Friday, July 16, 2010

~...Hidup sebelum Mati...~


bismillah...

Alhamdulillah jari-jemari masih berkesempatan menari untuk mengisi ruang post di blog yang kian sunyi. Apapun tuntutan amanah di alam realiti telah mengantikan masa untuk berada di alam maya. Benar tanggungjawab dan amanah yang ada melebihi masa yang ada.

Masa terus bergerak perjalanan menuju kematian kian menghampir dan hakikatnya hisablah diri sebelum tiba Hari Penghisaban.

Kanak-kanak sering tak sabar menjadi dewasa lalu perasaan ingin tahu sering mahu meniru dan meluahkan rasa mahu kebebasan seperti orang dewasa. Manakala orang dewasa pula, terkadang terfikir indahnya alam kanak-kanak, belajar dan bermain sahaja dunia mereka. Semakin dewasa semakin banyak cabang kehidupan semakin berat watak dan peranan, dan harus serius mengalas amanah. Islam itulah sebenarnya mendewasakan manusia. Istilah dewasa hanya istilah membezakan peringkat usia, dan sudah tentu berbeza makna dewasa dengan kematangan. Usia dan dewasa bukan pengukur kematangan. Islam itulah mematangkan insan.

Umumnya merumuskan ilmu dan pengalaman pemangkin kematangan. Namun pakejnya Islam itu tawaran membentuk kematangan. Seriuslah dalam beriman, binalah ketaqwaan. Sirah Nabawiyah telah tercatat usia bukan kayu ukur kematangan. Lihat sahaja susuk ruhiyah Saidina Ali Radiallahu anha, Ammar bin Yasir, Hamzah dan ramai lagi para solafus soleh yang menunjukkan sejarah tauladan yang membuktikan walaupun di usia kanak-kanak atau remaja tetapi islam itulah kematangan.

Kepercayaan itu keimanan, amalan itu pegangan, berhati-hati dan waspada itu jalan ketaqwaan. Ruang dan masa yang tercipta anugerah pinjaman dari Yang Maha Esa. Dengan apakah kita mengisi ruang dan sejauhmanakah kita mengisi masa? Amanah itu akan dipersoalkan.

Hiduplah dengan sentiasa berusaha meningkatkan iman, kerana iman itu kehidupan dan tiada kehidupan yang lebih baik melainkan untuk orang beriman. Walhal kelapangan hidup yang sebenar adalah kelapangan jiwa yang beriman.

Allah Azza wa Jalla berfirman yang bermaksud:
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” – Surah an-Nahl 16:97

Disaat bisikan kebaikan singgah di hati, bersegeralah kepada kebaikan. Tidakkah pernah kita terfikir boleh jadi peluang melakukan kebaikan ini yang terakhir. Boleh jadi kematian itu semakin hampir. Beralasan dengan ukuran insan memang tidak membawa kita beranjak dari kejahatan kepada kebaikan. Bertangguh tidak menguntungkan, kerana boleh jadi peluang ini datang sekali, boleh jadi peluang kebaikan ini datang kepada kita kerana kita sangat kurang amal untuk dijadikan bekal ke sana. Dan boleh jadi insan di sekeliling, yang kita segan menjadi berbeza dari mereka itu belum sampai masanya seperti kita kerana mungkin kematian kita semakin hampir dan peluang kebaikan mereka belum tiba kerana mereka berpeluang hidup lama berbanding kita. Jadi ingatlah kematian itu pasti dan boleh jadi hari kiamat itu semakin hampir maka adakah mahu bertangguh???

Allahu Azza wa Jalla telah berfirman yang bermaksud:
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” – Surah al-Jumu’ah 62:8

“Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”- Surah al-Munafiqun 63:11)



No comments: