Tuesday, April 27, 2010

~...Letih...~



bismillah~

Letih, penat atau kehabisan tenaga itu biasa bagi manusia, walhal haiwan juga mempunyai sifat letih. Rupanya letih dan penat masa belajar tidaklah sama dengan masa bekerja, tetapi bergantung pada jenis pekerjaan dan daya tahan individu tersebut.

Bulan April ini sememang minggu yang sangat meletihkan sepanjang iklim praktikum ini,(+ 'partime Tusyen'). Sofbal, bulan Bahasa, Puteri Islam dan beberapa lagi tugasan dalam memeriahkan agenda sekolah. Paling 'best' dan mencatat rekod apabila masuk kerja (pergi sekolah) jam 7.25 pagi dan pulang jam 7.45 malam. Gara-gara Karnival Kaunseling dan Kerjaya. Malu sebenarnya nak bercakap diri letih kerana setiap kali mahu meluah (merungut) pasti teringat bahawa beribu-ribu orang lagi yang lebih letih dari aku. Lantas kepada siapa harus mengadu kalau bukan Yang Maha Satu (Tunggal). Pohonlah kekuatan, ketabahan dan keikhlasan kepada-NYA dalam menunaikan amanah sebagai hamba.

Terngiang-ngiang di telinga, apabila memberitahu ayah akan keletihan yang dihadapi lalu ayah hanya membalas 'mana ada kerja yang tak letih'...
Dan jawapan yang sama juga telah dikongsikan kepada seorang sahabiah setelah menerima pertanyaan melalui mesej pesanan ringkas yang begitu menghairankanku akan bentuk pertanyaannya..'ukhti antara menoreh dengan cikgu mana yang lebih memenatkan?'. (salah tempat pertanyaan agaknya sebab ana hanya merasa jadi cikgu tapi tidak pernah menoreh jadi agak tidak layak untuk memberi komen.)

Perbandingan pekerjaan guru dengan penoreh getah. Pertama kita ketepikan nilaian hasil meterial (gaji) sebelum merumuskan kepenatan dua pekerjaan ini. Walaupun mungkin penoreh getah lebih kaya berbanding guru jika getah tersebut adalah miliknya.  Kepenatan bukan boleh diitimbang dan diberi nilaian dalam bentuk angka kerana penat itu sesuatu yang subjektif yang berkaitan sifat makhluk. Kepenatan itu akan hilang apabila disusuli dengan kerehatan. Kepenatan juga terbahagi kepada dua, yakni fizikal dan mental. Bercakap soal penat guru ini, silalah membaca surat kiriman pembaca di akhbar-akhbar tempatan. Berapa ramai guru yang mengeluh akan bebanan tugas. (kepada yang berhajat nak jadi guru tu bolehlah timbang semula hajat tersebut =p) Tidak dapat dinafikan, sedangkan ana yang baru berpraktikum dan tiada komitmen lain pun agak 'stress' inikan pula bagi guru yang sudah berkeluarga.

Tetapi ana suka meletakkan sesuatu kepenatan itu dalam skop kepuasan. Berbaloi tak penat untuk sesuatu hasil? Seorang guru itu kepuasannya apabila melihat pelajarnya menunjukkan perubahan kearah kebaikan, kepuasannya dapat memberi dan menyampaikan, membentuk dan dibentuk, serta mendidik dan dididik. Tugas memanusiakan manusia bukan tugas mudah apatah lagi menyemai jiwa hamba kepada diri sesama hamba Allah Taala. Apa yang penting adalah kita usaha dalam rangka kebaikan dan matlamat tulus mencari keredhaan Allah Taala. Tidak kiralah apa juga bentuk usaha pekerjaan kita. Bukanlah nilaian manusia itu yang perlu diutamakan tetapi dimana kedudukan kita di sisi Allah ar-Rahman.

"Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal."
-Saidina Ali radiallahuanha.

Allahu'alam~

No comments: