Thursday, January 22, 2009

~...Kajian bawa Michael kepada Islam...~

DALAM pelbagai keunikan yang terdapat pada Presiden baru Amerika Syarikat (AS), Barack Hussein Obama, persoalan mengenai anutan agamanya turut menjadi perhatian ramai!

Menerusi laman Ensiklopedia Wikipedia, Obama dikatakan seorang penganut Kristian Protestan, pegangan yang terhasil di usia dewasa setelah melewati pelbagai evolusi agama dalam hidupnya sebelum ini. (Beliau dibaptiskan di Trinity United Church of Christ pada tahun 1988 dan sejak itu selama hampir dua dekad lamanya, Obama merupakan ahli gereja yang aktif).
Walaupun mempercayai dan seterusnya memeluk Kristian secara rasmi, namun kedudukan Obama itu adalah jauh lebih baik berbanding ibu bapanya sendiri.


Ini apabila bapanya, Barack Obama Sr yang asalnya beragama Islam bertukar menjadi ateis (namun jenazahnya sempurna dikebumikan secara Islam ketika meninggal dunia pada 1982) apabila berkahwin dengan ibu Obama, Ann Dunham yang dipercayai juga seorang yang ateis.
Menyebut mengenai ibunya itu yang turut banyak memberikan pengaruh besar dalam hidupnya walaupun Presiden AS ini lebih dibesarkan oleh neneknya, Medelyn Dunham, Obama berkata, beliau mendapat inspirasi dalam hal ehwal agama daripadanya ibunya yang menganggap agama sebagai ekspresi manusia.


Ibunya meletakkan agama dan identiti agama itu hanya sebuah fenomena dan apa yang penting dalam agama serta identiti agama adalah mengejar hakikatnya.
“Perbahasan yang rasional dan kritikal jauh lebih penting daripada sekadar mematuhi ajaran dan perintah suci agama.


“Islam, Kristian, Buddha dan agama-agama lainnya hanyalah dianggap sebagai satu jalan menuju hakikat kebenaran,” katanya.
Mujur tanggapan si ibu hanya memberikan satu pengetahuan kepada Obama dari langsung menyebabkan si anak dari turut mengikut jejak langkah si ibu itu.


Namun mari kita bandingkan dengan seorang anak muda dari Pasadena, AS, Micheal David Shapiro. Beliau mungkin turut mempercayai ateis tetapi tidak seperti ibu Obama, dia berjaya membuktikan bahawa agama tidak sekadar mematuhi ajaran dan segala perintah-perintah yang suci.

“Saya mula bertanya pada diri sendiri mengenai jumlah tuhan yang perlu saya percaya. Namun saya tidak mampu untuk mempercayai lebih dari satu tuhan. Tuhan yang dibahagikan kepada dua atau lebih lazimnya lemah berbanding tuhan yang satu.

“Jika ‘seorang’ tuhan tidak setuju dengan tuhan yang lain, tentu akan membangkitkan pergaduhan di antara tuhan-tuhan ini. Jadi saya percaya manusia hanya boleh percaya kepada satu tuhan sahaja,” katanya.

Begitu pun bagi bertindak adil, Michael memberi peluang kepada dirinya untuk mencari kelebihan apabila menjadi seorang yang ateis.
“Tetapi saya menyedari sepenuhnya setiap penciptaan mesti ada yang menciptanya. Jika tuhan itu tidak wujud, mustahil bumi, alam semesta dan segala yang terkandung di dalamnya wujud. Jadi, benarlah tuhan itu mesti wujud.
“Namun percaya sahaja tidak cukup kerana saya perlu mengenali tuhan tetapi di mana saya harus bermula kerana terdapat ‘beribu-ribu’ tuhan yang wujud seperti yang didakwa oleh pelbagai pengikut,” katanya.


Oleh kerana Michael mempercayai Tuhan Yang Satu, lalu beliau menyenarai pendek kepada agama yang percaya hanya pada satu tuhan atau monotheistic.
“Ini menjadi usaha saya lebih mudah,” katanya.


Micheal tidak perlu untuk mengkaji agama Buddha dan Hindu disebabkan kedua-dua agama ini merupakan kepercayaan polytheistic atau berbilang tuhan yang dinampakkan dalam bentuk berhala.

Maka agama yang percaya kepada ketuhanan yang satu yang perlu dikaji oleh Micheal ialah Yahudi, Kristian dan Islam. Lalu beliau bermula dengan agama Yahudi sementelah beliau sendiri dilahirkan sebagai Yahudi, iaitu percaya kepada satu tuhan, beberapa orang nabi dan 10 Rukun (Commandments), Kitab Taurat dan Jiwa Yahudi.

“Jiwa yang Yahudi? Apabila saya mengkaji frasa ini, saya menemukan ayat yang menyebut; ‘Jika anda dilahirkan sebagai Yahudi maka anda mesti mempunyai jiwa seorang Yahudi dan mesti mematuhi segala keyahudian (Judaism) yang ada’.

“Kenyataan ini membuatkan saya sangat terkejut, tidakkah ini satu diskriminasi?! Agama ini tidak bersifat universal. Jadi tuhan ciptakan Jiwa Yahudi, Jiwa Kristian dan Jiwa Islam? Setahu saya tuhan ciptakan manusia sama rata tanpa ada sebarang darjat yang memisahkan antara satu sama lain. Oleh kerana dia dilahirkan dalam sesuatu agama, maka tuhan meletakkan dekri yang dia mesti kekal pada sesuatu agama itu walaupun si penganut itu tahu ada sesuatu yang palsu mengenai agamanya itu, adakah itu maksudnya,” soalnya.

Ini menyebabkan Micheal tidak dapat bersetuju dengan agama itu walaupun telah dilahirkan sebagai Yahudi.
“Seperkara lagi persoalan mengenai neraka juga tidak dibincangkan secara serius dalam agama Yahudi. Jadi apa perlunya melakukan kebaikan, dan apa salahnya melakukan kejahatan? Jika saya tidak ditakutkan dengan hukuman yang tegas jadi apa perlunya saya mempunyai sikap dan moral yang baik,” kata Micheal.


Setelah sanggup meninggalkan Yahudi, Micheal mencari pula mengenai Kristian.
“Pada mulanya, saya tidak bermasalah, tetapi apabila diulang kali membacanya, satu tuhan yang terdiri bapa tuhan, anak tuhan dan Ruhul Kudus, bagaimana ini dapat dijelaskan secara logik. Bagaimana ketiga-tiga unsur ini merupakan Tuhan yang Satu. 1+1+1=3, betul?


“Saya masih memberi peluang dengan mendapatkan sebanyak mungkin penerangan mengenai konsep Triniti ini, namun setelah banyak melakukan analogi sekali pun, konsep ini tidak dapat saya terima, akal saya tidak mampu untuk menerimanya,” katanya.

Begitupun Micheal mengharapkan logik pada doktrin Kristian yang lain. Ini termasuklah Nabi Isa a.s mati kerana dosa-dosa kesemua pengikutnya.

“Baginda melakukan ini disebabkan kita semua diselubungi Dosa Warisan (Original Sin). Oleh kerana Nabi Isa merupakan anak tuhan, jadi dia sanggup mati disalib bagi menyelamatkan orang lain dari neraka dan menyelamatkan dari dosa yang ditinggalkan oleh Nabi Adam.
“Jadi, kita semua ini dilahirkan sebagai seorang yang berdosa termasuklah bayi yang baru berusia setahun sudah menanggung dosa dalam usia semuda itu. Ini pelik, dek kerana perbuatan seorang manusia, seluruh manusia yang lain perlu menanggungnya,” kata Micheal.


Tetapi Nabi Isa wafat disebabkan baginda ‘menyeru kepada kasih sayang sesama umat’.
“Tetapi mengapa di dalam kitab Injil diceritakan baginda merintih ketika hendak disalib sambil berkata; Bapa, tidakkah Kau mengampuniku?
“Jadi adakah ini bermakna Nabi Isa tidak memahami mengapa baginda hendak dibunuh dengan kejam tetapi doktrin mengatakan Nabi Isa secara sukarela dirinya dibunuh,” katanya.
Ini membuatkan Kristian juga tidak ada tempat di hati Micheal. Lalu apakah ajaran yang seterusnya untuk anak muda ini percaya dengan segala kebenaran-kebenaran yang kuat atau sekurang-kurangnya dapat diterima oleh akal yang logik?!


“Saya tidak menghadapi masalah untuk memahami Islam. Tidak ada pada agama itu yang boleh menimbulkan konflik pada logik akal saya. Kitab suci al-Quran itu sendiri sangat menakjubkan dan begitu bersesuaian untuk semua zaman dan masa, seolah-olah seperti baru dikarang (diwahyukan). Banyak bukti saintifik ditemui dari kitab itu sedangkan kitab itu ditemui sejak 1,400 tahun dahulu.

“Tetapi adakah agama ini bersifat sejagat, agama untuk semua tetapi yang lebih menghairankan Islam dinyatakan untuk semua tanpa memilih kaum, bangsa, warna kulit, bahasa dan asal usul manusia. Namun lebih menghairankan nama agama itu sendiri, iaitu Islam dinyatakan dengan banyak kali dalam al-Quran. Jadi benarlah Islam satu agama,” tambahnya.

Kata Mishael, dia tidak menemui sebarang perkataan agama Yahudi ada disebutkan dalam kitab Taurat mahupun agama Kristian dalam kitab Injil sekalipun dalam Kitab Perjanjian Lama kecuali manusia itu sendiri yang memberikan nama-nama itu, bukan tuhan.

Tidak perlu lama bagi Micheal untuk mempercayai agama mana yang layak untuk dianuti. Setelah terjawab segala persoalan maka tanpa ragu anak muda ini memeluk Islam dan selamanya beliau tetap yakin pada Islam setelah ‘berkenalan’ dengan apa juga yang didakwa sebagai agama!


.;.sumber ; http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm .:.

No comments: