Friday, January 30, 2009

~...SaLaH KiTa???...~

ALOR STAR: Akibat tertekan dengan cemuhan segelintir masyarakat Islam kerana memiliki tatu, seorang mualaf mengelar lengan kanannya untuk menghilangkan tatu warisan keluarganya itu lebih lima kali dengan menggunakan pisau cukur, semalam.

Perbuatan Anas Phoon Abdulllah, 30, mengelar lengannya nyaris membawa maut apabila dia kehilangan banyak darah.

Difahamkan, tatu terbabit dimilikinya lebih 10 tahun lalu sebelum dia memeluk Islam.Apa yang menyedihkan Anas, kehadirannya untuk menghayati ajaran Islam bukan saja kurang disenangi segelintir masyarakat, malah turut disisih keluarganya sendiri.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Anas, seorang peniaga minyak wangi nekad mengelar lengannya di belakang tandas sebuah masjid di Telok Kechai, Kuala Kedah, selepas berputus asa dengan penghinaan masyarakat serta nasib menimpa dirinya.

Menurut rakannya, Mohd Firdaus Razali, 22, Anas pernah beberapa kali mengelar lengannya untuk membuang tatu itu yang menjadi punca tindakan segelintir masyarakat menghinanya.

“Malah, dia sering menangis setiap kali menceritakan pengalamannya kepada saya yang dicerca masyarakat.

“Tidak cukup dengan itu, Anas sedih apabila kembali daripada menziarahi keluarganya di Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina, empat hari lalu. Ini disebabkan dia tidak disenangi anggota keluarganya,” katanya yang mula mengenali Anas sejak setahun lalu.

Mohd Firdaus berkata, tindakan Anas pada malam kejadian menggambarkan kekecewaannya memuncak akibat memendam perasaan sejak sekian lama menanggung masalah menimpa dirinya.

Bagaimanapun, keprihatinan Mohd Firdaus menyelamatkan Anas apabila menyedari dia tidak muncul di gerai mereka seperti biasa.

Katanya, dia menghubungi Anas beberapa kali dan sebaik panggilannya dijawab, rakannya itu memohon maaf seolah-olah sudah melakukan kesilapan besar.

“Dia (Anas) berulang kali mendakwa melakukan kesalahan dalam nada terputus-putus seperti seorang sedang menahan kesakitan.

Selepas didesak, Anas kemudian memberitahu saya tempat dia berada sebelum mematikan talian telefon.

“Saya segera bergegas ke sana dan mendapati Anas sudah terkulai layu di belakang tandas masjid itu selain lengan dan pakaiannya dipenuhi darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Chengai, dekat sini, semalam.

Dia segera menghubungi rakan lain sebelum berlari memasuki bilik Anas bagi mendapatkan kain.Sekembali semula kepada Anas, dia mendapati mangsa seperti nyawa ikan dan mulutnya tidak putus-putus menyebut Allah.

“Saya segera membalut tangannya bagi menghentikan pendarahan itu sebelum rakan lain datang dan mengusung Anas masuk ke bilik,” katanya.

Anas segera dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat mengalami pendarahan dan luka serius.

Mohd Firdaus berkata, Anas pernah memberitahunya bahawa tatu pada lengan kanannya itu dibuat ketika dia berumur belasan tahun yang menjadi tradisi keluarganya.

Mangsa memeluk Islam ketika berusia 20 tahun selepas tertarik dengan cara hidup Islam.Dia hairan simbol tatu itu menjadi isu besar sehingga memberi tekanan kepada kehidupan harian Anas.

“Sepatutnya masyarakat memberi panduan kepadanya yang memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Memang ada orang memberi sumbangan kepada Anas yang menerimanya sebagai rakan baru dalam Islam,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan masjid turut membantu Anas dengan memberi sebuah bilik tidur selepas melihat kesungguhan Anas mendalami cara hidup Islam.Justeru, dia berharap tiada pihak lagi mencemuh Anas hanya kerana tatu itu, sebaliknya memberi sokongan serta bimbingan untuk menghayati ajaran Islam sebenar.

sumber : http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20090130083721/Article

ULASAN ; Apabila terpandang sahaja tajuk berita ini di muka hadapan harian metro 30 Januari 2009, ana terus membeli...sangat mengejutkan dan menghibakan hati, namun kecewa sangat-sangat....mungkin sebuah cerita ini mewakili seribu satu kepayahan dan cabaran para muallaf...
apa yang dikesali inilah gambaran dan hakikat sebenar segelintir masyarakat islam Malaysia lebih mudah mengkritik, mencela dan menghukum daripada memberi sokongan, bimbingan dan nasihat...

begitu juga buat mereka yang bergelar dae' dan mengaku dae' (umat islam)...kadang-kala, ilmu dan hujah yang mantap dan tinggi tidak bermakna jika ilmu hanya untuk menghukum dan menyatakan kesalahan orang...kenapa tidak tunjukan jalan alternatif untuk seseorang itu buat perubahan? bukan mematikan semangatnya...

semakin mempelajari ilmu kemahiran mengajar...semakin pula ana terasa akan cabarannya kelak apabila berada di medan pendidikan (sekolah)...apa yang menarik teori yang dipelajari sangat penting juga para dae' mempraktikkan iaitu....dalam mendidik masyarakat, didiklah mereka dengan cara mereka pelajari...analoginya bagi seorang guru, untuk mengajar kanak-kanak, beliau perlu mengajar mengunakan cara kanak-kanak tersebut belajar kerana pemikiran kanak-kanak tidak sama dengan pemikiran dewasa...namun, masyarakat terdiri dari variasi tahap pemikiran, jadi terpulanglah para dae' untuk memahami dan mendidik mengikut gaya pemahaman mereka...

wallahu'alam bisawab~

No comments: