Friday, April 23, 2010

~...Pendidikan seks vs pendidikan agama...~


Pertubuhan guru bantah kena ajar pendidikan seks
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/04/22
Pelaksanaan secara terburu-buru timbulkan banyak masalah

KUALA LUMPUR: Pertubuhan guru membantah cadangan memperkenalkan pendidikan kesihatan reproduktif sebagai satu subjek di sekolah kerana ia disifatkan bukan penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja, sebaliknya hanya menambah beban guru. Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata kesatuan itu terkilan dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menggesa pelaksanaannya dipercepatkan tanpa berbincang atau mendapatkan pandangan daripada kesatuan guru atau peringkat akar umbi. Beliau berkata, pelaksanaan secara terburu-buru akan menimbulkan banyak masalah sehingga merugikan pelajar, tambahan pula guru ketika ini tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang kesihatan reproduktif.

“Usaha membanteras gejala buang bayi yang semakin berleluasa ketika ini harus berpaksikan pengukuhan pendidikan agama dan moral secara lebih mendalam.

“Pegangan teguh kepada amalan agama dan nilai moral yang tinggi akan mencegah remaja daripada terpengaruh dengan gejala seks bebas yang menjadi punca utama peningkatan kes buang bayi,” katanya kepada Berita Harian.

Kelmarin, Shahrizat meluahkan hasratnya untuk menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminta supaya pendidikan kesihatan reproduktif sebagai subjek di sekolah diperkenalkan segera.
Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM), Azam Md Atan, turut membantah cadangan itu dengan menegaskan usaha membanteras gejala seks bebas dan buang bayi harus bermula di rumah.

“Asas didikan fardu ain oleh ibu bapa di rumah amat penting untuk mengelakkan remaja daripada mudah terjebak dengan gejala itu.

“Justeru, PKPSMM tidak mempersetujui idea itu (memperkenalkan subjek pendidikan kesihatan reproduktif) kerana ia jelas bukan langkah penyelesaian sebenar. Tambahan pula, beban tugas guru sudah terlampau banyak di sekolah,” katanya

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pertubuhangurubantahkenaajarpendidikanseks/Article


bismillah~

Setuju dan sokong 100%..
Tiada makna jika idea sebagai langkah mengatasi dan membendung gejala sosial setakat dibuat silibus pendidikan. Umum mengetahui sistem pendidikan Malaysia berorientasikan peperiksaan. Jadi menambah subjek hanya lebih kepada menambah kertas peperiksaan dan bilangan target yang perlu pelajar skor untuk peperiksaan. Ada sesiapa kurang jelas maksud yang ana utarakan?

Maksudnya usaha membendung budaya seks bebas dan anak luar nikah ini bukan sekadar usaha memberitahu tetapi usaha menambah tahu,faham dan amal. Sistem pendidikan yang sedia ada ini kebanyakan hasil hanya setakat untuk memberitahu dan menghafal apa yang tahu...Buktinya subjek agama, praktikal pelajar setakat di kertas peperiksaan. berjilid buku dibaca, berbuih mulut ustaz ustazah menyampai tetapi masih juga kurang hidup semangat mahu beramal di kalangan para pelajar.

Jadi bukanlah usaha menambah subjek yang perlu diberi perhatian tetapi memperkasakan matapelajaran agama. Bagi pelajar bukan islam perkasakan subjek pendidikan moral. Dan tarbiyah agama juga perlu diperingatkan juga kepada para guru dan bakal guru, kerana guru itu qudwah, contoh tauladan kepada para pelajar. Malah amanah tarbiyah agama ini bukan hanya ustaz ustazah yang memain peranan tetapi semua guru beragama islam wajib beri sokongan dan bantuan. Kerjasama di kalangan guru sangat memberi kesan ke arah sesuatu usaha kebaikan.

Namun, memang tidak dapat dielakkan apabila institusi kekeluargaan tidak membantu malah mempengaruhi pelajar berperangai sebegitu. Terdapat juga ibu bapa yang lepas tangan dan tiada kesedaran. Usaha membendung masalah ini memang tidak mungkin dapat dibuat sekaligus tetapi kesedaran berperingkat itu penting. Sememang peranan guru juga untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa pelajar yang tidak reti ajar ini.Apa yang penting kerjasama dalam masyarakat sangat penting untuk membangunkan sikap kemanusiaan.

-apa yang penting? kerjasama...=p

Allahu'alam~

No comments: