Wednesday, September 23, 2009

~...Berlebihan rai Syawal hapus berkat sebulan Ramadan...~

Tajdid Iman bersama Dr Juanda Jaya


PUASA Ramadan memberi kesan yang amat mendalam kepada keperibadian seseorang mukmin. Bekas peninggalan ibadah itu tidak mudah hilang ibarat cahaya yang sentiasa terang untuk menghidupkan iman sepanjang tahun hingga bertemu kembali dengan Ramadan akan datang. Hakikatnya, Ramadan dicipta untuk memanaskan suhu iman di dada agar tidak mati ditelan kesejukan ujian duniawi.

Namun bukan semua orang berpuasa lulus ujian dan layak mendapat gelaran muttaqiin sebenar, bahkan ramai yang kecundang dengan hanya merasai lapar dan dahaga saja. Walaupun mereka mengetahui bahawa Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang malangnya mereka tidak mengambil peluang untuk mendapat kasih sayang Allah itu dengan sebaik-baiknya. Bukan Allah tidak sayang tetapi mereka yang lalai, sengaja mencampakkan rahmat Allah dari hati masing-masing. Apabila Ramadan berlalu, tidak nampak kesan iman lagi kerana ditutupi semangat yang meletup-letup menyambut Aidilfitri.

Hati berkiblat ke arah lain, semuanya tertuju kepada pesta sambutan yang berlebih-lebihan diiringi hiburan melampau yang melalaikan. Solat ditinggalkan, nafsu dilepaskan semahu-mahunya, syaitan kembali menjadi teman, dosa yang besar atau yang kecil semuanya tidak bermakna. Ibadah fardu atau sunah dikuburkan bersama kenangan Ramadan begitu saja.

Pada hari raya, ramai manusia suka menunjuk-nunjuk kelebihan dan berusaha menutupi kelemahan dengan cara berlagak hebat. Mereka lebih malu dan takut kepada manusia daripada malu dan takut kepada Allah SWT. Apa kata orang jika tidak bertukar kereta atau perabot rumah, berasa malu jika tidak mampu menyahut cabaran membuat rumah terbuka walaupun zakat harta tertunggak saja dan hutang-piutang dilupakan. Mereka sanggup membuat hutang baru untuk menghindari rasa malu dan takut dengan ‘apa kata orang’.

Majlis hari raya menjadi buah mulut yang menghalalkan perlumbaan riak dari peringkat kampung hingga ke taman perumahan. Sementara yang kaya pula mengambil peluang memberi rasuah hadiah hari raya kepada rakan kongsi yang boleh dimanfaat untuk memberi pulangan. Tidak dinafi semua itu rahsia hati, jangan cuba hendak menilai budi baik orang lain kerana keikhlasan itu hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Ramai juga yang bersih niatnya, baik amalannya dan istiqamah imannya kepada Allah SWT. Walaupun memiliki mahligai indah, tetapi hati mereka berkata hanya Allah Yang Maha Besar.

Ketika takbir raya bergema sepatutnya hati mengaku bahawa kita semua adalah orang miskin, meminjam harta Allah dan bergantung sepenuhnya kepada kuasa Allah. ‘Allahu Akbar’, ‘Allahu Akbar’, ‘Allahu Akbar’, bertalu-talu takbir mengingatkan kita semua jangan sombong, bongkak dan riak dengan apa yang kita miliki sekarang. Semuanya milik Allah dan akan kembali kepada-Nya. Kesombongan walaupun seberat debu amat dibenci Allah kerana seolah-olah si bongkak itu mencabar kuasa Allah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun seberat zarah (biji sawi).” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Ketika menziarahi rumah-rumah saudara-mara kita teringat kepada orang tua dan insan yang mendahului menghadap Allah, oleh itu hadirkan rasa keinsafan bahawa kita semua akan menyusul jejak mereka. Kita sedang menunggu saat yang pasti datang, jadi tidaklah hati dilalaikan oleh pesta kegembiraan.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan menurut hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan. Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal salih, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun.” (Maryam: 59)

Orang tua yang kita kasih sepenuh hati meninggalkan kenangan baik dengan amal salih yang mereka lakukan, maka tidakkah kita takut menjadi generasi yang melupakan harta iman dan amal yang mereka wariskan? Walaupun pada hari raya diwajibkan semua bergembira, bahkan Rasulullah SAW menyuruh seluruh umat Islam untuk hadir di masjid pada pagi raya. Tidak terkecuali wanita yang uzur syarie, ia tidak bermakna kegembiraan itu boleh merobohkan batas antara halal dan haram. Iman dan amal soleh jangan sekali digadaikan dengan kegembiraan yang melalaikan.

Pintu maksiat tetap terbuka, pujukan semakin manis didengar. Syaitan datang dari segenap penjuru, atas dan bawah, depan dan belakang untuk menyesatkan jiwa manusia di belantara dunia, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Iblis menjawab: Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).” (Al-A’raf: 16-17)

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Ramadan dan Syawal tidak akan membawa apa-apa makna jika hujan rahmat yang diturunkan tidak ditadah dengan tangan yang bersungguh-sungguh mengharap reda Allah. Ramai yang menolak kasih sayang Allah dan memilih jalan yang menyebabkan murka-Nya. Muharam dan Safar berlalu setiap tahun tanpa sudi menunggu ahli maksiat yang membuang masa dengan kelalaian kepada Allah SWT. Namun, setiap saat Allah menghujani bumi dengan rahmat, maghfirah dan cahaya hidayah, hanya orang yang menunggu dengan penuh pengharapan berhak mendapatkannya

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20090921230354/Article/print_html

No comments: