hujung ini pula, alahai malasnya nak masuk mengajar, dah lah malas belajar main-main sahaja mereka, jadi tak mengapalah tak perlu mengajar beriya sangat. Beri mereka salin nota senyaplah kelas. Virus inilah yang melanda dikalangan pendidik, mungkin tidak semua tetapi majoriti. Ana juga tidak terkecuali apabila berada di kalangan guru senior yang bersikap sebegitu terkadang diri sendiri juga hilang motivasi nak memanusiakan manusia di kelas hujung ini. Ana menyarankan kepada bakal-bakal guru untuk telaah metod pengajaran sistem khalifah institut (klik laman) banyak manfaat dengan skop paradigma yang berbeza tetapi sangat berguna untuk pendidik yang benar mahu mentarbiyyah anak didik mengikut acuan al-quran dan as-Sunnah.



Guru Pembimbing

Guru pembimbing adalah guru senior yang akan kita ambil alih kelas mereka. Berbaiklah dengan guru pembimbing supaya dapat tunjuk ajar yang berkesan daripadanya. Redhalah sekiranya menerima guru pembimbing yang ‘skema’ dalam pencerapan. Memang cemburu bila tengok guru pembimbing rakan lain ‘sporting’ dan pemurah dalam memberi markah. Tidak mengapa dan tak perlu risau anggap inilah yang terbaik buat kita. Setakat penilaian manusia apalah sangat kan. Yang penting kita ikhlas semasa dinilai Allah Taala. Ana memang dapat guru pembimbing yang agak ‘skema’, terkadang ‘tension’ juga. Tetapi tidak mengapa kita akan belajar untuk lebih berhati-hati dan menghargai peluang yang ada. Minggu terakhir praktikum baru ana tahu kenapa guru pembimbing bersikap begitu rupanya semasa dia praktikum dia mendapat penyelia petang sebagai guru pembimbing dan merupakan seorang yang sangat teliti. Maka sudah pasti bakat pencerapan tersebut menjadi warisan untuk diperturunkan kepada bakal-bakal guru yang dicerap. Alhamdulillah alla kulli hal.



Cerita Usrah

Beberapa sahabat bertanya kepada ana perkembangan usrah yang pernah ana ceritakan sebelum ini. Alhamdulillah, sejak dari permintaan seorang ustaz di sekolah tersebut supaya ana membuat aktiviti untuk pelajar perempuan maka tanpa menunggu suruhan dan saranan kedua terus bertindak sendiri(mungkin ustaz tersebut marah ana tidak ikut MLM dia). Ternyata mereka sangat-sangat dahagakan tarbiyah islam yang sebenar. Semasa sesi taklimat sebelum praktikum sememang kita dipesan supaya tidak membuat aktiviti tambahan tanpa arahan (usrah dan halaqah la tu yang dimaksudkan) seperti yang pernah senior buat kerana jika disabit kesalahan boleh mengugat kelancaran pemarkahan praktikum. Alhamdulillah sempat membuat usrah 3 kali seminggu (2kali pengisian perkongsian + 1kali tayangan video muhasabah). Waktu pelajar pulang 1.15 petang bagi pelajar menengah rendah dan 1.50 petang bagi pelajar menengah atas. Guru-guru pula pulang selepas jam 2.30petang. Jadi memang punya kesempatan untuk bersama pelajar terutama selepas solat zohor. Malah kalau pulang rumah awal pun kebiasaan aktiviti adalah tidur (rupanya penyakit kebanyakkan cikgu pagi wajib tidur petang, aduss memang tak suka tidur petang). Terharu tengok komitmen mereka yang sanggup pulang lewat. Kelemahan; ana tidak sempat melatih mereka cara berkongsi bahan maka, menjadi masalah untuk mereka yang mahu meneruskan usrah selepas ketiadaan ana. Cadangan dari seorang ustaz; tubuhkan badan dakwah (BADAR) dari kalangan mereka, samaada membentuk persatuan baru atau menggunakan persatuan yang ada.Beri latihan dan kesedaran untuk mereka terus menjadi contoh remaja islam yang sebenar disamping  amar makruf nahi mungkar.



Cerita Sekolah

Sekolah yang ana praktikum bukan sekolah pilihan kerana asalnya ana mahu memilih sekolah di Bangi kerana ada rumah percuma yang ditawarkan =). Tetapi kawan telah meletakkan nama ana untuk sekolah di Seremban. Buat rayuan nak tukar kepada pihak Unit Latihan Mengajar sudah tidak dilayan. Akhirnya penempatan praktikum di Negeri Sembilan ditutup dan kami yang tersenarai di Negeri Sembilan di’campak’kan di antara negeri Pahang, Perak dan Selangor. Maka, begitu alkisahnya ana berpraktikum di Bestari Jaya yang maju jaya. Alhamdulillah sekolah luar bandar dan mempunyai pelajar yang agak liar dan sedikit nakal ini benar-benar memberi kesediaan buat kami untuk menghadapi sekolah yang mungkin lebih teruk dari ini bila ‘posting’ nanti. Jika berpraktikum di sekolah pelajar-pelajar yang bijak pandai dan tiada masalah disiplin tentu kurang pengalaman yang dapat dikutip kecuali cabaran menghadapi keintelektualan pelajar. Apapun dimana kita diletakkan itulah yang terbaik dan carilah ruang dan peluang untuk menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain.



Sekian tamat sudah laporan penuh (perkongsian, pandangan dan luahan) EDISI PRAKTIKUM…moga ada manfaat buat mereka yang mahu ambil manfaat. Sudah pasti ada yang tidak setuju dengan pandangan yang ada, sejuta kemaafan dipohonkan jika ada yang terasa atau ana salah berkata (harap sudi ditegur). 1001 cerita mahu dikongsi sebenarnya tetapi ruang masa yang terhad dan beberapa tapisan perlu dibuat. Walaupun praktikum sebagai pendidik di sekolah telah berakhir praktikum kehidupan sebenar terus berlangsung. Praktikal kehidupan bukan sekadar merealisasikan teori tetapi juga melahirkan pengajaran dan panduan buat hari mendatang. Di sinilah peranan aqal dan iman memanipulasikan hayat yang dipinjamkan.

p/s: alhamdulillah belum tamat praktikum ditawarkan kerja(staff+pengajar+penyelia=3 dalam 1) di sebuah madrasah tahfiz (institut swasta). Teruskan mengutip mutiara berharga dari pengalaman dunia pendidikan.

Sekian, Jazakumullahu khayron jaza’ buat pembaca Edisi Praktikum.

Allahu’alam~

No comments: